03 Mac 2015 1:58 AM
KUALA LUMPUR 2 Mac – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima layanan serta kemudahan yang saksama seperti banduan lain.
Zulkifli Omar
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, ketika ini kira-kira 50,000 banduan menjalani hukuman di seluruh penjara negara ini dan layanan serta kemudahan yang diberikan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama mengikut ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara.
“Anwar telah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh bermula 10 Februari lalu dan sejak itu, pelbagai tuduhan dan spekulasi dilakukan oleh pihak tertentu.
“Maka berasaskan itu, pihak kami mengambil langkah untuk menjelaskan tuduhan berkenaan seperti perjumpaan dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini telah membuat permohonan dan dibenarkan mengikut Peraturan-peraturan Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, lawatan yang dinamakan Perjumpaan Khas itu dibenarkan atas urusan penting seperti mana diberikan kepada banduan lain.
“Perjumpaan itu dibenarkan atas urusan berkaitan keluarga, pembahagian harta, wasiat serta khidmat mendapatkan peguam,” jelasnya.
Katanya, selain itu, Anwar dibenarkan untuk mendapatkan penempatan dengan kemudahan bersesuaian termasuk makanan tambahan dan berbeza menerusi cadangan pegawai perubatan demi kepentingan kesihatan banduan.
“Kemudahan itu diberikan mengikut Peraturan 231 (j), Peraturan-peraturan Penjara 2000 yang perlu dipatuhi oleh pihak penjara dalam mengubahsuai kerja, diet dan hukuman yang difikirkan perlu.
“Laporan mesti dilakukan secara bertulis kepada pegawai yang menjaga banduan berkenaan, malah hasil pemeriksaan dan syor pakar perubatan Anwar adalah untuk menempatkannya di Hospital Penjara Sungai Buloh. Penempatan itu telah dilaksanakan sebelum pertemuannya dengan Mohamed Azmin pada 25 Februari lalu,” ujarnya.
Tambahnya, tentang pertukaran Pegawai Penjara yang bertanggungjawab melaksanakan kawalan keselamatan Anwar pula, ia dilakukan setiap bulan.
“Pertukaran pegawai berlaku setiap bulan yang dilakukan atas kepentingan perkhidmatan dan kebajikan pegawai terlibat, malah Pengarah Penjara tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap pertukaran tersebut,” katanya.
“Bagi kawalan semasa perhimpunan solidariti yang berlangsung setiap malam di hadapan penjara, ia bertujuan menjaga keselamatan, sekali gus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mampu menjejaskan keselamatan penjara,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/layanan-kemudahan-anwar-di-penjara-saksama-1.65607#sthash.iC1f1b4S.dpuf
No comments:
Post a Comment