Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 11 March 2015

Piala AFC: Pahang berdepan ujian getir temu Global FC

SELASA, 10 MAC 2015 @ 10:46 PM


KUANTAN: Skuad Pahang bakal berdepan cabaran getir menumpaskan Global FC dalam saingan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Darul Makmur di sini, esok, berikutan beberapa tonggak utama dibelenggu masalah kecederaan.

Lebih memeritkan apabila kapten pasukan Tok Gajah, Razman Roslan turut tidak dapat beraksi selepas menerima kad merah pada perlawanan menentang pasukan Yadanarbon FC dari Myanmar pada 25 Februari lalu.

Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan bagaimanapun tetap optimis dengan berbekalkan momentum kemenangan ke atas Sime Darby dalam aksi Liga Super, baru-baru ini, skuad Tok Gajah mampu menumbangkan pasukan dari Filipina itu untuk mengutip tiga mata penuh.

"Kami sudah bersedia berdepan pasukan Global FC dan Pahang seharusnya menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mencatat kemenangan bagi memperoleh mata penuh dan meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

"Momentum kejayaan menumbangkan Sime Darby dalam Liga Super yang juga kemenangan sulung Pahang menyuntik semangat pemain mempamerkan prestasi terbaik," katanya pada sidang media menjelang perlawanan itu, di sini hari ini .

Beliau berkata penyertaan pada Piala AFC boleh diibarat antara pencapaian terbaik pasukan Pahang dan ia tidak seharusnya disia-siakan oleh pemain.

Sementara itu, jurulatih Global FC, Leigh Manson berkata pasukannya yang kini berada di tangga teratas liga domestik berada dalam prestasi terbaik untuk menewaskan Pahang.

"Saya berharap pemain fokus pada perlawanan itu walaupun menghadapi jadual perlawanan yang padat. Ini kali pertama kami layak menyertai saingan Piala AFC dan sudah semestinya semangat kami membara.

"Kami akan bermain dengan baik dan berusaha melakar kemenangan di gelanggang lawan," katanya.

Dalam pada itu, beliau gembira dengan perkembangan bola sepak Filipina dengan keupayaan Global FC bersaing pada kejohanan berprestij itu dan ia boleh dianggap satu proses pembelajaran dalam memajukan sukan tersebut di negara berkenaan. - BERNAMA


JURULATIH Bola Sepak Pahang Zainal Abidin Hassan (dua dari kanan) ketika sidang media sebelum perlawanan Piala AFC menentang wakil Filipina Global FC. - Foto BERNAMA


No comments: