NURUL HUDA HASSAN | 25 Februari 2016 12:31 AM
KETUA pasukan JDT, Safiq Rahim (tengah) membuat percubaan ke arah gawang sambil cuba dihalang oleh pemain Ayeyawady, Naing Lin Tun dalam perlawanan Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. – MOHD HAZROL ZAINAL
JOHOR BAHRU - Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen mempertahankan Piala AFC dengan gagah apabila membelasah Ayeyawady United 8-1 yang menyaksikan ketua pasukan Safiq Rahim mencipta hattrick dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan JDT kini telah menjaringkan 13 gol ke atas wakil Myanmar berkenaan selepas menumpaskan mereka 5-0 dalam pusingan kedua pertandingan ini tahun lalu.
Penyerang baharu Juan Martin Lucero turut menemui jaringan pertamanya sejak menyertai JDT apabila menjaringkan dua gol pada babak kedua, manakala Jorge Pereyra Diaz, Marcos Antonio dan Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak masing-masing menjaringkan satu gol di hadapan 11,560 penyokong tuan rumah.
Sebelum itu, penyokong tuan rumah bagaimanapun dikejutkan apabila Thiha Zaw menyamakan kedudukan pada minit ketujuh selepas Safiq meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan dari jarak 30 meter.
Kedua-dua pasukan terus saling mengasak gawang lawan dengan percubaan menarik Mohd. Nazrin Nawi pada minit kelapan dan penyerang pasukan pelawat Chizoba Christopher pada minit ke-11.
Namun, sebaik sahaja Harimau Selatan menambah gol kedua menerusi pemain dari Argentina, Diaz dua minit kemudian, perlawanan menjadi milik JDT sepenuhnya.
JDT mempunyai peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-15, namun Mohd. Nazrin gagal menyempurnakan sepakan bebas dan lapan minit kemudian percubaan Lucero pula tersasar.
Pada minit ke-30, skuad Harimau Selatan menjaringkan gol ketiga mereka menerusi pemain pertahanan dari Brazil, Antonio setelah Safiq membuat sepakan sudut untuk tuan rumah mendahului 3-1 ketika rehat.
JDT memulakan babak kedua dengan garang dan hanya memerlukan tiga minit selepas perlawanan disambung untuk menambah gol keempat menerusi Safiq yang kemudian melengkapkan jaringan hattrick pada minit ke-62.
Penguasaan bahagian tengah JDT terus menyukarkan Ayeyawady untuk menyerang dan Lucero melengkapkan malam sempurna untuk pasukannya apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-82 dan minit ke-87 sebelum Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak menjaringkan gol kelapan untuk JDT pada masa kecederan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-berpesta-di-larkin-1.193998#sthash.TJZDLJHK.dpuf
No comments:
Post a Comment