CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 04 Mac 2015 12:31 AM
SPRM sebagai rakan strategik
SEMALAM saya dijemput menjadi ahli panel satu forum mengenai alam sekitar. Ia dianjurkan bersama oleh sebuah badan aktivis alam sekitar dikenali sebagai Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (IAM) di Restoran Saloma, Jalan Ampang.
Ramai yang hadir termasuk rakan wartawan. Banyak perkara yang dibincangkan. Turut disentuh isu tragedi terbaharu - kemusnahan alam di Cameron Highlands, banjir kuning di Kelantan serta pendedahan mengenai kerosakan sistem ekologi di Pulau Mabul di Sempurna, Sabah.
Juga dibincangkan mengenai penglibatan politik dalam isu-isu itu. Serta bagaimana kerajaan negeri gagal menangani soal kemusnahan yang berlaku di hadapan mata mereka.
Terlalu banyak ketirisannya. Ini bukan membabitkan soal kesedaran, tetapi lebih kepada penguatkuasaan. Ini juga membabitkan soal wang dan ringgit. Ini juga membabitkan soal makan suap oleh para pegawai penguatkuasaan yang sudah menjadi darah daging mereka.
Isu rasuah sering dibangkitkan oleh rakyat. Bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi, namun yang paling banyak ialah membabitkan peringkat rendah. Akhirnya bukan pegawai-pegawai yang terbabit dipersalahkan, tetapi kerajaan secara keseluruhannya.
Namun apa yang menarik perhatian saya semasa kami bersembang semasa makan tengah hari ialah bagaimana kreatifnya PEKA cuba menangani masalah ini.
Mereka telah bekerjasama dengan SPRM sebagai rakan strategik. Pegawai-pegawai SPRM akan digunakan untuk berhubung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Jika kami sendiri yang berhubung dengan mereka tidak jalan,” kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syek Akil.
“Dengan SPRM mereka takut sikit,” tegas beliau.
Memang benar, sepatutnya apa yang dilakukan oleh PEKA itu perlu dituruti oleh NGO-NGO yang lain, malah oleh agensi-agensi sensitif kerajaan yang lain seperti Jabatan Hutan, jabatan penguatkuasaan di pihak-pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.
Tahniah PEKA kerana kepekaan untuk memelihara khazanah alam ciptaan Allah SWT demi generasi anak cucu akan datang.
Bahasa rasmi Finas sudah bertukarkah?
FINAS ditubuhkan sejak 1980 dengan niat baik oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, kini Tun. Tetapi sehingga kini setelah ratusan juta diperuntukkan, orang masih tertanya-tanya apakah kejayaan Finas yang boleh dibanggakan?
Pada suatu masa dahulu, Finas merai ulang tahun pembentukannya setiap tahun, tetapi ada orang kata untuk merai kejayaan apa?
Berbanding dengan agensi kerajaan lain yang lebih memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, Finas dikatakan hanya boleh merasa bangga dengan kewujudannya sahaja.
Jadi tidak hairanlah kalau akhirnya menteri berkenaan mengarahkan untuk acara perayaan ulang tahun Finas tidak diadakan. Sekali gus menjimatkan ratusan ribu ringgit untuk mengadakan acara jamuan besar di hotel terkenal di bandar raya Kuala Lumpur.
Sejak Finas ditubuhkan terdapat enam orang yang telah dilantik sebagai ketua pengarahnya iaitu - Ismail Zain, Datuk Zain Hamzah, Allahyarham Datuk Sharif Ahmad, Datuk Mahyiddin Mustakim, Naguib Razak, Raja Rozaimi Dalnish Shah dan sekarang ini Datuk Kamil Othman yang dulunya pengarah MDEC.
Sejak dulu bahasa rasmi yang diguna oleh semua kegiatan Finas adalah bahasa Melayu. Tetapi sejak kebelakangan ini bahasanya adalah Inggeris?
Adakah apa yang didengar saya itu benar? Kalau benar apa sebabnya Finas mahu menukar bahasa rasmi agensi kerajaan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris?
Kalau perkara ini benar-benar berlaku, itu sudah tentu satu perkembangan yang amat menyedihkan. Bahasa Jiwa Bangsa? Bahasaku Oh Bahasaku...
Ketam Cina dan Ketam Melayu...
SAYA tertarik dengan satu kisah ketam. Saya menerimanya melalui WhatsApp. Saya tidak tahu siapa penulisnya, namun kisah itu cukup untuk direnungi oleh kita semua.
Kisahnya begini:
Pada pagi itu dia pergilah ke pasar borong dan berjalan ke satu kedai milik Cina yang menjual ketam.
Melayu: Apek, ketam ada jual ka?
Cina: Ada… ada… lu mau ketam Cina ka ketam Melayu?
Melayu: Aik! Ketam pun ada Melayu dengan Cina ka apek? Cuba lu tunjuk mana ketam Melayu, mana ketam Cina?
Cina: Itu sana dalam bekas ada tutup, ketam Cina. Sana dalam bekas tak ada tutup, ketam Melayu la…
Melayu: Apa pasal ketam Cina apek kasi tutup... ketam Melayu apek tak kasi tutup?
Cina: Itu ketam Cina kalau satu ekor keluar.... yang lain akan tengok dan kasi belajar macam mana boleh keluar dari bekas. Nanti lama-lama semua ketam pandai macam mana mau keluar dari bekas. Jadi semua keluar la.
Melayu: Ketam Melayu tak itu macam ka?
Cina: Ketam Melayu, kalau satu ekor keluar yang lain kasi tarik itu kaki ketam tadi… jangan kasi keluar. Dia mau dia seekor saja keluar… yang lain biar dalam bekas. Kalau dia sudah keluar, dia terus lari, tak mau ajar yang lain macam mana mau keluar.
MORAL:
Begitulah cerita ketam Melayu dengan ketam Cina. Hakikatnya, jika orang Cina berniaga, Cina lain tak kacau, dia tengok saja dan belajar macam mana boleh berjaya.
Cina yang sudah berjaya itu pula, akan ajar Cina lain agar berjaya juga.
Kalau orang Melayu, bila satu Melayu nak berjaya, Melayu lain akan guna apa saja supaya Melayu tu jatuh balik. Macam ketam Melayu, apabila seekor ketam berjaya hendak naik, ketam lain tarik kaki dia, akhirnya seorang pun tak dapat naik. Lepas tu mulalah bergaduh sesama sendiri.
Benarkah begitu? Adakah kerana sifat itu orang Melayu tidak senang-senang sampai sekarang? Adakah oleh kerana itu, matlamat 30 peratus penguasaan ekonomi masih tidak tercapai?
Saya diberitahu di pasar raya IT di Plaza Low Yat misalnya, peniaga-peniaga Cina tolong-menolong antara satu sama lain bagi memastikan supply chain dikongsi dan dikuasai bersama. Begitu juga dalam bidang-bidang lain. Jika sudah ada rantai, pastikan rantai itu tidak putus, malah disambung-sambung sehingga lebih utuh dan besar.
Wallahualam...
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/peka-dan-sprm-finas-dan-bahasaku-ketam-melayu-dan-cina-1.65796#sthash.BxNFa0zD.dpuf
No comments:
Post a Comment