Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 23 March 2015

Sultan Ibrahim dimahkota sebagai Sultan kelima Johor moden

ISNIN, 23 MAC 2015 @ 10:42 AM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi ini.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia.

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu.

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir.

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri 'Diadem' di kepala Raja Zarith Sofiah. - BERNAMA

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi tabit hormat sebelum menuruni Tangga Agong berangkat menaiki kenderaan rasmi untuk berarak di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar bagi bertemu rakyat. - Foto Aizuddin Saad


Istiadat Kemahkotaan lambang kasih sayang rakyat kepada raja

23 Mac 2015 1:08 AM

JOHOR BAHRU 22 Mac – Rakyat negeri ini bertuah kerana berpeluang menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor dan tidak seharusnya melepaskannya dengan bersama-sama memeriahkan upacara tersebut esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan dan penyertaan rakyat Johor sepanjang perayaan kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor Moden yang kelima adalah lambang kasih sayang dan hormat kepada baginda.

“Kelangsungan dan warisan takhta Kesultanan Johor turut menggambarkan sejarah panjang kesultanan Johor. Sejak beberapa bulan lepas, pelbagai lapisan rakyat di segenap pelusuk Johor telah bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan melakukan persiapan.

“Kepada seluruh rakyat Johor, marilah bersama-sama menjadi sebahagian daripada detik bersejarah Istiadat Kemahkotaan yang akan diadakan esok, 23 Mac 2015. Sama-sama kita doakan agar istiadat bersejarah ini nanti berlangsung dengan jayanya, penuh gilang-gemilang, lancar dan diberkati seperti yang telah dirancang,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Dalam kenyataan itu, Mohamed Khaled turut menyifatkan Sultan Ibrahim sebagai raja yang sangat budiman dan mempunyai pandangan jauh serta meletakkan negeri ini dan rakyatnya sebagai keutamaan.

Sementara itu dalam laman sosial Facebooknya, Mohamed Khaled berkata. Johor sejak di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar sudah mencatat sejarah kegemilangan dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa, pusat kegiatan intelektual dan budaya.

“Johor adalah pencetus kepada pembentukan citra nasional dari perspektif kedudukan raja, agama Islam, bahasa Melayu, perjuangan kemerdekaan, sistem pentadbiran yang efisien, kepentingan pendidikan dan sekolah agama serta keselamatan melalui penubuhan Askar Timbalan Setia Negeri.

“(Begitu juga) hubungan antarabangsa dari Timur dan Barat, muafakat rakyat dan pembentukan bangsa Johor yang mengekalkan jati diri Johor yang tersendiri,” katanya sambil menambah Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang ditulis dalam tulisan Jawi adalah tiang seri Perlembagaan Johor dan menjadi model perlembagaan melindungi negeri-negeri Melayu 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-kemahkotaan-lambang-kasih-sayang-rakyat-kepada-raja-1.72660#sthash.ISwbjcSd.dpuf


Sultan nampak garang, tetapi 
sebenarnya baik hati, mudah didampingi

23 Mac 2015 1:07 AM


IBRAHIM ALI bersama motosikal roda tiga yang dihadiahkan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013. Berita :Zulhisham Isahak.Pic:Ishak Rahmad.

MUAR 22 Mac – “Walaupun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kelihatan serius dan garang, namun baginda sebenarnya seorang yang baik hati dan mudah didampingi”.

Demikian reaksi bekas askar Timbalan Setia Negeri Johor (TSN) yang pernah berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1973, Ibrahim Ali, 67, menggambarkan keperibadian Sultan Ibrahim yang akan dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam istiadat gilang-gemilang esok .

Ibrahim yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mengenali Sultan Ibrahim sejak baginda masih kanak-kanak lagi.

Dia yang kini menetap di Parit Lapis dan masih bujang berkata, perwatakan Sultan Ibrahim tidak banyak berbeza dengan Almarhum ayahanda, Sultan Iskandar Sultan Ismail dan nenda baginda, Sultan Ismail Sultan Ibrahim.

“Semasa saya bertugas sebagai askar TSN di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Ismail bermula dari 1967 sehingga 1969 sebelum berkhidmat dengan Sultan Iskandar dari 1969 sehingga 1973, Tuanku Sultan Ibrahim berusia antara 11 atau 12 tahun.

“Perwatakan baginda masa itu disenangi ramai. Selama ini rakyat mengenalinya sebagai Sultan berjiwa rakyat tetapi tidak mengetahui baginda gemar bergurau dan kelakar,” katanya ditemui Utusan Malaysia di gerainya di Jeti Parit Jawa, di sini hari ini.

Ibrahim yang menjual hasil kampung berkata, ramai juga yang tidak mengetahui baginda membantu ramai golongan kurang bernasib baik daripada semua kaum dengan mengemukakan sendiri masalah mereka kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, Sultan Johor amat mengambil berat masalah rakyat jelata termasuk dirinya yang pernah mendapat sebuah motosikal dihadiahkan baginda selepas kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis pada 2009.

“Semasa Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013 di Pantai Leka, Parit Jawa, baginda masih mengenali saya yang berkerusi roda walaupun sudah lama tidak berjumpa dan kemudian menghadiahkan sebuah motosikal beroda tiga kepada saya,” katanya yang akan menonton detik bersejarah kemahhkotaan Sultan Ibrahim menerusi te­levisyen.

Ibrahim yang berasa bertuah kerana dapat menyaksikan tiga generasi Sultan Johor menaiki takhta mendoakan Sultan Ibrahim sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT semasa memerintah negeri ini. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-nampak-garang-tetapi-8232-sebenarnya-baik-hati-mudah-didampingi-1.72646#sthash.kLzCD6Jt.dpuf


No comments: