Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 31 March 2015

F1 : Ferrari, Vettel sekat Mercedes 'di laman sendiri'

Oleh Khairil S Iswan



SEPANG: Ferrari dan Sebastian Vettel mengakhiri dominasi Mercedes AMG PETRONAS, malah lebih manis di perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix Malaysia PETRONAS yang dianggap 'laman sendiri' Mercedes, hari ini.

Lebih menggembirakan buat Ferrari dan Vettel, ia menamatkan kemarau buat kedua-duanya yang kali terakhir merakam kemenangan pada perlumbaan jentera empat roda elit itu pada 2013.

Mercedes dalam pada itu terpaksa menerima hakikat jurang yang dicipta mereka tahun lalu kian pudar apabila kedua-duanya sekadar melengkapkan kedudukan podium di Sepang.

Juara dunia tahun lalu, Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua manakala rakan sepasukannya, Nico Rosberg ketiga.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Vettel menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 41 minit 05.793 saat, kelebihan 8.5 saat di depan Hamilton.

Perlumbaan yang pada awalnya diramalkan berlangsung dalam hujan tidak menjadi kenyataan apabila hanya awan mendung berarak di SIC, hari ini.

Memulakan perlumbaan di petak pertama dan menggunakan tayar lembut menyaksikan segala-galanya seakan tidak memihak Hamilton yang kemudian mengakui bergelut dengan pemilihan yang dilakukannya.

Ia bertambah parah apabila bendera kuning dikibarkan marsyal perlumbaan kerana kemalangan membabitkan pelumba Sauber, Marcus Ericsson seawal pusingan kedua dengan Hamilton dan Rosberg pantas memasuki hentian pit untuk menukar tayar kepada pertengahan selepas kereta keselamatan memasuki litar.

Peluang itu terus diambil Vettel yang memimpin perlumbaan dan mengakhirinya dengan strategi dua hentian pit berbanding tiga dilakukan kedua-dua pelumba Mercedes.

Kali terakhir Vettel memenangi perlumbaan F1 adalah di GP Brazil pada November 2013 ketika menjuarai gelaran dunia keempatnya pada musim sama bersama pasukan Red Bull.

Begitupun, pelumba kelahiran Jerman itu bergelut sepanjang tahun 2014 yang menyaksikan kebangkitan Mercedes.

Kali terakhir Ferrari memenangi perlumbaan juga pada Mei 2013 pada GP Sepanyol menerusi bekas pelumbanya, Fernando Alonso yang ketika ini berlumba bersama pasukan McLaren-Honda.

Mengikuti kejayaan Vettel ialah rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang mencipta kejutan menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Dua pelumba Williams, Valtteri Bottas dan Felipe Massa turut meneruskan persembahan baik musim ini dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dan keenam.

Ini kali pertama Bottas berlumba musim ini selepas tidak dibenarkan beraksi di GP Australia kerana masalah kesihatan.

Pelumba Belanda dan Toro Rosso, Max Verstappen menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh diikuti pelumba baharu Sepanyol yang juga rakan sepasukannya, Carlos Sainz kelapan.

Masalah berterusan buat pelumba Red Bull apabila kedua-dua pelumbanya, Daniil Kvyat dan Daniel Ricciardo sekadar melengkapkan senarai pemungut mata.

Perlumbaan pusingan tiga F1 akan berlangsung di China pada 12 April depan.

SEBASTIAN Vettel mendahului perlumbaan di Sepang meninggalkan Mercedes di tempat kedua. - Foto AFP


No comments: