Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 20 March 2015

HUDUD NEGERI KELANTAN

Hudud: Gerakan, MCA jangan masuk campur

20 Mac 2015 1:40 AM


Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 19 Mac – Parti Gerakan diminta supaya tidak mencampuri hal ehwal agama Islam kerana pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 atau hukum hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan tidak mempunyai kaitan dengan mereka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya tidak mahu berdebat dari segi tindakan undang-undang parti itu yang memfailkan saman pemula di mahkamah kerana mungkin mereka mempunyai alasan dan hujah tersendiri.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya melihat perkara itu dari aspek moral.

“Hukum hudud ini tiada kaitan langsung dengan mereka sebab pelaksanaannya untuk orang Islam. Apa kaitan hukum hudud ini dengan mereka kerana isu tersebut tidak memberi sebarang kesan bila dilaksanakan kelak.

“Mereka harus ingat, undang-undang ini dibuat untuk orang Islam, oleh itu mengapa mereka harus campur tangan sedangkan kita tidak pernah mencampuri urusan agama mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 kementerian itu di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu menyaksikan seramai 1,906 pegawai dan kakitangan kementerian itu dan agensi di bawahnya, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu menerima pengiktirafan di atas pres­tasi kerja cemerlang.

Yang hadir sama Ketua Setia­usahanya, Datuk Mohd. Arif Ab Rahman; Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Mohd. Fadil Osman; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Vete­rinar, Datuk Dr. Mohamad Azmie Zakaria.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan, semua pihak perlu menghormati perasaan orang Islam kerana majoriti menyokong rang undang-undang persendirian hudud Kelantan dilaksanakan.

“Tindakan Gerakan dan MCA yang merupakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) adalah tidak wajar. Kalau UMNO me­nunjukkan sokongan sepenuhnya, mereka sepatutnya perlu membawa isu ini dalam mesyuarat ter­tinggi dalam BN dan bukannya secara tiba-tiba membuat pendirian secara terbuka.

“Ini menunjukkan mereka langsung tidak menghormati dan cuba mencampuri hal ehwal agama Islam,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail Sabri turut mempersoalkan tindakan parti komponen itu yang menunjukkan tentangan pelaksanaan hukum hudud sedangkan isu tersebut telah dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas pertama kali diluluskan pada 25 November 1993.

“Mengapa baru sekarang menentang. Kalau benar mereka konsisten, sepatutnya sejak dulu lagi tindakan undang-undang diambil kerana ia melibatkan orang bukan Islam dan mungkin mereka ada agenda tersirat,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/hudud-gerakan-mca-jangan-masuk-campur-1.71561#sthash.Qw651tuf.dpuf


Puak Anwarinas akur kehendak parti

20 Mac 2015 1:40 AM

KUALA LUMPUR 19 Mac – Beberapa Ahli Parlimen Pas yang dikaitkan dengan puak Anwarinas memberi reaksi berbeza berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

KHALID SAMAD

Walaupun sebelum ini mereka dilaporkan bimbang dengan ancaman bahawa pembangkang akan berpecah sekiranya Pas terus bergedil untuk melaksanakan hudud, namun mereka akhirnya dilihat akur dengan kehendak parti.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Kha­lid Samad melahirkan rasa syu­kur dengan perkembangan di Kelantan walaupun sebelum ini beria-ia cuba memujuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam tanpa ragu-ragu memberitahu akan menyokong rang undang-undang persendirian hudud tersebut yang dijangka dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei ini.

“Saya sebagai anggota Pas akan menyo­kong se­kiranya ia diba­wa ke Dewan Rakyat, ia merupakan satu usaha bagi mendapatkan kelulusan dan persetujuan kerajaan pusat untuk membenarkan kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang hudud berkenaan.

“Oleh kerana ia merupakan satu permintaan untuk kebenaran khas yang tidak melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, ia cuma memerlukan majoriti mudah untuk mendapatkan kelulusan. Namun ia juga memerlukan majoriti mudah untuk menarik balik kelulusan,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, di sini hari ini.

Mengulas mengenai reaksi DAP dan PKR yang secara jelas menentang keputusan itu, Khalid berkata, itu adalah hak Pas untuk berbuat demikian dan tidak sepatutnya menjadikan sebagai isu.

“Kami menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan kerana masing-masing mempunyai alasan sendiri. Terpulang kepada mereka untuk sokong atau tidak, lagi pun selama ini Pas memang tidak pernah mendakwa hudud sebagai sebahagian daripada dasar bersama pakatan pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, terserah kepada DAP dan PKR untuk membuat keputusan dan Pas tidak akan cuba mempengaruhi kedua-dua sekutunya itu. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/puak-anwarinas-akur-kehendak-parti-1.71549#sthash.kCrCNffP.dpuf


Semua seks luar tabii dalam kesalahan liwat

20 Mac 2015 1:40 AM

KOTA BHARU 19 Mac – Perlakuan seks luar tabii seperti lesbian serta bersetubuh dengan mayat dan haiwan tidak digugurkan sebagaimana dihebohkan di laman sosial, sebaliknya masih terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) yang diluluskan pindaannya hari ini.



Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan, hukuman untuk kesalahan perlakuan seks songsang tersebut dima­sukkan dalam senarai kesalahan liwat iaitu kategori sama untuk perlakuan gay.

Katanya, pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu perkara berkaitan perlakuan seks luar tabii dalam enakmen yang dipinda tidak bermaksud bahawa kesalahan seperti lesbian, bersetubuh dengan mayat atau haiwan tidak dikenakan hukuman.

“Kita tidak boleh sebut semua (lesbian, seks dengan mayat dan haiwan), benda itu semua masuk dalam liwat. Gugur perkataan bukan bermaksud tak apa, jangan faham seperti itu.

“Soalnya, hukuman liwat itu kekal (dalam enakmen), bila kekal, hukuman itu meliputi semua (perlakuan seks luar tabii). Gay, lesbian semua itu masuk dalam kesalahan liwat, itu sudah cukup,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu lesbian, seks dengan mayat dan haiwan daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 menyebabkan timbul salah faham di laman sosial apabila orang ramai berpendapat perlakuan songsang tersebut bukan satu ke­salahan dalam hukum hudud.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II berkata, meskipun hudud belum boleh dilaksanakan, pihaknya sudah membuat persiapan rapi berkaitan prosedur pelaksanaan hukuman di bawah undang-undang Islam itu.

“Dalam bengkel anjuran bersama pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita telah kumpulkan para mufti, hakim syarie, pakar perubatan, perundangan, pihak penjara dan polis untuk kita bincang kaedah bagaimana nak laksanakan hukuman.

“Bagaimana merotan, nak potong tangan dan sebagainya, semua sudah sedia namun akan didedahkan kemudian,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kerajaan Pas Kelantan bercadang untuk mewujudkan sebuah galeri di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagi memberikan kefahaman kepada orang ramai bagaimana hukuman hudud dijalankan.

Mengenai isu hudud yang dibawa ke mahkamah oleh Gerakan semalam, Mohd. Amar membe­ritahu, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada mahkamah sebelum melakukan tindakan susulan.

“Kalau ada kes, kita lawan, kita pun ada peguam juga. Saya rasa perkara ini tidak jejaskan usaha Pas Kelantan sebab kita bukan hendak buat hudud besok. Banyak lagi proses perlu kita lalui,” katanya. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/semua-seks-luar-tabii-dalam-kesalahan-liwat-1.71544#sthash.74WlyETS.dpuf

No comments: