Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 23 July 2014

Sukan Komanwel XX - Glasgow sudah bersedia, atlet teruja


Pengurus skuad bola sepak Scotland, Gordon Strachan (kanan) bergaya untuk jurugambar ketika dia membawa baton Sukan Komanwel di trek Stadium Hampden Park di Glasgow semalam. - AFP

GLASGOW - Beribu-ribu atlet dan pegawai telah tiba di Glasgow dalam suasana keterujaan untuk menyertai upacara pembukaan dan perasmian Sukan Komanwel XX di Celtic Park hari ini.

Kelmarin sahaja lebih 1,000 atlet dari 25 negara tiba di Lapangan Terbang Glasgow untuk menyertai Sukan Komanwel termasuk dari Bangladesh, New Zealand, India dan Singapura.

Pemain bag pipe menyambut tetamu dengan tradisi orang Scotland, memastikan mereka berasa dialu-alukan sebelum menaiki kenderaan ke Perkampungan Atlet.

Secara keseluruhannya kira-kira 6,500 atlet dan pegawai kini mengisi rumah-rumah di Perkampungan Atlet di East End di sini sehinggalah tamat temasya selama 11 hari ini.

Setiap kontinjen diberikan majlis selamat datang ke perkampungan itu.

Majlis itu dihoskan oleh nama-nama besar dalam sukan yang termasuk legenda ragbi, Gavin Hastings, jaguh Olimpik paling berjaya dari Scotland, Chris Hoy dan gimnas Scotland pertama menang emas iaitu Steve Frew.


BEBERAPA atlet olahraga menjalani latihan di Stadium Hampden Park di Glasgow semalam sebagai persediaan terakhir untuk bersaing dalam Sukan Komanwel yang akan dirasmikan hari ini. - AFP

Ketua Perkampungan, Tony Sainsbury berkata: "Suasana di perkampungan ini sekarang sungguh baik dengan beribu-ribu atlet menyesuaikan diri dan tidak sabar untuk beraksi dalam acara masing-masing. Mereka terutamanya seronok kerana terdapat begitu banyak jenis makanan yang kami sediakan di dewan makan dan kafe-kafe di perkampungan ini."

Hari ini kesemua kontinjen akan menyertai 2,000 anggota yang membuat persembahan untuk Upacara Pembukaan di hadapan 40,000 penonton di Celtic Park. Selain itu, upacara itu juga berkemungkinan akan ditonton oleh lebih 1.5 bilion penonton dari rumah masing-masing di seluruh dunia.

Pihak tuan rumah menjanjikan majlis pembukaan yang spektakular dan penuh dengan kejutan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140723/su_01/Glasgow-sudah-bersedia-atlet-teruja#ixzz38GkUY6q3  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Majistret berang, dua tertuduh kes ceroboh DUN Pulau Pinang tidak hadir


JAHABERDEEN Mohamed Yunoos (kiri) menyatakan sesuatu kepada Musa Sheikh Fadzir (dua dari kanan) sambil diperhatikan beberapa tertuduh kes pencerobohan Dewan Undangan Negeri di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din

PULAU PINANG 22 Julai - Ketidakhadiran dua daripada 15 tertuduh yang menghadapi tuduhan menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Mei lalu di Mahkamah Majistret di sini menimbulkan kemarahan seorang majistret yang mendengar sebutan kes itu hari ini.

Dalam prosiding tersebut, Majistret Nurul Rashidah Md. Akit diberitahu, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin, 37, didakwa berada di Jakarta, Indonesia atas urusan peribadi sejak semalam manakala Jasmin Noordin, 40, menjalani pembedahan tulang belakang.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib yang mengendalikan pendakwaan kes itu kemudian memohon agar waran tangkap dikeluarkan kepada Mohd. Rizuad kerana gagal hadir tanpa alasan yang kukuh.

Menurutnya, Mohd. Rizuad sepatutnya memberi keutamaan kepada kes mahkamah berbanding urusan peribadi selain alasan yang diberikan penjaminnya bercanggah dengan surat yang dikeluarkan sendiri oleh tertuduh keempat kes itu.

Nurul Rashidah kemudian menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan Jasmin melalui penjaminnya, namun memberi amaran keras kepada Mohd. Rizuad agar hadir pada prosiding akan datang.

Selain Mohd. Rizuad dan Jasmin, tertuduh lain iaitu Hisham Ahmad Sabri, 43, Afriz Mohd. Noor, 36, Rosesarwandi Saad @ Yaacob, 33, Hisham Abdul Hamid, 38, Mohd. Nashrol Hisham Abdullah, 38, dan Azmeal Abu Bakar, 42, hadir ke mahkamah.

Yang turut hadir, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof, 34, Mohamad Hilmie Ibrahim, 37, Nordin Wahab, 41, Mohamed Ghani Abd. Jiman, 48, Wan Abidin Zain, 51, Mohamed Ibrahim A. Siahoo, 31, dan Datuk Mohd. Ridzwan Bakar, 54.

Kesemua mereka yang kebanyakannya ahli Pergerakan Pemuda UMNO negeri bersama-sama seorang yang masih bebas didakwa menceroboh DUN pada kira-kira pukul 1.30 petang, 21 Mei lalu dengan niat hendak menggusarkan Setiausaha Dewan, M. Maheswari.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pada prosiding 19 Jun lalu, kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mereka diwakili peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala Ramkarpal Singh hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Pembangkang.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140723/ma_04/Majistret-berang-dua-tertuduh-kes-ceroboh-DUN-Pulau-Pinang-tidak-hadir#ixzz38Gj0a2qW  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Saya masih lagi MB Selangor - Khalid



SHAH ALAM 22 Julai - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan tetap meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor meskipun parti yang diwakilinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam telah mencalonkan Presiden parti itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, Abdul Khalid menegaskan, beliau masih lagi Menteri Besar Selangor seperti diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 sehingga proses penggantian jawatan itu dilakukan.

Ini kerana, katanya, pelantikan atau penggantian jawatan Menteri Besar tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana di bawah peruntukan undang-undang tersebut menetapkan tatacara serta proses-proses khusus yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

"Saya menghormati keputusan politik PKR yang mencalonkan Presiden parti, Datin Seri (Dr.) Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Namun begitu, saya berpegang teguh kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang menetapkan tatacara khusus bagi pelantikan atau penggantian Menteri Besar.

"Saya percaya, mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.

"Maka, sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas saya sebagai Menteri Besar Selangor dengan penuh tanggungjawab seperti diamanahkan rakyat yang telah memilih saya melalui proses pemilihan yang sah," katanya.

Semalam, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Wan Azizah sebagai calon bagi menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Menurut Anwar, pencalonan itu dibuat atas kapasiti Wan Azizah yang dikatakan mampu menyelesaikan banyak perkara tertangguh di Selangor selain menyatakan perubahan jawatan Menteri Besar telah dipersetujui oleh sekutu mereka iaitu Pas dan DAP.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan, Abdul Khalid menyifatkan tekanan yang dihadapinya berhubung kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor sebagai asam garam dalam politik.

Beliau yang menyifatkan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor sesuatu yang 'menyeronokkan' berkata, penyertaannya dalam PKR kerana mahukan reformasi dan bekerja untuk rakyat.

Abdul Khalid turut membayangkan hasratnya untuk berkhidmat sehingga berakhir penggal ini sebelum meluangkan masa bersama keluarga.

"Boleh jadi tiba masanya untuk dua atau tiga tahun akan datang saya dapat berehat bersama cucu-cucu," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat di Kuang hari ini.

Abdul Khalid turut mengulangi pendiriannya akan menjalankan tanggungjawab untuk menerajui pentadbiran kerajaan Selangor sehingga tidak lagi diminta berbuat demikian.

"Terpulang kepada rakyat untuk menentukan. Kalau rakyat setuju (dengan saya) maknanya tidak gantilah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140723/po_01/Saya-masih-lagi-MB-Selangor---Khalid#ixzz38GhMjSyD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 - Disahkan terkena peluru berpandu


Pakar percaya lubang-lubang kecil dan satu lubang besar di tengah pada serpihan pesawat MH17 yang disiarkan akhbar Financial Times ini adalah kesan tembakan peluru berpandu

LONDON 22 Julai - Pakar ketenteraan mengesahkan bahawa pesawat Malaysia Airlines, MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu selepas mengkaji imej serpihan pesawat tersebut.

Akhbar Financial Times memetik analisis pertahanan melaporkan, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengesahkan bahawa pesawat tersebut ditembak jatuh oleh peluru berpandu.

Pengesahan itu dibuat berdasarkan imej serpihan pesawat yang terbakar dan dipenuhi dengan lubang-lubang kecil berserta lubang besar di bahagian tengah.

Dua penganalisis pertahanan dan seorang bekas juruterbang tentera turut bersetuju imej serpihan tersebut yang dipercayai dari bahagian kiri pesawat berkenaan menunjukkan peluru berpandu dilepaskan ke arah kiri dan juga di bahagian depan.

Mereka mendakwa imej lubang besar tersebut disebabkan oleh letupan dari dalam pesawat ketika ia terbang pada ketinggian 10,000 meter di udara.

Penganalisis dari Institut Pengajian Antarabangsa London, Doughlas Barrie berkata, kerosakan pada pesawat tersebut jelas menunjukkan kesan 'letupan peledak berkuasa tinggi'.

"Kesan itu boleh diperoleh daripada penggunaan senjata yang dilancarkan menerusi pelancar peluru berpandu seperti yang dikesan memasuki Ukraine beberapa jam sebelum nahas berlaku," katanya.

Seorang lagi penganalisis, Justin Bronk dari Institut Perkhidmatan Kesatuan Diraja turut menyatakan bahawa MH17 ditembak oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) yang dilepaskan daripada pelancar BUK.

"Kesan lubang yang terdapat pada serpihan MH17 konsisten dengan kesan tembakan SAM. Bagaimanapun, sukar untuk meneliti dan mengenal pasti kesemua paten letupan berdasarkan serpihan yang kecil," ujarnya.

Seorang pesara juruterbang tentera yang enggan dikenali menjelaskan bahawa kerosakan pada MH17 sama seperti kerosakan akibat diserang roket.

Peluru berpandu antipesawat direka untuk meletup berhampiran pesawat, menyebabkan pembentukan serpihan panas yang banyak sekali gus memusnahkan badan pesawat. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140723/dn_04/Disahkan-terkena-peluru-berpandu#ixzz38GfQaAQQ  © Utusan Melayu (M) Bhd 






MH17: Dua persetujuan dipenuhi

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak menerima panggilan daripada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan di pejabatnya di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Dalam perbualan itu, Erdogan turut memberi sokongan kepada Malaysia dan melahirkan rasa simpati dengan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17. - BERNAMA

PUTRAJAYA 22 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan perkembangan terkini persetujuan yang dicapai antara kerajaan Malaysia dengan pemimpin-pemimpin yang berkuasa di kawasan nahas MH17 di timur Ukraine.

Menurutnya, dua daripada tiga perkara yang dipersetujui dengan Alexander Borodai yang berkuasa di kawasan nahas MH17 sudah dipenuhi.

"Kereta api yang membawa mayat mangsa MH17 sudah sampai di Kharkhiv, usaha akan dilakukan untuk memindahkan mereka ke Amsterdam, Belanda.

"Selain itu, pasukan Malaysia juga mengambil alih kotak hitam yang kelihatan dalam keadaan baik. Kotak hitam ini akan dijaga oleh Malaysia sementara sebuah pasukan antarabangsa ditubuhkan secara rasmi.

"Selepas itu, kita akan memindahkan kotak-kotak hitam kepada pasukan antarabangsa untuk tujuan siasatan dan analisis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib dalam sidang akhbar pada awal pagi mengumumkan persetujuan Borodai berhubung tiga perkara membabitkan pemulangan mayat-mayat tragedi MH17, pemindahan dua kotak hitam kepada pasukan Malaysia serta kemasukan tanpa sekatan ke kawasan nahas untuk melakukan siasatan.

Najib berkata, persetujuan yang dicapai dengan Borodai telah dihormati setakat ini dan beliau berharap kerjasama yang terbentuk akan berterusan untuk membolehkan penyiasat memasuki kawasan nahas tanpa sebarang sekatan.

"Saya berasa lega selepas berjaya mengatasi kebuntuan yang berlaku, ia membolehkan kita bergerak ke depan," katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan risiko tertentu bagi mencapai persetujuan dengan Borodai, namun pihaknya terpanggil untuk mencuba pelbagai pendekatan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku demi membolehkan mayat tragedi dan kotak hitam dipulangkan.

"Ini merupakan pendekatan luar biasa yang diambil dalam keadaan luar biasa.

"Selepas menemui ahli-ahli keluarga, saya berasa terpanggil untuk bertindak bagi pihak mereka," katanya.

Najib pada masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong pelbagai usaha yang dilakukan.

"Atas usaha mereka, kita semakin hampir dengan apa yang berlaku ke atas pesawat ini selain menunaikan tanggungjawab terhadap mereka yang sudah kehilangan nyawa," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140723/dn_03/MH17-Dua-persetujuan-dipenuhi#ixzz38GdOxvy0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



The Sense, Credibility and Accountability: Antara PUAK pemisah di Ukraine dengan PUAK pemisah...

The Sense, Credibility and Accountability: Antara PUAK pemisah di Ukraine dengan PUAK pemisah...: KLIK IMEJ UNTUK VIDEO ASSALAMUALAIKUM dan SALAM SEJAHTERA.. TIDAK ada sesiapa pun WAJAR meNAFIkan keJAYAan DS Najib menDAPATkan s...

Tuesday, 22 July 2014

Nahas MH17: Harapan tinggi bawa pulang mayat mangsa

2014/07/22 - 03:17:56 AM


Waris keluarga Ariza Ghazalee mengambil inisiatif mengenang 298 penumpang dan anak kapal itu dengan memakai reben berwarna hitam pada pakaian masing-masing di Hotel Marriot, Putrajaya, semalam. - Foto SAIRIEN NAFIS

Kuala Lumpur: Keluarga mangsa pesawat MH17 menaruh harapan tinggi terhadap usaha Datuk Seri Najib Razak untuk membawa balik mayat rakyat Malaysia yang terkorban di Ukraine, sebelum Aidilfitri ini. 

Malah, kenyataan Perdana Menteri mengenai usaha itu melegakan perasaan keluarga yang mengharapkan mayat dapat disempurnakan di Malaysia. 

“Kami sekeluarga masih bersedih dan berharap Perdana Menteri dapat menunaikan hasrat untuk membawa pulang jenazah secepat mungkin. 

“Kami juga tidak putus-putus berdoa dan mengadakan majlis tahlil setiap malam bagi mendoakan kesejahteraan arwah,” kata Maznah Johan, 54, ibu saudara kru MH17, Muhamad Firdaus Abdul Rahim. 

Maznah berkata, Muhamad Firdaus yang lebih dikenali sebagai Jaja di kalangan ahli keluarga, disifatkan sebagai seorang anak yang baik. 

Keluarga sedia terima 

Sementara itu, Aslinda Mohd Embran, 38, ibu saudara kru MH17, Azrina Yakob, turut menyatakan bahawa mereka sekeluarga bersedia menerima mayat Azrina dalam apa juga bentuk asalkan jenazah dapat disempurnakan di sini. 

“Kami sekeluarga reda dengan kejadian berkenaan dan berharap supaya jenazah Azrina dapat dibawa pulang ke Malaysia sebelum Aidilfitri ini. 

Mahu tatap jenazah 

“Anak arwah, Arissa Raisha, 3, dan Aqil, 6, juga kelihatan baik-baik saja dan kini berada di Kota Bharu bersama bapa mereka, Muhamad Rafliz, 43,” katanya yang sempat menziarahi mereka di Kota Bharu, baru-baru ini. 

Adik penumpang MH17 Ariza Gazalee, Ruzaiman Gazalee, 43, amat berharap mereka sekeluarga dapat menatap jenazah enam beranak yang terbunuh dalam nahas berkenaan. 

“Mangsa merancang untuk beraya di kampung (Petra Jaya, Kuching, Sarawak) tahun ini, namun hajat itu nampaknya tidak kesampaian apabila mereka sekeluarga turut terbabit dalam nahas pesawat berkenaan,” katanya.


Nahas MH17: ‘Jet Ukraine dekat MH17’

2014/07/22 - 03:30:34 AM



Gambar fail pesawat pejuang SU-25 Ukraine yang didakwa terbang berhampiran pesawat MH17 sejurus sebelum terhempas.Moscow: Russia semalam menyatakan rekod penerbangannya menunjukkan sebuah pesawat pejuang Ukraine terbang hampir dengan pesawat MH17 sejurus sebelum ia terhempas dan Kiev pada masa itu mengaktifkan stesen radar untuk sistem peluru berpandu.

Moscow juga menafikan ia membekalkan pemisah Ukraine sistem peluru berpandu atau senjata lain, ketika ia berusaha menangkis dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa ia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia dengan 298 penumpang dan anak kapal itu. 

Berbekalkan beberapa carta dan imej, dua pegawai tinggi tentera Russia membentangkan kes terhadap Ukraine pada satu taklimat khas di sini. 

Lef Jen Andrei Kartopolov berkata, pesawat Malaysia itu tersasar ke utara dari laluan asal manakala pesawat pejuang SU-25 Ukraine yang biasanya dilengkapi peluru berpandu udara ke udara, dirakam berada hampir dengan pesawat Boeing 777 itu.

Beliau mendakwa, pesawat Malaysia itu ‘tersasar dari laluannya ke utara. Jarak tersasar maksimum ialah 14 kilometer.

Jarak jet, MH17 tiga hingga lima kilometer

“Peningkatan ketinggian direkodkan bagi pesawat tentera Ukraine. Jaraknya dari Boeing Malaysia ialah tiga hingga lima kilometer. 
“Apakah matlamat sebuah pesawat tentera terbang di laluan pesawat awam hampir pada masa sama dan pada ketinggian sama? Kami ingin mendapatkan jawapan kepada persoalan ini,” katanya.

Kartopolov juga berkata, Kementerian Pertahanan Russia mengesan kegiatan luar biasa stesen radar yang digunakan untuk mengendalikan sistem peluru berpandu pada hari tragedi itu. 

“Dari 17 Julai (Khamis) tahap operasi stesen radar Ukraine meningkat kepada maksimum,” katanya.

Kartopolov berkata, tujuh stesen radar beroperasi hampir dengan kawasan tragedi pada Selasa, lapan pada Rabu dan sembilan pada hari nahas iaitu Khamis.

Sambil merujuk data, beliau berkata, selepas nahas itu hanya empat stesen radar beroperasi pada Jumaat dan hanya dua pada Sabtu.

Kartopolov juga menegaskan Russia tidak membekalkan puak pemisah Ukraine dengan sistem peluru berpandu Buk atau senjata lain. AFP.


Nahas MH17: Najib, Borodai berunding

2014/07/22 - 03:34:24 AM


Najib menghubungi Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte mengenai perkembangan terkini tragedi MH17, malam tadi. - Foto BERNAMAPutrajaya: Kumpulan yang menguasai kawasan pesawat MH17 jatuh ditembak, bersetuju menyerahkan dua kotak hitam kepada Malaysia selain membenarkan mayat mangsa dibawa keluar daripada kawasan berkenaan.

Selain itu, pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi jaminan akses selamat bagi memulakan siasatan penuh di kawasan kejadian. 

Persetujuan itu dicapai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap sendiri dengan ketua kumpulan berkenaan, Alexander Borodai malam tadi. 

Najib berkata, sejak beberapa hari lalu kerajaan berusahadi belakang tabir untuk menghubungi kumpulan yang menguasai kawasan kejadian itu.

“Hubungan kini dicapai. Dalam keadaan sukar dan berubah-ubah, kami berbincang masalah yang membelenggu kita semua; mendapatkan bukti penting daripada pesawat, melancarkan penyiasatan bebas, dan mendapatkan semula mayat mangsa.

Capai persetujuan

“Pada malam ini (tadi), kami mencapai persetujuan mengenai perkara itu,” katanya pada sidang akhbar di Seri Perdana malam tadi. Najib berkata, melalui perjanjian itu semua 282 mayat yang kini berada di Torez akan dibawa menggunakan kereta api ke Kharkev sebelum diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat pengangkut C130 Hercules milik Belanda.

“Kereta api membawa mayat penumpang MH17 akan diiringi enam anggota pasukan penyelamat Malaysia sebelum diterbangkan ke Amsterdam.

Mayat rakyat Malaysia kemudian akan dibawa pulang selepas kerja forensik selesai.

“Dua kotak hitam pesawat MH17 akan diserahkan kepada pasukan penyelamat Malaysia yang baru tiba di Donetsk pada jam 9 malam waktu Ukraine dengan jaminan keselamatan ke atas pasukan penyiasat antarabangsa turut dibenarkan masuk ke lokasi tragedi, ” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiga persetujuan itu sudah dicapai, ada beberapa langkah perlu diselesaikan. 

“Usaha diteruskan, ia bergantung kepada hubungan berterusan secara baik. Boradai dan kumpulannya, memberi kerjasama baik, ” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak dapat memberi kerjasama bagi memastikan perjanjian itu dihormati, mayat rakyat Malaysia dikembalikan, kotak hitam diserahkan dan pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi akses penuh ke kawasan kejadian.

“Kita perlu mengetahui apa yang menyebabkan pesawat MH17 terhempas dan siapa yang bertanggung jawab agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya.


Nahas MH17: Apakah dosa mereka?

2014/07/22 - 03:21:16 AM


Nahas MH17: Apakah dosa mereka?Kuala Lumpur: Kira-kira 80 bayi, kanak-kanak dan remaja adalah antara 298 penumpang yang terbunuh dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Khamis lalu.

Daripada 80 mangsa kanak-kanak dan remaja itu, lapan adalah warga Malaysia. 

Kebanyakan mangsa adalah mereka yang mahu bercuti atau pulang daripada percutian bersama keluarga. Ada antara mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air untuk menyambut Aidilfitri. 

Antara rakyat Malaysia yang terkorban, termasuk empat beradik dari satu keluarga, iaitu Muhammad Afif, 19; Muhammad Afzal, 17; Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13. Keempat-empatnya adalah anak kepada pasangan Tambi Jiee, 49, dan Ariza Ghazali, 47. 

Tambi, berasal daripada Kuching dilaporkan mahu memulakan kehidupan baharu selepas beliau diarahkan kembali bertugas di Kuala Lumpur selepas tiga tahun menetap di Kazakhstan.


MH17: Kejayaan Najib capai tiga persetujuan penting dipuji New York Times

2014/07/22 - 07:41:56 AM


KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Malaysia sudah mencapai tiga persetujuan penting dengan pemimpin yang menguasai  wilayah lokasi nahas berhubung pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine dicapai melebihi kemampuan kuasa besar yang gagal melaksanakannya. 

Najib dalam sidang media yang disiarkan secara langsung awal pagi tadi berkata, perjanjian dengan Ketua Pemisah Ukraine, Alexander Borodai, membabitkan pengurusan mayat mangsa-mangsa MH17 untuk dibawa dengan kereta api ke Kharkiv, bandar yang dikuasai kerajaan Ukraine.Enam wakil Malaysia akan memantau pemindahan mayat-mayat terbabit di Kharkiv untuk diserahkan kepada jagaan Belanda. 

Menerusi perjanjian itu, mayat dan wakil Malaysia akan dibawa menaiki pesawat Hercules C-130 ke Belanda untuk proses mengenalpasti indentiti dan pengasingan mayat. - New York Times


Pemisah Ukraine serah dua kotak hitam MH17 kepada Malaysia

Pemisah Ukraine serah dua kotak hitam MH17 kepada Malaysia
2014/07/22 - 06:30:33 AM


Pemisah Ukraine serah dua kotak hitam MH17 kepada Malaysia. - ABC NewsTERKINI: Pemisah Ukraine serahkan dua kotak hitam pesawat MH17 kepada Malaysia sebentar tadi. 

Gencatan senjata di zon 10 kilometer sekeliling itu bagi membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa masuk dengan selamat ke lokasi nahas MH17 di timur Ukraine. 

Sementara itu, wartawan BH, Hardi Effendi Yaacob yang kini berada di Ukraine, melaporkan pemberontak Donetsk People's Republic menyerahkan dua kotak hitam pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Grabovo, Donetsk kepada wakil Kerajaan Malaysia kira-kira.jam 1 pagi tadi (6 pagi waktu Malaysia). 

Ia sekali gus mengakhiri misteri kehilangan dua kotak hitam berkenaan dari lokasi kejadian yang sebelum ini dilaporkan dihantar ke Moscow, Russia oleh kumpulan pemisah terbabit.

Penyerahan kotak hitam itu, yang mempunyai data penerbangan MH17 dipercayai dapat membantu proses siasatan punca sebenar nahas pesawat berkenaan ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, Khamis lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Ia diserahkan sendiri oleh ketua pemberontak, Alexander Borodai kepada wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Delegasi Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun tidak.mengulas lanjut. 
Bagaimanapun, sumber memberitahu BH, kedua-dua kotak itu didapati berada dalam keadaan baik walaupun pada bahagian luarnya mengalami sedikit kerosakan.

"Tumpuan penyiasatan untuk meneliti maklumat MH17 dari mula berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol, Amsterdam sehingga ke titik koordinat terakhirnya kehilangan komunikasi dengan menara kawalan (ATC) sebelum.dilaporkan ditemui terhempas dan terbakar.

"Kita juga berharap ia mengandungi rakaman apa yang berlaku dalam kokpit sebelum kejadian," katanya.

PALESTIN ; Warkah dari Hospital Shifa

Sahabat tercinta, Kejadian malam tadi (20 Julai) sangat melampau. Serangan darat di Gaza menyebabkan ramai mangsa yang cedera, parah, berlumuran darah, nazak, kesejukan, semua peringkat umur, tetapi kesemuanya orang awam yang tak bersalah.

Darah bayi merata-rata

Ramai wira di dalam ambulans dan semua hospital seluruh Gaza bertugas syif 12 hingga 24 jam, wajah-wajah pucat akibat kelelahan dan timbunan tugas yang menggila (tanpa bayaran di Hospital Shifa sejak empat bulan lalu) mereka merawat, ambil peduli, cuba memahami huru-hara yang tidak difahami tubuh manusia yang berjalan dan tidak mampu berjalan, yang bernafas dan tidak bernafas, yang berdarah dan yang tidak berdarah. Ya, itu manusia!

Sekarang, mereka diperlakukan seperti binatang oleh tentera paling tidak bermoral di dunia.


MADS Gilbert sedang merawat satu daripada pesakit di Hospital Shifa. FOTO AP

Hormat saya tiada habisnya bagi mereka yang cedera kerana walaupun dalam kesakitan dan kepedihan semangat mereka tidak pudar. Kekaguman saya kepada petugas dan sukarelawan tidak putus. Warga Palestin banyak beri saya kekuatan, walaupun saya terdetik ingin menjerit, peluk erat tubuh mereka, menangis, mencium kulit dan rambut anak yang berlumuran darah itu, tetapi kami tidak mampu, begitu juga mereka.

Merobek nyawa yang tak bersalah

Debu kelabu menutupi wajah. Tidak hanya puluhan tubuh yang cacat dan berdarah, kami masih memiliki danau darah di lantai bilik kecemasan, menitis merata-rata. Petugas pembersihan juga ada, menyapu darah, tisu-tisu badan, rambut, pakaian, semuanya dari si mati. Tugasan seperti itu diulangi setiap hari.

Lebih 100 kes kami terima di Hospital Shifa setiap 24 jam, sesuai jika kelengkapannya ada. Tapi di sini, hampir tiada apa-apa. Elektrik, air, ubat-ubatan atau mungkin meja, peralatan hospital, semuanya berkarat seolah-olah baru diambil dari muzium. Tetapi petugas di sini langsung tidak mengeluh. Mereka bertugas umpama pahlawan, terus maju dan sangat berjiwa besar.

Saat saya menulis warkah ini, saya seorang diri di katil saya, air mata saya bercucuran, air mata dari kepedihan dan kesedihan, kemarahan dan ketakutan. Ini tidak sepatutnya terjadi!

Dari wartawan hingga ke bayi kecil… tiada yang selamat.

Dan sekarang, okestra mesin perang Israel mula menyanyikan simfoninya yang mengerikan. Baru-baru ini, meriam bot-bot tentera laut Israel menyusuri pantai Gaza. F16 yang menderu, drone yang memuakkan, serta helikopter Apache yang bingit direka dan dibiayai Amerika Syarikat.

Encik Obama, apakah anda punyai hati?

Saya menjemput anda untuk meluangkan masa satu malam. Hanya satu malam bersama kami di Hospital Shifa. Mungkin anda boleh menyamar sebagai petugas kebersihan.

Saya yakin, 100 peratus...tindakan sedemikian akan mengubah sejarah.

Mads Gilbert MD PhD
Profesor Klinikal dan Ketua Rawatan Kecemasan Hospital Universiti North Norway.

MH17 - Capai tiga persetujuan

Oleh Hairulazim Mahmud dan Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tiga persetujuan dicapai dalam rundingan hari ini dengan ketua yang bertaggungjawab di lokasi nahas, Alexander Borodai.

Beliau berkata, sebanyak 282 mayat mangsa nahas pesawat MH17 yang ketika ini di Torez akan dibawa ke Kharkiv menggunakan kereta api sebelum diserahkan kepada wakil dari Belanda. 

Menurutnya, enam anggota pasukan Malaysia akan mengiringi kereta api berkenaan sebelum diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat C130 Hercules Belanda.

"Mayat mangsa warga negara Malaysia pula akan diterbangkan ke tanah air selepas itu apabila selesai siasatan forensik dilakukan," katanya pada sidang media khas di Seri Perdana di sini, awal pagi ini.


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan perkembangan terbaru mengenai nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada sidang media di Seri Perdana. FOTO Fariz Iswadi Ismail.

Najib berkata, selain itu, dua kotak hitam akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk yang akan bertanggungjawab ke atas bahan bukti itu.

Katanya, pasukan penyiasat antarabangsa dibenarkan memasuki lokasi nahas dengan jaminan keselamatan bagi memulakan siasatan sepenuhnya tragedi berkenaan. 

"Saya tekankan di sini, walaupun kita sudah mencapai persetujuan namun banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk melengkapkan operasi.

"Saya menyeru semua pihak meneruskan kerjasama bagi memastikan perjanjian ini dihormati dan Borodai setakat ini memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

Najib berkata, dengan bermulanya siasatan ini, semua pihak akan dapat mengetahui punca pesawat itu terhempas dan siapa yang bertanggungjawab.

"Dengan itu, mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Langkah Kajang beri manfaat kepada Presiden PKR?


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 21 Julai - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diyakini tidak akan mengambil tindakan terhadap Rafizi Ramli meskipun Pengarah Strategi PKR berkenaan menyebabkan perpecahan besar dalam parti tersebut ekoran kempen Langkah Kajang yang digerakkannya.

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, perkara itu memandangkan Langkah Kajang tersebut juga memberi manfaat politik yang besar kepada Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, Langkah Kajang meskipun mendapat kritikan meluas daripada kalangan ahli akar umbi PKR sendiri, namun jelas membawa keuntungan kepada Wan Azizah ketika ini terutama dalam kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.

"Langkah Kajang ini juga mencetuskan perbalahan dan pergaduhan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Wan Azizah untuk merampas kerusi Menteri Besar.

"Sebab itu saya menyifatkan Wan Azizah dan Anwar ketika ini bermain politik yang sangat licik dan Langkah Kajang atau lebih tepatnya Rafizi digunakan sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-cita politik rakus mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, pemimpin dan ahli akar umbi PKR mendesak Rafizi meletak jawatan atau dipecat daripada parti kerana Langkah Kajang yang digerakkan beliau bersama Abdul Rahim Ghouse disifatkan pengkhianatan terhadap parti kerana menyaksikan perbalahan terutama antara kem Abdul Khalid dan Azmin.

Dalam pada itu, Zamil yang juga bekas Ketua Pemuda PKR Kedah berkata, rakyat Selangor perlu membuka mata dengan permainan licik Wan Azizah dan Anwar serta menolak hasrat kedua-dua pemimpin berkenaan menguasai kerusi Menteri Besar negeri tersebut.

Katanya, Wan Azizah tidak layak menduduki kerusi Menteri Besar itu kerana langsung tidak mempunyai pengalaman memimpin apatah lagi jawatan Presiden PKR yang disandangnya selama ini juga hanya boneka.

"Selepas 2006, Wan Azizah tidak lagi aktif sama ada dalam arena politik negara atau dalam kepimpinan PKR meskipun beliau merupakan Presiden kerana lebih banyak menghabiskan masa menjaga cucu-cucunya.

"Kehadirannya dalam dunia politik hanyalah boneka dan bagi tujuan meneruskan kelangsungan politik Anwar," katanya.



BUKAN PKR AJE... NEGERI SELANGOR PUN KELUARGA ANWAR YANG PUNYA.. TUII


MB: PKR sepakat pilih Wan Azizah

Oleh SHARIFAH AZMAWATI SYED ABDUL AZIZ
pengarang@utusan.com.my

Wan Azizah

KUALA LUMPUR 21 Julai - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencapai kata sepakat untuk memilih Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas kapasiti Wan Azizah yang dikatakan mampu menyelesaikan banyak perkara tertangguh di negeri itu.

"Kita sepakat dengan keputusan awal untuk kemukakan hanya satu nama kepada pimpinan pakatan. Kita telah mencadangkan Datin Seri Wan Azizah dan pemilihan beliau dibuat supaya keadaan di Selangor lebih stabil.

"Tentunya ia mengambil kira untuk bina kesepakatan dalam menyelesaikan isu-isu tertangguh antaranya air, Lebuh Raya Kinrara Damansara (Kidex) dan juga infrastruktur rakyat termasuk soal sampah dan lain-lain," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat Pimpinan PKR di Petaling Jaya di sini awal pagi ini.

Khalid Ibrahim

Anwar dalam pada itu berkata, rakan komponen dalam pakatan pembangkang telah pun mencapai kesepakatan untuk menukar Menteri Besar Selangor.

"Kita akan bentangkan secara rasmi dalam pakatan. Pas sebelum ini sudah setuju tetapi calon masih belum ditentukan.

"Kita akan tentukan dalam mesyuarat pakatan yang akan diadakan pada Rabu ini di Parlimen selepas selesai membahaskan (usul) MH17 dan Gaza," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu perbincangan pelantikan menteri besar baharu masih dibincangkan dengan Abdul Khalid.

Katanya, PKR menghargai khidmat Abdul Khalid sebagai menteri besar namun menegaskan perlu ada tambahan langkah untuk menyelesaikan kegelisahan rakyat terutamanya dalam usaha memperbaiki pentadbiran Selangor.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad dalam kenyataannya ke Utusan Malaysia menjelaskan pihaknya tidak pernah memberi persetujuan kepada sekutunya untuk menggantikan Abdul Khalid dengan mana-mana pemimpin.

Katanya, setakat ini pihaknya belum membuat ketetapan rasmi atau tidak menerima sebarang maklumat daripada kepimpinan Pas Pusat mengenai persetujuan berkaitan usaha menukar menteri besar.

"Pas sama ada di peringkat kepimpinan Pusat atau negeri tidak pernah menerima maklumat mengenai keputusan PKR.

"Kita juga tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan hanya mengetahui hasrat PKR tersebut menerusi media," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140722/po_02/MB-PKR-sepakat-pilih-Wan-Azizah#ixzz389cFAcAq  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - 'Selecao sudah ketinggalan'



NEYMAR mengalami kecederaan belakang pada Piala Dunia hingga menyebabkan dia terlepas sebahagian aksi Brazil, termasuk ketika pasukan itu dimalukan 7-1 oleh Jerman di separuh akhir.

RIO DE JANEIRO - Bintang penyerang Brazil, Neymar menegaskan, pasukannya sudah ketinggalan di belakang Jerman dan Sepanyol, dan mereka perlu berani untuk mengakui hakikat itu.

"Saya fikir bola sepak Brazil sudah ketinggalan.

"Kami di belakang Jerman dan Sepanyol.

"Kami tergelincir di belakang dan kami perlu menjadi lelaki yang sejati untuk mengakuinya," kata Neymar.

Neymar bagaimanapun menegaskan, mereka sudah berusaha keras untuk menjuarai Piala Dunia tetapi negara lain menunjukkan peningkatan dan mengatasi mereka.

Dalam temu bual eksklusif dengan televisyen Globo semalam, bintang penyerang berusia 22 tahun itu berkata, dia dan pasukannya berhak diberi tujuh daripada 10 markah penuh atas persembahan mereka.

Kempen Brazil berakhir dengan kehancuran bermula dengan kekalahan memalukan 1-7 kepada Jerman di separuh akhir, sebelum diaibkan 0-3 oleh Belanda pada penenetuan tempat ketiga.

"Tiada kesilapan tertentu yang dilakukan oleh Selecao. Saya bukan seorang yang memahami banyak tentang taktik," katanya lagi ketika ditanya posisi yang wajar diperbaiki mereka selepas tamat Piala Dunia.

Dalam dua perlawanan yang memalukan itu, Neymar terpaksa menjadi penonton selepas mengalami keretakan tulang belakang ketika suku akhir menentang Colombia.

Dia dihentak di belakang oleh Juan Zuniga dalam satu 'tindakan yang tiada kena-mengena dengan bola sepak' namun menerima permohonan maaf pemain Colombia itu.

"Saya mempunyai seorang pemimpin yang juga antara seorang jurulatih terbaik pernah dimiliki Brazil.

"Kami sentiasa berlatih. Kami memberikan segalanya," katanya lagi, yang menempak segala kritikan yang dilemparkan kepada skuad Selecao.

Kekalahan memalukan Brazil pada Piala Dunia kali ini turut mendorong kepada peletakan jawatan jurulatihnya, Luis Felipe Scolari sejurus tamat kejohanan.

Neymar enggan menyalahkan Scolari, jurulatih yang turut membawa Brazil dinobat sebagai juara dunia buat kaliu kelima pada 2002.

Namun, dia membayangkan bahawa apa yang berlaku ke atas pasukannya mungkin disebabkan kerana kebanyakan pemain mereka kurang menjalani latihan di negara sendiri berbanding Eropah.

"Anda banyak berlatih, tetapi kadangkala anda berlatih dengan keazaman yang kurang. Itulah yang mungkin terjadi dengan pemain-pemain Brazil," ujar bintang penyerang Barcelona itu lagi.

Neymar juga menegaskan Brazil terpaksa mengakui hakikat bahawa pasukan lain sudah maju meninggalkan negaranya.

Itu bermakna, Brazil tidak akan menerima laluan selesa seperti yang pernah dialami sebelum ini.

Brazil hari ini bersedia untuk melatih bekas jurulatih Dunga untuk menggantikan Scolari bagi bersedia pada kejohanan Selecao berikutnya, Copa America 2015 di Chile.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140722/sl_01/Selecao-sudah-ketinggalan#ixzz389ZwPG00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN - Al-Qassam digeruni Israel


TIGA orang anggota Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas bersiap sedia dengan senjata mereka untuk menghadapi serangan tentera Israel di bandar Deir al-Balah, tengah Gaza. - AFP

GAZA CITY 21 Julai - Kecekapan pejuang Hamas melancarkan taktik perang gerila menggunakan terowong bawah tanah ternyata digeruni tentera Israel yang sukar mengesan pergerakan masuk anggota Briged Izzuddin Al-Qassam ke wilayah dikuasai rejim Zionis.

Al-Qassam, yang merupakan kumpulan sayap Hamas kini menggunakan terowong sebagai senjata utama untuk mengekang serangan bertubi-tubi tentera darat Israel yang mahu menceroboh Gaza, selain turut melancarkan serangan roket ke kawasan wilayah rejim Zionis Israel sejak konflik itu tercetus pada 8 Julai lalu.

Malah laporan laman web Aman Palestin yang memetik kenyataan jurucakap Al-Qassam, Abu Obaida berkata, pihaknya berjaya menculik seorang tentera Israel bernama Shaul Aron dalam pertempuran di Sheijaya, semalam selain membunuh 13 askar Israel dan mencederakan 50 yang lain.


PASUKAN perubatan tentera Israel mengangkat seorang rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan Briged Al-Qassam di Gaza untuk dipindahkan ke sempadan Israel bagi menerima rawatan, semalam. - AFP

Washington Post turut menyifatkan tindakan menculik tentera Israel itu sebagai 'serangan berani' apabila kumpulan pejuang Palestin itu yang memakai pakaian tentera Israel, turut menyelinap dan membunuh dua askar musuh di Gaza.

Kehebatan Al-Qassam itu, sekali gus menunjukkan kemampuan kumpulan pejuang Palestin tersebut memerangi pasukan tentera yang jauh lebih hebat daripada segi peralatan dan teknologi tanpa rasa gerun dan takut.

Portal berita Israel, Al Monitor yang memetik kenyataan tentera Zionis Israel dalam kenyataannya mengakui, terowong digunakan Al-Qassam untuk melancarkan serangan mengejut ke atas musuh sangat rumit dan canggih, selain menjadi laluan membawa masuk askar Israel yang diculik ke Palestin.

Malah jelas kenyataan itu, askar Israel sukar mengesan lokasi terowong berkenaan yang dilengkapi kemudahan elektrik dan bekalan makanan yang mencukupi.

Tentera Israel turut mengakui, anggota pejuang Al-Qassam juga sangat cekap dan mampu menghilangkan diri sekelip mata selepas melancarkan serangan hendap.

Rasa gerun tentera Israel terhadap Al-Qassam menyebabkan mereka melancarkan serangan ke atas kawasan penduduk awam Palestin dengan menuduh kumpulan pejuang itu berselindung di masjid, hospital dan sekolah, menyebabkan angka korban mencecah 508 orang, hari ini dengan kebanyakan yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Genting Gaza, Ashraf al-Qudra memberitahu AFP, semalam sahaja sebanyak 100 orang termasuk 72 penduduk Palestin di Sheijaya yang terletak antara Gaza City dan sempadan Israel terbunuh akibat digempur tentera rejim Zionis.

Jelasnya, sebanyak 80 peratus mangsa yang terkorban di Sheijaya merupakan warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, seramai 16 penduduk Palestin dijumpai maut dalam sebuah rumah selepas dibedil tentera udara Israel di Khan Younis, semalam.

Satu lagi kejadian di Gaza menyaksikan sembilan sekeluarga maut, termasuk tujuh kanak-kanak, apabila rumah mereka musnah dalam serangan udara rejim Zionis Isarel. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140722/lu_01/Al-Qassam-digeruni-Israel#ixzz389Vv8ZvH  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 ditembak dua misil?

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

SEORANG wanita menutup hidung dan mulut ketika melalui kawasan landasan kereta api berdekatan lokasi pesawat Malaysia Airlines terhempas di bandar Torez, timur Ukraine, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR 21 Julai - Seorang pakar penerbangan dan peluru berpandu tidak menolak kemungkinan pesawat MH17 ditembak oleh dua peluru berpandu darat ke udara (SAM) memandangkan perkara itu merupakan salah satu protokol kebanyakan senjata udara buatan Rusia.

Dr. Omar Kassim Ariff berkata, perkara itu adalah sesuatu yang biasa sebagai langkah untuk memastikan tembakan mengenai sasaran walaupun sasaran tersebut menggunakan teknologi 'jammer' dan memiliki kemahiran pergerakan mengelakkan pesawat.

"Selalunya, protokol itu akan diamalkan kerana jika peluru berpandu pertama berjaya dielakkan melalui teknik jammer atau juruterbang melakukan pergerakan mengelakkan peluru berpandu, yang kedua dijadikan sandaran seterusnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penerbangan MH17, menggunakan pesawat Boeing 777-200ER, dipercayai telah ditembak jatuh oleh SAM ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Pesawat dengan 298 penumpang dan anak kapal itu terhempas di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh puak pemberontak pro-Rusia.

Dalam pada itu, Omar tidak menolak kemungkinan pihak penyerang tidak menyasarkan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu tetapi kepada sebuah pesawat pengintip yang melalui laluan berkenaan.

Namun begitu, katanya, sebuah pesawat pengintip dapat mengelakkan peluru-peluru berpandu itu kerana mempunyai teknologi pengesan yang canggih tetapi malangnya, sesebuah pesawat komersial tidak mungkin akan sedar kehadiran peluru berpandu berkenaan.

"Itu yang berlaku pada pesawat Korean Air Lines Flight 007 pada 1983. Perkara ini terjadi kerana pesawat komersial tidak dapat mengelakkan peluru-peluru berpandu yang menghala kepadanya.

"Kalau pesawat tentera, ia boleh mengelak menggunakan radar warning receiver (RWR), peluru berpandu selepas itu akan menuju kepada pesawat komersial memandangkan radar telah dikuncikan kepadanya pula," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140722/dn_04/MH17-ditembak-dua-misil#ixzz389UOS751  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Malaysia dapat hak kotak hitam MH17

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD, THOMAS CHONG dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my



PUTRAJAYA 21 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua 282 mayat penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 akan dibawa ke bandar Kharkiv di Ukraine sebelum diserahkan kepada wakil kerajaan Belanda.

Najib berkata, keputusan itu adalah daripada antara tiga persetujuan yang dicapai antara beliau dengan ketua pemberontak pro-Rusia, Alexander Borodai yang berkuasa di kawasan nahas dalam perbualan telefon pada petang ini.

Katanya, kereta api yang membawa mangsa MH17 akan bertolak ke Kharkiv dengan ditemani oleh enam wakil Malaysia yang terlibat dalam misi menyelamat di Ukraine.

Beliau berkata, mayat berkenaan kemudiannya akan diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat C130 Hercules milik Belanda bersama-sama dengan pasukan Malaysia.

"Selepas kerja-kerja forensik, kesemua mayat rakyat Malaysia akan dibawa pulang ke tanah air," katanya dalam sidang akhbar di Sri Perdana di sini awal pagi ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, di bawah persetujuan kedua, dua kotak hitam pesawat MH17 akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk kira-kira pukul 9 malam ini (waktu Ukraine).

"Kita akan mengambil alih hak ke atas dua kotak hitam ini," katanya.

Beliau berkata, hasil persetujuan dengan Borodai juga, pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi jaminan untuk memasuki kawasan nahas untuk melakukan siasatan penuh terhadap tragedi MH17.

Najib berkata, sebelum ini, Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk menghubungi pihak terbabit di kawasan nahas MH17.

"Dalam keadaan yang sukar, kita telah berbincang mengenai masalah bersama yang wujud, melindungi bukti-bukti penting dari pesawat.

"Siasatan bebas telah dilancarkan untuk mencari penumpang-penumpang yang terkorban," katanya.

Perdana Menteri berkata, biarpun persetujuan tersebut telah dicapai, tetapi beberapa perkara lagi perlu dilakukan sebelum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Beliau berkata, terdapat beberapa yang masih perlu dilakukan dan setakat ini Borodai dan pengikutnya memberikan kerjasama yang baik.

"Saya meminta semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan perjanjian ini dihormati, mayat mangsa dihantar pulang, kotak hitam diserahkan kepada Malaysia dan pasukan siasatan antarabangsa dibenarkan untuk memasuki kawasan nahas.

"Menerusi cara ini sahaja siasatan MH17 bermula, mangsa akan mendapat pembelaan sewajarnya dan kita perlu mengetahui mengapa pesawat ini terhempas serta siapa yang bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau berharap perjanjian yang dicapai malam tadi akan dapat membantu mencari jalan penyelesaian dalam menyelesaikan kemelut yang melanda dalam tragedi MH17.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140722/dn_03/Malaysia-dapat-hak-kotak-hitam-MH17#ixzz389RvQG8E  © Utusan Melayu (M) Bhd 








Monday, 21 July 2014

F1 - Hamilton bayangi kejayaan Rosberg


NICO Rosberg mengangkat tangan sebaik sahaja melintasi garisan penamat perlumbaan Formula Satu Grand Prix Jerman yang berlangsung di Litar Hockenheim semalam. - REUTERS

HOCKENHEIM, Jerman - Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton yang bermula di petak ke-20 mempamerkan aksi cemerlang apabila berupaya menamatkan perlumbaan Grand Prix Jerman di Hockenheim di tempat ketiga yang menyaksikan rakan sepasukannya Nico Rosberg memenangi saingan tersebut semalam.

Rosberg menamatkan saingan penuh debaran tersebut dengan masa satu jam 33 minit 42.914 saat manakala tempat kedua milik Valtteri Bottas dari pasukan Williams yang ketinggalan 20.789s manakala Hamilton di tempat ketiga, ketinggalan 22.530s.

"Ini adalah perlumbaan yang sungguh mencabar bagi saya biarpun beraksi di laman sendiri.

"Malah ini juga adalah hari yang sungguh istimewa buat saya kerana berjaya meraih kemenangan di hadapan peminat F1 Jerman," kata Rosberg.

Biarpun Rosberg mengungguli perlumbaan tersebut namun tumpuan terarah kepada Hamilton kerana kemahirannya mengendalikan jenteranya berjaya mencuri perhatian penonton.

Ini kerana sebelum perlumbaan bermula Hamilton dilihat seakan sukar untuk menaiki podium kerana dikenakan penalti yang menyebabkannya terpaksa bermula di petak ke-20.

Hamilton dikenakan penalti kerana menukar kotak gear selepas me­ngalami kemalangan sewaktu sesi kelayakan berlangsung.

Kejayaannya semalam membolehkan pendahulu kejuaraan pemandu, Rosberg memperoleh kelebihan 14 mata ke atas Ha­milton yang ketika ini mengumpul 176 mata untuk mengekori di tempat kedua. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140721/sl_01/Hamilton-bayangi-kejayaan-Rosberg#ixzz384yFmGwm  © Utusan Melayu (M) Bhd 






PALESTIN - Puluhan ribu bantah Israel di London, Paris


BERIBU-ribu penunjuk perasaan mengadakan bantahan besar-besaran bagi mengutuk kekejaman Israel ke atas Genting Gaza di Marseille, Perancis, kelmarin. - AGENSI

LONDON 20 Julai - Beberapa lokasi di tengah kota London semalam lumpuh apabila beribu-ribu penyokong pro-Palestin berarak bagi membantah serangan Israel ke atas Gaza, manakala di Paris satu tunjuk perasaan sama bertukar ganas.

Beberapa penganjur tunjuk perasaan di London mendakwa, berpuluh-puluh ribu orang menyertai perarakan tersebut yang bermula dari pejabat Perdana Menteri Britain, David Cameron ke Kedutaan Israel.

Kesemua penunjuk perasaan melaungkan bantahan 'Israel negara pengganas'.

Polis enggan memberi jumlah anggaran penunjuk perasaan, namun beberapa batang jalan raya memasuki pusat bandar telah ditutup untuk perarakan sejauh 4.8 kilometer yang berlangsung secara aman.

Sementara itu di Paris berlaku sebaliknya, apabila tunjuk pe­rasaan bertukar ganas selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar peraturan perhimpunan dengan membaling batu dan botol ke arah polis antirusuhan yang kemudian bertindak balas melepaskan gas pemedih mata.

Seramai 33 orang ditangkap petang semalam, kata sumber polis, manakala tiga anggota polis cedera dalam pertempuran di Montmartre di utara Paris.

Beberapa tunjuk perasaan dibenarkan di beberapa buah bandar di Perancis, yang menyaksikan beribu-ribu peserta hadir memberi sokongan termasuk di Lyon, Marseille dan Strasbourg, manakala beberapa ribu penyokong lain berhimpun sebagai tanda sokongan bersama Palestin di Brussels, Belgium. - AFP/REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140721/lu_02/Puluhan-ribu-bantah-Israel-di-London-Paris#ixzz384vlprrd  © Utusan Melayu (M) Bhd