GABUNGAN NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) mengambil kesempatan ketika proses semakan berkala sejagat (UPR) di Geneva pada 24 Oktober lalu untuk mengemukakan gagasan yang mereka ketengahkan sebagai membela hak asasi manusia secara mutlak, yang terdapat antaranya unsur-unsur kebebasan manusia yang bertentangan dengan agama Islam.
Dalam ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.
Masyarakat Barat yang dibangunkan sebagai masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak kerohanian memanglah memberikan hak yang luas kepada kebebasan ini.
Voltaire mengisytiharkan bahawa Saya tidak menerima apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara'.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan bahawa, Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini'.
Sejak itu, semua yang terlibat dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka, termasuklah memberikan idea dan pandangan tentang segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.
Medan terbaru yang dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral.
Laman baru ini juga dimasuki oleh orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.
Dalam kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri dalam daging yang amat menyakitkan. Dalam sejarah kebebasan bersuara yang berbangkit di dalam negara Islam umpamanya, terdapat beberapa kes yang dilakukan oleh penganut Islam sendiri dalam memanisfestasikan kebebasan ini.
Novel hasil karya Salman Rushdie The Satanic Verses (1988) telah menimbulkan kontroversi dan menggemparkan masyarakat Islam, sehingga pengarang dan buku ini telah menimbulkan banyak krisis dalam dunia Islam dan di kalangan penganut Islam di dalam dunia.
Pejuang kebebasan wanita Bangladesh juga, Taslima Nasrin, dalam masa sama, telah menurut jejak langkah Salman Rushdie ketika menerbitkan tulisan dan bukunya yang banyak mengemukakan pemikirannya yang amat sinikal tentang kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah.
Kedua-dua penulis ini telah dihukum" oleh fatwa, yang, pada pandangan peribadi saya, agak keterlaluan oleh pemimpin Iran, dan para ulamak Bangladesh sendiri dalam kes Taslima Nasrin sebagai murtad dan kufur" yang seharusnya menerima hukuman mati.
Malah dalam demonstrasi besar-besaran yang di lakukan di dalam dunia Islam, ramai pula yang tercedera dan mati kerana bertempur dengan pasukan keselamatan, yang saya rasa amat tidak wajar sekali di alami ketika para penunjuk perasaan diledak oleh emosi dan sentimen yang hebat itu.
Memang kedua-dua penulis ini nampaknya menggunakan pemikiran yang agak liberal dalam pentafsiran mereka, tetapi reaksi terhadap penulisan itu seharusnya boleh diberikan dalam bentuk yang lebih berhikmah dan hujah yang membina serta berilmu.
Bagaimana pun kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran ini haruslah juga mendapat pertimbangan sewajarnya darpada penulis Islam sendiri, agar tidak menjadi keterlaluan dan kelihatan amat menyentuh dasar-dasar yang fundamental dalam Islam.
Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pernah dikejutkan oleh penulisan dan komen serta sokongan terhadap perbuatan sumbang yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran agama kita, tetapi masyarakat kita di negara ini nampaknya lebih rasional dan berhikmah dalam menghadapi tindakan liar seperti ini, lalu tidaklah timbul sebarang perbuatan ganas atau berdemonstrasi membantah hal itu yang lebih berbentuk emosi dan sebagainya.
Kita juga pada waktu yang terakhir ini dapat melihat banyak sekali lahirnya portal berat sebelah politik, terutamanya politik yang menentang segala agensi, institusi, dan establishments kerajaan semasa, laman-laman web dan ratusan blog di dalam internet, buku-buku yang tertentu, risalah, lukisan kartun dan karikatur dan komen-komen dalam portal media baru, yang dikeluarkan untuk memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka yang mempersendakan nilai-nilai ajaran agama.
Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa AS iaitu tentang kehidupan seks baginda seperti filem The Last Temptation of Christ tidak lama dulu.
Oleh itu, kita di negara ini berasa amat tersinggung dengan tuntutan-tuntutan kebebasan manusia yang melampaui batasan budaya, tatasusila dan ajaran agama sendiri yang cuba diketengahkan di Geneva itu. Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.
Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.
Bagaimanapun mungkin pihak kerajaan perlu juga melihat dan mengkaji beberapa perkara yang dibangkitkan itu, tetapi sebagai negara yang mempunyai Perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negara yang mengakui kedudukan agama, maka segala sesuatu yang bercanggah dengan hal ini yang dikemukakan di atas dasar hak asasi manusia haruslah ditolak dan ditentang dengan bersungguh-sungguh.
DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM
ialah Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Wilayah Persekutuan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131029/re_06/Hak-asasi-manusia-mengikut-ukuran-Islam#ixzz2jGMN7wVM © Utusan Melayu (M) Bhd