Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 19 November 2013

Mengubati kecelaruan umat Islam

Oleh Rohaimi Shafie
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia




TIADA siapa yang dapat menyangkal bahawa umat Islam Malaysia semakin hari semakin bercelaru. Kecelaruan umat Islam Malaysia dibuktikan dengan pelbagai kelemahan mereka yang amat ketara kelihatan.

Meskipun kehidupan umat Islam di Malaysia adalah lebih baik berbanding dahulu tetapi ia tidak menjadikan umat Islam Malaysia semakin bertambah kuat berbanding umat Islam terdahulu.

Kehidupan umat Islam Malaysia yang lebih baik berbanding dahulu didorong oleh pembangunan dan kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia. Di samping itu, Malaysia setakat ini terlindung daripada bala bencana yang dahsyat seperti gempa bumi, taufan dan tidak pula dikelilingi oleh gunung berapi.

Kedudukan Malaysia yang cukup strategik di selat tersibuk di dunia, iaitu Selat Melaka membuatkan Malaysia sering menjadi intipan negara-negara lain.

Tidak kira lawan mahupun 'kawan', Malaysia menjadi sasaran oleh negara-negara lain yang cukup cemburu dengan kejayaan sebagai sebuah negara Islam yang terkemuka di dunia.

Namun demikian, umat Islam Malaysia seolah-olah tidak mengambil iktibar dan kelebihan Malaysia. Sedangkan sejak dahulu lagi bangsa Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sudah lama melihat kelebihan Malaysia.

Umat Islam Malaysia perlu membuka mata seluas-luasnya dan berlapang dada menerima hakikat betapa umat Islam Malaysia bukan sahaja diasak oleh musuh-musuh luar tetapi juga musuh dalam selimut yang berada di dalam negara.

Tidak syak lagi agenda kesamarataan hak asasi manusia menjadi agenda utama mereka untuk menjatuhkan maruah umat Islam Malaysia. Hak bagaimana yang mereka mahukan sedangkan negara-negara Barat, idola mereka pun tidak sepenuhnya mengiktiraf hak kebebasan beragama orang Islam seperti bertudung?

Kalau mahukan hak individu sekalipun usah melanggar hukum Allah SWT seperti mahukan pengiktirafan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Atas kelemahan-kelemahan umat Islam Malaysia, mereka berani menggugat hukum Allah SWT. Tidak ada cara lain untuk menangani isu terbesar yang menggugat umat Islam kecuali memahami punca-puncanya.

Punca pertamanya, umat Islam Malaysia perlu kembali bersatu berasaskan hakikat kita menyembah Tuhan yang satu, Allah SWT. Semua pemimpin Islam perlu berlapang dada dan usah asyik menuding jari mencari kelemahan orang lain. Bertautlah secara ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Perpaduan yang kukuh bukan sahaja menggerunkan musuh-musuh Islam tetapi juga membuatkan pemimpin-pemimpin Islam menjadi ikutan umatnya. Pergaduhan dan perpecahan tidak pernah memberi apa-apa manfaat.

Selain perpecahan yang amat ketara kelihatan dalam kalangan umat Islam Malaysia, umat Islam juga memerlukan lonjakan dalam menguasai ilmu pengetahuan.

Umat Islam memerlukan tokoh-tokoh ilmuwan yang menguasai pelbagai bidang seperti Al Razi dan Ibnu Sina. Tokoh-tokoh sebegini bukan sahaja menguasai satu bidang ilmu tetapi mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang akhirnya menjadikan mereka dapat memberi pandangan, nasihat yang lebih menyeluruh melangkaui satu bidang ilmu sahaja.

Individu Islam Malaysia tidak boleh hanya berasa selesa dengan satu bidang ilmu dan akhirnya susah untuk mengaitkan ilmunya dengan bidang-bidang lain. Umat Islam yang berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang akan menjadi pendokong kepada kepimpinan Islam. Ia akan menjadi perujuk utama dalam hal ehwal umat Islam dalam menjalani kehidupan umat Islam. Melalui ilmu pengetahuan, umat Islam akan mampu menguasai ekonomi.

Asasnya, anak-anak Islam sewajarnya dididik sejak kecil lagi tentang budaya ilmu melalui budaya membaca dan mencari ilmu pengetahuan. Ini akan menjadikan mereka apabila dewasa kelak seorang yang benar-benar mencintai ilmu pengetahuan melangkaui zamannya.

Pengetahuan sebeginilah yang akan dapat dikongsi bersama dengan orang lain sebagaimana ilmu pengetahuan yang dikongsi oleh Al Razi dan Ibnu Sina kepada orang lain meskipun sekian lama mereka meninggalkan dunia ini. Tanpa ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, umat Islam akan mudah ditipu dan diperdayakan oleh musuh-musuh Islam.

Selain menguasai ilmu pengetahuan, ketegasan pihak berkuasa menangani fenomena laman-laman sosial antara intipati utama dalam mengubati kecelaruan umat Islam Malaysia. Maka, tidak hairanlah apabila Tun Dr. Mahathir yang suatu ketika dahulu tidak bersetuju internet ditapis tetapi kini mencadangkan agar internet ditapis kerana ia banyak mengundang permasalahan umat Islam Malaysia.

Kisah-kisah fitnah, umpatan dan caci maki sudah menjadi kebiasaan. Ia menjadi seperti barah yang boleh merosakkan seluruh umat Islam Malaysia. Tiada gunanya kita memperjuangkan hak mendapatkan maklumat secara bebas jika bukan sahaja tidak mendapat apa-apa maklumat yang bermanfaat malahan hanya kepalsuan yang diperoleh seperti ajaran sesat yang menjadi ikutan oleh segelintir umat Islam Malaysia. Itu belum termasuk fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan umat Islam.

Sudah sampai masanya, pihak kerajaan membendung gejala ini sebelum ia menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi. Jika ia tidak ditangani dengan segera, tidak mustahil masalah sosial kalangan umat Islam yang bermula daripada internet akan menjadi lebih teruk lagi.

Jawapan asasnya, umat Islam perlu kembali menjaga hati dan lidah kerana takutkan Allah SWT. Hati yang baik tanpa adanya hasad dengki dan lidah yang sentiasa dijaga agar tidak memudaratkan hubungan silaturrahim akan menjadikan suasana kehidupan umat Islam lebih sejahtera.

Apabila hati dan lidah dijaga dengan baik, insya-Allah, amalan seharian juga akan semakin bertambah baik. Inilah yang diajar oleh agama Islam supaya umat Islam tidak lagi bercelaru dengan pelbagai kepalsuan pemikiran, pegangan dan ideologi serta tingkah laku yang jauh terpesong dari ajaran sebenar agama Islam.



No comments: