NURUL HUDA HASSAN | 26 Februari 2016 12:11 AM
PEMAIN tengah JDT, Safiq Rahim (kiri) melarikan diri daripada asakan pemain pertahanan Ayeyawady United dalam perlawanan peringkat Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru kelmarin. Safiq menjaringkan tiga gol untuk membantu JDT menang 8-1. UTUSAn/Raja Jaafar Ali
JOHOR BAHRU - Safiq Rahim membuktikan dia belum kehilangan sentuhan walaupun tidak beraksi dalam dua perlawanan, malah semakin garang apabila menjaringkan tiga gol ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mudah meratah Ayeyawady United dalam kempen Piala AFC kelmarin.
Mencipta hatrik dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini kelmarin, Safiq Rahim menyifatkannya sebagai satu bonus buat dirinya.
Terlepas dua perlawanan sebelum ini kerana kurang cergas, kapten JDT itu juga menyifatkan kejayaan membelasah kelab Myanmar itu dengan jumlah gol yang besar 8-1 ialah hasil kerja keras pasukan.
Bagaimanapun, pemain paling bernilai (MVP) perlawanan akhir Piala AFC 2015 itu berkata kejayaan dicipta penyandang juara itu bukan hanya faktor dirinya sahaja tetapi kerja berpasukan yang perlu diteruskan dan bukannya berpuas hati dengan prestasi semasa.
“Hatrik itu ialah bonus untuk diri saya, namun yang paling penting kami (JDT) mendapat keputusan positif sekali gus mengutip tiga mata di tempat sendiri, jumlah gol yang banyak itu semestinya satu yang manis untuk pasukan.
“Jadi, tidak kira untuk apa jua perlawanan selepas ini, kami mesti tidak boleh setakat itu sahajalah, kami perlu terus memberi tumpuan dan memperbaiki segala kelemahan yang dikesan, pasukan kena lebih fokus selepas ini.
“JDT perlu beri lebih 100 peratus selepas ini, selagi diberi kepercayaan oleh jurulatih, saya akan sentiasa memberi yang terbaik begitu juga rakan-rakan sepasukan,” katanya dalam sidang akbar selepas perlawanan tersebut.
Sementara itu, ketua jurulatih Mario Gomez mengakui dia yakin akan meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut tetapi tidak terlintas Harimau Selatan akan mencipta jumlah jaringan yang besar.
Jurulatih dari Argentina itu turut memuji anak buahnya yang dilihat bermain sebagai satu pasukan dan bukan hanya menumpukan kepada keupayaan individu sekali gus mahu prestasi terbaik pasukan terus dipertingkatkan.
“Kami tidak ada masalah apabila pasukan pelawat menyamakan kedudukan sebab kita tahu kemenangan milik JDT, malah saya juga yakin dengan kemampuan pasukan saya, kita sememamngnya akan melakar kejayaan pada perlawanan itu,” katanya.
JDT akan bertemu kelab India, Bengaluru FC di Stadium Sree Kanteerava di Bangalore pada 9 Mac ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-bonus-untuk-saya-8217-1.194314#sthash.SOFgWOb5.dpuf
No comments:
Post a Comment