Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 20 March 2015

POLITIK : Hudud diluluskan

Kesepakatan ahli politik Islam

AZRAN FITRI RAHIM, 
MOHD. HAFIZ ABDUL MUTALIB DAN ZAAIN ZIN | 20 Mac 2015 1:39 AM



KOTA BHARU 19 Mac - Kelantan mencipta sejarah sekali lagi apabila pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) diluluskan sebulat suara pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Ini merupakan kali kedua undang-undang yang lebih dikenali dengan hukum hudud itu diluluskan di Dewan tersebut selepas kali pertama dibawa pada 1993.

Kesemua 44 Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) iaitu 31 daripada Pas, 12 Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir ketika enakmen tersebut diluluskan.

Keputusan itu juga menunjukkan kesepakatan kesemua ADUN yang beragama Islam biarpun berbeza fahaman politik untuk meluluskan hukum Allah itu biarpun ada di antaranya terpaksa dipapah untuk datang ke sidang DUN dan dihalang oleh partinya sendiri.

ADUN Guchil, Roslan Puteh daripada PKR paling menarik perhatian apabila tetap hadir walaupun diarah supaya tidak berbuat demikian oleh kepemimpinan tertinggi parti itu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mengambil bahagian dalam perbahasan dan tidak menyatakan sebarang bantahan ketika undang-undang itu diluluskan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Malah, beliau yang bergegas meninggalkan dewan lebih awal sebaik sahaja persidangan ditangguhkan juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan hukum hudud.

“Terpulang pada persepsi, macam mana kamu tengok tadi. Parti arahkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang komen,” katanya kepada pemberita di lobi DUN di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Pada masa sama, ADUN Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha daripada BN dilihat menggunakan tongkat dan dipapah untuk berjalan, tetap hadir bagi menyatakan iltizam dan sokongan untuk memastikan undang-undang tersebut dilaksanakan.

Difahamkan beliau yang tidak hadir pada sesi pembentangan rang undang-undang tersebut semalam, menghidap penyakit gout.

Dalam pada itu, satu-satunya individu yang berada dalam DUN ketika enakmen tersebut diluluskan pada 1993, Datuk Norzula Mat Diah menyatakan rasa syukur undang-undang Islam itu sekali lagi dibentangkan dan berharap pelaksanaannya tidak tertangguh lagi.

ADUN Paloh daripada BN itu berkata, kali ini Kerajaan Pas Kelantan dilihat amat serius untuk me­laksanakan hukum hudud, malah wujud kerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk melaksanakannya.

“Sekarang saya melihat kerajaan negeri serius untuk melaksanakan hudud dan di peringkat Pusat telah ditubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memastikan undang-undang Islam ini terlaksana,” katanya.

Ketika enakmen tersebut diluluskan kali pertama pada 1993, beliau berusia 33 tahun dan menjadi wakil rakyat dari parti Semangat 46 yang bekerjasama dengan Pas untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, harus diingat kelulusan enakmen itu hanya baharu di peringkat awal sebelum dilaksanakan kerana beberapa akta dan fasal dalam Perlembagaan harus dipinda di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Dua perkara yang perlu dipinda ialah Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah) Bidang Kuasa Jenayah 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu.

Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan telah bersetuju untuk membawa rang undang-undang persendirian bagi meminda kedua-dua akta tersebut.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/hudud-diluluskan-1.71531#sthash.H5qZ9VvI.dpuf


No comments: