SIC dijangka sambung kontrak 3 tahun
AIZAWATI AHMAD | 24 Mac 2015 1:11 AM
PEKERJA Litar Antarabangsa Sepang sedang sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Grand Prix Formula Satu Malaysia yang akan berlangsung hujung minggu ini.
SEPANG - Ada khabar gembira mungkin menanti peminat sukan pemotoran Formula Satu (F1) negara apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang sedang dalam rundingan penyambungan kontrak dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk menyambung ikatan selama tiga tahun lagi.
Walaupun masih belum ada hitam putih berhubung isu kontrak tersebut, namun Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir memberi bayangan bahawa perbincangan dengan Pengurusan Formula Satu (FOM) hampir mencapai situasi menang-menang.
“Kita masih dalam perbincangan dengan FOM. Kita sedang mencari satu situasi menang-menang yang sekarang ini hampir mencapai kata sepakat.
“Kita perlu meneliti perjanjian yang paling baharu dan ada isu-isu yang masih belum memuaskan hati kedua-dua belah pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menyertai lawatan media ke SIC menjelang perlumbaan Grand Prix Malaysia pada hujung minggu ini yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali di sini, semalam.
Menurut Mokhzani, sekiranya semua isu yang dibangkitkan dapat dirunding dengan baik bersama FOM, maka kontrak selama tiga tahun akan disambung.
Bagaimanapun jelasnya, buat masa ini, pihaknya masih belum dapat berbuat demikian kerana SIC perlu meneliti perjanjian yang bakal ditandatangani itu mampu memberi hasil pelaburan yang benar-benar berbaloi.
“Kita sebagai penganjur perlu dapat ROI (Return On Investment) yang positif sebelum kita menjadi tuan rumah F1.
“Kita hendak tengok orang yang datang ke sini (mendapati) harga tiket tak begitu mahal. Begitu juga dengan pelancong yang datang Malaysia.
“Lebih-lebih lagi pertukaran mata wang asing antara Ringgit Malaysia (RM) dan Dollar Amerika Syarikat mengalami perubahan. Saya hendak pastikan mereka datang ke Malaysia ini kerana mahu tengok F1,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kontrak, beliau memberitahu, tempoh tiga tahun dipilih berbanding lima tahun adalah bagi memberi ruang kepada SIC untuk melihat sebarang perubahan yang berlaku dalam F1 sepanjang jangka masa tersebut.
Tambahnya, amat penting juga bagi SIC untuk memantau penglibatan Petronas dalam pasukan Mercedes AMG yang mana mereka dikhabarkan akan terus menjadi penaja pasukan itu bagi tempoh tiga tahun lagi.
Ketika ditanya kemungkinan pengumuman mengenai kontrak akan dibuat sewaktu perlumbaan GP Malaysia pada hujung minggu ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mokhzani menegaskan, segala keputusan muktamad terletak di tangan Kementerian Kewangan yang bertindak selaku rakan kongsi utama.
Selagi ‘lampu hijau’ belum dinyalakan, maka sebarang pengumuman tidak boleh dilakukan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/f1-hampir-pasti-kekal-1.72984#sthash.T4k2oZBy.dpuf
No comments:
Post a Comment