27 Mac 2015 12:34 AM
Kimi RAIKKONEN menganggap prestasi buruk Ferrari ketika ini disebabkan mereka tidak bernasib baik kerana masalah teknikal.
SEPANG – Kimi Raikkonen percaya, pasukan Ferrari sebenarnya lebih bagus daripada pendahulu Formula Satu (F1) dunia ketika ini, Mercedes dan mereka hanya tidak bernasib baik apabila gagal menamatkan perlumbaan di atas podium dalam Grand Prix Australia dua minggu lalu.
Bekas juara dunia dari Finland itu menegaskan, pasukannya sudah bersedia untuk membuktikan kemampuan sebenar pada Grand Prix Malaysia di Sepang hujung minggu ini dan tekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan di Melbourne.
Dalam perlumbaan pembuka tirai 2015 di Australia, Raikkonen bermula baik apabila berjaya menduduki tangga kelima sesi kelayakan, namun masalah jentera menyebabkan dia terpaksa menamatkan saingan di tempat ke-13.
Pelumba berusia 36 tahun itu berkata, dia mengalami masalah teknikal ketika melakukan hentian pit sehingga mengganggu prestasinya sepanjang perlumbaan.
“Dalam perlumbaan itu (Grand Prix Australia) saya fikir kami sebenarnya lebih baik berbanding pasukan Mercedes, namun disebabkan masalah teknikal yang timbul ketika saya melakukan hentian pit, selain beberapa kerosakan yang berlaku di awal saingan, jadi sangat menyukarkan.
“Kami tidak menamatkan perlumbaan pada kedudukan yang baik, namun kami mempunyai cukup masa untuk memperbaiki keadaan. Kami cuba menamatkan saingan di kedudukan hadapan, tetapi jentera ketika itu tidak mengizinkan, apa pun setidak-tidaknya kami berada dalam kelompok yang bagus pada sesi kelayakan,” kata juara dunia 2007 itu.
Menurut Raikkonen lagi, dia berharap perlumbaan kali ini akan menyebelahi pasukannya, malah turut merasakan bahawa mereka adalah lebih baik daripada Mercedes.
“Saya harap nasib kami lebih bernasib baik berbanding di Melbourne. Seperti yang saya katakan tadi, kami memiliki kelajuan dan saya fikir semuanya berjalan dengan lancar cuma kami perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.
“Saya pernah mengalami beberapa kemalangan sebelum ini, namun ia sebahagian daripada perlumbaan. Jika anda melakukan kesilapan anda terpaksa berdepan dengannya.
“Jika anda tidak bersedia menghadapi risiko atau takut saya yakin masih ramai pelumba yang sanggup menggantikan tempat anda,” katanya lagi
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/ferrari-lebih-bagus-daripada-mercedes-1.73938#sthash.VhEGbXXJ.dpuf
No comments:
Post a Comment