Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 31 October 2008

MEMAHAMI MAKNA HAJI MABRUR

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

HAJI adalah rukun Islam kelima dan terakhir yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas kaum Muslim yang memiliki kemampuan untuk melaksanakannya dan memenuhi syarat-syaratnya, paling tidak sekali seumur hidup. Daripada sekelian banyak ibadah, haji adalah puncak amalan ritual yang sangat diimpikan oleh seluruh umat Islam seantaro dunia.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana jemaah haji dari Malaysia terus meningkat dari tahun ke tahun. Apa yang kita harapkan, pemergian mereka ini akan memperoleh haji mabrur.
Tiada yang diinginkan oleh mereka yang mengerjakan haji di Mekah melainkan keinginan tinggi untuk memperolehi haji yang mabrur.

Lebih penting lagi kita berharap agar mereka dapat membawa cermin kemabruran itu ke dalam masyarakat iaitu keluarga, jiran tetangga, dan akhirnya seluruh tanah air. Maknanya sekembali daripada mengerjakan haji kelak kalau mereka itu seorang ahli politik, pegawai kerajaan, guru, pensyarah, mufti atau seorang usahawan - mereka akan memberi contoh yang baik dan mempraktikkan atau mengamalkan apa yang diucapkan, bukan sekadar memberi teori sahaja.
Haji mabrur ditandai dengan bekasnya iaitu makna simbol-simbol amalan yang dilaksanakan di tanah suci, sehingga makna-makna tersebut wujud dalam bentuk sikap dan tingkah laku setiap hari.

Pakaian biasa ditanggalkan dan pakaian ihram dikenakan. Pakaian dapat melahirkan perbezaan, menggambarkan status sosial, di samping dapat menimbulkan pengaruh psikologi.
Menanggalkan pakaian biasa bererti menanggalkan segala macam perbezaan dan menghapuskan keangkuhan yang ditimbulkan oleh status sosial itu.
Mengenakan pakaian ihram melambangkan persamaan darjat kemanusiaan serta menimbulkan pengaruh psikologi bahawa dalam keadaan demikianlah seseorang akan menghadap Tuhan pada saat kematiannya.

Bukankah ibadah haji adalah kehadiran memenuhi panggilan Tuhan?
Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah SWT. Dengan demikian, haji mabrur adalah haji yang baik dan membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut ulama, haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri dengan dosa-dosa. Ini bermaksud bahawa kebajikan haji yang diperoleh oleh mereka yang melakukannya telah membentengi diri mereka daripada maksiat dan dosa. Orang yang mendapat haji mabrur akan semakin kuat imannya serta makin meningkat amal ibadatnya.

Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga justeru ia menjadi harapan setiap orang yang beriman. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran, barulah dapat disebut haji mabrur. Kesedaran ini akan melahirkan al-mahadah cinta, satu persiapan untuk berkorban apa sahaja kerana Allah SWT. Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak ialah berapa banyak amal ibadah haji yang telah dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spiritual yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif.

Keampunan dosa hanya akan termakbul dengan memperoleh haji mabrur. Pendek kata, haji mabrur itu berkaitan dengan amal kebaikan yang dilakukan oleh para jemaah. Tidak mustahil dengan mabrur duniawi dan mabrur ukhrawi sekali gus, seorang haji mendapat syurga di dunia dan juga syurga di akhirat.

Di dalam hadis riwayat Bukhari diterangkan, bahawa Siti Aisyah pernah bertanya kepada Nabi: "Ya Rasulullah! Jihad (di jalan Allah), adalah amal yang paling mulia!"
Ya, tetapi jihad yang paling mulia ialah haji mabrur (yang ikhlas niatnya dan sempurna syarat rukunnya), jawab Nabi Muhammad.


Ibadah haji memberi pengertian yang cukup besar bagi umat Muslim. Inilah antara ibadah yang menjadi sebesar-besar dan seagung-agung jihad ke jalan Allah. Oleh hal demikian, kita seharusnya kembali menyelidiki diri sendiri apakah kita manusia yang benar-benar berjihad ke jalan Allah?

No comments: