19 Januari 2016 12:20 AM
BINTANG baharu JDT, Azamuddin Akil (kiri) cuba melepasi halangan pemain Chonburi FC dalam aksi persahabatan di Bangkok, kelmarin. Facebook JOHOR Southern Tigers
JOHOR BAHRU – Biarpun Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 0-2 kepada kelab Thailand, Chonburi FC pada perlawanan persahabatan pramusim di Bangkok kelmarin, ketua jurulatihnya, Mario Gomez berpuas hati dengan anak buahnya.
Beliau turut menyifatkan pertemuan tersebut merupakan satu perlawanan persediaan yang baik bagi JDT selain mempelajari banyak perkara apabila bermain dengan sebuah kelab yang bukan sahaja baik, malah lebih tersusun.
Menurut Gomez, pertemuan dua kelab itu juga merupakan perlawanan kompetetif pertama bagi skuad Harimau Selatan selepas berehat panjang selama 45 hari, selain tahap kecergasan pemain belum mencapai tahap yang memuaskan.
Namun, katanya, beliau yakin pemainnya mampu mencapai tahap kecergasan lebih baik tidak lama lagi.
“Saya amat berpuas hati dengan pemain-pemain, saya juga rasa musim ini adalah musim yang cukup baik bagi kita. Perlawanan dengan Chonburi yang pertama bagi kita selepas pemain kembali daripada cuti yang panjang.
“Idea untuk perlawanan pra musim ialah untuk bermain dengan pasukan yang lebih baik dan Chonburi merupakan satu pasukan yang baik dan mempunyai organisasi yang tersusun selain mempunyai akademi sejak tujuh tahun lepas.
“Justeru, perlawanan menentang kelab tersohor seperti Chonburi FC satu persediaan yang baik dan saya serta pemain gembira berada di sini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers.
Mengulas lanjut, Gomez berkata, buat masa ini, beliau masih mencuba pelbagai posisi untuk pemain-pemainya.
Tambahnya, pada perlawanan itu, JDT turut melakukan beberapa percubaan yang baik di depan pintu gol dan pada masa sama turut melakukan kesilapan di bahagian pertahanan, namun akan berusaha memperbaiki kelemahan pasukan.
“Menang atau kalah tidak begitu penting, apa yang lebih penting kita terus tingkatkan prestasi kita bermain dengan pasukan yang lebih baik. Saya amat berpuas hati dengan komitmen dan dedikasi pemain saya pada perlawanan itu,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-raih-pengalaman-berguna-di-bangkok-1.180933#sthash.pDJB25kx.dpuf
No comments:
Post a Comment