Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 19 March 2015

HUDUD : APA MEREKA KATA DAN TINDAKAN?

DAP dakwa Pas 
‘tikam dari belakang’

Bincang hala tuju pakatan pembangkang Isnin ini

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF | 19 Mac 2015 2:19 AM

KUALA LUMPUR 18 Mac - DAP hari ini melahirkan kekecewaannya terhadap Pas dan mendakwa telah ‘ditikam dari belakang’ oleh rakan sekutunya itu yang tidak menghiraukan amaran untuk tidak membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

ANTHONY LOKE

Sehubungan itu, DAP akan me­ngadakan mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada 23 Mac ini bagi memutuskan hala tuju parti itu dalam pakatan pembangkang.

Sambil menyifatkan Pas sebagai ‘musuh dalam selimut’, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, pakatan pembangkang tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) selagi Pas sentiasa membelakangkan konsensus bersama.

“Tindakan kerajaan Pas Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan pada hari ini adalah satu keputusan yang me­langgari dasar bersama pakatan pembangkang dan mengkhianati konsensus majlis pimpinan pakatan pembangkang.

“DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan Pas Kelantan itu dan ia me­rupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan pakatan pembangkang,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Anthony, DAP akan terus konsisten dengan pendirian bahawa pelaksanaan rang undang-undang hudud bertentangan de­ngan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau berkata, sejak hari pertama terjalinnya kerjasama antara ketiga-tiga parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud tidak akan menjadi agenda bersama dalam pakatan pembangkang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-dakwa-pas-8232-8216-tikam-dari-belakang-8217-1.71143#sthash.dtfvk6UN.dpuf


Pas tidak peduli ancaman sekutu

19 Mac 2015 2:19 AM

KOTA BHARU 18 Mac – Pas tetap dengan pendirian untuk meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun mendapat tentangan, ancaman serta halangan daripada sekutunya, DAP.

Nik Mohd. Amar Nik Abdullah

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, pihaknya tidak akan menghiraukan desakan DAP malah telah pun membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tegasnya, DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya tidak bersetuju itu adalah hak mereka namun jangan sesekali menghalang usaha Pas untuk melaksanakan undang-undang Islam ini.

“Pas tidak akan tunduk dengan dia (DAP) malah kita telah pun bentang (Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir) ini tanpa sebarang halangan.

“DAP, PKR tidak setuju itu cerita lain kerana perkara itu melibatkan soal politik tetapi biar proses demokrasi berjalan dengan lancar, biar bawa ke Parlimen, kalau hendak bahas tidak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan rang undang-undang tersebut dalam Sidang DUN Kelantan di sini hari ini.

Rang undang-undang yang merupakan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 itu telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Kelmarin pemimpin-pemimpin DAP termasuk Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo bukan sahaja tidak bersetuju dengan pembentangan enakmen berkenaan malah menuntut Majlis Pakatan Pembangkang mengambil tindakan tegas menghukum Pas atas alasan mencabul kerangka pakatan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-tidak-peduli-ancaman-sekutu-1.71141#sthash.7hrinb0T.dpuf


ADUN BN sokong hudud kerana Allah

19 Mac 2015 2:19 AM

KOTA BHARU 18 Mac – Kesemua 12 wakil Barisan Nasional (BN) menyokong Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 atau hukum hudud, qisas dan takzir adalah kerana Allah dan bukannya disebabkan politik.

Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, oleh itu, pihaknya akan tetap bersama dengan Pas untuk menegakkan undang-undang Islam di negeri ini.

“Kita (Pas dan BN) dan semua orang Islam akan menghadapi masalah besar dalam usaha menegakkan undang-undang Islam ini.

“Mereka (bukan Islam) sudah pasti akan berpakat datang dengan kumpulan-kumpulan menghalang usaha ini. Ini adalah cabaran kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasaan Rang Undang-Un­dang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dalam Sidang DUN di sini hari ini. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/adun-bn-sokong-hudud-kerana-allah-1.71139#sthash.x5IiRhkn.dpuf


Tiga ahli Gerakan fail saman pemula halang hudud

19 Mac 2015 2:19 AM

KOTA BHARU 18 Mac – Parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Saman pemula itu difailkan oleh tiga ahli Gerakan Kelantan, Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee serta Chun Mon Sie melalui firma guaman, Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low kira-kira pukul 10 pagi ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Tiga plaintif berkenaan mena­makan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai defendan.

Dalam saman tersebut, mereka memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang bakal diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara alasan dikemukakan plaintif bagi permohonan itu adalah DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang-undang.

Selain itu, Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 adalah ultra vires (me­lampaui batasan undang-undang), tidak sah serta tidak selaras de­ngan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pemuda Gerakan, Andy Yong berkata, permohonan itu merupakan langkah awal untuk menghalang pembentangan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Kelantan melaksanakan hudud.

“Kerajaan negeri memulakan langkah pertama dengan membentangkan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 pindaan hari ini, sehubungan itu kami juga turut mengambil langkah pertama untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

“Kami akan menyerahkan saman pemula ini kepada pihak defendan di Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim hari ini,” katanya. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tiga-ahli-gerakan-fail-saman-pemula-halang-hudud-1.71137#sthash.2tQpnYVp.dpuf


DAP tidak perlu ugut

Kit Siang, Anthony Loke mesti hormati Pas

MAISARAH SHEIKH RAHIM | 19 Mac 2015 2:19 AM

KUALA LUMPUR 18 Mac - DAP tidak perlu mengugut Pas dengan ancaman pakatan pembangkang akan berpecah jika parti itu mahu meneruskan usaha pelaksanaan hukum hudud.

Tuan Ibrahim

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menegaskan, keutuhan atau keretakan pakatan pembangkang kini bergantung kepada pendirian dan sikap setiap parti dalam pakatan sebagai rakan sekawan.

Jelas beliau, jika DAP menghormati perjuangan Pas dan bersikap tidak menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh parti itu untuk merealisasikan sesuatu mengikut saluran demokrasi, pakatan pembangkang pasti akan bertambah kuat dan kukuh.

“Lebih-lebih lagi perjuangan (hudud) ini adalah aspirasi Pas sejak penubuhannya lagi dan DAP pun tahu tentang hal itu seawal penubuhan Barisan Alternatif dulu dan juga semasa pakatan pembangkang dibentuk 2009.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan pakatan pembangkang adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita. Malangnya, DAP tidak bersikap demikian. Maka, jika lemahlah pakatan, ia berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap Pas sendiri, bukan kerana Pas bertegas mahu laksanakan Undang-undang Jenayah Islam,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman portal berita, Harakah Daily, hari ini.

Kelmarin, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersatu menuntut Majlis Pakatan Pembangkang mengambil tindakan tegas menghukum Pas atas alasan mencabuli kerangka pakatan sekiranya Pas Kelantan membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ugutan itu dinyatakan DAP selepas Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi kata dua kepada DAP dan PKR supaya bersetuju dengan langkah parti itu mahu melaksanakan hudud atau kerjasama antara pakatan terlerai.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, Pas selama ini sudah pun berhabis lembut dan lunak menjelaskan semuanya kepada DAP tentang isu penggubalan dan pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam itu.

Malah, katanya, Pas sentiasa menghormati hak DAP untuk berbeza pandangan tetapi tidak untuk menghalang sebarang pindaan yang memperkukuhkan enakmen tersebut.

“Nasihat tulus ikhlas saya pula buat Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Anthony Loke (Setiausaha Organisasi DAP), dan seluruh pimpinan DAP, hormatilah Pas,’’ katanya. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-tidak-perlu-ugut-1.71136#sthash.2vhuvpqh.dpuf


Hudud: Pas bakal hilang undi bukan Islam

19 Mac 2015 2:18 AM

KUALA LUMPUR 18 Mac – Pas akan kehilangan sokongan pengundi bukan Islam terutama di Pulau Pinang dan Selangor dalam pilihan raya umum akan datang berikutan ketegasan parti itu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ismail Sualman berkata, namun demikian, kekuatan Pas di Kelantan akan bertambah kerana dilihat tegas dalam perjuangan melaksana­kan hudud walaupun mengenepikan desakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.

“Keputusan Pas untuk tidak selari dengan dasar pakatan pembangkang menunjukkan tiada lagi kesepakatan antara mereka dan ini merupakan lembaran baharu dalam politik.

“Bagaimanapun, kita juga khuatir ketegasan Pas memperjuangkan hukum hudud hanya semata-mata politik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerajaan Pas Kelantan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) biarpun mendapat tentangan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr. Arnold Puyok pula berpendapat pelaksana­an hukum tersebut sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan perikatan antara parti pembangkang.

“Ini akan menguji sejauh mana Pas sanggup mempertahankan imej Islam yang dibawa selama ini walaupun menerima tentangan hebat daripada pemimpin pembangkang lain termasuk dari Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Ismail Sualman, berkata, keputusan tersebut tidak akan menggugat kredibiliti dan kepercayaan ahli serta rakyat terhadap Pas, namun dilihat bakal meretakkan kerjasama pakatan pembangkang itu.

“Keputusan itu memperlihatkan kesungguhan Pas meletakkan agama Islam lebih utama dari masa depan politik bersama pakatan pembangkang dan mereka tidak mungkin berdepan masalah sokongan kerana majoriti pengundi di sana adalah orang Melayu.

“Jadi usah lagi masuk ‘gear’ undur sebaliknya Pas perlu terus berusaha memikirkan perspektif baharu mengubah corak pemikiran orang Islam kerana sudah sampai masanya untuk mereka bergerak sendiri tanpa gangguan daripada DAP dan PKR,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Zaheruddin Othman berkata, pelaksanaan hukum hudud penting bagi memperlihatkan ke­wibawaan barisan kepemimpinan Pas selain menzahirkan bahawa keputusan Sultan Muhammad V harus dihormati oleh semua pihak.

“Pakatan yang diwujudkan itu dilihat hanya untuk tujuan khusus. Tidak mustahil juga kerjasama antara pakatan akan terlerai kerana keputusan Pas untuk melaksa­nakan hudud, tetapi kemungkinan akan kembali bersatu semula pada pilihan raya umum kelak.

“Namun apa yang penting, Sultan Kelantan telah memperkenan permohonan untuk melaksanakan hudud di Kelantan dan keputusan itu harus diterima oleh semua pihak dan Pas perlu memperkemas perjuangan mereka berlandaskan syiar Islam tanpa dibelenggu kemelut politik seperti mana yang dipegang sejak penubuhannya,” katanya.

No comments: