Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 27 March 2013

Perlumbaan penuh drama



Lewis Hamilton memegang trofi sebagai pemenang tempat ketiga Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. - AGENSI 

KUALA LUMPUR - Belang pencabar sebenar akhirnya terserlah apabila Red Bull membuktikan kehebatan mereka mendominasi dua kedudukan teratas podium pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang yang berakhir, kelmarin.

Gandingan juara dunia tiga kali, Sebastian Vettel bersama Mark Webber, ternyata sukar digugat oleh pencabar-pencabar mereka apabila menguasai kedudukan teratas sejak awal perlumbaan lagi.

Namun, di sebalik kehebatan jentera Red Bull, terselit kontroversi yang mewarnai pasukan tersebut apabila kedua-dua pemandu itu saling bertikam lidah sebaik sahaja perlumbaan tamat.

Rasa tidak puas hati Webber terhadap Vettel yang telah lama bersarang akhirnya meletus apabila rakan sepasukannya itu mengingkari arahan pasukan agar tidak memintasnya.

Suasana tegang menyelubungi Red Bull apabila prinsipal pasukan, Christian Horner turut berang dengan Vettel yang disifatkan telah bertindak bodoh.

Hubungan tidak harmoni yang sudah dihidu pihak media sejak awal akhirnya terbongkar di Sepang apabila Webber gagal membendung kemarahan dan menghentam Vettel secara terbuka.

"Saya juga mahu bersaing tetapi pada akhirnya pasukan telah membuat keputusan, yang mana kami sering berkata sebelum perlumbaan bagaimana persaingan akan berlaku.

"Kami perlu melihat kepada tayar, memastikan jentera menamatkan perlumbaan dan pada akhirnya Seb (Sebastian) telah membuat keputusan sendiri dan sudah tentu dia akan dibela, begitulah situasi yang sering berlaku," kata Webber secara terbuka.

Hubungan antara kedua-dua pemandu kini ibarat retak menanti belah dan perlu diselesaikan segera jika Red Bull mahu terus mengukuhkan cengkaman dalam perlumbaan musim 2013 yang baru memasuki dua perlumbaan.

Bagaimanapun, situasi berbeza dengan Mercedes AMG Petronas yang memiliki dua pemandu hebat yang saling hormat menghormati antara satu sama lain demi kepentingan pasukan.

Pemandu Jerman, Nico Rosberg sanggup mengorbankan peluang menaiki podium bagi memberi laluan kepada rakan sepasukan baharu, Lewis Hamilton.

Pengorbanan Rosberg amat dihargai Hamilton yang memuji sikap patuh rakan sepasukannya menerima arahan.

"Sudah tentu, bagaimana saya boleh lupakan?,"ujar Hamilton ketika ditanya apakah dia akan mengenang budi Rosberg.

Atas semangat berpasukan, Hamilton turut berikrar untuk melakukan apa sahaja bagi membantu Rosberg menaiki podium dan sedia berkorban demi pasukan.

Insiden lucu turut menimpa Hamilton dalam saingan kelmarin. Dia yang baru menyertai Mercedes musim ini melakukan kekhilafan dengan memasuki pit McLaren, pasukan yang dinaungi sejak remaja tetapi ditinggalkan musim lalu. Insiden itu membuatkan dia malu besar.

Bagi Ferrari pula, tuah tidak menyebelahi mereka setelah juara GP Malaysia tahun lalu, Fernando Alonso tersingkir pada awal saingan ekoran sayap depan jenteranya mengalami kerosakan. Rakan sepasukan, Felipe Massa pula sekadar berpuas hati menamatkan perlumbaan di tangga kelima.

Lotus turut gagal mengulangi kecemerlangan di Australia apabila Kimi Raikkonen yang dikenakan penalti tiga petak kebelakang sebelum saingan bermula, hanya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.


1 comment:

Anonymous said...

BILE LER ORG KITE DPT RANGKUL KEJUARAAN F1 PLAK HUHUHU