26 Mac 2015 2:11 AM
KOTA BHARU 25 Mac – Pas menyifatkan sekutunya, DAP sebagai 'berbohong' apabila mendakwa tidak diberikan kefahaman secukupnya berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, tanggapan tersebut tidak betul kerana sudah beberapa kali penjelasan tentangnya diberikan sebelum ini.
Justeru katanya, beliau yakin kepemimpinan DAP sudah jelas berkaitan isu tersebut dan tidak perlu lagi mempertikainya selepas Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
“Saya sendiri sudah tiga kali bersama-sama pimpinan Pas Pusat serta kerajaan negeri berjumpa mereka bagi menjelaskan berkaitan hudud.
“Bermula di pejabat DAP di Cheras, semua pimpinan atasan DAP serta PKR hadir dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kemudian di Pejabat Agung Pas dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru-baru ini. Pimpinan lain seperti Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan tidak kurang daripada empat kali hadir.
“Bagi saya pimpinan pakatan pembangkang sudah jelas tentang hudud dan pendirian kita. Pada perjumpaan terakhir di Parlimen baru-baru ini tidak ada pun keputusan dibuat supaya Pas menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) di DUN Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap keputusan DAP semalam yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Susulan keputusan tersebut menyebabkan terdapat dalam kalangan masyarakat yang meletakkan kesalahan terhadap Pas kononnya gagal memberi kefahaman sejelasnya kepada DAP berkenaan hudud, sekali gus menimbulkan kemelut di antara kedua-dua parti itu.
Sementara itu, Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri berkata, sebahagian daripada pemimpin pakatan pembangkang itu dengan tegas menolak pelaksanaan hudud dalam setiap kali perjumpaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-sifatkan-8232-dap-berbohong-1.73765#sthash.Nwbgl7VC.dpuf
No comments:
Post a Comment