Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 11 March 2015

AIR : Maximus jawab tuduhan MB Selangor

Azmin cuba kelirukan rakyat

11 Mac 2015 1:28 AM

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kementerian Tenaga, Tek­no­logi Hijau dan Air menyi­fat­kan Menteri Besar Sela­ngor, Mohamed Azmin Ali cuba mengelirukan rakyat apabila me­nuduh kononnya Kerajaan Pusat melanggar perjanji­an utama berhubung pro­jek penstrukturan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Maximus Ongkili

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebaliknya berkata, pe­nangguhan projek tersebut berpunca da­­­ripada kegagalan kerajaan ne­­geri me­laksanakan tiga syarat permulaan (condition precedent) untuk memastikan per­­janjian yang ditandatangani pada 12 September tahun lalu di an­tara Kerajaan Pusat, kerajaan negeri, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dapat dilaksana­kan.

Beliau berkata, kegagalan pertama adalah Air Selangor masih belum menyelesaikan urusan pindah milik aset air kepada PAAB untuk membolehkan PAAB menyediakan peruntukan berjumlah RM168 bili­on bagi membantu kos pengambilalihan syarikat konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Sya­bas), Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass).

Katanya, kegagalan kedua adalah Air Selangor masih belum me­­nyelesaikan urusan pindah mi­lik aset air syarikat konsesi kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat tersebut oleh PAAB yang berjumlah RM7.65 bilion.

“Yang ketiga, Air Selangor masih belum memuktamadkan senarai aset miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan kepada PASSB mengikut Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006).

“Saya ingin menegaskan bahawa pelanggaran sesuatu perjanjian ha­nya boleh berlaku apabila perjanjian itu sudah dikuatkuasakan. Memandangkan kerajaan negeri masih memerlukan tempoh panjang bagi selesaikan, pihak-pihak kepada perjanjian utama telah setuju lanjutkan tempoh itu sebanyak tiga kali.

“Isu-isu tersebut se­patutnya diselesaikan se­­belum 11 November 2014 tetapi Selangor masih gagal selesaikan sehingga tempoh lanjutan ketiga pada 9 Mac (semalam). Jadi bola itu berada di gelanggang anda Menteri Besar Se­langor, bukan di gelanggang kami,” katanya ketika menjawab soalan Mohamed Azmin (PKR-Gombak) berhubung komitmen Pusat untuk menyelesaikan masalah air di ketiga-tiga negeri dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Maximus berkata, Kerajaan Pu­­sat bekerja keras memastikan pen­strukturan semula bekalan air dapat dilaksanakan melalui 32 perte­muan dengan kerajaan negeri selain bersetuju menandatangani beberapa perjanjian termasuk melibatkan syarikat konsesi.

Jelasnya, persetujuan juga dibe­rikan untuk kerajaan negeri me­ngambil alih perkhidmatan bekalan air daripada Syabas, PSNB, Abass dan Syarikat Pengeluaran Air Su­ngai Selangor Sdn. Bhd. (Splash).

“Malah Kerajaan Persekutuan melalui PAAB juga menyediakan peruntukan sejumlah RM2 bilion bagi membantu kerajaan negeri mengambil alih ekuiti syarikat kon­sesi tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Maximus berkata, gangguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya pulih pada 2017 dijangka berlarutan berikutan beberapa tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor yang menyebabkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihannya mengalami kelewatan.

“Saya dimaklumkan bahawa kelewatan ini berlaku kerana ke­rajaan negeri telah mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempat­an menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan semula di­muktamad­kan,” tegasnya.

Tambahnya, dari segi ekonomi, gangguan bekalan air yang berterusan menyebabkan proses pengeluaran permit kepada kira-kira 500 syarikat luar negara yang mahu melabur di Selangor terpaksa ditangguhkan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/maximus-jawab-tuduhan-mb-selangor-1.68157#sthash.HLsQe05o.dpuf

No comments: