OLEH SHAHRINNAHAR LATIB (NAHAR.LATIB@UTUSAN.COM.MY) | 02 Mac 2015 2:01 AM
HASAN MALEK (kanan) memotong tanda harga yang lama sambil diperhatikan oleh Shahiruddin Ab. Moin (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek (kiri) pada majlis pelancaran Kempen Penurunan Harga 2015 Peringkat Kebangsaan di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang, semalam.
LEBIH 1,000 buah cawangan pasar raya di seluruh negara mengambil bahagian dalam Kempen Penurunan Harga 2015 dengan menawarkan diskaun antara 10 hingga 70 peratus kepada lebih 82,000 produk yang ditawarkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, antara pasaraya yang terlibat adalah The Store, Tesco, Aeon Big, Giant, Mydin, Milimewa Supermarket & Department Store, TF Value Mart, UO Superstore, Econsave Cash & Carry dan Pasaraya Pasific.
“Antara barangan yang ditawarkan pada harga berpatutan pula adalah termasuk ayam, beras, susu, sardin, milo dan makanan sejuk beku. Barangan lain termasuk peralatan elektrik, lampin bayi, susu bayi, pakaian sukan serta barangan penjagaan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Penurunan Harga Peringkat Kebangsaan di pusat belibelah Kuantan Parade di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin.
Menurut beliau, kempen yang diadakan serentak di seluruh negara membabitkan sebanyak 16 buah pasar raya yang memiliki lebih 1,000 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan menawarkan barangan yang berkualiti dengan harga yang rendah.
“Kerajaan beri jaminan kempen ini akan diadakan secara berterusan untuk membantu meringankan beban rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kita juga mahu ubah persepsi rakyat bahawa perubahan harga petrol bukan penyumbang utama kepada kenaikan harga barangan dan kempen seperti ini masih dapat diteruskan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan sentiasa peka dengan kesusahan yang dihadapi rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup yang berpunca daripada beberapa faktor seperti bencana alam, peningkatan kos sewa beli, sial tarif dan kadar upah minimum.
Menurut Hasan, kejayaan kempen yang dilancarkan ini merupakan inisiatif yang diadakan melalui persetujuan yang dicapai dengan rundingan bersama pengilang, pemborong, pembekal, peniaga dan persatuanpersatuan peniaga.
“Saya suka mengambil pendekatan secara berunding, bermula daripada pemborong hingga ke peringkat akar umbi. Cara ini akan membolehkan kita mendengar pandangan semua pihak.
“Kita juga akan pastikan setiap barangan yang dijual menepati piawaian kualiti yang tinggi,” jelasnya.
Kempen ini katanya, dianggap sebagai permulaan untuk menarik syarikat pengeluar yang lain termasuk peniaga kecil untuk bersamasama menurunkan harga barangan yang dijual.
Dalam pada itu mengulas perkembangan harga minyak, kerajaan akan terus mengikuti perkembangan harga minyak global bagi analisis harga baharu setiap bulan.
“Analisis ini dibuat secara berpasukan, setiap bulan kita akan buat perkiraan, untuk harga bulan Mac ini, kita sudah buat pemantauan sepanjang bulan Februari lalu,” tambahnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pasar-raya-tawar-diskaun-lebih-82-000-produk-1.65320#sthash.MeUxJYgC.dpuf
No comments:
Post a Comment