Pakatan pembangkang bakal berkecai
MAISARAH SHEIKH RAHIM | 26 Mac 2015 2:13 AM
KUALA LUMPUR 25 Mac - Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap amat melampau sekali gus memberi isyarat hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai.
Harun Din
Perkara itu disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut menyelar tindakan DAP menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhianat kerana ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.
“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu perbaiki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan berpecah.
“Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini, tidak fahamkah DAP bahawa Presiden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan Presiden nak berhubung dengan siapa?
“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
DAP semalam mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai pemimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhianat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian berkenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.
Dalam pada itu, tokoh ulama berpengaruh itu berkata, Pas sudah berkali-kali menyatakan kepada DAP bahawa jika mereka merasakan tidak perlu lagi kepada pakatan, maka parti itu dipersilakan keluar daripada gabungan kerjasama antara mereka. Menurut beliau, DAP perlu membuat keputusan sebegitu tanpa lagi berdolak-dalik mencari pelbagai alasan dengan menjadikan isu hudud sebagai modal pekikan mereka.
Sedangkan Pas, katanya, menganggap pakatan masih lagi berguna dan boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan sebaliknya.
“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Haron berkata, DAP diminta merujuk semula keputusan pakatan pembangkang dalam soal hudud iaitu ketiga-tiga parti bersetuju dalam tidak bersetuju tentang agenda perjuangan Pas tersebut.
“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud tetapi janganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-dianggap-putus-dengan-pas-8211-haron-din-1.73777#sthash.Z89cnSEV.dpuf
No comments:
Post a Comment