Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 5 February 2014

Nalla tawar diri lawan Anwar-ADA SESIAPA LAGI?


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my




S. NALLAKARUPPAN menawarkan diri sebagai calon untuk menentang bekas rakan karibnya, Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti India Bersatu Malaysia, Segambut, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan hari ini menawarkan diri bertanding menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Bagi membolehkan kedua-dua belah pihak memberikan tumpuan kepada pertarungan di DUN Kajang, Nallakaruppan menyatakan kesediaannya melepaskan kedudukan sebagai Ahli Dewan Negara manakala Anwar dicabar meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kata Nallakaruppan, beliau menawarkan diri kerana tidak mahu penduduk kawasan tersebut tertipu dengan Anwar, selain faktor BN belum mengumumkan calon dan membuat keputusan sama ada ingin bertanding atau sebaliknya.

“Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar Anwar dalam pilihan raya nanti.

“Justeru, saya merayu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua parti komponen, beri laluan kepada saya untuk bertanding dengan Anwar secara satu lawan satu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MIUP, Segambut di sini hari ini.

Yang turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk pengasas bersama parti itu, Ng Lum Yong dan pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak akan mendedahkan video yang didakwa melibatkan bekas rakan karibnya itu semasa berkempen kerana kes tersebut masih di peringkat mahkamah.

“Kandungan video itu saya tidak boleh dedahkan kepada orang awam. Namun, ada banyak lagi cerita panas mengenai Anwar yang belum saya dedahkan. Saya akan cerita siapa Anwar kepada rakyat Kajang," katanya. Beliau juga berkeyakinan dapat memberikan cabaran sengit kepada Ketua Pembangkang itu sekiranya diberikan peluang menjadi calon BN.

“Saya buat tawaran ini kerana saya ada peluang lebih baik di DUN Kajang. Siapa Anwar dan siapa Nallakaruppan, kamu boleh lihat itu," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah memaklumkan hasratnya kepada pucuk pimpinan BN, Nallakaruppan berkata, beliau menunggu maklum balas daripada mereka termasuk para pemimpin parti komponen selepas sidang akhbar tersebut.

Menjawab soalan adakah beliau akan meneruskan hasrat untuk bertanding sekiranya tidak terpilih sebagai calon, Nallakaruppan menjelaskan, beliau akan memikirkan perkara tersebut selepas permintaannya itu dijawab oleh pucuk pimpinan BN.

Sementara itu, Lum Yong berkata, beliau bersama 20 orang lagi pengasas bersama PKR akan turun membantu kempen calon BN menentang Anwar di DUN Kajang.

“Selain itu, bekas pemimpin DAP dan Pas dari seluruh negara akan datang ke Kajang bagi membantu siapa sahaja calon BN menentang Anwar," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140205/po_01/Nalla-tawar-diri-lawan-Anwar#ixzz2sP4AWHac  © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: