HERMAN HAMID | 30 Januari 2015 1:51 AM
AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN bercakap dalam perisytiharan khas mengenai 239 penumpang dan anak kapal MH370 di Kuala Lumpur, semalam. Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lalu. Laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan hari ini mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Beijing, 8 Mac lalu sebagai terkorban.
Dalam pengumuman oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang disiarkan RTM1 pada pukul 6 petang ini, pengisytiharan tersebut dibuat setelah pesawat itu dianggap terlibat nahas, menepati takrifan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali Konvensyen Chicago.
Beliau berkata, sehubungan itu, selepas 327 hari (setakat semalam) dan dengan segala data yang diperoleh, adalah tidak mungkin untuk kesemua penumpang dan krew yang berada di dalam pesawat tersebut berpeluang untuk hidup.
Menurut beliau, ini berikutan data menunjukkan penerbangan MH370 berakhir di dasar laut kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi melibatkan kedalaman mencecah 6,000 meter yang jauh daripada kemungkinan untuk mendarat di mana-mana lokasi.
“Untuk itu, dengan perasaan berat hati dan kesedihan yang amat mendalam, bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan MH370 adalah suatu nahas selaras dengan Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago.
“Justeru, kesemua 239 penumpang dan krew dalam pesawat itu dianggap telah terkorban,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Teknikal Peringkat Tertinggi MH370 dalam pengumuman kira-kira 15 minit itu.
Menurut Azharuddin, buat masa ini tidak ada keterangan untuk pihak penyiasat mengaitkan sebarang spekulasi kepada punca nahas tersebut.
Katanya, ini berikutan siasatan pihak berkuasa berhadapan kekangan kekurangan bukti fizikal terutama perakam pesawat.
“Pasukan siasatan keselamatan MH370 melibatkan tujuh negara dan siasatan jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga masih berlangsung.
“Laporan interim berkaitan perkembangan siasatan keselamatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun atau kira-kira setahun selepas insiden nahas tersebut berlaku,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mh370-terlibat-nahas-kesemua-penumpang-krew-terkorban-1.54218#sthash.zjfTsh9V.dpuf
Pencarian diteruskan
Malaysia, China, Australia komited dalam misi
MOHD. AZRAIE MD. YUSOF | 30 Januari 2015 1:50 AM
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan Malaysia, China dan Australia komited meneruskan pencarian MH370 walaupun Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengisytiharkan pesawat itu kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapalnya terkorban.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini dibuktikan melalui beberapa langkah yang telah diambil baru-baru ini dalam usaha untuk terus mengesan pesawat tersebut.
“Malaysia telah menghantar aset tambahan di kawasan pencarian. Kapal Fugro Supporter telah tiba untuk membantu pencarian bawah laut menjadikan empat kapal kesemuanya berada di sana.
“Laman web MH370 juga telah dipertingkatkan dan kini mempunyai seksyen khas untuk waris mangsa,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tiong Lai, pengisytiharan yang dibuat DCA terlebih dahulu dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia, China dan Australia bagi membolehkan waris mangsa mengambil langkah sewajarnya.
“Pengisytiharan dibuat mengikut konvensyen antarabangsa dan amalan standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan bantuan dapat disediakan kepada keluarga terdekat,’’ katanya.
Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menghubungi waris untuk meneruskan proses pampasan.
Syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya akan memastikan pampasan yang adil dan munasabah dibayar kepada semua keluarga mangsa selaras dengan undang-undang.
“Dalam usaha untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pampasan, selain proaktif menyediakan maklumat terkini kepada ahli-ahli keluarga, MAS telah memasang talian telefon tambahan.
“Pusat Sokongan Keluarga (FSC) yang ditubuhkan di Kuala Lumpur akan menjadi titik utama hubungan bagi waris di Malaysia dan waris dari negara-negara lain, bersama-sama dengan beberapa pejabat serantau kami, selain dari China.
“Operasi di Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga (FCSC) yang terletak di Beijing juga akan diteruskan. Untuk kemudahan ahli keluarga di sana, pusat itu akan disokong oleh kakitangan tambahan yang boleh bertutur bahasa Mandarin,’’ kata kenyataan itu di sini.-
See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pencarian-diteruskan-1.54204#sthash.zZGBNt6t.dpuf