PADA 16 Mei 1972, Pas memecat Ahli Parlimennya dari Parit, Cikgu Hashim Gera atas sebab berjoget lambak dalam satu majlis di lobi Parlimen.
Masa zaman itu, Pas begitu tegar dalam hal berkait agama. Meski Cikgu Hashim mempertahan tindakannya pada masa di lobi Parlimen itu, juga hal joget secara umum sebagai sebuah tarian yang bersih di hadapan jawatankuasa disiplin, beliau langsung tidak diendahkan.
"Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari". Bagaimanapun Pas menolak penjelasan Cikgu Hashim dan dia tetap dipecat kerana dianggap mencemar agama dan memalukan Pas sebagai sebuah parti politik yang sepatutnya mencerminkan sebuah jemaah Islam yang sempurna.
Hari ini, isu seperti Cikgu Hashim sudah tidak kedengaran lagi. Malah lebih ketara dan terbaharu semasa kempen pilihan raya di Bukit Gelugor dan menyusul menjelang pengundian kerusi Parlimen Teluk Intan Sabtu ini, kefahaman pemimpin Pas terhadap makna joget sudah berubah. Kalau UMNO datang, Pas lari. Kalau DAP datang, anehnya, tidak pula Pas lari. Lari tidak, bahkan semakin diraikan pula.
Sudah terang lagi bersuluh. Jelas sekali Pas menikus apabila berdepan dengan DAP. Di Bukit Gelugor tempoh hari, Pas sanggup korbankan orangnya sendiri, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar yang menjadi calon bebas untuk memperjuangkan 'ideologi' parti itu menentang calon DAP. Tetapi oleh kerana menjaga hati DAP, Mohamed Nabi Bux tidak diperakui pula sebagai ahli Pas walaupun dia bertegas mengatakan dia ahli Pas Gombak yang sah dan sijil keanggotaannya bukan palsu.
Itulah gelagat Pas. Sanggup meminggirkan ahli sendiri demi DAP. Apabila Pas berdepan dengan UMNO, macam musuh pula dibuatnya ke atas parti itu. Bak parti berlainan agama pula UMNO itu. Kalau lalu ular dan UMNO depan mata agaknya, tentu sekali UMNO akan ditalanya dulu.
Pas pada masa-masa lepas tidak sama seperti hari ini. Pas semakin liberal dalam banyak hal mengenai hukum agama. Pas mula pandai 'melacur' dalam politik dan berkiblat kepada permainan real politik. Pas sanggup berpeluk, bercium dan bersentuhan dengan DAP.
Sebab itu mungkin ada rasionalnya apabila Mohamed Nabi Bux menyifatkan dua pemimpin tertinggi Pas sedia ada umpama 'talam dua muka' berikutan tindakan mereka yang memutar-belit prinsip perjuangan Pas yang umum maklum diperjuangkan sejak lama dahulu.
"Apabila di depan pengundi Melayu, dia cakap itu adalah perjuangan Pas tetapi di depan kaum Cina malu-malu apabila bercakap pasal itu," katanya.
Pas harus sedar mengenai agenda sebenar parti untuk memperjuangkan ideologinya dan tidak bercakap atas dasar politik semata-mata.
Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan Sabtu ini, sememangnya ramai hairan mengapa Pas begitu teruja sehingga bersungguh-sungguh hendak memenangkan calon DAP di situ.
Sudahlah calon DAP itu secara terbuka menentang keras ideologi perjuangan Pas, tambah pelik lagi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap DAP berjasa besar sehingga menjadikan itu sebab utama mengapa partinya mengerah seluruh jentera untuk membantu calon DAP.
Sampai begitu sekali ucapan Abdul Hadi. Bukan sahaja Abdul Hadi tetapi ustaz dalam kalangan Pas pun beria-ia mahu memberi kemenangan kepada DAP. Malahan jaminan itu disuarakan pula jentera Pas yang menaruh keyakinan dapat meraih undi orang Melayu untuk DAP. Ini disasarkan di kawasan majoriti Melayu antaranya Kampung Changkat Jong dan Kampung Melayu. Apa sudah jadi Pas?
Ciri-ciri calon DAP di Teluk Intan amat jelas bertentangan dengan apa yang diagung-agungkan oleh Pas selama ini. Calon DAP tersebut secara jelas dan sedar, menolak ideologi Islam Pas.
Di manakah prinsip muslimat Pas! Tergadai prinsip disebabkan politik sempit parti. Muhasabah dirilah Pas. Jangan ada perasaan ujub (bangga dan sombong diri), kelak Allah SWT akan membayar tunai atas sikap dan tingkah laku kamu.
Di mana ustaz Pas? Apakah sanggup membiarkan perkara ini berleluasa? Anda yang lebih tahu hukum-hakam. Janganlah menjadi bisu melihat kemungkaran berlaku di bawah tanggungjawab ustaz sendiri.
Kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampakkah? Janganlah memberi komen berpilih. Tentang UMNO, cepat sahaja anda jatuhi hukum. Tetapi apabila ahli sendiri buat salah, membisu seribu bahasa. Bukankah itu dinamakan Assabiyyah!
Beberapa pemimpin DAP sebelum ini termasuk Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Tony Pua dan lain-lain telah mencabar Pas supaya keluar dari pakatan pembangkang jika masih berkeras hendak bentangkan usul berkenaan di Parlimen. Dengan apa yang telah dan sedang berlaku di PRK Teluk Intan, ia telah menjawab persoalan dalam artikel saya sebelum ini "Jantankah Pas?"
Pas bersikap pilih kasih tidak bertempat kepada orang UMNO berbanding kepada sekutunya, DAP dan PKR. Sebab itu mengikut kajian yang telah dibuat serta maklum balas yang diperoleh, calon BN diyakini mempunyai harapan cerah di Teluk Intan. Sekurang-kurangnya dengan majoriti yang kecil.
Undi Melayu dijangka solid kepada BN. Juga sekitar 70 hingga 75% undi Melayu akan terarah ke BN. Begitu juga undi kaum India sekitar 80% akan ke BN. Akhirnya, mengikut perkiraan tersebut, hanya 15% diperlukan oleh BN daripada kaum Cina.
Percayalah, selepas PRK Teluk Intan ini nasib calon DAP akan menimpa sama seperti apa yang berlaku kepada aktivis Tunku Aziz. Diketepikan dan dipinggirkan, bak kata pepatah, 'habis madu, sepah dibuang'.
DATUK Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa