Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 24 October 2013

Apa tersirat dalam pemilihan UMNO?

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris).




Pemilihan UMNO sudah berlalu, tidak ada sebarang kejutan besar sebenarnya berlaku. Tidak banyak perubahan kelihatan dan tidak ada kumpulan baharu maju ke hadapan bagi mewujudkan gelombang besar-besaran. Semua yang berlaku menepati ramalan dalaman tetapi mungkin tidak pula memenuhi hasrat masyarakat majoriti senyap yang berada di luar UMNO yang telah memberikan undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sebelum ini.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa sebanyak 57 bahagian sudah bertukar kepimpinan dan ia sudah cukup besar impaknya. Bagaimanapun, kita perlu juga lihat bakinya daripada 191 bahagian atau hampir 70 peratus lagi masih berada di takuk lama. Ia menghantar dengan jelas isyarat bahawa walaupun 100 peratus percaya perlu melaksanakan perubahan tetapi ia hanya mampu diterjemahkan kepada 30 peratus sahaja yang menyambutnya.

Kita bukan mahu menidakkan sumbangan orang lama atau mahu menukar semua mereka tetapi hasil daripada prestasi pilihan raya yang baru lalu sudah jelas menunjukkan bahawa perlu berlaku gelombang perubahan secara besar-besaran. Yang dikatakan besar mestilah melebihi daripada angka 50 peratus baharulah benar-benar mendatangkan impak kepada struktur yang ada sekarang.

Para cerdik pandai dan pengundi di luar banyak yang berharap orang muda seperti Mukhriz Mahathir diberikan peranan lebih penting sesuai dengan ketokohan yang sudah beliau buktikan. Nampaknya, masih wujud amalan berpuak dan berpasukan dalam kepimpinan tertinggi parti. Kalau sudah duduk dalam pasukan, meskipun tidak menyumbang masih lagi boleh terselamat sehingga ketaksuban begini kelak nescaya akan membawa padah.

Tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media selama ini bahawa pemilihan kali ini akan membawa satu transformasi besar daripada akar umbi. Nampaknya akar umbi jenis bagaimana masih tinggal lagi yang masih memilih kumpulan-kumpulan yang gagal menepati aspirasi rakyat terkini?

Hasrat melihat kumpulan cendekiawan dan profesional diberikan peluang yang lebih besar nampaknya masih jauh sekali daripada tercapai. Orang politik termasuk yang sudah habis tempoh dan kitar semula masih memonopoli dengan pelbagai strategi demi kepentingan peribadi dan bukan sebenarnya berhasrat menyumbang untuk masa depan parti dan negara yang sudah pun diketahui secara nyata sedang di ambang kejatuhan.

Memanglah orang lama pandai bermain politik sehingga mencapai hasrat mengepalai cawangan, bahagian, negeri dan seterusnya di pusat. Tetapi, pernahkah mereka terfikir bahawa dengan strategi yang mereka atur untuk menang dalam pemilihan itu sebenarnya akan menjerat agama, bangsa dan tanah air mereka sendiri ke dalam jurang kemusnahan.

Pernahkah mereka terfikir bahawa diri sendiri perlu berkorban, bukan selamanya cuma sekali ini dalam seumur hidup membawa perubahan dan memberikan peluang kepada orang lain memimpin parti. Malah kalau boleh carilah pengganti yang benar-benar boleh membawa sokongan dan keyakinan masyarakat untuk kembali menyokong UMNO.

Mungkin kita popular dalam parti tetapi popularkah kita kepada masyarakat setempat terutama di kawasan yang sudah dikuasai pembangkang atau di kawasan yang menang tipis sekadar terselamat atas rasa simpati. Ini yang paling penting diberikan perhatian, kerana UMNO tidak akan ke mana sekiranya rakyat yang di luar parti tidak lagi mahu menyokong mereka.

Jangan tidak percaya bahawa sekadar jumlah ahli 3.4 juta orang itu tidak akan membawa ke mana kalau dibandingkan undi sebenar yang diperolehi oleh UMNO dalam PRU-13. Fakta menunjukkan bahawa sebanyak 5.3 juta pengundi telah mengundi BN dengan ini ternyata bahawa hampir separuh daripada orang yang menyokong kerajaan sekarang berada di luar parti UMNO.

Tidak ada sebarang kepastian, bancian ataupun sebarang kajian siapakah mereka ini dan apakah yang mereka rasakan dan apakah pula yang mereka hasratkan bagi meneruskan sokongan kepada UMNO dalam pilihan raya akan datang. Apakah mereka ini tidak penting ataupun mereka ini bukan akar umbi dan juga bukan penyokong setia?

Malahan dalam kehebohan memilih, calon yang dipilih juga banyak yang tidak popular dalam kalangan masyarakat setempat. Ramai juga daripada mereka yang tinggal di bandar jauh daripada akar umbi yang diwakili dan tidak berpeluang mendekati masyarakat dan mengenali hati budi mereka.

Dalam keriuhan meraikan kejayaan, adakah pihak yang mahu bermuhasabah memikirkan sebenarnya kejayaan para perwakilan dan ketua yang dilantik ini apakah mampu mencorak senario politik baharu negara menjelang PRU-14. Bolehkah para pemimpin yang dipilih dan dilantik ini menyelami hati dan perasaan rakyat yang masih berduka malah ada pula yang terluka akibat silap percaturan sewaktu kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan dan membuat lantikan yang tidak popular.

Pemilihan sudah selesai, tetapi parut luka dan dendam mungkin bukan semakin sembuh malah ada potensi semakin mendalam antara sesama ahli. Sudah terdengar ada yang merajuk, sudah ada pula yang mula mewujudkan kelompok. Ia bukan semakin merapatkan barisan tetapi nampaknya semakin merenggang dan meluaskan jurang. Di dalam dan di luar nampaknya musuh sudah memukul gendang perang, terpulang sama ada iramanya sampai kepada pemimpin terkanan atau hanya tersekat di telinga yang pura-pura tuli.

Slogan transformasi nampaknya bukanlah sesuatu yang benar-benar dihayati. Para pemimpin yang sudah diberikan isyarat tidak dikehendaki lagi masih bermati-matian mempertahankan diri dengan pelbagai cara termasuk menggunakan media. Sebenarnya, bukan media yang akan menentukan kedudukan anda di masa hadapan. Undi rakyatlah yang kelak mengekal atau menjatuhkan kita. Jatuh kita seorang diri tidak mengapa tetapi kejatuhan kita turut menarik ranap agama, bangsa dan negara tidak akan dapat diampunkan sampai bila-bila.

Kita perlu faham bahawa diri sendiri tidak berhak memberi nilai dan justifikasi kepada prestasi tetapi rakyat merupakan hakim terhadap kemampuan hakiki. Orang memberi kita merasa orang berbudi kita berbahasa. Malangnya, makin banyak rakyat memberi makin bongkak pula tuan punya diri sehingga tenggelam dalam ketaksuban dan kehebatan diri yang dicanang oleh pembodek di keliling tembok peribadi.

Sebagai pemimpin, kita patut tahu dan sedar bila masanya untuk mengundur diri demi kepentingan umum dan demi kepentingan parti. Jangan sampai dijatuhkan baharulah kita sedar diri dan ketika itu kita langsung tidak lagi dihargai malah akan menjadi orang yang dibenci. Sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang sanggup melepaskan jawatan ketika masih berada di puncak kerana sedar ada orang lain yang lebih layak meneruskan perjuangan parti.

Pemilihan bukanlah agenda peribadi atau parti tetapi adalah sebuah manifestasi jati diri dan semangat untuk mempertahankan pertiwi. Kali inilah sebenarnya yang patut menjadi medan terbaik membuktikan kepada pengundi dan rakyat jelata UMNO sudah berubah. Semuanya dinyatakan dengan tepat secara total dan boleh dilihat dengan jelas dan tidak sekadar retorik.

Tolonglah hentikan berbahasa basi dan saling menyedapkan hati dan perasaan sendiri. Percayalah dengan penuh yakin kita boleh kecundang sekiranya masih lagu lama yang di dendang. Pasukan simpanan, undi simpanan atau apa sahaja yang bersifat simpanan termasuk sokongan simpanan sebenarnya sudah habis digunakan pada pilihan raya yang lalu.

Apa yang tinggal kini adalah meraih kembali, menambah apa yang sudah terlebih guna, memulih yang sudah rosak binasa. Kalau masih begini caranya kita tidak akan ke mana. Yang rosak semakin rosak, yang terlebih guna tidak dapat dikembalikan lagi.

Orang Islam dan Melayu sayang kepada UMNO maka orang UMNO sayangi dan kasihilah orang Islam dan Melayu semua. Berikan perhatian sama rata dan bukan hanya pada diri sendiri dan orang dalam parti semata-mata. Cuba-cubalah keluar daripada kepompong politik untuk mendapatkan pandangan luas yang lebih nyata dan terang serta bercahaya. Percayalah ia sangat menyihatkan dan sungguh berguna buat agama, bangsa dan negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131023/re_01/Apa-tersirat-dalam-pemilihan-UMNO#ixzz2ibj0rHRu 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

No comments: