Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 19 November 2013

Amalan berbudi bahasa dalam masyarakat semakin luntur



PENULIS ialah pemerhati sosio-politik 
noor.azam33@gmail.com




ISUNYA bukan bola. Bukan tak boleh bertegur sapa. Isunya adab berbahasa. Dalam budaya Melayu ada yang disebut berbudi bahasa. Tingkah laku dan cara kita bertingkah-kata, terutama di depan massa. Sekarang lebih penting lagi, kerana akan tersiar dalam media massa dan media sosial yang bebas dan luas sebarannya. Lebih besar lagi kesannya apabila yang bertingkah kata adalah tokoh terkemuka.

Zaman tiga puluh atau empat puluh tahun dulu, yang jadi contoh teladan adalah orang tua-tua atau yang bergelar dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Zaman itu tidak ada istilah idola yang dipopularkan melalui kegiatan seni di pentas dan dalam tv.

Tanpa diangkat-angkat dan dipuji-puji dengan publisiti, orang tua dan berpangkat dijadikan contoh teladan. Sekarang, semakin ramai orang tua-tua dan yang dianugerah kehormatan istana pun, tingkah laku dan bahasa percakapan mereka tidak berbudi bahasa lagi. Yang melakukan bermacam jenayah pun kian ramai.

Perkataan "biadab" dan "kurang ajar" yang dulunya jarang sekali kita dengar di khalayak ramai, sekarang sudah jadi bahasa basahan. Maaflah, ada kalanya kenyataan dari istana pun menggunakan kata "biadab".

Bahasa dan tingkah laku sangat kasar tak bersopan dalam episod pertengkaran keluarga - yang jadi kegemaran penulis skrip drama tv untuk menunjukkan konflik - sudah keterlaluan. Apakah sampai begitu sekali parahnya tingkah laku dalam keluarga orang Melayu sekarang?

Bahasa istana pun - kecuali dalam majlis adat istiadat - makin hilang. Semakin ramai rakyat Malaysia yang tak boleh berbahasa Melayu yang bagus - apa lagi bahasa istana - dianugerahi gelaran Datuk dan Tan Sri. Pendek kata, semakin hari, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita, semakin luntur. Dalam acara hiburan Melayu di tv kita - anak-anak muda penggemar siaran tv di panggung - dilatih menjerit melolong terpekik-pekik bagai dirasuk polong.

Maaflah, mukadimah ini agak panjang. Sebenarnya saya nak tulis tentang masalah perbezaan pendapat antara YB Khairy Jamaluddin dengan Datuk Jamal Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza. Saya menganggap peristiwa seperti ini - yang belum pernah terjadi - adalah penting.

Khairy bukan sebarangan orang. Beliau seorang menteri, tokoh muda yang segak dan popular; punya masa depan yang panjang untuk menjadi pemimpin negara. Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas kemajuan sukan, beliau boleh saja menegur dan mengkritik persatuan dan kelab sukan di bawah naungannya.

Akan tetapi dengan status ini, tidak seharusnya membolehkan beliau meluahkan perasaannya sampai melupakan kesopanan Melayu dan kebijaksanaan seorang pemimpin yang dipilih oleh parti Melayu dan rakyat.

Kata Datuk Siti Nurhaliza dalam twitternya, selepas pemimpin persatuan bola sepak dan Datuk Jamal Nasir diserang YB Khairy: "Sbg Menteri Muda & being look up, rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah…lantang x perlu biadab dgn yg lebih tua." Siti beralaskan komennya dengan perkataan "rasanya" dan "berhemah".

Malangnya para penyokong Khairy menghentam Siti dengan mengungkit perkahwinan dan taraf pendidikannya, dibandingkan dengan Khairy yang mendapat ijazah dari Universiti Oxford dan berkahwin dengan anak Perdana Menteri.

Janganlah lupa: Rezeki, jodoh pertemuan dan tanah kubur kita di tangan Tuhan. Tiada pasti apakah taraf pendidikan penyokong-penyokong menteri kita ini.

Namun ini menunjukkan orang yang rendah moralnya dan tak tahu berbudi bahasa. Dan ini bukanlah salah mereka, tetapi bukti salah didikan dan contoh teladan yang kita berikan. Kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.

Jamal Nasir sebagai orang tua yang berkhidmat dalam bola sepak negara - lama sebelum YB Khairy ikut masuk ke lapangan ini - merasa tersentuh hatinya. Kritik tajam daripada seorang menteri yang ada kuasa dan kepandaian, dirasakan bagai sembilu berbisa.

Sayanglah! YB Khairy menyambut luahan perasaan orang tua ini - dengan sergahan "Orang luar jangan masuk campur!"

Ada banyak isu di negara kita ini, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan bangsa kita, "orang luar" patut sekali "ikut campur".

Rakyat yang prihatin ikut bertanggungjawab apa yang berlaku. Sumbangan rakyat diperlukan untuk membolehkan rancangan kerajaan dilaksanakan. Undi rakyat diperlukan dalam setiap pilihan raya. "Suara rakyat" - meskipun dianggap "orang luar" - adalah salah satu ciri penting dalam amalan demokrasi.

Mohon maaf. Ini hanya coretan pendapat seorang tua yang duduk jauh di luar gerbang kuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131119/re_07/Amalan-berbudi-bahasa-dalam-masyarakat-semakin-luntur#ixzz2l3llVJXd
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: