Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 31 March 2015

AFC 23 : Skuad negara perlu halang Nakajima – Nazirul

MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 31 Mac 2015 1:27 AM


Nazirul Naim Che Hashim

PETALING JAYA – Kelibat pemain jersi No. 10 pasukan Jepun, Shoya Nakajima pasti akan menarik perhatian barisan pertahanan skuad bawah 22 negara dalam perlawan­an terakhir Kumpulan I pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC malam ini di Stadium Shah Alam.

Nakajima menjadi tarikan utama seluruh peminat dan media Vietnam apabila pemain dari kelab FC Tokyo itu meledakkan dua gol menarik ketika menumpaskan pa­sukan negara 2-0 Ahad lalu.

Ketua pasukan negara Nazirul Naim Che Hashim yang pernah beraksi dengan kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu berkata, Nakajima merupakan seorang pemain yang cerdik di atas padang serta ada naluri pembunuh di hadapan pintu gol.

“Terus terang, apa yang saya nampak pada Nakajima, dia mempunyai teknik larian serta pembacaan bola yang baik dan tahu bila masa yang sesuai untuk menerima umpanan daripada rakan sepasukan.

“Jadi, semua pemain kena ber­usaha untuk memberhentikan pergerakan bola dari bahagian tengah lagi agar dia (Nakajima) tidak boleh mendapat peluang menjaringkan gol,” katanya yang ditemui selepas sesi latihan skuad negara semalam.

Nakajima yang hanya mempunyai ketinggian 1.64 meter dijangka memberikan banyak masalah kepada barisan pertahanan negara yang diketuai pemain Felda United, Shahrul Saad pada perlawanan hari ini.

Selain itu, dua lagi penyerang yang boleh diturunkan Jepun, Mu­sashi Suzuki dan pemain dari kelab FC Red Bull Salzburg, Takumi Minamino juga harus diberikan perhatian.

Gerakan menarik satu-dua Na­ka­jima bersama Minamino pada minit ke-43 membuahkan gol pertama buat Jepun semasa berdepan Vietnam sebelum dia sekali lagi mempersembahkan skil individu yang menarik melalui rembatan lencong untuk menewaskan penjaga gol Nguyen Hoai Anh.

Mengulas harapan mendapatkan tiga mata bertemu Jepun, Nazirul tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan reputasi tinggi lawan yang pasti tidak mahu dimalukan oleh Malaysia.

Namun, dia berharap rakan-rakan sepasukan dapat membantu barisan pertahanan dalam perlawanan hari ini di samping cuba mendapatkan jaringan jika mendapat peluang terutama daripada situasi bola mati.

“Kali ini, kami mungkin menge­tahui serba sedikit corak permainan mereka berdasarkan sesi video yang dibuat oleh jurulatih dan tugas untuk mempertahankan gawang kita bukan terletak kepada pertahanan dan penjaga gol sahaja sebaliknya saya seru agar semua turun membantu.

“Memang nampak agak sukar buat kami namun semangat kami masih tinggi kerana tidak mahu dimalukan di tempat sendiri demi peminat-peminat kita,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-negara-perlu-halang-nakajima-8211-nazirul-1.75454#sthash.rNdHOGJu.dpuf


No comments: