Dalam membentuk pasukan mantap di Kementerian Pendidikan
04 Mac 2015 1:40 AM
Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan semasa hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Presint 5, Putrajaya, semalam. Turut hadir, Idris Jusoh, P. Kamalanathan dan Mary Yap Kain Ching. – BERNAMA
PUTRAJAYA 3 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi teguran terhadap kemunculan ‘Napoleon kecil’ yang menjadi halangan kepada pembentukan pasukan lebih mantap dalam Kementerian Pendidikan.
Muhyiddin berkata, warga kementerian tidak harus bekerja dalam kelompok sendiri kerana setiap matlamat dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan tidak mungkin dicapai tanpa sokongan pelbagai agensi.
“Apabila terbentuk kelompok, maka setiap ketua jabatan mahu menjadi Napoleon kecil, maka tidak akan membantu dalam pembentukan pasukan kerja yang kukuh kerana masing-masing mempunyai aspirasi untuk membentuk pasukan mengikut kehendak sendiri.
“Mereka (Napoleon kecil) mungkin berjaya dalam satu sudut, tetapi tidak dalam soal mencapai objektif Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan serta Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menyeru semua warga kementeriannya bekerja keras bagi mencapai matlamat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan PPPM - Pendidikan Tinggi yang bakal dilancar 7 April depan.
“Kedua-dua pelan ini pastinya merupakan agenda besar untuk kementerian dan negara. Adalah menjadi tanggungjawab warga Kementerian Pendidikan untuk memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan sebaik-sebaiknya.
“Kita memerlukan lonjakan berganda untuk mencapai matlamat ditetapkan. Usaha ini takkan berjaya tanpa kreativiti, inovasi, komitmen, kerja keras serta integriti daripada semua,” katanya.
Muhyiddin berkata, untuk meningkatkan mutu pendidikan, kementerian pada masa yang sama perlu mengadunkan kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Kita berada dalam satu ekosistem yang memerlukan kerjasama dan dorongan pelbagai peringkat masyarakat, ibu bapa, institusi, pihak swasta dan industri,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-napoleon-kecil-8217-pengacau-8211-tpm-1.65867#sthash.PHrybVNP.dpuf
No comments:
Post a Comment