Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 17 September 2014

Entiti baharu urus operasi bekalan air

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Maximus Ongkili dan Khalid Ibrahim menyaksikan majlis pertukaran perjanjian antara Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Muhammad Khusrin Munawi (kanan) dalam majlis permeteraian Perjanjian Utama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 12 Sept. - Perjanjian utama bagi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akhirnya berjaya dimuktamadkan dalam satu perjanjian yang dimeterai hari ini.

Menerusi pemeteraian itu, Air Selangor Sdn. Bhd., sebuah entiti baharu akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan tiga syarikat konsesi.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, selain kewujudan entiti baharu pengurusan air, antara isi kandungan perjanjian itu adalah Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB), menyediakan peruntukan RM1.68 bilion bagi memudahkan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi.

Syarikat konsesi itu melibatkan Syarikat Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass), selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) dan Perjanjian Utama (HoA) air Selangor.

"PAAB juga mengambil alih liabiliti syarikat-syarikat konsesi dan pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Selangor, Syabas dan PNSB yang dianggarkan sebanyak RM7.45 bilion.

"Sebagai balasan, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB dengan jumlah yang sama secara pegangan pajakan selama 45 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang mewakili Kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri Selangor diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Entiti pengurusan air negeri Selangor diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Air Selangor Sdn. Bhd., diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Suhaimi Kamaralzaman.

Ongkili hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan empat Exco kerajaan negeri Selangor.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Ongkili berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan persetujuan berhubung penstrukturan air Selangor dapat dicapai dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik demi kepentingan rakyat.

"Dengan termeterainya Perjanjian Utama ini, Kerajaan Persekutuan yakin satu transformasi menyeluruh dapat dilaksanakan oleh Air Selangor Sdn. Bhd. yang menjadi nadi perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam mewujudkan perkhidmatan air yang efisien, berdaya maju dan mapan.

"Kita terus komited untuk menjadi pemudah cara bagi pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash), oleh Air Selangor Sdn. Bhd.

"Ini akan dilakukan melalui kaedah yang dapat menjaga kepentingan semua pihak bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor mencapai hasrat untuk menguruskan air secara holistik," katanya.

Ongkili menambah, pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) akan terus dipantau melalui Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek yang dipengerusikannya bersama Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, Ongkili mewakili kerajaan merakamkan penghargaan kepada Abdul Khalid atas komitmennya yang tinggi dan kerjasama padu kerana tanpa usaha itu, perjanjian berkenaan tidak akan dimuktamadkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_06/Entiti-baharu-urus-operasi-bekalan-air#ixzz3DXeyFOqH  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: