MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 30 Mac 2015 1:03 AM
Pemain Malaysia, Wan Amirzafran Wan Nadris (dua dari kanan) berjaya melepasi halangan pemain Macau dalam perlawanan kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC di Shah Alam, Selangor semalam. Malaysia menang 2-0. utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
SHAH ALAM – Seperti diramalkan, pasukan bawah 22 tahun negara berjaya mencapai kemenangan pertama mereka apabila menundukkan Macau 2-0 dalam perlawanan kedua pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC, Kumpulan I di Stadium Shah Alam semalam, tetapi persembahan keseluruhan mereka mungkin hanya layak untuk mendapat satu bintang sahaja daripada penarafan lima.
Jaringan pertama skuad negara diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-11 yang disempurnakan oleh Syahrul Azwari Ibrahim dan gol kedua disumbangkan pemain pertahanan Wan Amirzafran Wan Nadris pada minit ke-67 ke atas lawan yang terdiri rata-rata pelajar unversiti dan sekolah.
Bagaimanapun, tiga mata yang diraih semalam membolehkan pasukan negara terus bernyawa dalam pusingan kelayakan ini, namun kemenangan tipis yang diraih ke atas Macau menyukarkan skuad Razip Ismail itu untuk layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan selaku dua pasukan terbaik, apatah lagi akan bertemu Jepun dalam perlawanan terakhir mereka esok.
Segalanya tampak tidak menjadi buat skuad negara, yang dilihat masih berada dalam landasan sama ketika kalah 1-2 di tangan Vietnam, dengan barisan serangan sukar memecahkan kekentalan dan disiplin pertahanan Macau yang lebih selesa berkampung di kawasan sendiri.
Nasib menyebelahi pasukan negara pada minit ke-10 apabila Syahrul dibentes oleh Raposo De Matos Alexandre dalam kawasan gol yang menyebabkan pengadil dari India, Rowan Arumughan terpaksa memberikan sepakan penalti kepada Harimau Muda yang disempurnakan sendiri oleh penyerang itu untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Kenny Pallraj berpeluang menambah jaringan tujuh minit kemudian apabila melepaskan sepakan padu dari jarak 25 meter tetapi tiang menjadi penghalang selain langkah susulan Mohd. Farhan Roslan serong ke sebelah kiri.
Pada babak kedua, Ridzuan Abdunloh Pula berjaya menewaskan penjaga gol Ho Man Fai dua minit selepas babak kedua bermula tetapi pengadil tidak mengesahkan jaringan berkenaan kerana mendakwa Man Fai telah dikasari oleh pemain negara.
Akhirnya, keresahan pemain dan penyokong negara hilang seketika apabila Amirzafran melonjak tinggi pada situasi sepakan sudut pada minit ke-67 bagi memastikan tiga mata dalam jangkauan skuad negara.
Namun, Macau tetap berusaha untuk bangkit dan mereka hampir mengejutkan kira-kira 1,000 penyokong negara apabila Pang Chi Fang hampir berjaya merapatkan jurang pada minit ke-86, mujur penjaga gol Mohd. Farhan Abu Bakar cemerlang menampan percubaan ketua pasukan itu.
Dalam satu lagi perlawanan, Jepun meneruskan rentak cemerlang selaku pasukan pilihan selepas menang 2-0 ke atas Vietnam dalam aksi di sebelah malam di Stadium Shah Alam.
Kedua-dua jaringan dihasilkan Shoya Nakajima pada minit ke-43 dan 90 sekali gus mengesahkan Jepun ke pusingan akhir di Qatar, walau apa pun yang berlaku dalam pertemuan dengan Malaysia.
Jaringan pertama Nakajima terhasil melalui gerakan bersama Takumi Minamino yang mengelirukan tiga pertahanan Vietnam selain kesilapan penjaga gol, Nguyen Hoai Anh yang menerpa terlalu awal percubaan Nakajima.
Ketika Vietnam keletihan akibat mencari jaringan penyamaan, Nakajima menghukum kealpaan pertahanan lawan pada masa kecederaan apabila melepaskan rembatan lencong menarik yang gagal dijangkau Hoai Anh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/menang-tetapi-prestasi-mengecewakan-1.75153#sthash.qjwoKQKr.dpuf
No comments:
Post a Comment