SABTU, 28 MAC 2015 @ 6:44 PM
PENYERANG Tottenham, Harry Kane (kanan) cuba memperdaya pemain Lithuania, Tadas Kijanskas pada aksi Kelayakan Euro 2016, di Wembley, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
LONDON: Penyerang Tottenham, Harry Kane menjaringkan gol pada penampilan sulungnya, kurang dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian ketika England membelasah Lithuania 4-0 pada aksi Kelayakan Euro 2016 di Wembley, awal pagi tadi.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan England di tangga teratas Kumpulan E dengan kini mengumpul 15 mata maksimum selepas lima perlawanan.
Kane, 22, yang menjaringkan 29 gol dalam semua kejohanan musim ini bersama Tottenham masuk menggantikan kapten, Wayne Rooney pada minit ke-71 berjaya menanduk masuk gol keempat England, dua minit kemudian.
Terdahulu tiga gol awal England dijaringkan Rooney pada minit ketujuh, Danny Welbeck (45) dan Raheem Sterling (58).
"Ini permulaan yang saya impikan. Untuk melihat ia menjadi kenyataan, sesuatu yang menakjubkan.
"Ia mungkin satu detik yang membuatkan saya sedikit bingung tetapi saya gembira dan berasa bangga. Apa yang paling penting ialah kami mencatat kemenangan," kata Kane.
England kini enam mata mengatasi dua pesaing terdekat, Slovenia dan Switzerland yang turut mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing, awal pagi tadi. - Reuters
No comments:
Post a Comment