Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Saturday, 30 May 2009

Hak asasi bukan hujah izin Chin Peng pulang

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pertimbangan hak asasi tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk menghalalkan kepulangan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkara itu adalah adil kerana Chin Peng dan penganut ideologi komunis tidak pernah mengiktiraf hak asasi manusia dalam perjuangannya.

Katanya, Chin Peng selaku penjenayah perang yang hampir menjerumuskan negara ke kancah kehancuran mesti dianggap sebagai pengkhianat selama-lamanya.

"Perjuangan komunis bukannya untuk mendaulatkan hak asasi kerana ia tidak pernah wujud dalam sistem mereka.

"Sebaliknya merekalah puak yang telah menindas hak asasi sehingga menyebabkan rakyat menderita, jadi kenapa bila dia nak kembali kita perlu menggunakan pertimbangan hak asasi," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan menyarankan kepada kerajaan agar membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dengan tegas menolak perkara itu kerana ia akan menimbulkan perasan tidak puas hati rakyat negara ini yang masih tidak dapat melupakan keganasan komunis.

Mohamad Mustapha turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba menggambarkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara dengan cara tersendiri.

Katanya, golongan yang tidak melihat Chin Peng dan pengikutnya dari perspektif yang betul adalah pihak yang tidak menghargai sejarah pembinaan negara.

"Kita kena tahu membezakan pengkhianat negara dengan pejuang kemerdekaan tulen.

"Perjuangan mereka adalah untuk membebaskan negara dari cengkaman British untuk dijadikan salah satu wilayah naungan kerajaan komunis di China, bukannya memerdekakan negara," tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang meminta generasi muda supaya tidak melupakan detik hitam yang pernah menghantui negara berikutan tindak-tanduk komunis walaupun ia telah lama berlalu.

Katanya, usaha untuk menghidupkan semula semangat perjuangan komunis di negara ini tidak wajar dibiarkan berleluasa kerana ia mendedahkan negara kepada kehancuran.

"Jangan kita lupa usaha PKM yang berniat mengambil alih tampuk pemerintahan dan menjadikan Malaysia sebagai negara komunis melalui kekerasan yang meragut ribuan nyawa rakyat berbilang bangsa," katanya.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad mengingatkan semua pihak supaya tidak buta sejarah apabila memperkatakan mengenai komunis.

Katanya, golongan belia juga perlu berwaspada supaya tidak terpengaruh dengan gerakan menghidupkan semula fahaman komunis bagi mengelakkan mereka menyesal di kemudian hari.

"Titisan darah pasukan keselamatan negara dan rakyat yang menjadi mangsa komunis tidak boleh kita 'halalkan' sampai bila-bila," katanya.
Bagi yang buta sejarah dan baru nak mengenali sejarah kekejaman komunis sila baca apa yang dibangkitkan oleh pakar sejarah dan keluhan orang-orang yang pernah hidup menderita di zaman keganasan komunis sehinggalah ke hari ini.

No comments: