Oleh Fathul Bari Mat Jahya
DARI UTUSAN MALAYSIA
29/2/2012
CUBA bayangkan seandainya setiap manusia diberi kebebasan mutlak untuk membuat pilihan. Pasti kehidupan manusia akan hancur dan dunia akan lebur. Ketika itu akan terlihat banyak bangsa Melayu yang memakai tengkolok berkahwin dengan lelaki yang lain.
Justeru manusia telah sepakat dari dahulu, kini dan selamanya; malah sampailah malaikat menggulung bumi seperti gulungan kertas; kebebasan dan hak untuk memilih memiliki batas.
Jika saya diberi hak memilih keturunan, pasti saya akan memilih untuk lahir dalam aliran darah Rasulullah SAW, bukannya manusia yang kulitnya sawo matang, rambutnya hitam dan tingginya tidaklah seberapa. Maksud saya – Melayu.
Kerana sebagai Muslim, saya kuat beriman bahawa Allah telah mengangkat Ahlul Bait dengan beberapa keistimewaan. Malah Rasulullah SAW mengarahkan kita sebagai umatnya yang mencintai dirinya agar memuliakan keturunannya.
Sungguhpun begitu Tuhan tidak memberi kebebasan memilih keturunan kepada saya. Celik-celik sahaja, saya telah berada dalam keluarga Mat Jahya. Dengar namanya sahaja cukup menggambarkan saya ini seorang Melayu. Apakah saya malu?
Demi Allah; tidak! Lantas apakah saya bangga? Ya, sangat berbesar hati menjadi ahli keluarga ini.
Suka saya andaikan bahawa saya ini bernama Syed Fathul Bari Al Malizi. Memiliki susur galur dari keturunan Nabi. Namun Allah telah memberi rezeki kepada saya berupa sebuah rumah yang diperbuat daripada kotak kertas, berhalamankan kaki lima dan kipasnya adalah tiupan angin malam.
Lantas datanglah seorang amil zakat dengan membawa wang yang banyak untuk diberikan kepada saya. Harapannya dengan wang tersebut akan mengeluarkan saya daripada kefakiran.
Namun atas sebab sesudu darah yang tertumpah dalam jasad ini, menyebabkan saya tidak boleh menerima pemberian itu. Diharamkan Allah kepada seluruh keturunan Muhammad Bin Abdullah untuk menerima zakat.
Ketika itu, pemikiran jahat pun menyelinap dalam hati ini; “Rasulullah SAW telah banyak berkorban bersama-sama kerabatnya. Sewajarnya mereka diberi keutamaan dan kemuliaan. Namun itu sudah berlalu 1000 tahun dahulu. Saya adalah gelandangan yang sama seperti gelandangan yang lain; tidur kesejukan di atas lantai kotor. Saya tidak pernah meminta untuk dilahirkan dalam salasilah Ahlul Bait dan tidak pernah meminta untuk menjadi fakir miskin”.
Tetapi kerana “sesudu darah” itu menyebabkan saya memiliki hak dan tanggunjawab. Hak saya untuk dimuliakan oleh bangsa lain. Hak saya untuk menerima hadiah. Tanggungjawab saya untuk berpegang-teguh kepada sunnah. Tanggungjawab saya mempertahankan ajaran Rasulullah. Begitu juga saya dilarang untuk menerima zakat.
Rasulullah dan Perjanjian “Rasis”
Zaid Bin Arqam berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seluruh manusia yang menjadi rakyat Madinah: “Aku ingatkan kepada kalian agar berpedoman dengan hukum Allah dan memperlakukan Ahlul Bait (keluargaku) dengan baik (tiga kali)". Kemudian Zaid menyambung: “Ahlul Bait beliau adalah orang yang diharamkan menerima zakat sampai sepeninggalan beliau”. (riwayat Muslim, no:2408)
Ketika Nabi menakluk Mekah dan sedang duduk di Masjidil Haram, Ali datang kepadanya lalu berkata: Wahai Rasulullah, kita telah menguasai kunci Ka‘bah dan Air Zam-Zam. Lalu nabi berkata: Di mana Usman bin Thalhah? Ini kuncimu (kunci Ka‘bah), ambil kunci ini selamanya dan tidak akan merebutnya kecuali orang yang zalim. (riwayat al-Thabrani, no:11234)
Lihat bagaimana Rasulullah SAW memberikan hak untuk memegang kunci Ka‘bah sekali gus kuasa mengagihkan Air Zam-Zam kepada manusia yang datang ke Masjidil Haram berdasarkan “keturunan” yang termaktub dalam perjanjian Muthayyibin. Perjanjian ini berlangsung antara Bani Abdud Dar, Bani Jamah, Bani Salim, Bani Makhzum dan Bani Adi untuk tidak berebut kekuasaan atas penjagaan Ka‘bah sekali gus atas urusan Air Zam-Zam.
Rasulullah SAW sempat menyaksikan perjanjian ini dimeterai dan Rasulullah SAW mengiktiraf perjanjian “Rasis” ini dengan berkata: “Aku menyaksikan berlangsungnya al-Muthayyibin, aku tidak ingin membatalkannya walaupun aku diberikan unta merah.” (riwayat Ahmad, no:1567).
Saya masih teringat sebuah perjanjian yang hampir sama dengan Wasiat Raja-Raja Melayu. Inilah Perjanjian Fudhul antara Suku Hasyim, Suku Muthalib, Suku Asad bin Abdul ‘Uzza, Suku Zuhrah bin Kilab dan Suku Taim bin Murrah untuk menentang kezaliman di kota Mekah baik terhadap penduduk pribumi mahupun pendatang (lihat: Sirah Ibnu Hisyam oleh Abdul Malik bin Hisyam (w.213H), 1/265, Dar al-Jail, Beirut, thn.1411H)
Perjanjian ini berlaku setelah peperangan Al-Fujjar yang ketika itu baginda berumur sekitar 15 tahun. Baginda bersabda: “Aku telah menyaksikan perjanjian Fudhul di kediaman Abdullah bin Jad‘an, perjanjian yang tidak akan aku batalkan walaupun aku hanya diberi kekuasaan atas binatang ternak. Dan sekiranya perjanjian itu dilaksanakan pada masa Islam, maka aku akan menyetujuinya.” (riwayat al-Baihaqi, no:12114)
Cermatilah, bagaimana Rasulullah SAW menegaskan walaupun dia memiliki kekuasaan yang besar atas urusan manusia, namun dia tetap tidak akan mencabuli perjanjian-perjanjian tersebut.
Cukuplah saya membawakan dua contoh tentang keterkaitan darah dan hak. Saya tidak berani untuk mengatakan Rasulullah SAW sebagai berfahaman “kepuakan” atau penentang kepada kesamarataan. Tetapi wasiat Rasulullah SAW itu wajib kita laksanakan sehinggalah dunia berakhir.
Wasiat Raja Melayu
Cuba kita pindahkan peristiwa tersebut ke negara kita. Setelah tewasnya tentera kita di tangan penjajah, para penjajah membawa masuk beberapa bangsa lain dalam jumlah yang besar untuk berkerja dengan mereka.
Akhirnya terbentuk sebuah masyarakat yang berbilang seperti yang ada pada hari ini. Mereka sedar bahawa mereka datang bertamu di rumah orang.
Oleh itu ketika tanah ini hampir merdeka, mereka telah bersetuju dengan Wasiat Raja-Raja Melayu, empunya sebenar tanah ini. Bahawa orang Melayu memiliki hak keistimewaan yang perlu dihormati dan tidak boleh dipersoalkan. Atas persetujuan inilah, nenek moyang kita memberikan hak kerakyatan kepada mereka.
Sebagai manusia yang beriman kepada Rasulullah SAW, setelah kita membaca sejarah perjuangan baginda, jelaslah Rasulullah SAW mengiktiraf segenggam hak dari sesudu darah.