Titah Sultan Selangor kepada kerajaan negeri
FAZRINA AYU RADUIAN | 31 Mac 2015 2:14 AM
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH berkenan menerima teks titah baginda daripada Mohamed Azmin Ali sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. UTUSAN/IZHAM JAAFAR
SHAH ALAM 30 Mac - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kerajaan negeri segera menggantikan semula tanah rizab Melayu yang dibatalkan sebelum ini untuk tujuan pelaksanaan projek-projek pembangunan.
Menurut baginda, sebarang bentuk penggantian tanah baharu haruslah ‘serupa keadaannya’ dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.
“Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam upacara perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Berdasarkan Laporan Audit Negara 2013 Siri 2 yang dikeluarkan pada Jun tahun lalu, setakat November 2013 sehingga Februari 2014, sebanyak 38.6 peratus atau 1602.9 hektar tanah rizab yang dibatalkan status belum diganti di negeri Selangor.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini demi menjamin kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, baginda menitahkan agar perkara itu dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan Persekutuan pada 12 September 2014.
Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri Selangor sentiasa bersedia dengan langkah-langkah terbaik dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan domestik dan industri.
“Beta yakin pendekatan bersemuka dan berbincang dapat menyelesaikan persoalan ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga negeri Selangor.
“Beta juga mahu memanda beta (Menteri Besar) meneruskan sikap tegas mempertahan kedaulatan negeri Selangor dan kepentingan rakyat,”
Dalam pada itu titah baginda, setiap rakyat di negeri ini mesti menikmati kehidupan yang berkualiti, rumah yang selesa dan mampu dimiliki khususnya dalam kalangan siswazah muda dan golongan pertengahan.
“Beta berkenan usaha kerajaan negeri untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh tiga tahun dan dapat dilipat-gandakan dalam usaha memenuhi permintaan sebanyak 40,000 unit,” titah baginda.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ganti-semula-tanah-rizab-melayu-1.75548#sthash.oXxThHqe.dpuf
No comments:
Post a Comment