Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 16 February 2015

LIWAT : Bebelan Duta AS tidak menjadi kudis, tetapi kenalah bertindak



ANEKDOT AHAD
KU SEMAN KU HUSSAIN (KUSEMANKH@GMAIL.COM) | 15 Februari 2015 12:09 AM

Amerika Syarikat (AS) telah mencabuli kedaulatan undang-undang negara ini apabila mempersoalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tindakan ini bukanlah kerana berteraskan hak asasi manusia tetapi lebih kepada mahu menekan Malaysia supaya membebaskan Anwar.

Hubungan Anwar dengan AS bukan rahsia lagi. Kalau buka sejarah lama, kita akan tahu bagaimana rapatnya Anwar dengan bekas Setiausaha Pertahanan AS pada era Presiden Bill Clinton, William Cohen yang juga seorang Zionis daripada Parti Demokrat. Ketika itu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Difahamkan Cohen mengenali Anwar pada pertengahan 1990-an melalui Projek Dailog Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang diterajui Anwar. Ditaja oleh sebuah yayasan Kristian Jerman, Konrad Adenauer Foundation (KAF).

Semua ini serba sedikit fakta untuk menunjukkan hubungan rapat Anwar dengan AS. Ini bertujuan supaya sesetengah pihak tidak "terkejut beruk" apabila Duta AS ke negara ini, Joseph Y. Yun sanggup mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar di atas tuduhan jenayah seksual. Dia bukan mengeluarkan kenyataan peribadi tetapi mewakili pendirian negaranya.

Nampaknya kehadiran Presiden Barack Obama ke negara ini selepas hampir setengah abad Presiden AS tidak datang ke Malaysia tidak berkesan untuk mencairkan hubungan setiakawan Anwar - AS. Walaupun sesetengah pihak begitu teruja dengan kehadiran Obama seolah-olah itu “rahmat dari Tuhan” kepada negara ini, perbuatan memperlekeh undang-undang kita kenalah dibetulkan.

Apabila berlaku perkara ini, diharapkan orang yang begitu teruja dengan Obama tidak menghantuk kepala ke dinding kerana kecewa dipermainkan AS. Ada yang tidak suka tulisan yang mengkritik AS dan ini menjadikan Duta AS di Kuala Lumpur agak “besar kepala” membuatkan dia berani mengkritik undang-undang kita.

AS sepatutnya menghormati sistem demokrasi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam sistem demokrasi Malaysia, Anwar ditolak apabila pakatan pembangkang gagal memenangi pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004, 2008 dan 2013. Hendak dikatakan sistem pilihan raya dikawal oleh kerajaan, parti kerajaan sendiri pun kehilangan banyak kerusi dan 2013 adalah sejarah terburuk parti Barisan Nasional (BN).

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, layanan AS terhadap Anwar melebihi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Salah satu sebabnya Dr. Mahathir lantang mengkritik dasar-dasar AS yang berat sebelah menindas negara-negara Islam di Asia Barat terutama di Palestin dan Iraq. Sebab itulah AS berbaik-baik dengan Anwar yang hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Saya faham AS merupakan rakan dagang Malaysia yang besar. Misalnya nilai eksport Malaysia ke AS mencecah lebih RM80 bilion. Satu jumlah yang besar. Tetapi kita wajar memperlihatkan ketegasan dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.

Walaupun kenyataan Duta AS itu boleh dianggap terpencil tetapi wajar diambil tindakan. Tujuannya membuktikan Malaysia bukan berada di bawah telunjuk AS. Malaysia bukan Iraq atau Libya di mana AS boleh menghasut rakyat negara itu bertindak tidak demokratik menukar pemimpin. Tambahan pula ini bukan kali pertama AS mencampuri hal dalaman negara ini malah sebelum ini mempersoalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948.

Banyak pihak tahu bahawa yang kuat menentang Akta Hasutan 1948 dan ISA ialah pembangkang, dalam kata lain ialah Anwar. Walaupun ISA telah dimansuhkan tetapi hujah hak asasi manusia terus diperalatkan dengan sokongan AS. Malah hukuman ke atas Anwar juga dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi.

Isu Anwar ini berbeza dengan ketegangan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Belanda apabila Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Belanda atas kesalahan mengedar dadah. Belanda sedaya upaya mahu menyelamatkan rakyatnya. Sekiranya AS mempersoalkan hukuman ke atas Anwar yang merupakan rakyatnya, kita boleh memahami situasi itu walaupun tidak sepatutnya berlaku.

Malah isu Anwar ini juga berbeza dengan nasib bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang dikenakan hukuman mati oleh Jeneral Zia ul- Haq yang merampas kuasa negara itu pada 1979. Banyak negara merayu kepada Zia supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu tetapi semua rayuan itu tidak diendahkan. Yang dilakukan oleh banyak negara ketika itu adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan mencabuli kedaulatan undang-undang Pakistan, sekalipun hukuman itu lebih kepada dendam politik. Bagaimanapun campur tangan AS dalam kes Anwar adalah satu penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.

Kalau benarlah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi yang menjadi asas duta itu membebel, saya fikir AS tidak layak bercakap tentang perkara itu. Saya ada banyak hujah, salah satunya AS menggunakan Patriot Act 2001 kini dikenali sebagai USA PATRIOT (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) untuk mencabul hak asasi dan keadilan.

Akta USA PATRIOT membolehkan individu terutama bukan rakyat AS yang disyaki pengganas diseksa di kem tahanan Guantanamo. Sebahagian besarnya teraniaya dan mereka ditahan tanpa bicara serta diseksa bertahun-tahun lamanya. Ini lebih tidak bertamadun. Sebab itu AS tidak layak bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia, mereka sendiri mencabulnya.

AS berbohong mahu menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak asasi manusia. Itu retorik yang sudah basi. Sebab itulah kita kena menyedarkan mereka tentang hal ini. Berdiam diri dan menelan kebiadaban AS boleh menghakis keyakinan rakyat, walaupun tindakan Duta AS itu tidak boleh mengubah pandangan dunia kepada Malaysia.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bebelan-duta-as-tidak-menjadi-kudis-tetapi-kenalah-bertindak-1.59539#sthash.YBIdiAaZ.dpuf


LIWAT : Kes Anwar tak sama Mandela, Suu Kyi

Mahasiswa jangan terpengaruh dengan sentimen simpati – Perkasa

OLEH RODELIO JUNJUN TAUCAN (RODELIO.TAUCAN@UTUSAN.COM.MY) | 15 Februari 2015 12:44 AM


Ibrahim Ali (barisan depan, lima dari kanan) bersama pelajar Melayu dan Bumiputera yang menuntut di Cardiff, United Kingdom, kelmarin.

KUALA LUMPUR 14 Feb. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menasihatkan golongan muda terutama mahasiswa di luar negara agar tidak terpengaruh dengan sentimen simpati yang cuba ditimbulkan kumpulan penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kumpulan berkenaan sedang berusaha mendapatkan sokongan mahasiswa melalui pro­paganda menyamakan nasib Anwar dengan tokoh keamanan dunia dari Afrika Selatan, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi di Myanmar.

“Isu Anwar dan Mandela bagai langit dengan bumi. Ada pihak cuba samakan Anwar dengan Mandela dan Suu Kyi serta tokoh lain yang ditahan kerana berjuang demi rakyat, namun cerita Anwar lain, dia dipenjara kerana kesalahan meliwat.

“Saya menyeru pelajar-pelajar di luar negara supaya tidak terjebak dengan dakyah segelintir kumpulan Anwar kerana pentingnya negara aman iaitu apabila pulang ke tanah air, mendapat pekerjaan dan meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan selepas Maj­lis Penerangan dan Dialog Perkasa Bersama Pelajar Malaysia di Cardiff, United Kingdom, semalam.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari tujuh tahun lalu.

Sehari selepas itu, penyokong Anwar yang diketuai anaknya, Nurul Nuha melancarkan kempen Ber­arak Demi Kebebasan di seluruh negara untuk mendesak pembebasan bapanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, golongan mahasiswa perlu mengelak daripada terjebak dengan kempen seperti itu.

“Kita sudah lihat bagaimana negara lain terjebak dengan rusuhan dan kini ancaman turut ada di Malaysia sehingga umat Melayu berpecah dan ada pihak mencemuh Islam melalui pelbagai cara,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kes-anwar-tak-sama-mandela-suu-kyi-1.59572#sthash.nupe1r4K.dpuf


1MDB bukan dana kekayaan - UTUSAN YANG TULIS

16 Februari 2015 12:05 AM


Arul Kanda

KUALA LUMPUR 15 Feb. - 1Malaysia Development Corporation (1MDB) sebagai sebuah syarikat pembangunan strategik, berperanan membangunkan sesuatu projek dan kemudiannya membuka peluang kepada sektor swasta yang lain.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, 1MDB yang dimiliki Kementerian Kewangan, bukanlah pemilik kepada sesuatu projek yang dibangunkan.

“Orang ramai selalu lupa perkara ini dan cenderung beranggapan 1MDB adalah syarikat swasta yang mendapat layanan istimewa, sedangkan semua aset itu dimiliki MoF dan apa juga layanan atau faedah yang 1MDB terima dan nilai yang dijana adalah untuk kerajaan dan kerajaan adalah untuk rakyat.

“Bila melihat komentar-komentar di Internet atau blog, mereka tak ambil kira fakta yang begitu penting. Tetapi fakta adalah sangat penting bagi saya dan kalau kita tengok fakta memang kita kena akui ada cabaran untuk syarikat dan kalau kita rancang dengan baik kita dapat atasi segala cabaran yang kita ada hari ini,’’ katanya dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Arul Kanda berkata, sebanyak lima bank peminjam dana pembiayaan kepada syarikat pelaburan strategik negara 1MDB, kata Bank-bank tersebut ialah Maybank yang membiayai 59 peratus, RHB 32.4 peratus dan tiga lagi iaitu Alliance Investment Bank, Malaysia Building Society Berhad dan Hwang DBS Investment.

Beliau berkata, 1MDB dimiliki oleh MoF, bermakna semua aset 1MDB adalah dimiliki MoF dan oleh itu 1MDB bukan ‘dana kekayaan’ seperti mana anggapan sesetengah pihak dan 1MDB tidak sama seperti Abu Dhabi Investment Authority atau Khazanah Nasional Berhad.

Ini adalah kerana kata beliau, 1MDB adalah syarikat pembangunan strategik yang berperanan membangunkan projek-projek untuk kerajaan.

“Misalnya, dalam projek tenaga, kami telah diminta oleh kerajaan untuk mengambil alih tiga loji jana kuasa iaitu Loji Janakuasa Tanjung, Genting Sanyen dan Jimah menjadi satu entiti yang besar dengan mempunyai Ahli Lembaga Pengarah sendiri.

“Pengambilalihan ini membolehkan unit tenaga 1MDB ini disenaraikan atau dijual sebagai satu syarikat entiti yang besar,’’ kata Arul Kanda.

* Ikuti BAHAGIAN KEDUA wawancara di muka 20. Bahagian pertama disiarkan di Mingguan Malaysia muka 8 semalam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/1mdb-bukan-dana-kekayaan-1.59973#sthash.OopELbPA.dpuf


Perhimpunan gagal bukti rakyat hormat sistem kehakiman

16 Februari 2015 1:20 AM


SHAHIDAN KASSIM menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2015 kepada sebahagian penghuni warga emas di Rumah Seri Kenangan, Jejawi, Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 15 Feb. – Kegagalan perhimpunan haram anjuran penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur semalam, membuktikan rakyat negara ini menghormati sistem kehakiman negara yang memutuskan bahawa pemimpin pembangkang itu bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, ini juga menunjukkan rakyat negara ini mencintai keamanan serta bosan dengan budaya ganas jalanan yang dianjurkan parti pembangkang.

“Kita kesal kerana dalam perhimpunan itu, peserta menggunakan bahasa-bahasa kesat dan langsung tidak menghormati budaya masyarakat negara ini. Apatah lagi kita dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya semasa menghadiri majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Seri Kenangan, Jejawi, di sini malam tadi.

Dalam majlis tersebut yang dianjurkan Wanita UMNO Bahagian Arau, Shahidan menyampaikan sumbangan termasuk buah limau kepada penghuni rumah itu.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Beliau secara peribadi berpendapat, lebih baik BN menumpukan perhatian terhadap usaha pemulihan mangsa banjir di Kelantan, selain memberi fokus terhadap PRK Permatang Pauh, ekoran penyandangnya, Anwar dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan meliwat baru-baru ini.

Shahidan mengulas PRK DUN Chempaka selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam Jumaat lalu di rumahnya di Pulau Melaka.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad meminta BN berfikir panjang sekiranya mahu meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka kerana tidak akan memberikan kesan kepada struktur kerajaan Pas Kelantan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perhimpunan-gagal-bukti-rakyat-hormat-sistem-kehakiman-1.60124#sthash.ohH2UBLQ.dpuf

POLITIK : Anggap kes selesai - Ismail Sabri

16 Februari 2015 2:11 AM


ISMAIL SABRI YAAKOB (bertanjak) disambut penyokong-penyokongnya ketika tiba untuk taklimat Gerak Kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi UMNO Bahagian Bera di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas, semalam. – UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN

BERA 15 Feb. – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kes kenyataannya tentang isu harga barangan selesai dengan tumpuan seharusnya diberikan terhadap usaha menangani isu tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau percaya dalam kalangan pemimpin MCA dan Gerakan juga akan akur dengan keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu mahu kes berkenaan diselesaikan.

Kata beliau, Kabinet bersetuju polemik melibatkan perkauman perlu dihentikan kerana isu besar sekarang yang perlu diberi perhatian ialah harga barangan tidak turun dan pengguna sepatutnya menggunakan kuasa mereka untuk menurunkannya.

“Saya juga hendak memberitahu bahawa apabila pengguna mengunakan kuasa, bukan bermakna boikot semata-mata tetapi mereka perlu bijak membuat pilihan. Misalnya sekarang pasar tani menawarkan harga yang murah daripada tempat lain, jadi beralihlah kepada pasar tani, itu kuasa pengguna sebenarnya.

“Sebab itu Kabinet kata memanjangkan isu ini (kenyataannya) tidak selesaikan masalah harga barangan, sepatutnya fokus utama diberikan kepada penurunan harga barangan,” katanya selepas taklimat gerak kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin merangkap Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO negeri dan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Roslin Abdul Rahman.

Sebelum ini, beliau dilaporkan kesal kerana kenyataannya tentang isu harga barangan telah menimbulkan sentimen perkauman dan memberitahu bahawa komen menerusi laman Facebook rakannya pada 1 Februari lalu itu dibuat secara tertutup, namun menjadi viral dan disalahtafsirkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pembangkang kini dilihat cuba memanipulasikan isu harga barangan tidak turun selepas penurunan harga minyak petrol dan diesel demi kepentingan politik mereka.

“Pada hari ini apabila harga mi­nyak turun, harga barangan tidak turun, kita tidak dengar pun suara mereka (pembangkang) minta peniaga menurunkan harga bara­ngan,” tegasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/anggap-kes-selesai-ismail-sabri-1.60190#sthash.t5Fmb1eH.dpuf


Tiga pelajar UiTM terima biasiswa JCorp

15 Februari 2015 1:11 AM

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Tiga pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menerima biasiswa daripada Johor Corporation (JCorp) untuk bekerja di firma audit di London dan mengikuti program profesional Institute of Chartered Accountants, England and Wales (ICAEW)

Sahol HamidAbu Bakar

Pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan terbabit ialah Shafreena Mirza Tariq Beg, Noor Liyana Hajar Bakri dan Fiza Ismail yang telah menamatkan pengajian mereka tahun lalu.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar ber­kata, keja­yaan tersebut sa­ngat berharga ke­rana telah membuktikan keupayaan universiti terbabit dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing.

“Ketiga-tiga pelajar tersebut berkemungkinan akan bekerja di firma audit di London selama tiga tahun, namun tertakluk kepada perjanjian mereka dengan pihak JCorp.

“Saya berharap pengalaman yang diperoleh di tempat tersebut dibawa pulang ke Malaysia untuk membantu membangunkan negara memandangkan bukan mudah untuk pelajar mendapat peluang keemasan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan telah menjalani sesi temuduga yang sengit apabila terpaksa melalui 11 jenis penilaian oleh JCorp dan perlu bersaing dengan lebih 100 calon lain yang mempunyai pengalaman kerja dalam pelbagai bidang.

Menurut Sahol Hamid, pengalaman serta komitmen pensyarah UiTM dalam memberi tunjuk ajar kepada siswazah-siswazah itu tidak seharusnya dilupakan.

“Tanpa didikan daripada tenaga pengajar UiTM, mereka mungkin tidak mencapai kejayaan tersebut,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/tiga-pelajar-uitm-terima-biasiswa-jcorp-1.59601#sthash.FLEp8GmN.dpuf

Saturday, 14 February 2015

Check out @idrisjusoh's Tweet: https://twitter.com/idrisjusoh/status/566415504336621568?s=09

Perjalanan cuti Raya Cina

Check out @SayangiSelangor's Tweet: https://twitter.com/SayangiSelangor/status/566409638648623105?s=09

Friday, 13 February 2015

Tiga GLC Johor catat untung lebih RM750j

HANIZA HASSAN | 13 Februari 2015 1:52 AM


NUSAJAYA 12 Feb. - Tiga syarikat milik kerajaan (GLC) negeri, iaitu Johor Corporation (JCorp), Kumpulan

MOHAMED KHALED

Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Permodalan Darul Ta'zim (PDT) berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM750.739 juta bagi tahun kewangan 2013.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, JCorp mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM129 juta, manakala KPRJ dengan RM621 juta dan PDT meraih RM739,000.

Beliau berkata, daripada keuntungan selepas cukai berkenaan, kerajaan negeri menerima pembayaran dividen sebanyak RM8.54 juta daripada JCorp dan RM30 juta diberikan oleh KPRJ.

“Hingga kini, PDT masih belum memberi pulangan dividen kepada kerajaan negeri memandangkan badan berkenaan sedang melalui proses mengemas kini dan pemantapan operasi serta organisasi,” katanya menjawab soalan Dr. Sheikh Ibrahim Salleh (Pas-Sungai Abong) tentang pencapaian GLC Johor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain GLC berkenaan, katanya, tiga syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) iaitu Yayasan

Pelajaran Johor Holdings (YPJH), Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) dan J-Biotech Holdings Sdn. Bhd. turut mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM18.572 juta bagi tahun kewangan 2013.

Menurutnya, YPJH yang ditubuhkan di bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mencatat keuntungan sebanyak RM15.7 juta, PIJH yang diwujudkan menerusi Perbadanan Islam Johor (PIJ) meraih keuntungan RM2.4 juta, manakala J-Biotech Holdings yang ditubuh di bawah Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) memperoleh untung sebanyak RM472,000.

“Menerusi keuntungan berkenaan, YPJH telah memberi pulangan kepada kerajaan negeri yang disalurkan menerusi YPJ sebanyak RM16.16 juta, manakala PIJH menetapkan pembayaran fee pengurusan dan dividen kepada PIJ sebanyak RM5 juta setahun bagi tujuan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti bantuan pesakit dialisis, program pembangunan usahawan dan program belia.

“Sementara itu, J-Biotech Holdings pula membayar dividen kepada J-Biotech sebanyak RM300,000 dalam bentuk ‘in-kind’z, iaitu bagi pembayaran kos perkhidmatan dan aset,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiga-glc-johor-catat-untung-lebih-rm750j-1.59022#sthash.JZ5B61jr.dpuf

Agenda politik satu orang – Razali

13 Februari 2015 1:49 AM


JERANTUT 12 Feb. – Kempen ‘Berarak Demi Kebebasan’ yang dige­rakkan penyokong dan keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah untuk kepentingan agenda politik seorang individu dan bukan rakyat.
Razali Ibrahim

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, sehubungan itu, masyarakat harus bersama-sama menolak kempen tidak berfaedah itu dan memberi sokongan padu kepada kerajaan yang berusaha me­ningkatkan taraf hidup rakyat.

“Dia (Anwar) sudah berceramah mengenai perkara ini sejak dahulu lagi. Saya hendak tanya akhirnya apa yang dia hendak, perarakan yang dibuat ini untuk apa? Saya dengar banyak dia sebut pasal konspirasi sedangkan benda ini tidak ada kaitan.

“Kalau dikatakan perarakan ini berjaya apa mereka hendak tuntut, lepaskan Anwar Ibrahim? Nanti ramai pula penjenayah lain hendak dilepaskan. Sistem (kehakiman) yang ada itu bagi saya harus kita hormati,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyam­paian sumbangan kepada mangsa banjir Felda Wilayah Jengka, di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 8 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Menurut Razali, perarakan yang akan dilakukan itu amat merugikan negara dan meletakkan rakyat berhadapan dengan pelbagai isu semasa.

Kata beliau, tindakan itu juga akan menjejaskan usaha kerajaan yang sedang bertungkus-lumus menyerap kedudukan ekonomi dunia yang berhadapan dengan kejatuhan harga minyak mentah dan juga komoditi.

“Kita harus menguruskan semua tenaga dan kewangan untuk berhadapan situasi itu, bukannya hendak menyelesaikan masalah satu orang yang telah diberikan peluang yang cukup luas,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/agenda-politik-satu-orang-8211-razali-1.59008#sthash.Qo5Iwenv.dpuf


LIWAT : Nurul Nuha dicabar beri penjelasan

13 Februari 2015 1:49 AM


PULAU PINANG 12 Feb. – Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha dicabar turut memperjelaskan beberapa perkara kepada rakyat sepanjang kempen Berarak Demi Kebebasan yang digerakkan beliau bersama keluarganya.

RAHMAD ISAHAK

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, antara perkara itu termasuk mengapa bapa beliau tidak memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika diarah membela diri di Mahkamah Tinggi bersabit kes liwatnya.

Selain itu tambah beliau, Nurul Nuha juga digesa menjelaskan kepada rakyat kenapa bapanya gagal membawa seseorang yang kononnya saksi alibi bagi mengesahkan alibi beliau pada hari kejadian.

Turut perlu diperjelaskan sepanjang kempen itu katanya, mengapa barisan peguambela bapanya gagal mematahkan bukti saintifik yang mengesahkan 100 peratus asid deoksiribonukleik (DNA) milik bapanya dalam kes tersebut.

“Jika wujud konspirasi politik dalam kes bapanya pula, Nurul Nuha perlu memperjelaskan kepada rakyat dalam kempen itu mengapa tiada seinci pun bukti dikemukakan kepada mahkamah selain daripada andaian sendiri semata-mata” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan keluarga Anwar menerusi Nurul Nuha yang menggerakkan kempen tersebut kononnya sebagai menuntut keadilan selepas Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Rahmad, keluarga Anwar tidak sewajarnya menagih simpati daripada rakyat dengan mengkritik badan kehakiman sedangkan Ketua Pembangkang berkenaan sudah diberikan ruang secukupnya untuk mempertahankan diri di mahkamah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/nurul-nuha-dicabar-beri-penjelasan-1.59011#sthash.nctR3rhl.dpuf


LIWAT : Tiada layanan VIP untuk Anwar dalam jel

SHARAIMEI AHMEDULLAH | 13 Februari 2015 1:52 AM


AHMAD ZAHID HAMIDI bersama Wan Junaidi Tuanku Jaafar (duduk dua kanan), Alwi Ibrahim (kiri) dan Noor Rashid Ibrahim serta anggota Pasukan Pancaragam PDRM selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 12 Feb. - Tiada sebarang layan istimewa bertaraf lima bintang atau ‘VIP’ akan diberikan kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya bekas Ketua Pembangkang tersebut akan diberi layanan sama seperti yang diperoleh banduan lain secara adil dan saksama.

“Terdapat kegusaran yang kononnya Jabatan Penjara telah memberi layanan istimewa dan luar biasa kepada beliau di Penjara Sungai Buloh dan saya ingin mengesahkan Jabatan Penjara melayan semua yang dipenjara itu secara saksama seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Ne­geri, Datuk Alwi Ibrahim; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Baru-baru ini tersebar dalam laman sosial bahawa Anwar mendapat layanan istimewa termasuk menikmati pelbagai kemudahan lain di dalam Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan kelmarin mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.

Mengulas mengenai perhimpunan nyalaan lilin yang dirancang sebagai tanda solidariti kepada Anwar oleh penyokongnya di hadapan Penjara Sungai Buloh semalam, katanya, pihaknya bertindak profesional dalam menangani isu tersebut dan tidak berniat untuk menghalangnya.

“Kita mendapat tahu beberapa perhimpunan sedang dirancang termasuk perhimpunan memasang lilin di depan Penjara Sungai Buloh. Polis bertindak secara profesional dan kita tahu bahawa mereka tidak berhajat melakukan kekecohan dan hanya mahu menunjukkan keprihatinan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, layanan yang diberikan kepada Anwar sama seperti diperoleh banduan lain termasuk dari segi makanan dan tempat tinggal kecuali diberikan sebuah bilik untuk seorang.

“Kita tidak laksanakan ‘double standard’ untuk beliau.Layanan yang diberikan sama seperti banduan lain malah dari segi pertemuan bersama ahli keluarga juga sama iaitu jika mula-mula masuk akan dapat berjumpa sebulan sekali, selepas itu tiga minggu sekali, dua minggu sekali dan seminggu sekali mengikut proses yang telah ditetapkan penjara,’ katanya.

Sementara itu, Noor Rashid memberi peringatan kepada penyokong Anwar supaya mematuhi peraturan dan tidak menimbulkan kekecohan ketika mengadakan perhimpunan bagi menunjukkan sokongan kepada bekas Ketua Pembangkang itu.

“Berdasarkan maklumat beberapa perhimpunan secara aman akan diadakan antaranya di hadapan pusat membeli belah SOGO dan Dataran Merdeka pada hujung minggu ini. Saya nasihatkan apa jua perhimpunan dan perarakan yang akan dilancar mesti mematuhi undang-undang sedia ada dan sekiranya dilanggar polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan ketenteraman awam dijaga,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tiada-layanan-vip-untuk-anwar-dalam-jel-1.59024#sthash.VWFU0yXA.dpuf

POLITIK : 'Kesal kenyataan cetus isu perkauman'

HUSSAINI AMRAN | 13 Februari 2015 1:52 AM


ISMAIL Sabri Yaakob melihat hasil tanaman cili ketika melawat Tapak Projek Perintis Cili Fertigasi Yayasan NAAM di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal kerana kenyataannya tentang isu harga barang telah menimbulkan sentimen perkauman.

Beliau yang juga Ahli Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO berkata, komen menerusi laman Facebook rakannya pada 1 Februari lalu itu dibuat secara tertutup namun menjadi viral dan telah disalahtafsirkan.

“Saya tidak pernah berniat untuk mewujudkan ketegangan dan polarisasi kaum kerana niat saya ketika membuat komen itu adalah jelas ditujukan kepada peniaga-peniaga yang masih degil menurunkan harga barang tanpa mengira kaum.’’ kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, Kabinet juga telah bersetuju bahawa isu berkenaan perlu dihentikan serta-merta kerana Barisan Nasional (BN) akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

“Saya menyeru semua pihak perlu bergerak ke hadapan dan sama-sama memberi fokus kepada usaha untuk menurunkan harga barang. Para pengguna tanpa mengira kaum di negara ini juga perlu bersatu menggunakan kuasa dan hak pengguna bagi mendorong peniaga me­nurunkan harga barang sejajar dengan penurunan harga minyak,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri mempersoalkan alasan seterusnya yang akan diberikan oleh golongan peniaga untuk tidak menurunkan harga barang selepas penurunan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Mac ini?

Beliau beranggapan, golongan peniaga kini sudah ‘muflis’ alasan untuk tidak menurunkan harga barangan.

Kata beliau. sekiranya pasar tani dapat menurunkan harga 73 jenis produk makanan harian antara lima hingga 20 peratus, mengapa para peniaga lain tidak boleh melakukannya.

“Peniaga pasar tani yang me­ngambil dari pemborong juga telah menurunkan harga, kenapa tidak peniaga lain yang juga mengambil dari pemborong?

“Jadi, mereka sudah tiada lagi alasan kerana kita bercakap sekarang tentang kuasa pengguna. Pengguna perlu menggunakan kuasa mereka untuk mendesak peniaga turunkan harga,” katanya selepas mengadakan lawatan di Tapak Projek Perintis Cili Fertigasi Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengasas NAAM, Datuk M. Saravanan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air semalam mengumumkan penurunan tarif elektrik di Semenanjung sebanyak 2.25 sen per kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Mac sehingga 30 Jun ini selaras de­ngan penjimatan semakan semula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, pe­ngurangan itu bakal memberi manfaat kepada 32 peratus pengguna domestik yang melebihi 300 kWj sebulan, komersial serta industri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sekiranya peniaga terus berdegil untuk menurunkan harga, rakyat masih mempunyai kuasa kepenggunaan dengan memilih alternatif lain yang jauh lebih baik seperti pasar tani.

“Apabila saya kata guna kuasa pengguna, bukan boikot semata-mata, tetapi mencari alternatif dan berbagai-bagai lagi, kuasa itu luas,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kesal-kenyataan-cetus-isu-perkauman-1.59025#sthash.fWY6S7BF.dpuf

AL FATIHAH : Nik Aziz meninggal dunia

Negara kehilangan seorang tokoh politik, ulama berpengaruh

AZRAN FITRI RAHIM, 
ZAIN ZIN DAN MOHD. 
HAFIZ ABDUL MUTALIB | 13 Februari 2015 



KOTA BHARU 12 Feb. - Negara kehilangan seorang tokoh politik dan ulama yang berpengaruh apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka di sini kira-kira pukul 9.40 malam ini.

Bekas Menteri Besar yang disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu itu telah dibawa pulang ke rumahnya sejam sebelum itu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 20 Januari lalu.

Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh berkata, seluruh ahli keluarga berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Ayahanda meninggal dunia di sisi seluruh kaum keluarga pada pukul 9.40 malam. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan arwah ayahanda,” katanya dalam sidang akhbar ringkas di pekarangan rumahnya di sini malam ini.

Sementara itu, dalam laman sosial Facebooknya, Nik Mohamad Abduh mengumumkan solat jenazah ayahnya akan diadakan pada pukul 10 pagi esok di Masjid Tok Guru berhampiran rumahnya di Pulau Melaka di sini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin datang menziarahi jenazah ayahnya supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

“Semoga perjalanan tuan puan dari jauh dan dekat diberkati oleh Allah. Harap patuhi segala arahan bagi mengekalkan keselesaan buat semua dan perjalanan ayahanda menuju Tuhannya,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa pemimpin utama Pas negeri ini seperti Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut berada di rumah Allahyarham.

Malah ribuan orang telah memenuhi pekarangan rumah tersebut dan jalan untuk masuk ke Pulau Melaka sesak.

Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke ICU HUSM dan berada dalam keadaan separa kritikal namun keadannya dikatakan agak stabil pada minggu lalu.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru telah mengikuti rawatan kemoterapi untuk mengubati kanser tersebut sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Beliau yang melepaskan jawatan Menteri Besar pada 6 Mei 2013 turut mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapinya dalam temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada awal tahun lalu.

Nik Abdul Aziz yang mula menjadi wakil rakyat selepas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang dikenali Pengkalan Chepa) pada tahun 1967 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 1986 sehingga sekarang.

Sepanjang pentadbirannya sebagai Menteri Besar selama 23 tahun sejak 1990, beliau memperkenalkan sistem pentadbiran Islam malah telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hukum hudud untuk dilaksanakan di ne­geri ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/nik-aziz-meninggal-dunia-1.59028#sthash.fhvtDJTW.dpuf


Thursday, 12 February 2015

UiTM : Undur jika tidak mampu galas amanah Melayu

11 Februari 2015 1:26 AM


SHAH ALAM 10 Feb. –Mana-mana warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang merasakan mereka tidak lagi mampu memikul amanah untuk melahirkan lebih ramai profesional Melayu diingatkan supaya berundur.

ARSHAD AYUB

Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, hal ini demikian kerana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bertanggungjawab sepenuhnya untuk meramaikan siswazah yang mampu bersaing dengan kaum lain.

Beliau juga mengingatkan semua pihak yang diberikan tanggungjawab berkenaan supaya tidak mengkhianati amanah bangsa.

“Semua pihak tidak kira naib canselor, pensyarah atau mahasiswa perlu komited meneruskan agenda untuk mengeluarkan siswazah dalam kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera yang mempunyai daya saing dengan bangsa-bangsa lain.

“Kita perlu ingat, UiTM bukan sembarangan universiti sebagaimana institut pengajian tinggi yang lain di negara ini. Mana-mana pihak yang saya sebutkan tadi jika merasakan sudah tidak mampu memikul amanah yang besar ini, saya sarankan agar berundur dan beri peluang kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2015 dan Konferensi Akademik di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar memberitahu, IPTA tersebut yang sudah melonjak dalam ranking universiti dunia bakal melalui transformasi dalam setiap aspek pentadbiran dan pelaksanaan kursus sedia ada.

“Hari ini saya membentangkan perutusan yang menyentuh tentang transformasi yang akan kita laksanakan bermula tahun ini bagi memastikan UiTM terus kekal relevan dalam menghasilkan mahasiswa yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran," katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/undur-jika-tidak-mampu-galas-amanah-melayu-1.58286#sthash.9uuvIQfG.dpuf


TIBAI dibubar selepas Anwar dipenjara

Masa terbaik Azmin ambil alih kepemimpinan PKR

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 12 Februari 2015 1:48 AM


MUHAMMAD Zahid Md. Arip (kanan) mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) setelah Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam. – UTUSAN /Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Sekarang adalah waktu paling sesuai untuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, melakukan gerakan politik bagi mengambil alih kepemimpinan parti itu daripada Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan liwat kini membuka seluas peluang untuk Azmin meruntuhkan dinasti Ketua Pembangkang itu dalam PKR.

Katanya dalam politik, jika Azmin lambat menggunakan peluang yang terhidang itu, dibimbangi kebarangkalian untuk beliau mendaki puncak tertinggi PKR sebagaimana diimpinya, akan terhalang kerana sudah pasti kumpulan pro-Wan Azizah tidak akan berdiam diri.

“Sebagai seorang berkuasa di Selangor dan berjawatan Timbalan Presiden, saya galakkan supaya Azmin bertindak segera meruntuhkan dinasti Anwar dalam PKR kerana adalah tidak mustahil selepas ini, calon di Permatang Pauh juga ahli keluarga Anwar.

“Jika itu berlaku, semakin sukarlah untuk Azmin memenuhi impiannya menjadi Presiden PKR, sesuatu yang telah sekian lama menjadi idamannya tetapi terhalang kerana Anwar ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat.

Menurut Muhammad Zahid, beliau mendapat maklumat bahawa ramai dalam kalangan pemimpin PKR gembira dengan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar, walaupun terdapat segelintir daripada mereka cuba memperlihatkan rasa sedih dengan mengecam kerajaan.

“Ramai pemimpin dalam PKR ini, kesedihan yang mereka paparkan apabila Anwar dihukum penjara hanyalah lakonan kerana sebenarnya mereka gembira. Ini kerana setelah Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara, gerakan politik mereka akan lebih berjaya,” katanya.

Mengenai pembubaran TIBAI pula beliau berkata, kewujudan pertubuhan itu tidak lagi relevan selepas Anwar dipenjarakan kerana objektif TIBAI ditubuhkan pada 22 April 2012 adalah bagi mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Ketua Pembangkang tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau dan bekas Ahli Majlis Syura TIBAI yang rata-rata merupakan bekas ahli dan penyokong kuat PKR ketika zaman reformasi akan terus berjuang menggunakan kapasiti peribadi, untuk menyedarkan rakyat mengenai keburukan pembangkang.

“Kami berpendapat tugas kami untuk menyedarkan rakyat mengenai siapa sebenarnya Anwar sudah selesai, walaupun tidak sebesar mana sumbangan itu tetapi jauh di sudut hati, kami semua berpuas hati dengan apa yang telah diperjuangkan selama ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tibai-dibubar-selepas-anwar-dipenjara-1.58655#sthash.kWvkOzxx.dpuf


LIWAT : Rakyat asing ulas kes Anwar jadi viral

KAMIL MASLIH | 12 Februari 2015 1:48 AM

2508 3 Google +3

ULASAN John Preston tentang Anwar Ibrahim dalam Facebook, semalam

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Ulasan seorang pengguna Facebook yang berbangsa Inggeris menjadi viral dalam media sosial kerana menyokong hujah hukuman penjara dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Bagi pengguna Facebook ber­kenaan, John Preston, Anwar telah diberi peluang untuk memberi kete­rangan bersumpah bagi membela dirinya di mahkamah namun kesempatan itu langsung tidak digunakan.

“Dia mempunyai mulut yang besar (banyak bercakap) di luar mahkamah tetapi di dalam mahkamah, dia tidak berkata apa pun.

“Ia banyak mengkritik sistem perundangan namun penjara sebenarnya penuh dengan mereka yang mendakwa mereka tidak melakukan (kesalahan),” kata pengguna Facebook itu dalam kiriman media sosial yang tersebar meluas hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar terhadap kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari dan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Menurut Preston, banyak fakta yang menyabitkan Anwar kepada sabitan bersalah itu termasuk keengganan Anwar untuk bersum­pah dengan kitab suci al-Quran.

“Daripada apa yang saya baca, Anwar telah menarik balik saksi alibinya kerana ada bukti kamera litar tertutup (CCTV) yang akan menyangkalnya... bukti DNA (asid deoksiribonukleik) juga 100 peratus berpadanan,” katanya.

Katanya, Anwar perlu menjalani hukuman itu dan beliau berharap Anwar berhenti untuk menjatuhkan lagi kedudukan Malaysia.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/rakyat-asing-ulas-kes-anwar-jadi-viral-1.58658#sthash.oy4wGZci.dpuf



AS, Australia tidak perlu tunjuk pandai

ANALISIS

ZULKIFLEE BAKAR | 12 Februari 2015 1:48 AM

SEPERTI diduga Amerika Syarikat (AS) dan Australia kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mendapati Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Mereka mempersoalan keputusan itu dan mengaitkannya dengan soal kebebasan kehakiman serta kedaulatan undang-undang di negara ini. Ternyata kedua-dua negara masih lagi bersikap jahil dan jumud dalam memperkatakan soal tersebut.

Ternyata sekali, kenyataan yang dibuat hanya berlandaskan kepada emosi semata-mata dan bukannya berdasarkan kepada fakta. Apakah pada pandangan mereka hanya Anwar didapati tidak bersalah sahaja sistem kehakiman negara ini dianggap bebas dan kedaulatan undang-undang ditegakkan?

Anwar bukannya dihukum secara membuta tuli tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta kes seperti mana yang tertera dalam penghakiman yang dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria. Malah kalau mahu dikaji kes Anwar boleh dianggap paling unik dalam sejarah undang-undang negara apabila kes itu berlanjutan selama 6 tahun, 5 bulan, 10 hari dengan penangguhan sebanyak 115 kali dan 18 kali rayuan permohonan.

Malah Anwar juga diberi peluang untuk membela diri dengan seluas-luasnya apabila diwakili oleh 14 peguam yang mempunyai latar belakang hebat-hebat belaka. Sepatutnya sebelum AS dan Australia membuat apa-apa hujah mereka perlu satu demi satu fakta kes tersebut. Kaji secara mendalam barulah membuat ulasan.

Tetapi sudah menjadi dasar kedua-dua negara itu, mereka mahu orang lain mengikut apa kehendak mereka apatah lagi jika seseorang itu mempunyai hubungan baik dengan mereka. Namun tindakan AS dan Australia yang seolah-olah mahu mengajar negara ini soal kebebasan kehakiman dan hak asasi manusia ibarat ‘ayam berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis’.

Oleh itu, tidak payahlah kita memeningkan kepala memikirkan keceluparan kedua-dua negara itu untuk mencampuri urusan dalaman negara ini. AS dan Australia sepatutnya belajar untuk menghormati kedaulatan negara ini.

Jangan cuba tunjuk pandai untuk mengajar negara ini bagaimana untuk menegakkan keadilan. Banyak lagi kes-kes di kedua-dua negara itu yang menunjukkan mereka tidaklah sehebat mana dalam soal hak asasi manusia. Kita tidak perlu sebut kes, semua orang tahu. Justeru tindakan mereka juga ibarat ‘tunding kain orang lain terkoyak kain sendiri sudah terlondeh.’’

Apa yang penting AS dan Australia perlu belajar lagi untuk menentukan apakah hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman hanya terpakai untuk pemimpin-pemim­pin pembangkang di negara ini sahaja sehingga nasib rakyat kecil seperti Mohd.Saiful Bukhari tidak perlu diambil kira?

Jika AS dan Australia berasa kecewa dengan keputusan mahkamah, majoriti rakyat negara ini lebih kecewa kerana kedua-dua negara itu masih belum mahu belajar erti menghormati kedaulatan undang-undang negara lain dan akibat sikap itulah banyak negara Islam porak-peranda kerana mereka!

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/as-australia-tidak-perlu-tunjuk-pandai-1.58657#sthash.yfqOYNQX.dpuf

POLITIK : Mohamed Azmin sedia pikul tanggungjawab Ketua Pembangkang

FARHANA JONI | 12 Februari 2015 1:48 AM


MOHAMED Azmin Ali bercakap kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara China Railway Engineering Corporation, Bismark Construction and Engineering Sdn. Bhd. dan Malaysian Building Society Berhad di Hotel Grand Dorsett Subang, semalam. – utusan /Riduan Rizal Ahmad

SUBANG 11 Feb. – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, beliau bersedia melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab jika dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau bersyukur sekiranya beliau dipilih untuk menggantikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan hukuman penjara lima tahun.

“Alhamdulillah kalau dipilih dan saya akan buat kerja. Apa juga amanah yang diberi saya akan laksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu, beliau akan melihat keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat terlebih dahulu sama ada beliau bersedia atau tidak untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Bukan soal saya mahu atau tidak tetapi kekuatan Pakatan Rakyat adalah kita melakukan perbincangan dan membuat keputusan atas muafakat serta konsensus. Jadi, kita tunggu mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang, Jumaat nanti,” katanya.

Jelas Menteri Besar Selangor itu, pakatan pembangkang mempunyai ramai pemimpin yang berupaya dan cekap untuk menjadi ketua, jadi mereka perlu berbincang terlebih dahulu siapa yang layak.

“Kemudian kita akan membuat pilihan berdasarkan keputusan konsensus kesemua ketua pakatan,” ujarnya.

Sementara itu beliau menegaskan Anwar akan terus menjadi Penasihat Ekonomi Selangor meskipun menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selepas atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Anwar kekal menjadi penasihat. Kenapa tidak? Maksud saya, beliau boleh menyuarakan pesanan menerusi peguam dan keluarganya.

“Malah pakatan masih memerlukan nasihat dan tunjuk ajar beliau,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/mohamed-azmin-sedia-pikul-tanggungjawab-ketua-pembangkang-1.58656#sthash.5Yg9RagN.dpuf

Tarif elektrik turun

Semenanjung 2.25 sen, Labuan dan Sabah 1.20 sen per kWj

SAIFULIZAM MOHAMAD | 12 Februari 2015 1:54 AM


MAXIMUS JOHNITY ONGKILI bersama Mahdzir Khalid (kiri) dan Loo Took Gee semasa sidang akhbar mengenai penjimatan semakan semula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT) dan kesannya terhadap tarif elektrik di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Putrajaya, semalam. – BERNAMA


PUTRAJAYA 11 Feb. - Kementerian Tenaga, Tek­nologi Hijau dan Air hari ini mengumumkan penurunan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 2.25 sen per kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Mac sehingga 30 Jun ini selaras dengan penjimatan semakan semula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini dan pengurangan itu bakal memberi manfaat kepada 32 peratus pengguna domestik yang melebihi 300 kWj sebulan, komersial serta industri.

Beliau berkata, kos penjimatan ICPT yang dilepaskan kepada pengguna-pengguna dalam bentuk tarif lebih rendah adalah sebanyak RM727 juta setelah mengambil kira penurunan bahan api dan penjanaan.

“Keputusan ini juga akan membolehkan pengguna-pengguna domestik terbabit bakal menikmati pengurangan bil elektrik dalam lingkungan RM13.50 hingga RM45 sebulan iaitu berdasarkan kadar penggunaan bulanan elektrik mereka.

“Jemaah Menteri turut bersetuju dengan cadangan kementerian supaya kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj berkuatkuasa juga pada 1 Mac sehingga 30 Jun ini,'' katanya ketika mengumumkan ICPT dan kesannya terhadap tarif elektrik di sini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Loo Took Gee.

Untuk rekod, purata kadar tarif elektrik di Semenanjung Malaysia pada masa ini adalah sebanyak 38.53 sen/kWj manakala di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 34.52 sen/kWj.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, bagi Semenanjung Malaysia penjimatan ICPT itu diterjemahkan dalam bentuk pengurangan tarif sebanyak 2.25 sen/kWj atau 5.8 peratus daripada purata tarif elektrik iaitu 38.53 sen/kWj.

“Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan penurunan tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj itu mewakili penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa iaitu 34.52 sen/kWj,'' katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan pengguna-pengguna domestik yang menggunakan elektrik 300 kWj dan ke bawah sebulan yang dianggarkan sebanyak 68 peratus tidak terlibat dengan keputusan hari ini.

Beliau berkata, ini disebabkan 2 faktor;

- Kadar tarif untuk jaluran asas 0-200 kWj kekal pada 21.8 sen/kWj sejak 1997

- Kadar tarif untuk penggunaan 201-300 kWj sebulan telah dikekalkan pada 33.4 sen/kWj sejak 2009.

Selain itu beliau berkata, terdapat kira-kira sejuta pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam jaluran asas dengan bil sebanyak RM20 dan ke bawah ditanggung oleh kerajaan.

“Oleh itu mereka tidak terlibat dalam penurunan tarif ini. Pemberian subsidi yang berjumlah RM150 juta ini juga meliputi pengguna-pengguna elektrik di Sabah dan Sarawak,'' ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan itu juga adalah hasil semakan oleh pihak kementerian dan Suruhanjaya Tenaga ke atas ICPT bersandarkan pada prestasi sebenar loji-loji jana kuasa dan kos sebenar bahan api merangkumi gas berpaip, gas asli cecair dan arang batu yang digunakan dalam penjanaan tenaga elektrik.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tarif-elektrik-turun-1.58663#sthash.S3Ua1sZk.dpuf


Wednesday, 11 February 2015

HASUTAN : Polis cadang kumpulan 
SSKM dituduh di mahkamah

11 Februari 2015 1:27 AM


KOTA KINABALU 10 Feb. – Polis telah mengemukakan kertas siasatan berhubung tangkapan individu yang didakwa kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) kepada Timbalan Pendakwa Raya termasuk mencadangkan tuduhan di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.

JALALUDDIN ABDUL RAHMAN

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, cadangan itu dibuat pihaknya selepas mendapati tindakan kumpulan dan penyokong SSKM tersebut mampu mengganggu-gugat keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini.

Malah, jelas beliau, pihaknya turut mengenal pasti pemimpin mahupun parti politik yang menjadi dalang kumpulan itu bergiat aktif.

“Setakat ini kita telah menahan 14 individu, masing-masing di Tuaran dan Lahad Datu pada minggu lalu serta baru-baru ini.

“Terbaharu, tangkapan lima individu di Lahad Datu, kesemua mereka ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 1 Februari lalu, polis menahan sembilan individu termasuk tiga wanita kerana mengedar risalah dan membuat pungutan suara SSKM di pasar tamu Tuaran, dekat sini.

Sabtu lalu pula, polis menahan lima lagi individu di sekitar pekan Lahad Datu sambil merampas 200 risalah, baju dan topi yang tertera perkataan SSKM.

Jalaluddin memberitahu, pihak­nya telah memperoleh waran tangkap ke atas individu dikenali sebagai Doris Jones yang dipercayai dalang kepada aktiviti SSKM.

Setakat ini, kata beliau, pihak­nya hanya memperoleh waran tangkap terhadap individu berkenaan.

Mengulas tentang laman web SSKM, menurutnya, polis mempunyai pasukan khas untuk memantau kenyataan yang dikeluarkan berhubung SSKM termasuk laman web kumpulan itu.

“Kita ada pasukan khas. Setiap hari kita akan pantau dan buat laporan polis termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika terdapat elemen menghasut kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin memaklumkan perintah berkurung di pantai timur Sabah dilanjutkan bermula esok sehingga 26 Februari ini.

Kata beliau, lanjutan perintah berkurung itu dibuat pihaknya mengambil kira tiga aspek iaitu, jaminan kepada keselamatan dan aktiviti pelancongan di daerah-daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Kedua, memudahkan penguat kuasa menjalankan tugas-tugas mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta ketiga, jaminan daerah-daerah di pantai timur Sabah selamat daripada aktiviti penculikan selain cubaan menceroboh oleh penculik untuk tebusan (KFR) dan kumpulan yang mendakwa tentera Sulu,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-cadang-kumpulan-8232-sskm-dituduh-di-mahkamah-1.58290#sthash.AClN4Uj8.dpuf


LIWAT : Penyokong Saiful bersurai secara aman

11 Februari 2015 1:37 AM


Penyokong Mohd. Saiful Bukhari Azlan turut mengikuti keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 10 Feb. – Penyokong Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersurai dengan aman selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.

Sepanjang sesi pendengaran keputusan kes tersebut hari ini, sebanyak 500 penyokong Mohd. Saiful Bukhari berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman sejak pukul 8.30 pagi yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Suara Inspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan.

Mereka yang hadir akur mendengar arahan bersurai daripada Suhaimi selepas mahkamah membuat keputusan bagi mengelakkan sebarang provokasi daripada penyokong Anwar yang turut berkumpul seawal pukul 8 pagi.

Menurut Suhaimi, 500 penyokong itu merupakan rakyat yang prihatin dengan nasib Mohd. Saiful Bukhari selain ingin melihat keadilan ditegakkan.

“Kehadiran penyokong Mohd. Saiful Bukhari ini bukan ditaja sesiapa seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak daripada pakatan pembangkang, sebab itu juga pergerakan kita tidak teratur sebagaimana penyokong Anwar.

“Saya ingin tegaskan bahawa sokongan ini berdasarkan kepada keprihatinan rakyat dan pihak kami menerima segala keputusan mahkamah hari ini. Alhamdulillah nampaknya keputusan menyebelahi Mohd. Saiful Bukhari,” katanya ketika ditemui pemberita di di sini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lalu terhadap sabitan meliwat Mohd. Saiful Bukhari.

Menurut Suhaimi, keputusan Mahkamah Persekutuan itu me­nunjukkan badan kehakiman negara amat adil dalam membuat sebarang keputusan walaupun didesak pelbagai pihak memandangkan kes berkenaan melibatkan individu berprofil tinggi.

“Saya minta semua pihak me­nerima keputusan ini dan keputusan yang telah dibuat ini tidak perlu dipertikaikan kerana apa yang diputuskan tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur politik,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penyokong-saiful-bersurai-secara-aman-1.58311#sthash.JlBifTLH.dpuf


Penyokong Anwar cetus provokasi rempuh sekatan

11 Februari 2015 1:37 AM


PENYOKONG Anwar Ibrahim cuba merempuh masuk ke pekarangan Istana Kehakiman selepas Ketua Pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/IRWAN MAJID

PUTRAJAYA 10 Feb. - Para penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan provokasi apabila cuba merempuh penghadang besi yang diletakkan di pintu belakang Istana Kehakiman di sini hari ini.

Sebelum kejadian, kesemua penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkumpul di pintu hadapan pekarangan Istana Kehakiman tersebut sebelum bertindak bergerak ke pintu belakang bagi memberi lambaian terakhir buat Anwar.

Keadaan bertambah tegang apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua cuba melakukan provokasi me­rempuh masuk ke dalam kawasan tersebut, meskipun pihak polis tidak membenarkannya masuk.

Bagaimanapun, beliau tetap berdegil masuk ke pekarangan Istana Kehakiman meskipun polis mengawal ketat kawasan tersebut.

Tian Chua bersama beberapa pemimpin PKR seterusnya berjaya memasuki kawasan pekarangan Istana Kehakiman kira-kira pukul 1 petang.

Susulan daripada itu, penyokong-penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh sekali lagi membuat provokasi apabila mereka merempuh pagar untuk masuk di pekarangan Istana Kehakiman dan mula tidak mengendahkan arahan polis selepas melihat kenderaan yang membawa Anwar keluar dari kawasan tersebut.

Bagaimanapun, kekecohan berjaya dileraikan selepas polis berjaya menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kha Heng kira-kira pukul 3 petang kerana merempuh pagar dan menghalang kereta polis keluar dari kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika ditemui mengesahkan perkara tersebut membe­ritahu, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang mencetuskan huru-hara kerana mengganggu perjalanan prosiding mahkamah.

Katanya, meskipun pada awalnya perjalanan sepanjang proses tersebut berjalan lancar namun terdapat segelintir penyokong Anwar menimbulkan kekecohan menerusi percubaan merempuh penghadang besi.

“Kita telah maklumkan kepada mereka bahawa penyokong tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah dan mereka hanya boleh berada di luar Istana Kehakiman.

“Namun mereka tetap berdegil dan mengganggu anggota kami dalam menjalankan tugas,” katanya.

Mengenai penahanan ADUN Simpang Pulai, Abdul Razak memberitahu Kha Heng akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, hampir lebih 500 penyokong Anwar berhimpun di hadapan Istana Kehakiman sejak pukul 8.30 pagi dan menggunakan kesempatan berkenaan de­ngan menganjurkan demonstrasi di kawasan berkenaan sambil mengutuk institusi kehakiman yang didakwa berat sebelah.

Namun penyokong Anwar ber­tindak meninggalkan pekarangan Istana Kehakiman sebaik sahaja keputusan rayuan kes liwat pe­mimpin pembangkang tersebut ditolak Mahkamah Persekutuan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penyokong-anwar-cetus-provokasi-rempuh-sekatan-1.58313#sthash.u8PxgK8u.dpuf