Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 3 October 2008

MENSYUKURI HIKMAH RAMADHAN DAN NIKMAT AIDILFITRI

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

HARI Raya Aidilfitri adalah hari yang sangat penting bagi umat Islam. Dengan gema takbir dan tahmid pada hari bahagia ini, ia membezakan Aidilfitri daripada hari-hari perayaan yang lain.

Gema takbir yang berkumandang pada saat-saat begini menggambarkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuhan Yang Maha Esa di atas segala limpah kurnianya kepada kita selama ini.

Berhari Raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali, sebelum wujud sebagai manusia seperti sekarang, kita telah mengakui keesaan Allah SWT dan berjanji akan mentaati perintah-Nya. Dan Allah Maha Pengasih telah memberi kesempatan puasa Ramadan kepada kita untuk mengembalikan jati diri tersebut.

Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah.

Aidilfitri tidak lain adalah juga hari kegembiraan, kemenangan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperolehi pahala yang besar di sisi Allah.

Hari di mana orang mukmin memperolehi dua kegembiraan yang besar dan memberi kesan yang kuat dalam kehidupan mereka. Pertama, kegembiraan melaksanakan kewajipan mentaati perintah Allah dan kedua, kegembiraan akan memperoleh ganjaran yang besar.

Berhubung hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Bagi orang yang berpuasa itu memperoleh dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan menemui Tuhannya (andainya ajal sudah tiba) dalam keadaan berpuasa."

Dalam erti kata lain mereka yang beriman berkeyakinan akan memperoleh ganjaran yang besar daripada Allah yang merupakan satu-satunya faktor dalaman yang mendorong mereka mengambil risiko dan sanggup berkorban serta berjihad dan melakukan apa sahaja yang termampu tanpa ragu-ragu.

Tanpa dorongan rohani ini sebagai penggerak ke arah melakukan perkara-perkara kebaikan sudah tentulah ia akan mudah tunduk kepada dorongan hawa nafsu yang mengarah kepada perkara-perkara kejahatan.

Demikianlah Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang daripada pengembaraan kerohanian. Dalam pengembaraan itu mereka telah meninggalkan semua perkara yang digemari kerana Allah dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku mereka.

Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat daripada Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud"; (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dan keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat menilai dan memahami).

"Dari segi material, sesungguhnya Aidilfitri adalah satu-satunya perayaan yang mengatasi semua perayaan yang ada. Suasana ini harus diraikan dengan penuh kegembiraan disertai ucapan tahniah, kunjung-mengunjungi, hormat-menghormati, memakai pakaian cantik dan baru serta menikmati juadah yang terbaik daripada limpahan rezeki Allah. Semuanya ini akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Gembirakanlah hatimu pada saat tertentu (gembira atau berhibur dengan tidak melanggar ketetapan agama serta dengan akhlak yang baik).

"Ramadan adalah bulan yang penuh hikmah dan pengabdian. Sedangkan Aidilfitri adalah hari bahagia dan gembira dengan mensyukuri nikmat Allah SWT yang tidak terhingga."

No comments: