Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 30 December 2011

Veteran UMNO sertai DAP dan Perkara 153


Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my


DAP dilaporkan sedang menarik beberapa veteran UMNO untuk menyertai parti itu, sekali gus akan dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang bagi memancing undi orang Melayu.

Dua nama yang disebut-sebut ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Pahang, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz dan veteran UMNO Negeri Sembilan, Aspan Alias.

Blog Big Dog (bigdogdotcom.wordpress. com) menganggap usaha itu merupakan taktik terbaru DAP untuk menunjukkan bahawa mereka bukan sebuah parti untuk satu kaum sahaja, sebaliknya turut dianggotai kaum lain, khususnya orang Melayu.

Katanya, veteran-veteran UMNO itu pula akan dicalonkan di kawasan majoriti Cina bagi membuka peluang orang Melayu mewakili mereka selain menunjukkan kemajmukan DAP sesuai dengan dasar "Malaysian Malaysia" yang diperjuangkan.

"(Selain itu, ia juga bagi) mengaburi mereka yang bebal politik terutama orang Melayu yang cenderung kepada politik liberal bahawa DAP merupakan alternatif terbaik untuk menentukan Malaysia relevan sebagai masyarakat sivil yang canggih dan moden, sesuai dengan mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

"Menafikan kuasa politik yang secara tradisinya di tangan orang Melayu semenjak merdeka tanpa bergantung mutlak kepada Pas dan PKR sebagai ejen meraih undi orang Melayu," katanya.

Katanya, veteran-veteran UMNO yang disebut-sebut DAP menyertai mereka itu adalah mereka yang sudah luput tarikh dan bankrap politik sehingga merelakan diri mereka menjadi kuda tunggangan DAP kerana mementingkan diri sendiri.

Blog Gerakan Anti PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula menganggap usaha DAP menarik kedua-dua pemimpin itu ke dalam parti sebagai satu isyarat bahawa DAP sudah tidak lagi perlukan Pas dalam usaha meraih sokongan Melayu.

"Isyaratnya 'keldai DAP' sudah tidak ada kualiti. Ia juga membawa maksud Pas selaku keldai ulung DAP sudah tidak mahu digunakan lagi pada PRU-13.

"Pas gagal dalam melaksanakan arahan DAP. Gagal dalam erti kata Pas gagal memahamkan Melayu bahawa DAP itu bukanlah anti-Melayu," katanya.

Mengenai Perkara 153 Perlembagaan yang terus dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu, Syed Imran (kudaranggi.blogspot.com) menganggap apabila perkara itu diungkitkan oleh pemimpin agama, ia sudah mencapat tahap keterlaluan dan melampaui batas.

Katanya, isu berkaitan agama iaitu semua agama dalah sensitif dan mesti ditangani dengan berhemah dan cermat dan para pemimpin agama perlu berhati-hati sebelum mempersoal atau melempar tuduhan.

"Perkara 153 sebenarnya melindungi dan memelihara bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi semua rakyat Malaysia.

"Inilah yang mesti difahami oleh ketua paderi yang membangkitkan kontroversi mengenainya. Jika dia tak faham maksud yang terkandung dalam perkara itu, duduk diam sajalah. Jangan usik sarang tebuan. Buruk padahnya!," katanya.

Syed Imran berkata, Perkara 153 (1) cukup jelas dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak, politik mahupun agama kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk memelihara dan melindungi kepentingan orang Melayu/Bumiputera serta semua rakyat baginda di Malaysia.

Bagi Syed Ali Alhabshee (umnobahagiancheras.blogspot.com) pula mempersoalklan Perkara 153 Perlembagaan boleh mencetuskan ketengan kaum serta menjerumus negara ke kancah kacau-bilau.

Katanya, perbuatan mempersoalkan ketetapan tersebut sengaja dilakukan pihak tertentu walaupun penjelasannya sudah berulang kali dibuat dan rakyat pelbagai kaum menerimanya sebagai salah satu Rukun Negara.

"Jangan cuba nyalakan kemarahan orang Melayu dan umat Islam walaupun mereka berselindung di sebalik pertubuhan agama," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional, Dr. Eu Hong Seng mempertikaikan Perkara 153 dan menyifatkannya sebagai membuli kaum lain.

Isu lain yang turut menjadi topik bualan di kalangan penulis blog minggu ini ialah berhubung sekeping gambar seorang remaja bukan Melayu yang menunjukkan isyarat lucah di hadapan kalimah Allah.

Sehubungan itu, beberapa blog menggesa pihak berkuasa menyiasat kesahihan gambar tersebut dan menyeret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Selamat menyambut Tahun Baru 2012

Muhasabah akhir tahun, bina harapan pada tahun baru

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
DARI UTUSAN MALAYSIA
30/12/2011


TAHUN baharu menjelang tiba, namun rentetan peristiwa yang berlaku pada tahun 2011 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis. Semuanya adalah rencah dan rencam kehidupan yang perlu kita fahami bagi membolehkan menjadikannya sebagai ikhtibar untuk masa depan.

Sejak permulaan 2011 lagi seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai bentuk bencana dan kerakusan moral manusia sehingga ke akhirnya masih tidak menunjukkan adanya tanda-tanda akan reda. Revolusi yang menimpa negara-negara Arab masih belum sepenuhnya kembali normal, bahkan gelora berontak rakyatnya semakin sukar untuk distabilkan kepada keadaan sebelumnya.

Bencana alam yang menimpa beberapa negara turut meninggalkan trauma yang besar apatah lagi dalam tempoh kurang dari setahun berlaku gempa bumi berikutnya sebagaimana terjadi di Christchurch, New Zealand. Masyarakat yang menghuni kawasan terbabit sentiasa berada dalam ketakutan.

Bencana berkembar yang menimpa Jepun turut menghimpitkan kehidupan sehingga sebahagian besar masyarakat Fukushima dan Niigata terpaksa membina semula dengan jerih payah. Kehilangan harta benda tidak dapat dilupa bahkan kehilangan sanak-saudara terus menjadi emosi sedih menyelubungi kenangan sepanjang hayat.

Thailand terbelenggu dengan kemusnahan yang besar akibat banjir yang melanda kota Bangkok selama lebih sebulan menyebabkan kerugian melampaui ratusan juta dolar. Bahkan fenomena air pasang besar yang melanda Kelantan, Johor, Terengganu dan Pahang menjadikan penghuni sekitar pantai sentiasa cemas. Kini diramalkan kejadian yang sama bakal menimpa pesisir pantai Sarawak dan Sabah.

Dalam perspektif Islam, setiap bencana yang melanda dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Allah SWT menguji kesabaran dan sikap pasrah dirinya. Bencana boleh dinilai sebagai perencah yang boleh menambahkan keimanan seseorang malah malapetaka itu juga boleh ditinjau dalam persekitaran kealpaan manusia terhadap keharmonian alam sekitar.

Lebih menyedihkan ialah bagaimana manusia turut melakarkan ke arah kehidupan yang serakah dan penuh kepalsuan sehingga sanggup melanggar nilai adat dan etika. Mereka yang berkuasa, sanggup melakukan "penjualan maklumat dari dalam" sehingga membolehkan kenalan atau kroninya membida sesuatu tender dengan tawaran yang lebih baik, sedangkan keupayaan fizikalnya amat terhad.

Mereka yang melaksanakan urusan pemberian kontrak sanggup menerima tawaran daripada para pelobi dengan sedikit imbuhan manakala ada juga yang menubuhkan syarikat tertentu atas nama sanak saudaranya yang terdekat semata-mata inginkan projek terbabit.

Bencana yang dimaksudkan itu menggambarkan betapa menipisnya moral seseorang, termasuk tokoh agama. Tokoh agama sanggup berbohong dan bahkan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, ia bukan sahaja membantu membentuk imej buruk orang tertentu, bahkan organisasi yang berada di sekelilingnya.

Institusi agama turut menerima tempias, kerana ada segelintir pemimpinnya sanggup menipu atas alasan kepentingan agama. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada Hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan dosa. Padahal kamu mengetahui. " (Al-Baqarah [2] : 188)

Kita tidak mengharapkan sesetengah bencana itu berlaku ke atas diri mahupun keluarga kita, tetapi ia boleh berlaku juga atas kesilapan diri kita sendiri. Dengan menurunkan bencana, Allah SWT sebenarnya memberikan petunjuk bahawa atas kedegilan itulah dunia bakal musnah dan kehidupan berkecai.

Namun, ketika ditimpa musibah, manusia begitu mengharapkan belas ihsan Allah SWT agar ia dihentikan secepat mungkin sebagaimana trauma manusia ketika dilanda tsunami tujuh tahun lalu.

Musibah juga merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah.

Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau'idhatul Mu'minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri.

Pertama, memberikan kita pengertian bahawa musibah itu adalah hakikat kebesaran Allah SWT. Kedua,musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama.

Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia adalah lebih ringan berbanding ketika di akhirat. Semasa dilanda musibah di dunia, manusia masih mempunyai peluang untuk mengatasinya, tetapi di akhirat peluang itu tertutup sepenuhnya.

Keempat, sejak azali lagi setiap musibah itu telah tertulis di lohmahfuz, jauh sebelum kelahiran seseorang itu lagi.

Kelima, apabila kita dapat menerima musibah dengan sabar dan tenang, kita sebenarnya berupaya lahir sebagai orang kuat dan yakin dengan ketentuan Allah SWT, yakni menerima suratan takdir.

Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara (Baldatun Thoiyyibatun) yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar dan sentiasa dilingkari kedamaian.

Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya, mereka dilanda gelisah, cemas, bimbang dan takut. Ada juga manusia berpura-pura hidup dalam keadaan tenang dan makmur, tetapi dalam hati kecilnya penuh dengan kebimbangan, ketakutan dan rasa cemas.

Bencana juga turut dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar.

Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut.

KIAMAT

Ramalan tarikh kiamat jejas akidah
GAMBARAN berlakunya kiamat dari filem Hollywood 2012.

BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.

Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.

Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.

Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.

Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.

Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.

Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.

Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.

Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?

Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.

"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.

"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.

"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.

Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).

Perkasa lapor polis


DARI UTUSAN MALAYSIA
30/12/2011


KUALA LUMPUR 29 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran risalah yang mengajak orang ramai menyertai Kempen 'Bebaskan Anwar 901' yang dirancang diadakan pada 9 Januari depan.

Laporan itu dibuat oleh Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dan dengan dihadiri oleh hampir 20 ahli Perkasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 2.10 petang.

Selain Perkasa, di PAHANG, seramai 80 individu mewakili 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu turut membuat laporan polis mendesak supaya pihak berkuasa segera menghalang perhimpunan yang dirancang itu.

Antara NGO terlibat adalah Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kerabat Pusaka Merong Mahawangsa Malaysia (PKPMM) Wilayah Timur, Pertubuhan Belia Beserah, Pertubuhan Belia Bukit Setongkol, wakil penduduk Beserah, Sungai Karang dan Lepar.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui selepas membuat laporan polis menegaskan, rancangan untuk berhimpun di pekarangan Mahkamah Jalan Duta di sini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan perlembagaan.

"Mereka seharusnya membiarkan proses perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan dengan baik tanpa gangguan daripada mana-mana pihak memandangkan ia telah lama tertangguh

"Namun, tindakan mereka yang menggalakkan orang ramai menyertai kempen tersebut sengaja dilakukan bagi menganggu proses perbicaraan dan mencetuskan hura-hara," katanya.

Menurut Ibrahim, sebagai rakyat yang matang, kita perlu menghormati mahkamah selepas keputusan yang menentukan sama ada Anwar bersalah atau tidak sudah dikeluarkan.

"Namun, belum keluar lagi keputusan mereka awal-awal menuduh dakwaan ke atas Anwar adalah satu konspirasi yang kedua bertujuan membunuh karier politiknya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar hari ini turut membuat laporan polis di IPD yang sama berhubung kenyataan seorang pemimpin tertinggi Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF) yang mempersoalkan Perlembagaan 153.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan hari Natal itu jelas satu kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana di bawah Fasal 153, Perlembagaan Negara tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana individu dan rakyat Malaysia.

BERANI BUAT BERANI TANGGUNGLAH...


Jangan peralat rakyat - NGO
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 29 Dis. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengingatkan rakyat bukanlah perkakas yang boleh diperalatkan bagi menyokong mana-mana pemimpin politik yang berhadapan dengan kes mahkamah.

Sehubungan itu, mereka menentang keras sebarang usaha untuk mengadakan demonstrasi pada 9 Januari ini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal mengetahui nasib beliau dalam kes dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika benar benar Anwar tidak bersalah mengapa beliau tidak berani untuk bersumpah laknat dan tidak menyaman Mohd. Saiful bagi membersihkan namanya.

''Lagipun solat hajat juga pernah dilakukan berhubung kes ini, jadi mengapa tidak mahu menerima petunjuk daripada Allah?," soalnya.

Kata beliau lagi, peguam yang mewakili Anwar adalah nama-nama besar dalam institusi guaman dan segala keputusan haruslah diterima.

"Jika tidak puas hati gunakanlah saluran yang betul. Mereka melaungkan keadilan untuk Anwar namun bagaimana pula dengan keadilan Mohd. Saiful Bukhari yang terpaksa menanggung segala penderitaan," tegasnya.

Beliau mengulas gerakan melalui kempen Bebaskan Anwar 901 yang dilancarkan oleh parti pembangkang bagi menyeru orang ramai terutama mahasiswa turun ke jalanan pada tarikh tersebut.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, kumpulan terbabit dilihat cuba untuk mencabar sistem perundangan negara dan menunjukkan mereka tidak memahami sudut perundangan sebenar.

"Mereka cuba untuk memutar-belitkan fakta memandangkan sebelum ini bukan tidak ada ahli politik ataupun menteri yang dihadap dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, jadi kenapa apabila membabitkan Anwar perlu ada gerakan begini?

"Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan jangan terburu-buru membuat keputusan kerana apa yang bakal diputus adalah berlandaskan fakta dan bukti," katanya.

Presiden Majlis Belia Felda, Anuar Abd. Manap menyeru semua pihak memberikan ruang kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

"Jangan terlalu mengikut kata hati terutamanya mahasiswa. Sebagai orang terpelajar seharusnya mereka meneliti dan bertindak seperti seorang mahasiswa dan apa yang penting adalah jangan mudah terpengaruh kerana jika tersilap langkah ia hanya akan merugikan diri sendiri," katanya.

Bagi Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay menetapkan pendirian untuk bersama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Gerakan seperti itu hanya akan membawa kerosakan dan keadaan huru-hara sahaja. Kita semua sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan bukannya dengan berdemontrasi," ujarnya.

Siswa UiTM jangan sertai 901


Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my



SHAH ALAM 29 Dis. - Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) diingatkan agar tidak terlibat dengan Kempen Bebaskan Anwar 901 yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

Ini kerana sebagai mahasiswa mereka perlu patuh kepada undang-undang negara dan tidak menjadi alat pihak yang tidak menghormati undang-undang.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, para mahasiswa UiTM sudah dididik untuk menjadi seorang yang mampu berfikir dan menilai sesuatu perkara sama ada ia mengikut laras perundangan atau sebaliknya.

''Saya memberi amaran keras kepada pelajar-pelajar UiTM supaya tidak terlibat dengan perhimpunan yang jelas mempunyai agenda yang boleh merosakkan keamanan negara.

''Kita ada 200,000 pelajar di semua UiTM seluruh negara mungkin ada seorang dua yang akan terlibat dan saya berharap mereka berfikir sebelum bertindak menyertai apa-apa perkara yang dilarang undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Muzik UiTM dengan The Actors Studio.

Hadir sama Penerbit Eksekutif The Actors Studio, Faridah Merican dan Pengarah Artistiknya, Joe Hafsham.

Sahol Hamid berharap mahasiswa UiTM yang dianggap seperti anak sendiri tidak mengingkari peringatan yang diberikan kerana perhimpunan haram kebiasaannya akan berakhir dengan demonstrasi yang sukar dikawal.

KOMEN : SOKONG SARANAN DATUK...

Thursday, 29 December 2011

Suzuki Swift Sport 2012


SEKALI pandang, penampilan luarannya tidak jauh berbeza dengan model Swift Sport sebelum ini.

VARIAN berprestasi Suzuki Swift, sama ada model lama, Cultus GTi atau model baharu seperti Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian saya.

Masih segar dalam ingatan beberapa tahun lepas pengalaman menyaksikan kelajuan Cultus GTi, paling menarik enjin model itu cuma bersesaran 1.3 liter.

Selepas itu, kemasyhuran Cultus GTi terganggu kerana akronim GTi sebenarnya adalah milik Volkswagen. Hasil perbincangan di luar mahkamah, Suzuki mengugurkannya dan menggunakan nama GT sahaja.

Kini, model berprestasi Swift lebih selesa menggunakan nama Swift Sport. Jika kelajuan Cultus GTi ibarat lipas kudung, Swift Sport pula membuat saya kagum dengan ciri-ciri keselamatannya.

Bayangkan sebuah kereta kompak dengan enam beg udara sebagai ciri standard, tidakkah anda akan turut berasa kagum? Berbeza dengan kebanyakan kereta yang dipasarkan di dalam negara dengan hanya dua beg udara.

Baru-baru ini, Suzuki telah melancarkan model pengganti Swift Sport yang bakal dijual bermula tahun depan di pasaran terpilih global. Swift Sport adalah model penting untuk varian Swift yang menawarkan tahap penalaan, prestasi pengendalian dan pemberhentian lebih bagus berbanding model standard.

Berikutan ciri-ciri sporty dan praktikaliti hariannya, Swift Sport mempunyai ramai peminat sejati di lebih kurang 40 buah negara serata dunia. Swift Sport baharu mempunyai DNA yang sama seperti model sebelumnya. Cuma kali ini, model tersebut lebih ekonomikal dan mesra alam sekitar bagi memenuhi kehendak semasa.

Rekaan luaran Swift Sport adalah refleksi kepada evolusi ke arah rupa yang lebih sporty. Peralatan aerodinamik yang eksklusif untuk Swift Sport baharu mengawal aliran udara, menahan daya angkat dan memberi imej yang lebih rendah ke bumi. Lampu utama jenis High-Intensity Discharge (HID) dengan lapisan warna kelabu metalik serta rekaan lampu kombinasi baharu menyerlahkan lagi dinamik penampilan luaran model itu.

Pengendalian lebih baik

Rekabentuk ruang dalaman yang sporty model itu dibantu oleh kerusi sport dengan corak fabrik eksklusif, kluster lima meter mudah dibaca dan susunan yang kemas. Sementara Toe dan Camber yang tegar digunakan untuk sistem suspensi jenis torsion beam dan ketegaran lateral yang lebih pada sesendal torsion beam. Sementara bearing yang lebih besar pada roda belakang pula membantu kestabilan pada bahagian belakang kereta sewaktu mengambil selekoh mencabar.

Kekenyalan ditingkatkan pada pegas gegelung hadapan dan belakang. Penambahan lantunan pada pegas gegelung hadapan secara signifikannya menyumbang kepada kestabilan dengan mengurangkan olengan badan kereta.

Modifikasi yang dilakukan pada peralatan stereng, kotak gear, rangka suspensi dan bearing yang lebih besar pada roda hadapan pula menjadikan pengendalian Swift Sport baharu itu lebih baik berbanding model sebelumnya.

Enjin M16A Swift Sport baharu sebenarnya adalah sama dengan model lama. Tetapi kali ini ia disemak semula dengan penambahan kuasa bersama emisi lebih rendah.

Pencapaian itu adalah hasil penggunaan sistem masukan boleh ubah (variable), penggunaan VVT (Variable Valve Timing) yang lebih optimum dan valve lift yang ditingkatkan.


RUANG kokpit yang berorientasikan kepada pemandu.

Hasilnya, kuasa maksimum naik daripada 123hp kepada 136hp. Tork maksimum pula meningkat daripada 148Nm kepada 160Nm pada kelajuan enjin yang sedikit rendah iaitu 4,400rpm. Ini seterusnya membolehkan pemandu menikmati prestasi merentasi julat kelajuan enjin.

Emisi enjin model baharu turut mengalami penurunan sekitar sepuluh peratus iaitu 165g/km kepada 147g/km. Sistem ekzos yang disemak semula pula menghasilkan bunyi yang lebih sporty.

Transmisi manual Swift Sport baharu secara spesifiknya dibangunkan untuk mengambil kesempatan penuh terhadap prestasi enjin M16A. Penggunaan gear manual enam kelajuan menyumbang kepada pemanduan yang lebih sporty dan menjimatkan minyak.

Dari segi keselamatan pula, Swift Sport baharu mempunyai tujuh beg udara dan Electronic Stability Program sebagai peralatan standard. Penggunaan keluli regangan tinggi yang ekstensif dan analisis struktur berkomputer membolehkan badan kereta menjadi ringan serta selamat. Tiang-tiang kereta pula mengandungi material yang mampu menyerap hentakan, sekali gus dapat mengurangkan impak pada kepala penumpang.

Dengan segala ciri-ciri di atas tiada sebab mengapa penggemar kereta berprestasi tidak boleh jatuh hati kepada model dari Jepun itu. Swift Cultus GTi atau Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian.

Model itu biasa-biasa sahaja tetapi menyeronokkan. Ibarat seorang kawan harian, tetapi penuh dengan ilmu yang membuatkan kita tidak serik untuk berkawan dan berborak dengannya. Suzuki Swift Sport, sentiasa di hati.

BIMBANG BANTAHAN MAHASISWA


DARI UTUSAN MALAYSIA
29/12/2011



Akhbar China Press bertarikh 21 Disember 2011 menyiarkan artikel mengenai tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menganjurkan demonstrasi di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Ketika demonstrasi itu terdapat mahasiswa yang bertindak liar menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan bangunan berkenaan.

Artikel tulisan Tee See Boon bertajuk ‘Kenangkanlah Ketika Di Waktu Bendera Diturunkan’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai, halaman C15.

Seramai 500 mahasiswa mengadakan tunjuk perasaan di PWTC, mereka turunkan bendera Perdana Menteri dan menaikkan bendera lain yang tertulis perkataan ‘‘Beri kebebasan kepada pelajar.’’

Saat bersejarah itu telah melenyapkan terjemahan ‘universiti’ dalam bahasa Kantonis yang bermaksud ‘‘mainlah selama empat tahun” yang secara lantang mengejek mahasiswa yang sering berfoya-foya ketika di universiti.

Nampaknya, mahasiswa yang bersikap berdiam diri kini sudah membentuk kumpulan-kumpulan untuk menentang perkara-perkara yang tidak disukai mereka.

Pada masa sama, terdapat sekumpulan mahasiswa lain yang mahu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli mengaku salah dan meminta maaf secara terbuka berikutan perlakuannya yang menampar dan meludah bendera yang tertera gambar Najib.

Adakah pelajar universiti boleh mengambil bahagian dalam politik? Perdana Menteri telah bersetuju untuk mengikut apa yang telah disebut Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu politik tidak boleh dibawa masuk ke dalam kampus supaya pelajar universiti tidak terpengaruh.

Pelbagai perubahan polisi telah dibuat bagi mengekang kebangkitan muda-mudi ini. Ahli politik dan pegawai kerajaan bertindak sedemikian kerana tidak mahu kehilangan periuk nasi yang menjadi tempat mereka mencari makan.

Ahli politik dan pegawai kerajaan yang mempunyai otak berkarat dengan pelbagai kerenah birokrasi juga hanya pandai berteriak kerana sehelai bendera, semata-mata untuk menunjukkan kepada bos bahawa mereka masih lagi setia.

Mereka telah abaikan permintaan kumpulan muda-mudi cerdik pandai.

KOMEN : PANDAI APEK NI MEMUJI DAN MENYOKONG MAHASISWA YANG BERHIMPUN DI PWTC... SIAPA BODOH....? YANG BODOH BUDAK SMMLAH... SIAPA HANCUR...? MAHASISWA MELAYULAH YANG HANCUR... BUDAK CINA KIASU MANA?... LU FIKIRLAH SENDIRI... AKHIRNYA ARAH TUJU MAHASISWA BODOH TU KEMANA...? JADI PENCACAI PUAK PEMBANGKANG... BUANG AJE DARI UNIVERSITI...

ADAKAH MELAYU SANGGUP BERUBAH?


DARI UTUSAN MALAYSIA
29/12/2011



AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 22 Disember 2011 menyiarkan artikel mengenai perlunya orang Melayu memahami budaya kaum Cina di negara ini jika mahu memajukan hidup mereka.

Artikel bertajuk ‘Jika Tiada Keperluan Tidak Perlu Ubah’ yang ditulis oleh pengkritik semasa, Loh Hon Chew disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun, halaman A16.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah mencadangkan supaya kita menghantar anak-anak Melayu belajar ke negara China.

Ini supaya mereka dapat mempelajari budaya China dan mempunyai semangat bersaing yang mantap. Ungku Abdul Aziz berkata, dunia sentiasa berubah, kenapa kita sendiri tidak mahu berubah. Katanya lagi, belajar di China boleh membawa perubahan kepada orang Melayu.

Selepas memahami budaya China adakah orang Melayu boleh berubah? Susah untuk kita tafsirkan. Sepatutnya orang Melayu memahami orang Cina di Malaysia terlebih dahulu. Mengenali budaya penduduk negara China sama keadaannya untuk mengenali budaya orang Cina di Malaysia.

Oleh kerana kelaziman berbahasa sejak beratus-ratus tahun di negara ini, orang Cina memahami bahasa Melayu, sebaliknya orang Melayu tidak tahu bahasa orang Cina.

Oleh kerana pendidikan serba moden hari ini, orang Cina lebih memahami orang Melayu, sebaliknya orang Melayu tidak memahami orang Cina.

Ditambah pula dengan pembohongan dan dakyah oleh ahli-ahli politik yang berkepentingan, menyebabkan ramai daripada kalangan orang Melayu menganggap orang Cina sebagai kaum yang suka menipu.

Sehingga kemunduran kaum Melayu sendiri, dituduh berpunca daripada sikap orang Cina yang suka memeras-ugut dan membuli orang Melayu. Sebenarnya, ini semua hanyalah ungkapan yang dimainkan oleh ahli-ahli politik.

Sejak negara mula-mula mencapai kemerdekaan, salah faham orang Melayu terhadap orang Cina di negara ini lebih banyak berbanding orang Melayu yang memahami orang Cina. Ini kerana, orang Melayu tidak dapat menguasai bahasa dan karakter orang Cina.

Salah tanggapan orang Melayu terhadap orang Cina berpunca daripada sangkaan semua orang Cina di Malaysia pandai berniaga. Sebenarnya mereka tidak tahu bahawa orang Cina amat bencikan perniagaan.

Orang Cina tidak mahir dalam urus niaga dan mereka berniaga kerana terpaksa dan dipaksa, berikutan tiada pilihan lain. Jika tidak, seumur hidup mereka akan bekerja di bawah orang lain.

Orang Indonesia yang menjadi buruh kasar buat seketika di negara kita, selepas itu mereka menjadi kontraktor dan ada yang menjadi peniaga warung dan restoran. Orang Bangladesh pula boleh menjadi peniaga kecil-kecilan termasuk membuka kedai mamak.

Apa yang mereka lalui adalah sama seperti dilalui orang Cina semasa mula-mula masuk ke negara ini. Hanya zamannya sahaja berbeza tetapi perjalanannya sama. Orang Cina, Indonesia dan Bangladesh mempunyai sebab-sebab sama. Mereka berniaga kerana terpaksa dan untuk hidup. Ini bukan cerita yang sengaja diada-adakan.

Oleh itu, orang Melayu akan mendapat lebih banyak manfaat dengan memahami orang Cina di Malaysia daripada pergi belajar ke negara China.

Perubahan orang Melayu tidak semestinya boleh berlaku dengan hanya menghantar pelajar ke China kerana keadaan kaum itu tidak seperti penduduk China yang terdesak dan terpaksa membuat perubahan untuk hidup. Orang Melayu tiada kesulitan yang mendesak dan mereka mempunyai peluang yang sangat luas.

Jika mahu orang Melayu mahu berubah seperti penduduk dari China, lebih baik lepaskan sahaja orang Melayu untuk bersaing secara adil dengan kaum-kaum lain.

Nampaknya, kerajaan tidak berani untuk berbuat demikian kerana ia akan menimbulkan risiko terlalu besar dari segi politik. Sebab itu, ada generasi muda Melayu yang mempertikaikan kenapa kerajaan tidak membantu kaum bukan Melayu supaya berlaku persaingan secara adil.

Adalah tidak memadai pihak kerajaan membuat perubahan di semua sektor sedangkan pada masa sama pemimpinnya sering mengingatkan bahawa keutamaan orang Melayu tidak boleh diubah sama sekali.

KOMEN : YANG TERSIRATNYA APEK NI SURUH BUKA DAN SERAH SEMUA PELUANG/KEPENTINGAN ORANG MELAYU KEPADA ORANG CINA... BARULAH ADIL... APAKATA APEK NI BERITAHU KAUM DIA AGAR SETUJU MENGHAPUSKAN SEMUA SEKOLAH VERNEKULAR DAN KITA ADAKAN SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA... ADA BERANI...? BUKAN ORANG MELAYU AJE PATUT BERUBAH... ORANG CINA YANG PENUH KIASU DAN MEMPERCAYAI KARUT-MARUT TU YANG MESTI BERUBAH...

PHOBIA TERHADAP CHINA ASIA PASIFIK TARUHANNYA...

Dasar pangsi Pasifik AS bukan retorik
Penulis ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.
DARI UTUSAN MALAYSIA
29/12/2011


BEBERAPA bulan setelah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah membuat ucapan di Kaherah pada 4 Jun 2009 yang dianggap begitu bersejarah kerana kandungannya ditujukan khas kepada dunia Islam. Obama telah berjanji akan memulakan era perhubungan baru yang lebih adil dan saksama dengan dunia Islam yang merangkumi penduduk seramai 1.5 bilion orang.

Setelah lebih dari dua tahun janji Obama berlalu, tiada perubahan ketara yang berlaku terhadap isu yang membabitkan dunia Islam. Kemelut Palestin-Israel umpamanya masih berada di takuk lama. Ramai yang beranggapan janji Obama hanyalah sebagai penyeri untuk membezakan pentadbiran beliau dengan presiden terdahulu terutama sekali perkara yang membabitkan dunia Islam.

Pentadbiran Obama sekali lagi menabur janji tetapi kali ini melibatkan rantau Asia Pasifik pula. Setiausaha Negara AS Hillary Clinton berkali-kali menegaskan bahawa Washington akan menentukan laluan Laut China Selatan bebas daripada sebarang ancaman dan sanggup mempertaruhkan kekuatan Tentera Laut AS (USN) untuk mencapai cita-cita tersebut. Pada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November lepas, beliau sekali lagi menegaskan AS adalah kuasa Pasifik dan tidak akan berganjak daripada tanggungjawab tersebut.

Bagaikan untuk memperkuatkan lagi hujah bahawa AS adalah kuasa Pasifik, ketika menyampaikan ucapan di Parlimen Australia pada 17 November, Obama sekali lagi menegaskan bahawa AS tidak akan membiarkan negara sekutu berseorangan mengharungi ancaman dari negara lain. Sehubungan dengan itu Obama juga mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kehadiran tentera AS di Asia Pasifik dengan 2,500 anggota marin AS beroperasi di Darwin.

Walaupun berkali-kali dinafikan oleh pentadbiran Obama, tidak syak lagi penekanan AS terhadap Asia Pasifik ditujukan khas kepada China yang pada ketika ini sedang hebat melebar pengaruh mereka di rantau ini.

Tetapi apa yang lebih kritikal, apakah dasar AS menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai pangsi (paksi) dasar luar Washington akan memudaratkan kestabilan Asia Pasifik atau sebaliknya. Atau adakah dasar terbaru ini hanyalah retorik semata-mata seperti mana ucapan Kaherah pada 2009 lalu.

Terdapat kesangsian mengenai kesungguhan dasar pangsi Pasifik Obama kerana beliau akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan yang akan diadakan pada November 2012. Ini adalah kerana calon parti Republikan telah mempergunakan isu hubungan AS dengan China untuk memperlekeh pentadbiran Obama yang dituduh terlalu berlembut dengan Beijing.

Kadar pengganguran AS yang tinggi sehingga mencecah 10 peratus umpamanya dikaitkan dengan sikap mengalah Obama terhadap Beijing. Sudah pasti menjelang pemilihan presiden akan datang, Obama ingin membuktikan bahawa beliau mampu berdepan dengan China dan rantau Asia Pasifik merupakan medan terbaik.

Atau mungkinkah sememangnya Asia Pasifik akan dijadikan pangsi dasar luar AS dan bukannya retorik pilihan raya semata-mata. Jika benar maka rantau ini akan menghadapi keadaan yang agak genting kerana Beijing sudah menunjukkan tanda bahawa mereka tidak akan berdiam diri.

Memang benar Asia Pasifik dari dahulu lagi merupakan rantau penting bagi AS. Armada Ketujuh USN umpamanya yang berpangkalan di Yokosuka, Jepun adalah armada tentera laut terbesar AS yang tidak keterlaluan jika diandaikan merupakan tonggak pengaruh laluan laut penting di Asia Pasifik terutama sekali yang melibatkan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Malah ketika krisis Selat Taiwan pada tahun 1995-96 Presiden Bill Clinton telah menggunakan kehadiran kapal perang armada tersebut untuk memalukan Beijing.

Bermula dengan penambahan tentera marin di Darwin, beberapa petunjuk telah memberi tafsiran bahawa pangsi Pasifik AS bukan retorik semata-mata. Filipina dan Singapura yang menyediakan kemudahan pengkalan laut bagi USN akan menerima beberapa kapal tempur pesisir pantai (LCS) tahun hadapan sebagai usaha memperkukuhkan kepentingan strategik AS.

Indonesia yang selama ini adalah negara yang tidak dibenarkan menerima teknologi sensitif dari AS akhirnya bakal menerima 24 jet pejuang F-16. Begitu juga dengan Jepun yang berhasrat untuk memiliki jet pejuang tercanggih dan termahal AS F-35 mempamerkan bagaimana sekutu kuat AS begitu selari dengan dasar pangsi Pasifik.

Dari segi diplomatik pula, dasar berbaik-baik dengan Myanmar bukan semata-mata kerana usaha negara tersebut sedang menuju ke arah demokrasi tetapi sebenarnya untuk mengekang pengaruh China yang bercita-cita menjadikan Myanmar sebagai batu loncatan laluan bekalan tenaga.

Jika tentera AS kelihatan tidak sabar untuk meninggalkan Iraq, tetapi sebaliknya di Semenanjung Korea pengurangan tentera berjalan dengan begitu perlahan sekali.

Begitu juga dengan kerjasama perdagangan yang dinamakan Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dilihat sebagai usaha AS untuk menyisihkan China dalam bidang ekonomi dengan negara Asia Pasifik yang lain. TPP dianggap sebagai halangan ekonomi terbesar China kerana kebanyakan persefahaman perdagangan dengan negara Asia sedia ada sudah pasti melibatkan Beijing.

Bukan sesuatu yang mustahil pula TPP akan dipergunakan oleh AS sebagai asas untuk membentuk kerangka keselamatan khas untuk Asia Pasifik.

Mengambil iktibar bagaimana AS telah menggunakan jaringan Trans Atlantik dan juga Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) utuk melangsungkan agenda Washington, tidak mustahil perkara yang serupa akan berlaku terhadap Asia Pasifik.

Bibit-bibit Trans Atlantik telah mula menular ke Asia Pasifik yang merangkumi tiga bidang utama iaitu ekonomi, politik dan ketenteraan. Jika di Asia Barat AS begitu berhati-hati mengamal strategi ketenteraan, tetapi di rantau Asia Pasifik nampak gayanya AS tanpa segan silu menghebohkan kepada dunia.

KOMEN : POLIS DUNIA MELEBARKAN SAYAPNYA KE ASIA PASIFIK.. TERMASUKLAH NEGARA KITA....

Perspektif akademik Perkara 153

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.


ARTIKEL ini disedut daripada penyelidikan akademik dengan hipotesis bahawa pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan boleh mencetuskan ancaman keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara jika ditafsirkan menerusi perspektif yang serong dan sempit.

Ini kerana Malaysia, sebuah negara bangsa di era pramerdeka telah ditransformasikan menjadi negara majmuk di era merdeka; sementara bangsa Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal, serta keturunan Cina, India dan lain-lainnya selaku golongan migran di era pramerdeka telah digemblengkan menjadi warganegara dengan nasionaliti yang sama, menerusi kuasa Perlembagaan Persekutuan pada 15 Ogos 1957.

Hakikat ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada pelbagai elemen konflik (Buzan 1991:72), dicirikan oleh konflik etnik (Marger 2003:6), dan berkemungkinan dicengkam keadaan tidak selamat (Kaufman 2008:201).

Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera dimaktubkan ke dalam Perlembagaan negara berdasarkan mandat utama Ratu Inggeris dan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid - mewujudkan a common nationality for the whole of the Federation and the safeguarding of the special positions of the Malays and the legitimate interests of other communities.

Suruhanjaya Reid juga mendapati kedudukan istimewa Melayu memang sentiasa diiktiraf di dalam pelbagai perjanjian antara pihak British dengan Negeri-Negeri Melayu.

Hakikat ini juga termaktub di dalam The Federation Agreement 1948 di mana Pesuruhjaya Tinggi British dipertanggungjawabkan dengan pemeliharaan keistimewaan Melayu dan kepentingan sah lain-lain bangsa.

Huraian ini bermaksud pemaktuban Perkara 153 bukan diperjuangkan oleh Perikatan. Sebaliknya, kerana peruntukan yang sama termaktub di dalam Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu dan The Federation Agreement 1948. Ini disahkan oleh Lennox-Boyd selaku Setiausaha bagi Tanah Jajahan British seperti berikut:

The special position of the Malays was recognised in the original treaties made by His Majesty in previous years, and Her Majesty Queen Victoria and others with the Malay States. It was reaffirmed when these treaties were revised. It was confirmed in The 1948 Agreement, and reference was expressly made to it in the terms of reference of the Reid Commission. So the Malay privilege clauses in the articles of the Constitution do not, in the main, introduce any precedent, but give recognition in the Constitution to the existing situation. The Reid Commission found very little opposition in any quarter in Malaya to the continuance of the present system for a time (ibid:12 Julai 1957).

R. H. Hickling (1979) pula menegaskan, pemaktuban Perkara 153 adalah berkait rapat dengan tahap kemiskinan bangsa Melayu di era penjajah. Huraian ini boleh difahami dengan lebih jelas menerusi pelbagai perangkaan mengenai tahap ekonomi di Tanah Melayu pada di era penjajahan.

The Deptartment of Statistics (1958-1960) menegaskan, etnik Cina pada ketika itu [pada tahun 1957] menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan.

Ling Liong Sik (1995:3) menyatakan, seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Malaysia adalah sebanyak AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta.

Gomez & Jomo (1997:14-15) menegaskan, pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus (%) hingga 75% perdagangan eksport dan 60% hingga 70% perdagangan import [di Tanah Melayu]; syarikat-syarikat etnik Cina menguasai 10% daripada agensi eskport; syarikat etnik India menguasai 2% daripada perdagangan berkenaan; orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan.

Dalam konteks di atas Faaland, Parkinson & Rais Saniman (2000:16-17) menegaskan seperti berikut: Orang Melayu menganggap peruntukan [Perkara 153] sebagai sesuatu yang suci, manakala setengah-tengah orang bukan Melayu mempersoalkan sama ada peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hinggakan pada hari ini. Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, makna peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju. Sebagai balasan kerana diberikan kelebihan begini, orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan. Dengan kata lain, Perlembagaan mengadakan peruntukan khas untuk orang Melayu, manakala warganegara bukan Melayu mempunyai haknya yang dijamin di bawah Perlembagaan (ibid).

Tan (1987:251) pula menegaskan, Perkara 153 sebenarnya mempunyai "careful balancing which has important bearing not only on social justice but even ethnic relations is also reflected in the provision for Malay reservations."

Beliau mengetengahkan dua contoh khusus - pertamanya mengenai Perkara 153(9) yang memaktubkan "tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak."

Keduanya mengenai tanah simpanan Melayu. Tan memetik Perkara 89(2)(a) yang memaktubkan "jika mana-mana tanah di sesuatu negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hak milik umum."

Huraian Faaland et al. (2000) dan Tan (1987) membuktikan Perlembagaan Persekutuan adalah adil kepada seluruh warganegara Malaysia. Lantas adalah meleset untuk mana-mana pihak mentafsirkan Perkara 153 sebagai peruntukan yang menindas rakyat bukan Melayu.

Demikianlah latar belakang pembentukan Perkara 153 yang telah dikaji oleh Suruhanjaya Reid, Perikatan dan Jawatankuasa Kerja Tripartite dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British.

Kesimpulannya, Perkara 153 adalah peruntukan yang dimaktubkan secara teliti dan profesional bagi mengiktiraf sejarah dan jati diri bangsa Melayu dan bumiputera di tanah air asal mereka yang dikenali sebagai Tanah Melayu.

Tafsiran sempit dan serong terhadap peruntukan ini boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan berpotensi mencetuskan konflik etnik yang mengancam keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kini aman, damai, makmur dan sejahtera.

KOMEN : BACA DAN FAHAMI... BUKAN UNTUK DIPOLITIKAN...

Wednesday, 28 December 2011

Ambil tindakan terhadap Hong Seng - Perkasa


Ibrahim Ali bersama para pemimpin Perkasa pada sidang media berhubung beberapa isu termasuk kenyataan seorang paderi dan perhimpunan membela Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Wan Naqiuddin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas Dr. Eu Hong Seng di bawah Akta Hasutan kerana mempersoalkan mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana kenyataan Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF) itu pada majlis minum petang di sebuah gereja di Subang Jaya, Sabtu lalu itu berbentuk provokasi, menghasut dan tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, kenyataan itu juga menggambarkan beliau serta mana-mana pihak yang mempertikaikan mengenai perkara tersebut seolah-olah mahu 'bermusuh' dengan orang Melayu dan Islam.

"Perkasa tidak senang hati mengenai kenyataan paderi tersebut. Kenyataannya jelas berbentuk provokasi dan tidak bertanggungjawab.

"Perkara 153 adalah kontrak sosial yang tidak boleh disentuh kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah mereka, kalau kita jawab dikatakan rasis, tetapi siapa yang memulakan dahulu (mempertikaikan Perkara 153)?

"Jangan cuba jolok sarang tebuan dan membuat kenyataan provokasi seperti itu. Kita sudah bersabar cukup lama," katanya pada sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Hong Seng yang antara lain menyifatkan Perkara 153 lebih bersifat 'membuli' jika ia hanya melindungi hak sesuatu kumpulan atau pihak.

Ibrahim berkata, atas dasar itu Perkasa akan membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Beliau kemudiannya menyelar sikap sesetengah pemikir Melayu liberal yang bertindak mempertahankan kenyataan Hong Seng.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Perkasa tiada masalah untuk menyokong langkah kerajaan memperkenalkan Akta Hubungan Antara Kaum jika ia membawa kebaikan kepada negara.

KOMEN : MESTI DIA KATA MASA PERKATAAN TU TERKELUAR DARI MULUT DIA, DIA DALAM KEADAAN MABUK... ATAU PALING SENANG SALAHKAN AKHBAR DAN UMNO/BN...

Pelajar UiTM pamer 54 rekaan


Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

HAMIDAH Osman (depan, dua dari kanan) melihat hasil rekaan pelajar tahun akhir Diploma Seni Reka Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, baru-baru ini.

SERI ISKANDAR 27 Dis. - Sebanyak 54 rekaan pelajar Diploma Seni Reka Dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar di sini, sedang dipamerkan sempena Pameran Reka Bentuk Perabot Pereka Muda (FurEX2011) yang diadakan sehingga 29 Februari depan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa UiTM Perak, Dr. Salwa Ayob berkata, hasil rekaan kreatif pelajar terbabit boleh disaksikan di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur kampus berkenaan.

"Ini pertama kali kita mendedahkan hasil rekaan pelajar kita kepada umum kerana sebelum ini bimbang berlakunya peniruan idea melibatkan hak milik cipta.

"Ciri-ciri rekaan perabot yang dihasilkan haruslah bersifat pelbagai guna selain menerapkan unsur reka bentuk kontemporari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian pameran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hamidah Osman.

Pameran tersebut yang antara lain diharapkan menjadi platform penghubung kepada para ahli akademik dan industri itu turut dihadiri Rektor UiTM Perak, Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed.

Sementara itu, seorang pelajar tahun akhir jurusan tersebut, Azuarniza Awang berkata, dia mengaplikasikan konsep tepak sireh dalam rekaan perabotnya yang diukir dengan motif bunga.

Katanya, konsep tersebut dipilih bagi menyerlahkan simbol ketuanan dan adat Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Fungsi utamanya adalah sebagai meja kopi di ruang tamu. Selain itu, ia juga sesuai untuk kegunaan di majlis-majlis korporat yang berkonsepkan tradisional," katanya.

UiTM, Pehrda meterai MoU

SERI ISKANDAR 27 Dis. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (Mou) dengan Agensi Pembangunan Sumber Manusia dan Keusahawanan Perak (Pehrda) dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduannya.

Rektor UiTM Perak, Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed berkata, melalui MoU tersebut, para graduan yang telah tamat pengajian dalam bidang seramik akan diberikan latihan melalui sistem inkubator selain diberi elaun insurans serta bimbingan sebagai usahawan di bawah Pehrda.

"Latihan inkubator ini dijalankan secara berterusan melalui kaedah tertentu sehingga membolehkan para graduan seramik dapat membuka perniagaan sendiri pada suatu hari nanti.

"Ia melibatkan semua graduan di Jabatan Seramik, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, baik di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian mahupun di peringkat diploma," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pehrda, Abdul Azis Md Aris.

Dalam pada itu, Zainab berkata, melalui perjanjian itu juga, para pensyarah di Jabatan Seramik UiTM akan menyumbang khidmat perundingan sekiranya diperlukan dalam merangka pusat latihan inkubator serta kurikulum yang dicadangkan Pehrda.

"Dengan termeterainya MoU ini, kita turut mempelawa mana-mana agensi lain di bawah kerajaan negeri untuk menjalinkan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Isu Anwar: Rakyat perlu percaya mahkamah


DARI UTUSAN MALAYSIA
28/12/2011




KUALA LUMPUR 27 Dis. - Rakyat Malaysia perlu meletak kepercayaan sepenuhnya kepada sistem kehakiman negara dalam menentukan keadilan untuk semua pihak termasuk bagi kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Kluster Governas, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, badan kehakiman pula mestilah menghasilkan satu keputusan yang adil menerusi prosedur yang telah dilaksanakan.

"Justeru, dalam kes ini orang ramai telah melihat sendiri prosedur itu berjalan lancar iaitu pendakwa dan tertuduh diberi peluang untuk membela diri dengan dibenarkan memanggil saksi untuk membela diri. Jadi dari luaran kita telah nampak prosedur itu telus dan adil.

"Tidak sepatutnya timbul dakwaan bahawa sistem perundangan dipengaruhi oleh mana-mana pihak, malah ruang untuk membenarkan mana-mana pihak cuba mempengaruhi juga tidak kelihatan. Maka kita perlu hormati keputusan mahkamah, jangan ambil tindakan melulu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan mula melancarkan Kempen Bebaskan Anwar 901 dan merancang pelbagai aktiviti lain termasuk demonstrasi jalanan menjelang keputusan perbicaraan kes liwat Anwar pada 9 Januari ini.

Menyokong kenyataan itu, Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Negeri Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, selain menolak segala unsur demonstrasi, semua pihak di negara ini juga tidak sepatutnya terlibat dalam isu Anwar khususnya dalam menentukan siapa benar atau salah.

"Kenapa perlu adanya tekanan kepada keselamatan negara dalam isu ini. Adakah hanya untuk menyelamatkan nasib seorang insan maka masyarakat di negara ini sanggup mengancam keselamatan negara secara keseluruhan

"PKR sering sebut sebagai ingin menegakkan keadilan, tetapi bagaimana dengan keadilan di pihak pendakwa bagi kes ini iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan? Maka, tidak kira siapa pun dalam negara ini, cuba lihat perkara ini dari sudut positif," katanya.

Dalam hubungan itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah Politik Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Prof. Madya Dr. Kamaruzaman Yusoff meminta rakyat termasuk pihak-pihak tertentu supaya menerima apa sahaja keputusan dengan sikap terbuka.

Kata beliau, sekiranya keputusan itu nanti tidak memuaskan hati banyak pihak, diharap tiada tindakan di luar jangkaan sebaliknya gunakan proses mahkamah yang seterusnya seperti membuat rayuan.

Presiden Penaja Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz pula menggesa supaya penyokong pakatan pembangkang bermuhasabah dan jangan terlalu emosional.

Beliau mempersoalkan adakah mereka yang tegar menyokong Anwar sanggup bergadai nyawa dan harta pada hari tersebut sedangkan Penasihat PKR itu langsung tidak mempedulikan nasib mereka selama ini dengan tidak menjaga kebajikan mereka.

KOMEN : INGAT APA SENANG KE NAK LEPASKAN ORANG YANG DIDAPATI BERSALAH KERANA MELAKUKAN JENAYAH... NAK GUNA HUKUM RIMBA KE...?

Muhyiddin lancar Genom Melayu


Muhyiddin Yassin mendengar penerangan daripada Prof. Dr. Mohd Zaki Salleh (dua kanan) mengenai mesin pencucukan ‘DNA’ ‘Genome Analyzer’ ketika melawat makmal Pusat Promise Fakulti Farmasi UiTM, Puncak Alam, Selangor, semalam. Turut hadir Prof. Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (tiga kanan). – BERNAMA

KUALA SELANGOR 27 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan pemetaan Genom Melayu yang berjaya dihasilkan oleh sekumpulan saintis Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali gus meletakkan negara ini setanding dengan negara-negara maju dalam bidang bioteknologi.

Penghasilan genom tersebut akan membolehkan negara ini menghasilkan ubat-ubatan yang bersesuaian dengan penduduk tempatan selain Asia Tenggara dengan anggaran ia mampu membuka kepada pasaran 200 juta penduduk melibatkan Indonesia, Selatan Thailand dan Filipina.

Muhyiddin yang melahirkan rasa bangga dengan pencapaian itu berkata, kejayaan tersebut merupakan antara hasil sokongan kerajaan kepada usaha-usaha memperkuatkan sektor termaju bioinfomatik dan pembiayaan projek-projek genom seperti Projek 25 Genom Malaysia, Genom Manusia Kerdil dan Genom Kelapa Sawit.

‘‘Program-program ini menjadi penanda aras keupayaan saintis Malaysia di persada sains dan teknologi antarabangsa dan penglibatan UiTM merupakan suatu yang harus dibanggakan.

‘‘Malah pada hari ini jujukan dan pemetaan genom individu digelar Genom Melayu telah berjaya dilaksanakan oleh para saintis UiTM.

‘‘Pendedahan genom tersebut selari dengan usaha negara-negara maju di Asia dan Eropah yang sedang giat menjana maklumat mengenai genom rakyat mereka sendiri agar dapat digunakan untuk membangunkan strategi kesihatan yang paling sesuai untuk penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan jaringan kerjasama rakan kongsi Bionexus (BNP) kedua dan penyempurnaan pemetaan Genom Melayu di kampus UiTM Puncak Alam di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal.

UiTM melalui Pusat Farmakogenomik (Promise) telah melakukan pemetaaan terhadap Genom Melayu dari Julai hingga Disember tahun lalu dengan kos sebanyak RM150,000.

Projek penyelidikan tersebut diketuai oleh Ketua Promise, Prof. Dr. Mohd. Zaki Salleh.

Pada majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan majlis pertukaran perjanjian (MOA), antara UiTM dan SNAA Medic yang bertujuan mengkomersialkan dua ujian farmogenetik yang dibangunkan oleh Promise.

Muhyiddin berkata, pencapaian sains yang canggih telah membuktikan bahawa risiko seseorang mendapat sesuatu penyakit dan kesesuaian ubat diberikan mempunyai kaitan dengan latar belakang genom seseorang.

“Pendekatan yang dikenali sebagai personalised medicine adalah antara kemajuan sains dan teknologi yang sedang dibangunkan di negara-negara maju,” katanya.

Dalam hal ini beliau berharap syarikat-syarikat bioteknologi terutama syarikat kecil dan sederhana akan mengambil inisiatif bagi menggunakan sepenuhnya perkhidmatan, peralatan dan kemudahan yang terdapat di bawah BNP.

‘‘Industri bioteknologi di Malaysia sememangnya berkembang pesat selaras dengan aliran global dan dijangka akan terus mencatatkan peningkatan dari segi jumlah syarikat bioteknologi, penjanaan hasil, pelaburan serta membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja mahir,” katanya.

Katanya, melalui BiotechCorp yang ditubuhkan pada 2005 sebagai strategi kerajaan membangunkan sektor bioteknologi negara, sebanyak 207 syarikat bertaraf Bionexus telah dibangunkan dengan jumlah pelaburan yang diluluskan mencecah RM2 bilion.

‘‘Walaupun sektor ini masih dalam fasa membangun, adalah agak memberangsangkan bahawa lebih daripada 50 peratus syarikat tersebut adalah terdiri daripada syarikat kecil sederhana yang menunjukkan kemampuan berkembang pesat dengan suasana ekonomi baru negara.

‘‘Saya dimaklumkan tiga peratus daripada syarikat Bionexus sudah disenaraikan dalam bursa-bursa di Malaysia, Australia dan Eropah,” katanya.

KOMEN : TAHNIAH DAN TERUSKAN USAHA...

ISU SBPA

Perbincangan JPA-CUEPACS isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam berhasil
DARI UTUSAN MALAYSIA
28/12/2011



PUTRAJAYA 27 Dis. - Perbincangan hampir lima jam antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini membawa hasil apabila markah prestasi untuk kenaikan gaji dan markah pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) diselaraskan serta-merta dalam mesyuarat itu.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA bersetuju untuk menurunkan markah penilaian prestasi bagi kenaikan gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) daripada 75 kepada 65.

"Di bawah SBPA yang asal kalau prestasi di bawah 75 markah maka tak ada kenaikan gaji berlaku, tetapi kita telah mengubahnya kepada 65 markah.

"Untuk pelaksanaan Dasar Pemisah pula, markah diubah daripada 70 kepada 60. Ini bermakna penjawat awam hanya akan dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah kalau gagal mencapai 60 markah," katanya selepas perbincangan itu yang melibatkan pegawai kanan JPA termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh lebih 100 Ahli Majlis dan pemimpin CUEPACS dari seluruh negara.

Mengulas lanjut Omar berkata, JPA pada masa sama telah bersetuju untuk mengkaji cadangan-cadangan CUEPACS yang melibatkan implikasi kewangan atau peruntukan tambahan kerajaan.

"Perkara-perkara yang tidak melibatkan soal kewangan seperti markah prestasi telah diputuskan dalam perbincangan hari ini. JPA bagaimanapun memerlukan masa untuk mengkaji cadangan lain.

"Semua perkara yang dibangkitkan akan dikaji dalam tempoh tiga bulan sehingga perundingan seterusnya yang dijadualkan pada hujung Februari tahun depan, ini termasuk isu gaji maksimum dan gred jawatan yang tertinggal," katanya.

Omar berkata, setiap gred perkhidmatan awam akan dikaji secara teliti dan beliau meminta supaya penjawat awam mengemukakan sebarang masalah yang timbul kepada CUEPACS untuk dibawa kepada JPA.

Beliau bagaimanapun menegaskan SBPA secara keseluruhannya adalah baik untuk masa depan perkhidmatan awam negara.

"Tetapi SBPA mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang perlu dikaji semula dan ditambah baik," katanya.

Islam dan Melayu Boleh Dipertahan Jika Tulisan Sangat Ikhlas Dr Ridhuan Tee Ini Disebarkan


DARI BLOG PANGLIMA PERANG CYBER



Semalam semasa berceramah Panglima ada menyentuh isu orang Cina masuk Islam mungkin lebuh kuat keislaman mereka seperti Dr Ridhuan Tee.

Kita tidak boleh memperkecil atau menghina mereka walaupun kafir sebelumnya kerana hidayah belum tentu tidak singgah ke hati orang seperti ini.

Contoh lain Dr Farid Ravi, antara orang yang jujur memeluk Islam dan mengajak orang ke arah Islam.

MEREKA SEMUA DIANGGAP MELAYU KERANA DEFINISI MELAYU IALAH MERANGKUMI SETIAP ORANG ISLAM WALAU DARI BANGSA BUKAN MELAYU!

Kecuali kafir anti Islam, mereka sememangnyq WAJIB ditentang demi maruah Islam.

Zaman Nabi saw, sahabat berbangsa asing tetap dianggap saudara sendiri walau datang jauh dari Parsi atau berketurunan hamba Habsyi. Sama seperti kita amalkan di Malaysia.

SEPERTI SAIDINA BILAL DAN SALMAN AL FARISI.

Baca tulisan Dr Ridhuah Tee yang dipetik dari yahoogroups yang boleh menyedarkan umat Melayu Islam pro PAS atau UMNO jika mereka inginkan kebenaran.

Orang Pas menyuruh saya berhenti menulis dan jangan campurtangan urusan rumahtangga mereka mengenai kedudukan Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa yang diibarat sebagai duri dalam daging. Menurut Pas, biarlah mereka tangan sendiri masalah dalamannya. Orang luar tidak perlu campurtangan, sebab mereka berada di luar. Pas lebih tahu, apa yang perlu dilakukan. Benar, saya mengakui, tetapi tidak perlulah menyuruh saya berhenti memberi pandangan, kerana kebebasan ini dijamin oleh perlembagaan. Kenapa tidak suruh ultra kiasu yang terang-terang menghina Islam dan melakukan kemungkaran berhenti bercakap dan menulis. Manakah yang lebih bahaya, saya atau ultra kiasu?.

Pas sepatutnya perlu merasa beruntung dan bersyukur kerana ada ahlinya yang bernama Hasan dan Nasharuddin. Orang seperti ini perlu wujud bagi menegurkan Pas supaya kita tidak terlalu syok sendiri atau terlalu tertutup. Teguran sebegini agak sukar diterima oleh Pas. Ternyata segelintir orang Pas lupa bahawa saya adalah ahli akademik. Saya berhak untuk memberikan pandangan mengikut bidang dan perspektif saya, asalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan perlembagaan. Apatah lagi menyeru agar umat Islam bersatu, sudah menjadi satu kemestian yang mendesak.

Jika masih ada yang beranggapan sedemikian, kita tidak boleh menyentuh sesuatu parti sebab 'orang luar', sayapun boleh katakan Pas jangan campurtangan atau memberi pandangan tentang Umno kerana Pas adalah orang luar Umno. Umno lebih tahu hal Umno, daripada Pas. Kenapa Umno dikritik begitu hebat, seolah-olah semua yang Umno lakukan salah, yang betul hanya Pakatan Rakyat dan ultra kiasu? Kita hanya manusia biasa, tidak lari dari salah dan silap. Saya sendiri tidak semuanya betul, saya bersedia menerima kritikan. Saya bersikap terbuka. Komen-komen negatif dalam blog, saya biarkan, kecuali mereka mencarut atau menggunakan bahasa lucah.

Dalam Islam, nasihat dan teguran tidak mengenal kawan atau lawan, sebab kita tidak maksum, kecuali para Nabi. Hatta, para sahabat sekalipun yang dijamin masuk syurga, pun ditegur oleh mereka yang sezaman dengannya. Inikan pula pemimpin-pemimpin parti politik yang sentiasa diperhatikan oleh rakyat perlakuannya. Rakyat berhak bersuara. Sepakar atau sepandai manapun kita, hatta pakar perlembagaan mana sekalipun, kita tetap manusia. Ada kalanya kita benar, adakalanya kita silap. Itulah manusia yang dijadikan oleh Allah SWT serba kekurangan. Justeru, janganlah terlalu rigid.

Belajarlah daripada Hamas dan Fatah. Kedua-dua parti ini boleh diibaratkan seperti Pas dan Umno. Hamas dan Fatah begitu terbuka. Inilah ciri-ciri orang yang mahu berjaya. Kepentingan umat Islam didahulukan, daripada kepentingan parti dan peribadi. Bukan seperti kita, asyik berdolak dalih. Sekejap ini, sekejap itu, sekejap negara Islam, sekejap negara berkebajikan. Itu yang menjadikan orang lain keliru dan tidak dapat menerima, terutama pengikut setia Pas seperti Hasan dan Nasharuddin.

Apatah lagi Umno yang tidak sehaluan dengan Pas.

Hamas berfahaman Islam, menolak Amerika dan kuncunya Israel, manakala Fatah bertindak sebaliknya, berfahaman nasionalis, cuba berbaik dengan Amerika dan Israel. Dua parti saling bertentangan. Namun, kebangkitan rakyat di negara Arab memberi kesan dalam mengubah persepsi politik mereka.

Bersatu demi kepentingan agama dan bangsa. Begitu juga dengan Pas dan Umno. Saya tidak nampak ada halangan besar di situ. Dalam Islam, kita tidak boleh menerima semua dan menolak semua, kecuali dalam perkara kebaikan.

Amerika dan Israel, tidak boleh dimusuhi sepanjang masa. Mereka juga adalah makhluk Allah. Ramai kalangan mereka yang bersimpati dengan Islam. Kita hanya menolak gerakan zionis yang mahu memusnahkan Islam. Saya tidak memusuhi ultra kiasu, tetapi saya menegur mereka supaya jangan menjadi terlalu ultra seperti segelintir Yahudi. Hak kita boleh diganggu, hak mereka langsung tidak boleh diusik. Penyatuan hanya berlaku akan jika para pemimpin bersedia, bersikap terbuka dan bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Selagi tidak ada sifat keterbukaan ini, saya tidak nampak ada lorong ke arah penyatuan.

Pelbagai salah laku yang dibuat pemimpin hari ini yang membuatkan rakyat sudah muak dan jelak. Apa sahaja yang cuba dilakukan, semuanya salah. Saya masih ingat lagi, apabila kita menentang dakyah Kristian yang bercanggah dengan perlembagaan, maka kita dikatakan bersubahat atau bersekongkol dengan Umno yang mahu memenangi hati pengundi Melayu, disebabkan oleh pengaruhnya yang didakwa semakin merosot. Kedua, apabila kita melaungkan kesatuan, kita dicop lagi menyokong Umno sebab Umno dikatakan sudah terdesak. Sedangkan kedudukan Islam semakin parah. Ketiga, apabila kita memperjuangkan kesatuan Melayu Islam, kita dituduh rasis seperti Umno. Apa jua kebenaran yang dibangkitkan, jawapannya Umno! Umno! Umno. Ultra kiasu yang jelas-jelas memperjuangkan bangsa, terang-terang dikatakan memperjuangkan Malaysian first.

Baru-baru ini ultra kiasu mengeluarkan pendapat bahawa mereka menolak "politik diskriminasi" Umno yang mendahulukan Melayu dan meletakkan rakyat Malaysia di tempat kedua. Ultra kiasu mengecam Umno dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu. Menurut ultra kiasu lagi, Umno selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk mewajarkan agenda perkauman mereka. Persoalan saya, adakah ultra kiasu tidak rasis? Jika tidak percaya, cuba sentuh sedikit hak mereka. Lihatlah reaksinya. Misalnya, isu mengenai kantin sekolah Cina yang perlu menyediakan makanan halal. Lihatlah reaksi mereka! Kita hanya akan dinobatkan menjadi wira, hanya apabila kita mengkritik kerajaan atau Umno. Jika tidak, selama-lamanya kita akan dilabelkan sebagai tali barut Umno, profesor kangkung dan sebagainya. Yang bukan tali barut dan bukan profesor kangkung, hanyalah mereka. Apakah makna semuanya ini?

Kita masih tidak belajar dari Hamas dan Fatah. Lebih menyedihkan, sampai ke peringkat, apa sahaja yang dilakukan, termasuk perkara baik, semua dianggap sebagai mainan atau helah politik untuk memenangkan Umno. Sesiapa yang bersifat neutral, tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti, tetapi hanya memperjuangkan kebenaran juga terpalit dan dilabel dengan pelbagai tohmahan dan gelaran. Justeru, saya menyeru, keegoaan dan prejudis pemimpin hari ini mesti diketepikan jika ingin memastikan nasib umat Islam terjamin dan terbela. Kita harus belajar dari Hamas dan Fatah. Hamas dan Fatah telah berselisih sejak Hamas memenangi pemilihan parlimen Palestin pada Januari 2006. Dahulu mereka bermusuh. Tidak boleh bertatap muka. Kenapa hari ini mereka boleh duduk semeja? Jawapannya mudah. Masa lalu dilupakan, masa kini dan akan datang adalah segalanya.

Islam mesti diselamatkan daripada diratah oleh musuh, kerana jika Islam selamat, yang lain-lain pasti akan selamat. Justeru, pemimpin harus bersedia untuk berubah jika ingin terus relevan dan tidak rebah. Tidak guna pemimpin melaungkan kesatuan jika mereka tidak bersedia untuk bekerjasama dan saling berkorban.

Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee AbdullahUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia