Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 9 March 2015

LIGA SUPER : Selangor, JDT, Pahang ceria; FELDA rampas kembali status pendahulu

SABTU, 7 MAC 2015 @ 11:13 PM

Oleh Wan Fakhrul Bakar / Rizar Mohd Noor / Asrol Awang / Faizol Azlan Razak



PEMAIN Selangor Abdul Hadi Yahya (dua kanan) meraikan gol jaringannya ketika menentang PDRM FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. Selangor menang 4-1. -Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Selangor kendalian Mehmet Durakovic akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super, musim ini selepas garang membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dalam perlawanan lain, pasukan berstatus kelab, FELDA United FC merampas kembali kedudukan teratas liga selepas seri 0-0 menentang Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


PEMAIN Sarawak Billy Osman Mehmet menghempap penjagol JDT Mohd Farizal Marlias dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Johor Darul Ta'zim (JDT) pula menceriakan penyokong tegar mereka apabila bangkit menewaskan Sarawak 2-1 di tempat sendiri manakala Pahang turut ceria menewaskan Sime Darby 2-0 di Kuantan.

Terengganu harus menggigit jari selepas membuka ruang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bangkit untuk seri 2-2 di laman sendiri.

Kemenangan penting Selangor itu juga sekali gus menamatkan rentak cemerlang barisan Azman Adnan yang meraih dua kemenangan berturut ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan sebelum ini.

Selangor mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi sepakan mudah Ahmad Hazwan Bakri ke gawang terbuka pada minit ke-23 selepas pemain pertahanan PDRM, V Thirumurugan tersilap mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, sekali gus memerangkap penjaga golnya sendiri, Badrulzaman Abdul Halim.

Hanya selepas 34 saat separuh masa kedua bersambung, Selangor berjaya menambah gol kedua menerusi penyudah kemas Afiq Azmi yang melepasi kawalan benteng pertahanan, namun PDRM berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-58 hasil rembatan Dramane Traore dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Syamim Othman.

Selangor bagaimanapun kembali bangkit garang menambah dua lagi gol menerusi Abdul Hadi Yahya pada minit ke74, tidak sampai seminit selepas dia dimasukkan disusuli gol keempat hasil rembatan kencang kaki kiri penyerang import, Guilherme De Paula minit ke-78.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, JDT meneruskan aksi cemerlang menewaskan Sarawak 2-1. Kapten pasukan, Safiq Rahim muncul wira skuad Harimau Selatan itu dengan ledakan dua gol cantik menerusi sepakan lencong pada minit ke-39 sebelum menambah gol kedua pada minit ke-42. Gol skuad Bujang Senang dijaringkan oleh Billy Memet pada minit ke-27.

Perlawanan itu turut tercemar dengan insiden kad merah apabila pemain tengah Sarawak, Ivan Fatic dibuang padang oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob pada minit ke-90 gara-gara mengutip kad kuning kedua.

Pahang meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot liga, Sime Darby FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan menerusi jaringan Zesh Rehman pada minit ke-45 dan R Gopinathan (minit ke-55).


PEMAIN Terengganu, Muhd Zubir (Kiri) mengasak Pemain ATM, Christe Jayaseelan (Kanan) pada Perlawanan Liga Super 2015, Terengganu bertemu ATM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Pasukan Terengganu pula terikat 2-2 menentang ATM di Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol skuad Penyu dijaringkan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-33 (penalti) dan (minit ke-48) manakala gol skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan adalah menerusi Jerry Palacios (minit ke-68) dan Christie Jayaselan (minit ke-76).

No comments: