Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 25 June 2014

WORLD CUP 2014 - Iran harap nasib memihak mereka


PEMAIN-Pemain Argentina, (dari kiri) Maximiliano Rodriguez, Ricky Alvarez dan Hugo Campagnaro berlatih membuat hantaran pendek dan mengawal bola sewaktu sesi latihan pasukan itu di Belo Horizonte semalam. Argentina akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Nigeria esok. - AFP

SALVADOR - Ashkan Dejagah yakin Iran mampu menamatkan kemarau gol dengan menewaskan Bosnia, esok untuk melangkah ke peringkat 16 pasukan akhir Piala Dunia.

Iran kini berada di tangga ketiga Kumpulan F dengan satu mata selepas melakar keputusan seri tanpa jaringan dengan Nigeria, serta tumpas kepada Argentina 0-1 setelah Lionel Messi meledakkan gol pada masa tambahan.

Di Salvador, Iran perlu menewaskan Bosnia-Herzegovina yang telah pun tersingkir, sambil berharap Nigeria gagal memungut sebarang mata pada perlawanan menentang Argentina di Porto Alegre (12 tengah malam esok waktu Malaysia).

Stadium Arena Fonte Nova telah pun menyaksikan 17 gol diledakkan dalam tiga perlawanan selepas Belanda membelasah Sepanyol 5-1, Jerman membenam Portugal 4-0, dan Perancis menumbangkan Switzerland, 5-2. Apa yang perlu dilakukan Iran sekarang adalah meledakkan beberapa gol di stadium tersebut.

Sekiranya mereka menang dan Nigeria kalah, kedua-dua pasukan akan menamatkan saingan kumpulan dengan mengumpul empat mata, dan perbezaan jaringan bakal menentukan skuad yang akan ke peringkat 16 pasukan akhir menentang pemenang Kumpulan E di Brasilia pada Selasa depan.

Dejagah berkata, skuadnya perlu bangkit untuk melakar kemenangan setelah kecewa kerana kecundang di tangan Argentina.

"Kami masih mempunyai peluang untuk meneruskan cabaran, dan siapa yang terfikir bahawa kami mampu bertahan lebih lama berbanding England dan Sepanyol pada Piala Dunia. Semangat kami terjejas selepas perlawanan menentang Argentina setelah terpaksa menerima hakikat bagaimana perlawanan itu berakhir.

"Kami berusaha untuk menjadikan pertemuan itu sukar buat mereka, dan dengan sedikit tuah, kami sebenarnya mampu mencipta kemenangan pada perlawanan itu, atau pun melakar keputusan seri. Saya berharap, kami dapat membuktikan kepada dunia bahawa Iran mampu bermain bola sepak," kata Dejagah.

Sementara itu, Bosnia yang kini dalam perjalanan pulang selepas kalah dalam perlawanan pembukaan dengan Argentina 1-2, dan tewas kepada Nigeria 0-1, Ahad lepas, skuad bimbingan Safet Susic itu berikrar menebus maruah mereka dengan kemenangan.

Kekalahan dalam dua pertemuan pertama menyaksikan kempen Bosnia pada Piala Dunia di peringkat kumpulan berakhir, tetapi penye­rang, Edin Dzeko mahu berundur daripada pertandingan itu dengan gaya yang tersendiri.

Dzeko ternyata berang selepas pasukannya kalah kepada Nigeria apabila jaringan awalnya dinafikan penjaga garisan kerana dia dikatakan ofsaid, tetapi rakaman video menunjukkan pemain itu jelas tidak berada di kedudukan tersebut. - REUTERS



WORLD CUP 2014 - Perancis sasar rekod bersih


Mathieu Debuchy (kiri) bergaya untuk seorang peminat ketika diminta bergambar sebelum menyertai sidang akhbar di Ribeirao Preto semalam. - AFP

RIO DE JANEIRO - Perancis mahu meneruskan perm­ulaan bertenaga mereka dalam aksi Kumpulan E, esok pada pertemuan dengan Ecuador selepas hanya memerlukan satu lagi mata bagi menjamin kedudukan mereka untuk muncul sebagai pendahulu kumpulan, dan sekali gus memadamkan kempen memalukan Les Blues, empat tahun lalu di Afrika Selatan.

Bagaimanapun, Ecuador yang kini berada di tangga kedua kumpulan dilihat terdesak untuk membuat kejutan dengan me­rakam kemenangan ke atas bekas juara dunia itu sekiranya mereka mahu ke pusingan kedua.

Ecuador mengatasi Switzerland yang hanya ketinggalan dari segi perbezaan gol, tetapi dilihat memiliki kelebihan kerana akan bertemu Honduras.

Perancis mendahului Kumpuan E dengan enam mata diikuti Ecuador, dan Switzerland yang mengumpul tiga mata, manakala Honduras masih belum mengutip mata selepas kalah dua perlawanan sebelum ini.

Pemain pertahanan, Mathieu Debuchy berkata, kemenangan atau seri amat penting buat Perancis kerana mereka dapat mengelak pertemuan dengan Argentina pada pusingan seterusnya.

"Kami masih belum lagi memikirkan tentang pusingan berikutnya, namun jika boleh mengelak pertemuan dengan Argentina dengan muncul sebagai pendahulu kumpulan, ia akan menjadi perkara yang baik," kata pemain berusia 28 tahun itu.

Katanya, skuad bimbingan Didier Deschamps itu mempunyai masa yang menggembirakan pada pertandingan tersebut, namun mereka tidak terlalu yakin.

"Kami memberi fokus penuh terhadap Ecuador. Kami berbincang bersama-sama, dan sebagai sebuah kumpulan, kami telahpun melihat terdapat banyak kejutan pada kejohanan ini," tambah Debuchy.

Pengendali Ecuador, Reinaldo Rueda dijangka membariskan pasukan sama yang menewaskan Honduras 2-1, sekali gus menghidupkan peluang mara ke peringkat 16 akhir selepas kalah kepada Switzerland dalam perlawanan pembukaan kumpulan.

Rueda pada masa sama percaya, Honduras mampu membuat kejutan dengan menumpaskan Switzerland yang terikat dari segi pungutan mata dengan Ecuador.

"Honduras merupakan sebuah pasukan yang penuh dengan karakter, dan memiliki pemain berpengalaman. Saya pasti mereka akan berjuang habis-habisan.

"Marilah berharap mereka mampu mengutip mata menentang Switzerland kerana ia agak penting bagi kami asalkan kami mendapat keputusan yang baik sewaktu bertemu Perancis," katanya. - REUTERS




LIGA SUPER - Pemain tentukan sendiri nasib JDT - Bojan

Oleh MD AZRIN ROSLY DAN MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Ryan Griffiths akan kembali berkhidmat buat Sarawak malam ini setelah tempoh penggantungannya tamat.

KUCHING - Segalanya kini terserah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usaha menamatkan pemburuan gelaran Liga Super dengan kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching malam ini akan mengesahkan Harimau Selatan muncul juara tanpa mengambil kira apa jua keputusan antara PKNS dan Selangor.

Jurulatih JDT, Bojan Hodak menegaskan, halangan utama buat anak-anak buahnya adalah kekuatan mental untuk berdepan Sarawak yang diakuinya cukup liat tiap kali bermain di tempat sendiri.

"Buat masa ini, bukan lagi soal kecederaan pemain yang menjadi persoalan namun sejauh mana mereka mampu terjemahkan aksi yang diharapkan di atas padang ketika tekanan semakin memuncak.

"Bukan senang bermain di sini tetapi para pemain saya kena ingat peluang menjuarai Liga Super berada di bawah kawalan kami pada masa sekarang kerana jika menang, trofi menjadi milik kami.

"Saya harap para pemain tidak sia-siakan peluang ini malah saya yakin mereka akan tampilkan salah satu persembahan paling istimewa pada malam esok, walaupun berdepan ribuan penyokong tuan rumah (malam ini)," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Bojan, dia tiada berdepan masalah kecederaan selain menarik nafas lega dengan kehadiran semula jeneral di bahagian pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi bagi berdepan Sarawak.

Bagi pasukan Sarawak, mereka enggan memberi laluan mudah kepada JDT untuk merangkul kejuaraan Liga Super 2014 dengan menampilkan barisan terkuat dalam perlawanan akhir liga di Stadium Negeri di sini malam ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, kehadiran semula penyerang import, Ryan Griffiths yang bebas daripada penggantu­ngan memudahkannya untuk merencanakan strategi terbaik bagi mengekang kemaraan JDT.

Katanya, seorang lagi penyerang, Muamer Salibasic juga bakal diturunkan sekiranya lulus ujian kecergasan terakhir.

"Kami memerlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga dan menghadiahkan tiga mata penuh kepada penyokong setia Ngap Sayot.

"Sarawak tidak akan memberi laluan mudah kepada JDT. Jadi, saya akan menurunkan skuad penuh pada malam esok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Skuad Harimau Selatan dijangka berdepan dengan kesukaran untuk menjulang kejuaraan liga musim ini memandangkan Selangor masih berpeluang menjuarai liga jika JDT mencatatkan keputusan kurang memberansangkan apabila menentang Sarawak.

JDT yang mengumpul 41 mata perlu menang dalam perlawanan itu untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka kerana Selangor hanya mengekori mereka dengan satu mata.

Tambah Alberts, motivasi anak buahnya juga berada pada tahap terbaik bagi menghadapi JDT yang pasti berusaha sedaya upaya untuk meraih tiga mata.

"Saya fikir peluang adalah 50-50 asalkan para pemain kita memberi sepenuh fokus terhadap perlawanan itu nanti.

"Tidak mustahil kita boleh melakarkan kemenangan menentang pasukan yang berstatus bintang itu," ujarnya.

Sarawak menghuni tangga ketujuh dengan mengumpul 30 mata, manakala JDT kini menerajui carta liga dengan 41 mata selepas 21 perlawanan.



Bersediakah Melayu lepaskan hak?

Oleh Zulkifli Jalil



PERNAHKAH sesiapa melihat orang Melayu dan beragama Islam dalam jumlah makro, masih lagi belajar membaca muqaddam.

Dengan kata lain, masih bertatih membaca alif ba ta dalam usia 50-an. Inilah pengalaman yang pernah diceritakan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Kongres Melayu Nusantara (KMN) kepada penulis sepanjang pengembaraan ke Thailand, di satu daerah bernama Nakhon Sawan akhir tahun ini.

Itu antara catatan pengalaman berharga yang dikutip mereka semasa berpeluang melihat sendiri budaya hidup orang Melayu Siam di negeri Gajah Putih itu.

"Kedaifan masyarakat Melayu di negeri yang majoriti penganutnya beragama Buddha itu terserlah dalam episod kehidupan mereka di Nakhon Sawan. Di daerah yang dijejaki pertubuhan ini, orang Melayu Islam hanya pandai bersolat dan membaca ayat lazim sekadar melengkapkan rukun ibadah wajib tersebut," kata Yang Dipertua KMN, Datuk Tengku Shaifulliazan Tengku Zainal Abidin (gambar).

Namun apa yang menyedihkan, kata Tengku Shaifulliazan, mereka masih ‘merangkak-rangkak’ membaca al-Quran disebabkan guru agama dari selatan Thailand hanya datang setahun sekali ke kampung tersebut.

Jauh di sudut hati terfikir oleh beliau betapa beruntungnya orang Melayu di Malaysia kerana dapat hidup sejahtera dan dapat belajar agama Islam dengan segala kemudahan daripada guru agama hingga ke institusi pengajian Islam.

Namun hari ini, kata beliau, apa yang menyedihkan wujud sebilangan orang Melayu dan Islam di negara ini sanggup mengorbankan hak istimewa mereka kerana politik kepartian yang langsung tidak bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.

Lebih teruk lagi, orang Melayu hari ini sanggup berpolitik dengan skripnya ditulis oleh pihak lain sehingga pemimpin Melayu dan Islam yang suatu dahulu gah dengan agenda Islam sanggup mengetepikan hak sendiri, semata-mata kerana mahu menang pilihan raya.

Sikap pemimpin parti terbabit bersekongkol dengan pihak yang cuba menidakkan hak istimewa bangsanya dan meminggirkan institusi diraja amat dikesalkan.

"Parti politik yang bertunjangkan Islam kini sudah bertukar perjuangan. Dan dianggap menjadi pengikut parti yang memperjuangkan kesamarataan dan menghapuskan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sedangkan, tanpa DEB nasib orang Melayu akan senasib orang Melayu seperti di Thailand, Kemboja dan Vietnam," kata Tengku Shaifulliazan lagi.

Suatu ketika timbul isu pemimpin pembangkang mahu mengurangkan 50 peratus penjawat awam jika mereka berkuasa kelak. Ini perlu diambil perhatian oleh orang Melayu memandangkan hampir 90 peratus penjawat sektor tersebut adalah orang Melayu.

DEB sebenarnya merupakan perisai orang Melayu dan satu-satunya Kerajaan Pusat di dunia yang mampu melaksanakan dasar sehebat itu adalah Barisan Nasional (BN). Atas dasar itu, orang Melayu jangan teragak-agak untuk menyatakan sokongan terhadap BN selagi dasar itu dan dasar seumpama dengannya terus membela orang Melayu.

Adakah orang Melayu bersedia untuk melepaskan hak mereka yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sejak 31 Ogos 1957 lagi?

Hak tersebut adalah mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negara, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153, institusi raja dan lain-lain lagi. Hari ini, parti pembangkang menghalalkan segalanya demi mencari undi pelbagai golongan rakyat sedangkan ia mengancam hak majoriti orang Melayu.

"Hari ini sebilangan orang Melayu melihat perjuangan individu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perjuangan beliau tetapi perjuangan DAP yang membawa agenda Malaysian Malaysia.

"Pas pula bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang tetapi DAP yang agendanya dibawa oleh PKR. Malangnya orang Melayu masih lagi tidak sedar hak mereka sedang terancam," kata Tengku Shaifulliazan.

Di Selangor, kata beliau, orang Melayu sudah melihat model negara yang akan dibentuk oleh parti pembangkang jika mereka berjaya dalam misi ke Putrajaya. Orang Melayu semakin kehilangan hak mereka sedikit demi sedikit akibat diulit janji-janji manifesto penuh pesona.

Isu premium tanah yang dikenakan mengikut harga pasaran kepada pemilik tanah di Selangor yang menerima Borang 5A membuka mata rakyat yang selama ini dimomokkan oleh slogan Kerajaaan Negeri Selangor iaitu ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.

Bayangkan seekar tanah, rakyat perlu membayar RM38,000 untuk bayaran premium di kawasan Tanjung Karang. Jika dua ekar tanah sudah jadi RM72,000. Bagaimana rakyat yang bekerja sebagai peladang hendak membayar premium tersebut semata-mata ingin mendapat geran.

Kesudahannya, dibimbangi tanah orang Melayu terlepas ke tangan orang asing yang sanggup membayar premium tersebut. Lebih menakutkan perkara ini telah dan sedang berlaku di Selangor.

"Alasan kerajaan negeri Selangor hanya mengikut harga pasaran suatu yang tidak logik sama sekali sedangkan semasa era BN memerintah, perkara begini tidak pernah berlaku.

"Premium untuk seekar tanah di kawasan sama hanyalah RM359 sahaja dan rakyat tidak tertekan untuk membayar jumlah tersebut," kata beliau.

Isu premium tanah menjadi duri dalam daging buat kerajaan PKR Selangor kerana isu tanah melibatkan maruah orang Melayu yang sudah pasti tidak mahu kehilangan hak untuk berpijak di tanah sendiri.

Dunia Melayu menganjur dari Thailand, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Brunei, Filipina dengan orang Moro, Indonesia dan seterusnya ke Cape Town, Afrika Selatan.

Cabaran orang Melayu memang besar kerana berdepan dengan persepsi masyarakat dan arus politik yang penuh dengan pelbagai agenda dan muslihat pemain-pemainnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140625/re_07/Bersediakah-Melayu-lepaskan-hak#ixzz35c4T8tTX  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Semua orang salah, kecuali diri sendiri!





Oleh Fauziah Arof

JIKA kita tidak boleh membuat kebaikan di dunia ini, di manakah lagi kebaikan itu akan dilakukan?

Dan jika tidak melakukan perkara yang baik-baik ketika hayat masih ada, berkesempatan lagikah melakukannya ketika sudah tiada?

Melihat pada banyak respon kes seorang remaja, orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam sebuah bilik di rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan, terlintas dalam fikiran saya, adakah rasa simpati yang sama akan ditunjukkan apabila kita berdepan dengan orang yang mengadu kesusahan kepada kita?

Sedangkan, apabila datang tidak kira kanak-kanak, orang buta atau orang tua yang meminta derma mahupun sedekah kepada kita ketika menjamu selera atau di stesen minyak, ramai yang berpaling, bukan saja tidak menolong tetapi bising-bising, mencebik dan menuduh ini semua satu sindiket penipuan.

Tidakkah kita pernah terfikir mungkin di rumahnya ada anak serupa Muhammad Firdaus yang perlu diberi makan, ada anak-anak yang pergi ke sekolah dengan perut yang lapar dan ada ibu yang sakit-sakit tetapi hanya mampu menelan pil Panadol?

Ya betul, semua orang ada kesusahannya sendiri tetapi jika keperitan hidup seperti ini tidak diambil peduli oleh masyarakat sekeliling termasuk pihak yang memegang macam-macam dana bantuan, tidak mustahil akan ada banyak lagi isu dan kejadian yang menyedihkan timbul kerana kemiskinan dan kedaifan ini.

Dan masa itu, kita juga akan mengutuk dan memaki-maki di laman sosial me­nyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.

Bila isu itu membabitkan OKU, kita pun mengaku kasihan dan simpati dengan nasib mereka tetapi segala kemudahan mereka, kita juga yang guna seperti tandas dan tempat letak kereta khas OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka. Tandas dikunci oleh pihak pengurusan premis dan mereka terpaksa bertongkat berjalan jauh dari tempat letak kereta.

Sebenarnya, jika kita sendiri tidak mampu memberi bantuan wang ringgit kerana tahap kewangan sendiri pun hanya mampu bertahan beberapa hari sebelum cukup bulan, kita boleh membantu dengan mengemukakan masalah mereka yang hidup susah dan mengadu kepada kita ini kepada yang orang yang mampu atau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan lain-lain.

Baru-baru ini saya ditunjukkan satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh anak saya yang dihantar oleh kawannya, mengadu dia berasa lapar tetapi ibunya seorang ibu tunggal yang punya enam lagi anak tidak ada duit untuk membeli makanan. Anak yang berusia 14 tahun itu, memberitahu bahawa dia malu untuk meminta-minta tetapi dia dan adik-adiknya lapar.

Lalu saya pergi ke rumahnya di flat kos rendah, Seksyen 8 Shah Alam. Ibunya tidak bekerja, hanya membuat kuih jika ada modal. Dia pun baru keluar hospital.

Dia memberitahu banyak prosedur untuk mendapatkan bantuan. Sama ada betul atau tidak dakwaannya itu, pihak berkenaan perlulah jawab.

Maklumlah, sebab ada juga orang susah yang mendakwa tidak tahu meminta bantuan JKM, sebab tak tahu cara-caranya.

Saya pun tidak pasti apakah prosedur yang perlu dilalui oleh orang yang susah ini untuk mendapat bantuan, tetapi kalau orang itu benar-benar hidup susah tidak payahlah merumitkan lagi proses untuk dia mendapat bantuan.

Permudahkanlah, sebabnya wang peruntukan sudah ada. Bukan perlu tunggu untuk mendapatkannya. Tujuan wang itu diperuntukkan pun untuk membantu orang susah, apa lagi mahu macam-macam kerenah birokrasi.

Kita tidak mahu, kita ada wang kutipan zakat yang berjuta-juta ringgit dan wang bantuan JKM yang berjuta-juta ringgit juga tetapi yang hidup miskin melarat pun masih ramai tidak dapat bantuan.

Mereka ini tetap dibiarkan hidup kesempitan, sudah biasa berlapar atau makan nasi dengan kicap. Yang kasihannya jika anak-anak dan orang tua yang menanggung keperitan ini.

Dan kepada syarikat-syarikat korporat, tidak perlulah menunggu bulan Ramadan untuk mencari orang susah untuk bersedekah dan memohon liputan media. Mereka ini susah sepanjang tahun bukan pada masa Ramadan sahaja.

Marilah kita jadikanlah Malaysia ini, negara yang bertuah untuk diduduki bukan saja kepada yang berada tetapi ju­ga kepada yang tidak punya apa-apa termasuk OKU.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140625/re_02/Semua-orang-salah-kecuali-diri-sendiri#ixzz35bnhfeDe  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Panas dan pelik di sana sini

Oleh Rohami Shafie


USAHLAH kita berperang dan berbunuhan sesama sendiri seperti di Iraq sehingga menyebabkan rakyatnya terpaksa mencari perlindungan di kem pelarian yang diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - GAMBAR HIASAN

BUMI Malaysia tidak pernah sunyi dengan isu-isu panas. Kadangkala isu-isu ini pelik tetapi benar-benar berlaku.

Tidak kira waktu meskipun tatkala penduduk dunia sedang mengalami demam Piala Dunia dan dengan kedatangan fenomena El Nino yang menghangatkan lagi muka bumi Malaysia ini. Akibat tangan-tangan manusia yang mencemari suasana nyaman dan damai Malaysia, isu-isu panas ini seolah-olah tidak ada titik noktahnya.

Dimulai dengan isu kebocoran dan ketirisan di sana-sini melibatkan kisah penyeludupan diesel ke negara-negara jiran, disusuli pula isu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI). Bayangkan penyeludupan manusia boleh berlaku walhal 'barang' yang diseludup itu sukar untuk disembunyikan berbanding diesel.

Sekiranya tidak berlaku kemalangan yang melibatkan warga negara Myanmar tempoh hari, rasanya kisah ini tidak begitu hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Selepas kemalangan itu berlaku, tragedi tongkang karam di perairan Sepang dan Air Hitam, Pulau Carey membongkar kisah penyeludupan manusia yang nampaknya amat mudah berlaku di negara kita. Malang sekali kerana akhirnya imej negara juga yang terpalit akibat kisah-kisah sebegini.

Kisah penculikan di Sabah yang nampaknya tiada penyelesaian kukuh membangkitkan satu lagi situasi panas kepada imej pelancongan negara. Dikhabarkan bahawa dalangnya PATI. Pelik kerana acap kali berlaku tetapi itulah kenyataannya.

Mungkinkah kerana para pemimpin terlalu sibuk 'bertelagah' berebut kuasa dan berpolitik sepanjang masa sampaikan isu-isu besar negara dikesampingkan? Tidakkah sepatutnya isu-isu yang melibatkan keselamatan negara, semua pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat bersatu untuk menjaga negara? Usah hanya mendengar penasihat-penasihat yang mendendangkan kisah-kisah khayalan yang indah-indah belaka.

Ambillah iktibar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159. Pemim­pin perlu menyempurnakan ikrar Amirul Mukminin dengan menjaga kebajikan seluruh orang yang dipimpin. Bukannya hanya menjaga kebajikan segelintir golongan yang rapat dengan pemimpin.

Begitu juga, jangan sesekali hanya bertindak membantu segelintir golongan hanya kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri sebagai pemimpin. Walhal, ramai lagi orang yang dipimpin lebih memerlukan bantuan pemimpin. Lebih ramai golongan yang lemah seperti orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan seperti memudahkan mereka ini berurusan di semua kaunter sektor awam mahupun swasta.

Tetapi adakah perkara ini cuba diselesaikan secara menyeluruh berbanding mempolemikkan semua isu sehingga menjadi isu panas demi kepentingan diri sendiri?

Usahlah semua perkara ingin digunakan sebagai peluang politik untuk mendapatkan perbatuan politik yang lebih baik. Banyak lagi isu rakyat yang perlu ditangani dengan kadar segera. Misalnya, dalam kita menuju ke arah negara maju, apakah kita mudah terlupa sahsiah dan akhlak juga cukup penting. Dalam kita terlalu taksub dengan ranking, adakah kita mudah terlupa dengan nasib rakyat kita sendiri?

Apalah gunanya kita menjadi sebuah negara maju yang hebat dengan bangunannya dan gah dengan kekayaannya tetapi itu hanya sekadar luaran. Sahsiah rakyat semakin mundur. Akhlak semakin dipinggirkan. Kita pula terlebih barat berbanding orang barat itu sendiri. Adakah ini yang kita mahukan sebagai penduduk bagi sebuah negara yang maju?

Pelik tapi itulah kenyataannya, tanda-tanda 'kemajuan' itu sudah kelihatan. Lagi pelik apabila golongan majoriti pula yang dilanyak hak-hak mereka kononnya tiada keadilan, kesaksamaan atau istilah yang lebih panas lagi kesamarataan!

Walhal terdapat seribu satu bukti bahawa golongan majoriti di Malaysia melayan sebaik mungkin golongan minoriti. Cuba cabut semua bangunan komersial di Lembah Klang milik bukan bumiputera, berapa banyakkah bangunan yang dimiliki oleh golongan bumiputera? Boleh dibilang dengan jari! Bumiputera, majoriti dari segi penduduk tetapi dari sudut lain serba-serbi minoriti.

Itu baru secebis bukti sahaja. Belum lagi dinyatakan, jumlah pinjaman yang diberikan kepada mereka ini berbanding golongan minoriti yang menguasai ekonomi. Belum juga disebut bilangan akauntan dalam kalangan mereka berbanding golongan minoriti. Tetapi kenapa masih dipusingkan fakta seolah-olah ketidakadilan berlaku?

Sebuah institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) pun mahu diserang habis-habisan hanya kerana tujuan penubuhan institusi ini untuk membantu golongan majoriti yang lemah dalam pelbagai bidang. Di kolej-kolej swasta yang dikuasai oleh sesuatu pihak tidak pula diperdebatkan. Apa yang tidak adil dengan wujudnya UiTM? Adakah dengan adanya UiTM, pihak-pihak lain dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan tertinggi?

Sekali lagi, usahlah 'memusing' fakta sebenar. Berpijaklah pada realiti bahawa model pembangunan yang dilaksanakan selama ini tidak menindas mana-mana pihak. Kalau tidak, mana mungkin anak-anak orang miskin seperti penoreh getah dan nelayan boleh menjadi pegawai tertinggi dalam sektor awam dan swasta. Belum lagi diambil kira ada di antara mereka menjadi jutawan dan usahawan yang berjaya.

Isu panas melibatkan kaum sering diperdebatkan seolah-olah tiada langsung keadilan di muka bumi Malaysia walhal yang peliknya mereka jugalah yang mendapat nikmat yang cukup besar sampaikan harta kekayaan boleh diwarisi untuk tujuh keturunan!

Menjelang bulan Ramadan ini, diharapkan isu-isu panas ini 'disejukkan', manakala umat Islam Malaysia berusaha untuk mengeratkan hubungan persaudaraan tanpa mempedulikan latar belakang politik masing-masing. Terlalu banyak percakaran melemahkan kekuatan ummah dan ini akan diambil kesempatan oleh pihak lain.

Buktinya, tahun lalu, terdapat isu panas yang sengaja diciptakan semasa Ramadan membangkitkan kemarahan umat Islam Malaysia. Majoriti rakyat mahukan kehidupan aman dan damai. Usahlah menjadi seperti negara Asia Barat yang pada awalnya gembira dengan 'bantuan' barat kononnya mene­gakkan demokrasi tetapi akhirnya berperang dan berbunuh sesama sendiri. Negara barat hanya lepas tangan.

Tidakkah kita mendapat pengajaran yang cukup besar daripada apa yang berlaku di negara-negara berkenaan. Atau kita masih selesa dengan kemewahan yang dikecapi di negara kita sehingga kita lupa bahawa kemewahan ini boleh pergi selama-lamanya tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Bersyukurlah atas kemewahan yang diberikan oleh Allah SWT. Semoga Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi memadamkan api permusuhan sesama Islam dan menghilangkan 'kepanasan' yang melanda negara dengan memberi keinsafan kepada kita dalam menghayati keperitan orang lain.

* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140625/re_01/Panas-dan-pelik-di-sana-sini#ixzz35bky9pkZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Amanah Syed Ali, Shamsul Azhar dan Sahol Hamid...

Oleh Zaini Hassan

UMNO Cheras terbaik!

MALAM kelmarin saya menghadiri majlis ulang tahun ke-20 UMNO Bahagian Cheras.

Sungguh unik malam itu. Jemputan lelaki memakai persalinan kepahlawanan Melayu, berbengkung dan bertengkolok.

Itulah pertama kali saya melihat, dengan kagumnya, pakaian hulubalang, kepahlawanan dan pembesar Melayu dalam pelbagai gaya dan mewakili pelbagai negeri sekali gus.

Ia cukup unik. Ikatan tengkoloknya cukup hebat. Nilai estetikanya cukup tinggi.

Sepatutnya perlu ada satu muzium yang menempatkan semua pakaian Melayu zaman silam itu untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.

Saya boleh bayangkan itulah pakaian lazim yang dipakai di zaman Kesultanan Me­layu lebih 500 tahun dahulu.

Syabas ketua bahagian Cheras iaitu Syed Ali Alhabshee, seorang berketurunan Arab Yemen, yang berasimilasikan Melayu jati Nusantara.

Yang menariknya Perdana Menteri (PM) Najib Tun Razak tidak hadir ke majlis negara meraikan Presiden Republik Tajikistan, untuk semata-mata memenuhi undangan ke majlis UMNO Cheras itu.

UMNO Cheras ternyata lain daripada yang lain. Sepatutnya itulah yang patut dicontohi oleh semua bahagian UMNO seluruh negara. Ia amat mesra rakyat dan diuruskan secara profesional. Ketua bahagiannya cukup versatil dan berani berhujah - katanya demi masa depan UMNO mengatasi individualiti.

Namun yang menarik perhatian saya dalam majlis itu ialah ucapan PM selaku Presiden UMNO.

Saya yang duduk di sebelah Datuk Shukor Abdul Manan, setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) menyapa beliau "sungguh mendalam maksud ucapan Najib itu." Beliau bersetuju dan mengangguk.

TPM Muhyiddin Yassin juga sepatutnya hadir ke majlis Cheras itu, namun diarahkan oleh bosnya untuk hadir ke jamuan negara bersama Presiden Tajikistan itu.

Najib menggariskan enam faktor yang UMNO dan para pemimpin serta ahli-ah­linya perlu ada untuk memastikan kesinambungan parti itu dan kuasa Melayu.

Faktor pertama adalah ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul serta mematuhi arahan pemerintah dalam apa sahaja keputusan demi kebaikan setiap lapisan rakyat Malaysia.

Faktor kedua adalah kesetiaan kepada negara dan parti yang perlu diterjemahkan pada setiap pilihan raya dengan memberi kemenangan kepada calon yang telah dipilih.

Perkara ketiga adalah keberanian dalam perjuangan iaitu kita tanamkan sifat berani semasa berjuang kerana lawan akan takut pada orang yang berani dan itulah sebenarnya karakter orang Melayu.

Yang keempat adalah kesetiakawanan sama ada susah atau senang. Bila ada pilihan raya pastikan parti kita berjaya tapi kalau tahu kalah, kita bantu rakan lain untuk memastikan mereka menang.

Dua faktor seterusnya adalah kebijak­sanaan dan keikhlasan yang bagi orang Melayu, sifat ikhlas itu telah dipupuk melalui amal ibadat kepada Allah SWT yang menjanjikan ganjaran pahala.

Bagi saya faktor kedua dan keempat - kesetiaan dan kesetiakawanan - amat pen­ting dalam sesuatu perjuangan. Jika hilang kedua-dua itu maka pincanglah sebuah persatuan dan rosaklah sebuah kesatuan.

Dalam suasana politik Melayu kini yang berpecah-belah, mesej itu jelas amat pen­ting sekali.

Kita tidak boleh lagi berpecah-belah. Melayu harus bertaut kembali. Belajarlah daripada kesilapan pemimpin dan orang Melayu sejak zaman kesultanan silam dahulu. Bacalah Sejarah Melayu dan renungilah kutub-khanah bangsa itu.

Hasad dengki, tamak haloba, angkuh, bongkak, taksub, jahil, suka berkelahi membawa kelemahan dan kehancuran kepada Melayu.

Oleh itu jangan ada jugalah adu-domba oleh mana-mana pihak ke atas perhubu­ngan Najib dan Muhyiddin. Perlukah dilaga-lagakan antara kedua-duanya?

Akhir sekali syabas Syed Ali dan barisan kepemimpinan UMNO Cheras. Sebagai seorang yang bukan ahli UMNO, selagi masih berada dalam alam kerjaya ini, saya melihat parti itu dengan penuh harapan - syaratnya contohilah Cheras!


Petronas jangan bagi muka!

KENYATAAN terbaharu tauke Petronas, Shamsul Azhar Abbas pasti akan mengundang kemarahan. Orang Melayu selama ini pun memang marah dengannya kerana dasar ‘liberalisme’ beliau di dalam syarikat minyak itu.

NGO-NGO totok Melayu mengawasi cara kerja Shamsul dengan penuh teliti. Kontraktor-kontraktor Melayu yang selama ini berada di bawah program VDP (program pembangunan vendor) memang bengang dengan beliau.

Sudah pasti wawacara Shamsul dengan The Edge keluaran terbaharu itu juga mergundang kemarahan orang kerajaan.

Tetapi dalam hal ini, saya mengambil jalan tengah. Saya tidak marah dengan beliau.

Kita kena baca maksud yang tersirat dan tersurat kemarahannya pula kepada orang yang disebut dalam wawancara itu.

Tegas Shamsul, dia akan mempertahan ‘profesionalisme dan kebebasan’ syarikat itu ‘tanpa rasa takut’.

Dia tidak akan tunduk kepada tekanan politik supaya memberi kerja kepada usahawan yang belum terbukti berjaya. Dia tidak akan membiarkan dirinya diugut oleh kontraktor-kontraktor yang mempunyai kabel yang kuat.

"Ia bukan saja mereka di luar (yang menyusahkan) tetapi juga mereka dalam kerajaan - para birokrat. Campur tangan birokratik meng­usahkan kerja."

"Kerajaan mahu kita menjadi seperti syarikat minyak antarabangsa, seperti Shells dan ExxonMobils, kami akan cuba menjadi seperti itu. Tetapi Shell dan ExxonMobil tidak diganggu oleh kerajaan mereka."

"Ia adalah amanah … diamanahkan … perkataan diamanahkan itu cukup kuat - sebagai seorang Islam, ia adalah satu dosa besar jika kita melanggar ‘amanah’.

"Kami berurus dengan ahli-ahli politik; mereka bercakap tak serupa bikin, jadi ia amat menyusahkan… ini cukup mengecewakan."

"Saya juga orang Melayu, saya bangga sebagai Melayu... anda fikir saya tidak mahu membantu orang saya sendiri? Sudah tentu saya akan membantu mereka, tapi dengan cara yang betul - bukan melalui pemberian mudah dan disuap ke mulut."

Ternyata kata-kata Shamsul Azhar, yang mengambil tampuk kepimpinan kerusi Presiden dan CEO Petronas daripada Tan Sri Hassan Marican pada 2010 cukup pedas.

Siapa yang makan cili dia akan terasa. Teruskan Shamsul Azhar. Laksanakan tugas dengan penuh dedikasi.

Jika ia adalah amanah, kotakan apa yang dikata itu. Jika tidak nanti sumpah boleh memakan diri. Negara memerlukan Petronas yang sihat dan walafiat.

Saya faham maksud Tan Sri. Saya juga tahu banyak cerita - campur tangan itu dan ini. Kita tahu sama tahu ya.


UiTM pusat lonjak akauntan Melayu

NAIB Canselor UiTM, Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar sedang sibuk. UiTM telah dilantik menubuhkan pusat profesional perakaunan.

Ia adalah satu lagi amanah dan kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada ins­titusi itu. Seorang sahabat yang cukup kritikal terhadap PM, amat bersetuju dengan cadangan itu. "Yang itu saya puji dia..."

UiTM dijangka bakal melaksanakan kepercayaan itu segera. Kita perlu melahirkan lebih ramai lagi akauntan bumiputera Me­layu. Hasil perancangan itu dijangka melahirkan seramai 7,600 akauntan profesional menjelang tahun 2020. Ini adalah lonjakan sebanyak 25 peratus.

Kini hanya lapan peratus sahaja akauntan profesional bumiputera di seluruh negara. Sahol memberitahu, UiTM telah mengenal pasti ‘feeder’ bagi program profesional itu.

Program profesional perakaunan itu merupakan nilai tambah kepada UiTM kerana perakaunan adalah bidang ‘niche’ di universiti itu.

Kita berharap langkah positif ini akan melonjakkan lagi profesional bumiputera Melayu. Marilah kita menyokong usaha murni ini.

Oleh itu Ir. Dr. Sahol ia adalah amanah demi agama, bangsa dan negara. Laksanakan amanah itu sebaik mungkin.



Tuesday, 24 June 2014

WORLD CUP 2014 - Three Lions berwajah baharu





ROY Hodgson, yang sudah tidak punya apa untuk diperjuangkan pada Piala Dunia 2014 bakal melakukan perubahan drastik dalam perlawanan terakhir England menentang Costa Rica, pagi esok.

Sudahpun tersingkir daripada persaingan ekoran dua kekalahan berturut-turut, skuad Three Lions dijangka menurunkan tiga pemain muda, Luke Shaw, Jack Wilshere dan Ross Barkley dalam kesebelasan utama, manakala Frank Lampard akan mengambil alih lilitan ketua pasukan daripada Steven Gerrard.

Bek kiri Everton, Leighton Baines diketepikan kerana kecederaan hamstring, manakala pemain tengah Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain yang terlepas perlawanan Itali dan Uruguay akibat kecederaan lutut bakal menutup kempen Piala Dunia 2014 tanpa sebarang aksi.

Dua pemain Manchester United, Phil Jones dan Chris Smalling turut dijangka mendapat peluang membarisi benteng pertahanan Three Lions, manakala Hodgson harus memilih antara Wayne Rooney atau Rickie Lambert untuk mengisi jentera serangan.

Hodgson berjanji pertarungan terakhir menentang Costa Rica, pasukan pertama dari Kumpulan D yang layak ke pusingan kedua akan digunakan untuk memberi peluang kepada pemain masa depan England.

“Saya akan menurunkan mereka (pemain muda) dan memberi peluang kepada seramai mungkin pemain untuk merasai pengalaman Piala Dunia.

“Saya akan menukar barisan pasukan dan lihat apa yang boleh dilakukan oleh muka-muka baharu ini.

“Saya tiada sentimen ketika melakukan perubahan ini, saya cuma mahu memberi peluang kepada semua pemain untuk merasai pengalaman Piala Dunia dan buktikan kepada semua orang apa yang mereka mampu lakukan," kata Hodgson.

Dua kekalahan berturut-turut, 1-2 kepada Itali dan Uruguay menyebabkan England tersingkir awal pada Piala Dunia.

Sementara itu penolong pengurus Costa Rica, Paulo Wanchope berkata, pasukannya bersemangat untuk menambah derita Three Lions biarpun sudah melayakkan diri ke pusingan kedua.

Jika Hodgson bercadang melakukan rombakan drastik, skuad Los Ticos juga akan melakukan perubahan, namun masih mengekalkan sebahagian besar tonggak utama dengan misi muncul juara kumpulan.

“Saya yakin pemain mahu beraksi sebaik mungkin menentang England kerana ini adalah peluang mereka untuk menonjolkan diri dan mendapat tempat dalam Liga Perdana Inggeris.

“Biarpun England sudah terkeluar, mereka tetap menarik tumpuan dunia dan pemain kami mahu mengambil kesempatan ini untuk menonjolkan diri," ujar Wanchope.

Beberapa perubahan sedang dipertimbangkan Costa Rica, termasuk merehatkan peledak berbisa, Joel Campbell dan diganti dengan Marcos Urena.

Ketua pasukan, Bryan Ruiz yang meledak gol kemenangan Costa Rica ketika mengejutkan Itali 1-0 mungkin bermula dari bangku simpanan.

WORLD CUP 2014 - Blue Samurai kena ‘kejam’



CRISTIAN Zapata (kanan) memainkan peranan besar dalam membawa Colombia melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia.

TONGGAK pertahanan Jepun, Yuto Nagatomo menyeru rakan-rakan sepasukan agar lebih ‘kejam’ di depan pintu gol jika mahu melangkah ke pusingan kedua.

Skuad Blue Samurai perlu menumpaskan Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan C di Cuiaba, pagi esok atau boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia 2014.

Nagatomo turut menggesa rakan sepasukannya agar lebih yakin untuk menembusi benteng Colombia, biarpun mereka sekadar menjaringkan satu gol setakat ini.

“Kami masih mempunyai satu perlawanan dan mungkin mampu melepasinya.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah yakin dan penuhi misi. Kami harus percaya kepada diri dan terus bermain.

“Namun begitu, kita perlu menguatkan mental lebih daripada fizikal kerana kita tidak dapat berjuang ke peringkat seterusnya tanpa mental yang kuat, jadi kita harus kekal positif dan teruskan," kata pemain Inter Milan itu.

Tambah Nagatomo, Jepun kurang kreativiti menerusi hantaran lintang dalam dua perlawanan pertama.

Pandangan Nagatomo turut dipersetujui pengendali Blue Samurai, Alberto Zaccheroni yang mahu pasukannya mencari ‘sentuhan yang hilang’ apabila berdepan Colombia.

“Kami kurang idea. Ada sesuatu yang hilang daripada pasukan Jepun dan perlu dikembalikan pada perlawanan esok.

“Kami menyerang tetapi hilang punca untuk mencipta jaringan," kata Zaccheroni.

Sementara itu, pertahanan Colombia, Cristian Zapata mahu pasukannya kekal fokus biarpun sudah menempah tiket ke pusingan kedua.

Negara Amerika Selatan itu berjaya mencatat kemenangan kedua selepas menewaskan Ivory Coast 2-1.

Dalam masa sama, Zapata turut menyeru rakan-rakan sepasukannya agar jangan terlalu memikirkan tentang perlawanan yang bakal dihadapi di pusingan kedua kelak.

“Kamu perlu memikirkan permainan satu demi satu.

“Jepun sangat kuat dan mereka memiliki ramai pemain yang bagus. Ia menjadi antara perlawanan sukar buat kami," kata pemain AC Milan itu.

Ivory Coast bagaimanapun akan mengikut jejak Colombia ke pusingan kedua jika menewaskan Greece dalam satu lagi perlawanan kerana berada di tangga kedua dengan tiga mata.

Jepun dan Greece berkongsi satu mata.

WORLD CUP 2014 - Pertembungan 'maut'



FIZIKAL Luis Suarez yang semakin baik menjadikan dia musuh utama Azzurri dalam pertembungan maut Kumpulan D, pagi esok.

BINTANG tengah Uruguay, Alvaro Recoba memberi amaran kepada Itali bahawa mereka bukan pasukan individu dan perlawanan pagi esok merupakan pertembungan ‘maut’ Piala Dunia.

Pasukan yang kalah dalam aksi terakhir Kumpulan D di Estadio das Dunas bakal menempah tiket penerbangan pulang, manakala seri menghantar Uruguay pulang awal.

“Ini adalah pertembungan maut, perkara buruk boleh berlaku kepada salah satu pasukan.

“Luis Suarez adalah pemain yang menakjubkan dan seorang peledak berbisa. Dia mampu membawa perubahan kepada pasukan.

“Namun Uruguay memiliki banyak kualiti, kami ada senjata lain seperti (Edinson) Cavani. Kemenangan ke atas England juga telah menukar pemikirkan setiap pemain," ujar Recoba.

Pada sidang akhbar pra-perlawanan, Suarez mengumumkan bahawa lututnya dalam keadaan ‘sempurna’ dan dia bersedia mempamer aksi lebih cemerlang berbanding ketika menewaskan England.

“Saya tidak cergas 100 peratus dalam perlawanan dengan England.

“Kecederaan lutut membataskan pergerakan, namun sekarang ia semakin bagus dan saya sudah sedia memberi aksi lebih baik," ujar bintang Liverpool itu, yang meledak dua gol ketika menundukkan Three Lions.

Pada ketika Costa Rica menjadi pasukan pertama Kumpulan D mengesahkan tiket ke pusingan kedua, Itali dan Uruguay perlu menumbangkan satu sama lain untuk mencari slot kedua.

Pengendali Itali, Cesare Prandelli mencongak untuk menggunakan pendekatan berbeza apabila berdepan Uruguay berbanding ketika mereka tewas 0-1 kepada Costa Rica.

“Perlawanan ini hanya ada satu penamat, mara atau tersingkir, jadi saya mahu melihat Itali tampil dengan pendekatan berbeza," kata Prandelli.

Kelainan yang ingin ditampilkan Prandelli adalah dengan memberi penekanan kepada larian pantas, selain mengarahkan pemain memecut ke dalam kawasan penalti bagi melakukan percubaan.

Prandelli dijangka melakukan perubahan pemain serta formasi dengan mungkin menggandingkan Ciro Immobile bersama Balotelli di jentera serangan.

Immobile yang telah menjaringkan 22 gol dalam Serie A untuk Torino hanya sempat beraksi selama 17 minit bersama Itali ketika menewaskan England 2-1.

Pemain tengah, Daniel De Rossi diketepikan akibat kecederaan dan Prandelli mungkin menggunakan tiga pertahanan iaitu Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci dan Andrea Barzagli.

Pemain tengah Paris Saint-Germain, Marco Verratti akan kembali beraksi dan sayap kiri, Mattia De Sciglio juga bersedia untuk diturunkan.

“Itali tidak akan meletakkan 10 pemain di benteng, itu bukan cara mereka. Gaya permainan ini sesuai dengan kami kerana Suarez dan Cavani amat bahaya jika diberi ruang. Kami akan bermain dengan cara serang balas.

“Kekalahan Itali kepada Costa Rica mengejutkan kami.

“Lebih baik jika Itali menang pada perlawanan itu kerana keputusan seri sudah cukup untuk kedua-dua pasukan," kata pertahanan Uruguay, Martin Caceres.

Balotelli, yang meledak gol kemenangan Azzurri ketika menumpaskan England turun bersama azam untuk menebus kekecewaan gagal membolosi gawang Costa Rica dalam aksi terakhir.

Bintang tengah veteran, Andrea Pirlo pula sekali lagi bakal bertindak sebagai perencana gerakan Itali dan membawa impian besar enggan membiarkan pasukannya tersingkir awal dalam penampilan terakhir di Piala Dunia.


WORLD CUP 2014 - Oranje pamer karakter juara



MEMPHIS Depay meraikan jaringan kedua Belanda ketika menewaskan Chile 2-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Itaquerao, Sao Paulo, pagi ini. - Agensi

Walaupun turun tanpa bintang penyerang dan kapten, Robin van Persie, Belanda masih mampu menampilkan aksi cemerlang ketika menundukkan Chile 2-0 untuk menutup kempen Kumpulan B selaku juara, pagi ini.

Keputusan itu juga mengelakkan Oranje daripada bertemu Brazil di pusingan kedua selepas tuan rumah muncul juara Kumpulan A dengan membenam Cameroon 4-1.

Dua pemain gantian, Leroy Fer dan Memphis Depay menjadi watak penting Belanda apabila meledak gol kemenangan mereka di Sao Paulo.

Fer menanduk jaringan pembukaan Oranje pada minit ke-77 hanya selepas 90 saat dibawa masuk menggantikan Wesley Sneijder.

Depay, yang menggantikan Jeremain Lens pada minit ke-69 mengesahkan kemenangan 2-0 ketika permainan memasuki waktu kecederaan.

Belanda dan Chile sudah mengesahkan tiket pusingan kedua lebih awal selepas menewaskan Australia dan Sepanyol, justeru aksi pagi ini cuma pertarungan untuk mengelak bertemu Brazil.

“Detik terbaik dalam hidup saya? Ini adalah salah satu daripadanya.

“Gol yang bagus dan penting. Ia jaringan pertama saya bersama Belanda dan dilakukan di Piala Dunia," kata Fer.

Belanda yang akan bertemu Mexico pada pusingan kedua mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan, sekali gus menonjolkan diri sebagai calon juara.

Malah, naib juara Piala Dunia 2010 itu turut meledak 10 gol dalam laluan menjuarai Kumpulan B, termasuk membelasah Sepanyol 5-1.

Peluang skuad Oranje hadir pada babak pertama dengan Arjen Robben melakukan larian pantas dari bahagian tengah menewaskan beberapa pemain Chile sebelum rembatannya tersasar dari gawang.

Stefan de Vrij hampir meletakkan Belanda di hadapan ketika dia berjaya menanduk sepakan percuma Robben tetapi tandukan itu juga sedikit tersasar.

Robben, antara penjaring terbanyak kejohanan hampir menambah koleksi jaringan, namun rembatan rendah selepas larian pantas yang dilakukan diselamatkan penjaga gol Chile, Claudio Bravo.

Depay memastikan kemenangan bergaya Belanda selepas menolak sepakan penjuru Robben pada masa kecederaan.

Jurulatih Belanda, Louis van Gaal berkata, dia menggunakan pendekatan terbaik untuk menghadapi corak permainan pasukan Amerika Selatan.

“Nasib baik, ia (strategi) menjadi. Fer boleh melakukan rembatan dari jarak jauh dan menyusup masuk di bahagian serangan.

“Selepas melakukan analisis ke atas Chile, mereka memberi ruang yang banyak dalam tempoh 15 minit terakhir, jadi jika peluang itu diisi dengan pemain kreatif, anda berpeluang mencipta gol," kata Van Gaal.

Jurulatih Chile, Jorge Sampaoli berkata, pasukannya bermain secara menyerang tetapi Van Gaal bermain secara negatif.

WORLD CUP 2014 - Neymar terlalu hebat



PEMAIN-pemain Brazil meraikan jaringan keempat mereka ketika menumpaskan Cameroon 4-1 dalam perlawanan Kumpulan A di Brasilia, pagi ini. - REUTERS

JARINGAN berganda bintang sensasi, Neymar mengesahkan Brazil ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan A selepas menumpaskan Cameroon 4-1 di Stadium National Brasilia, pagi ini.

Fred serta Fernandinho, masing-masing menambah jaringan pada minit ke-49 serta 84, sekali gus membawa tuan rumah berdepan Chile di pusingan kedua, Isnin ini.

Penyerang Barcelona, Neymar menemui dua jaringan pada separuh masa pertama dalam usaha memecah kebuntuan tetapi pemain tengah Cameroon, Joel Matip menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26.

Bintang muda tersebut meledakkan gol pertama pada minit ke-17 dari jarak dekat dalam kotak penalti hasil hantaran kemas Luiz Gustavo, dan jaringan kedua pula minit ke-35.

Neymar kini mencul penjaring terbanyak setelah meledak empat gol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

“Ini adalah permainan terbaik kami.

“Semua orang berhak menerima ucapan tahniah atas usaha mereka hingga wisel penamat," kata Neymar.

Brazil menamatkan saingan dalam kumpulan dengan mengumpul tujuh mata apabila menang dua dan seri satu.

Mereka berkongsi mata bersama Mexico yang menumpaskan Croatia 3-1, cuma dibezakan oleh jaringan.

Brazil tidak pernah tercicir dalam pusingan kedua sejak 1970 dan merupakan negara yang beraksi sepenuhnya dalam kesemua 20 edisi Piala Dunia.

Bermain di hadapan hampir 70,000 penyokong, Brazil memberi tekanan kepada Cameroon pada permulaan perlawanan dan banyak mencipta peluang.

Namun, Cameroon berjaya mengukuhkan benteng pertahanan daripada dibolosi tuan rumah.

Cameroon terpaksa bermain tanpa Samuel Eto akibat kecederaan lutut, namun mereka tetap mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama.

“Babak pertama tidak teruk sangat, tetapi apa yang kita perlukan adalah fokus selama 90 minit dan ini bukanlah pertama kali berlaku.

“Ada jaringan yang mampu dicipta, tiga kali kita dapat peluang dan mengawal bola, namun ia tetap gagal," kata pengendali Cameroon, Volker Finke.

Kali terakhir Cameroon mara ke peringkat suku akhir adalah semasa Piala Dunia 1990.


WORLD CUP 2014 - Portugal masih bernafas



PENYERANG Portugal, Silvestre Varela (dua dari kiri) menjaringkan gol penyamaan 2-2 ketika menentang AS dalam perlawanan Kumpulan G di Manaus semalam. - REUTERS

MANAUS - Pemain simpanan Portugal, Silvestre Varele menyelamatkan pasukannya daripada diaibkan oleh Amerika Syarikat (AS) apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit terakhir dalam perlawanan Kumpulan G semalam, sekali gus peluang pasukannya melayakkan diri ke peringkat seterusnya masih terbuka.

Harapan Amerika Syarikat untuk layak ke pusingan kalah mati diragut oleh Varela yang menanduk masuk bola hantaran lintang Cristiano Ronaldo.

Keputusan seri dalam perlawanan menarik itu sekali gus menempatkan AS di anak tangga kedua Kumpulan G, di belakang Jerman yang seri 2-2 kelmarin.

"Kami terpaksa menerima gol tersebut walaupun pahit untuk kami. Pada mulanya kami berasa sungguh yakin untuk mara ke pusingan kalah mati namun tidak menyangka kami terpaksa berkongsi mata di hujung permainan. Secara keseluruhannya saya fikir ini perlawanan yang menarik," kata jurulatih AS, Juergen Klinsmann dalam sidang akhbar.

AS yang turut layak ke pusingan kedua pada 2010, akan bertemu Jerman pada perlawanan terakhir untuk menentukan nasib mereka.

Clint Dempsey, yang menjaringkan gol pada minit terakhir ketika AS mengalahkan Ghana 2-1, meletakkan pasukannya di depan dengan 2-1 pada minit ke-81 semalam sebelum Varela menjaringkan gol penyamaan.

Portugal, yang kecundang 4-0 ketika bertemu Jerman dalam perlawanan pertamanya dan jurulatihnya, Paulo Bento kemudian berkata pasukannya perlu menewaskan AS.

Portugal membuka tirai jaringan pada minit kelima apabila pertahanan AS, Geoff Cameron hanya menyepak sipi umpanan Miguel Veloso, menyebabkan bola melayang di depan gawangnya terus kepada Nani, yang dengan mudah menyepak masuk.

Wakil Eropah itu kemudiannya memperlahankan rentak permainan yang berlangsung dalam cuaca panas 30 darjah Celcius, lantas membolehkan lawan mereka mula menguasai perlawanan.

Portugal masih kelihatan bahaya dan percubaan Nani dari luar kawasan penalti mengenai tiang kiri pada minit ke-45. Bola melantun kepada Eder tetapi sepakan lambungnya ditolak dengan kemas oleh penjaga gol AS, Tim Howard.

Babak kedua menyaksikan pemain-pemain Portugal semakin perlahan, dan digunakan oleh pemain tengah AS, Jermaine Jones untuk mara ke tengah dari sebelah kiri pada minit ke-64, melepasi kawalan Nani dan melepaskan rembatan kaki kanan dari jarak 25 meter untuk gol penyamaan.

"Kami dibolosi gol kedua disebabkan kesilapan sendiri. Saya fikir seri adalah keputusan yang adil walaupun ini menyebabkan kami berada dalam kedudukan yang sangat sukar," kata Bento.

Portugal bermula dengan Ronaldo, yang berusaha melupakan kecederaan lututnya. Dia tidak begitu berkesan ketika menentang Jerman dan kelihatan jauh daripada kecergasan sebenar ketika bertemu AS, memberi sedikit sumbangan sehinggalah pada penghujung permainan apabila umpanannya menghasilkan gol penyelamat Portugal. - REUTERS

WORLD CUP 2014 - Divock Origi bakal bintang Belgium


Penyerang Belgium, Divock Origi melepaskan sepakan untuk menjaringkan gol kemenangan pasukannya ketika menentang Rusia di Rio de Janeiro semalam. - REUTERS

RIO DE JANEIRO - Divock Origi tiba-tiba mencipta nama di Piala Dunia apabila menjaringkan gol kemenangan Belgium ke atas Rusia dalam perlawanan kedua Kumpulan H semalam, sekali gus mela­yakkan pasukannya ke pusingan kedua.

Berusia 19 tahun, pemain itu ma­suk selaku pemain gantian dan menghidupkan perlawanan yang sebelum­nya membosankan apabila menyambar umpanan bintang Chelsea, Eden Hazard untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Divock Okoth Origi dilahirkan pada 18 April 1995 di Ostend, Belgium tetapi membina nama dengan kelab Lille di Perancis.

Bakatnya mungkin diwarisi daripada bapanya, Mike Origi yang merupakan bekas pemain profesional di Kenya.

Origi memulakan kerjayanya di dalam bola sepak di Akademi Belia Genk, tetapi mengikat kontrak dengan kelab Lille pada Mei 2010.

Pada 24 Januari 2013, Origi buat kali pertama berada dalam senarai pasukan Lille, tetapi selaku pemain simpanan yang langsung tidak berpeluang menunjukkan kemahirannya dalam perlawanan yang menyaksikan mereka menewaskan Plabennec, 3-1 dalam pertandingan Coupe de France 2012-2013.

Bakatnya bagaimanapun membolehkan Origi mewakili Belgium dalam pertandingan peringkat umur dari Bawah 15 hinggalah ke Bawah 21.

Bakatnya semakin menyerlah ketika beraksi bersama pasukan Bawah 19 Belgium apabila dia menjaringkan 10 gol, yang pertama ketika menentang Belarus dalam pusingan kelayakan Kejohanan UEFA pada 12 Oktober 2012.

Ketajamannya di depan gol menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Kenya cuba memujuk pemain itu untuk beraksi dalam pasukan mereka, namun Origi terlebih dahulu menyertai pasukan Belgium dalam pasukan senior.

Pada 13 Mei lalu, pengurus Belgium, Marc Wilmots mengumumkan bahawa Origi adalah salah seorang anggota skuad 23 pemain Belgium ke Piala Dunia 2014. - AGENSI


WORLD CUP 2014 - Belgium mara, Algeria cipta rekod


PENYERANG Belgium, Divock Origi (kiri) melihat bola yang disepaknya menewaskan penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev (dua dari kiri) dalam perlawanan di Rio de Janeiro semalam. Belgium menang 1-0. - AFP

CUIABA - Belgium mara ke pusingan kedua Piala Dunia selepas meraih gol pada penghujung perlawanan untuk menang 1-0 ke atas Rusia dalam perlawanan Kumpulan H semalam, keputusan yang turut menghidupkan peluang Algeria setelah mereka mem­belasah Korea Selatan 4-2.

Pemain remaja, Divock Origi menjadi penyerang termuda dalam kejohanan kali ini setakat ini apabila dia mengesahkan kemenangan Belgium apabila sepakannya menerjah gawang Rusia setelah menerima umpanan Eden Hazard yang sebelumnya membuat larian dari sebelah kiri sebelum meluru ke tengah.

Algeria, yang kalah 2-1 kepada Belgium dalam perlawanan pertamanya, merobek Korea Selatan untuk mencatatkan kemenangan terbesar oleh mana-mana pasukan dari Afrika dalam Piala Dunia.

Mereka menyertai pasukan Perancis yang menang 5-2 ke atas Switzerland dan Belanda yang menundukkan juara empat tahun lalu, Sepanyol 5-1.

Islam Slimani dan Rafik Halliche memukau Korea Selatan dengan dua gol dalam masa dua minit manakala Abdelmoumene Djabou menambah gol ketiga untuk membolehkan Algeria mendahului 3-0 ketika rehat.

Mereka menjadi pasukan ketiga yang menjaringkan tiga gol pada babak pertama perlawanan dalam kejohanan ini selepas Jerman menang 4-0 ke atas Portugal dan Perancis menang besar ke atas Switzerland.

Korea Selatan merapatkan jurang gol menerusi Son Heung Min, yang memusingkan badan untuk menyepak bola melepasi kelengkang Rais Mbolhi pada minit ke-50.

Yacine Brahimi bagaimanapun menja­ringkan gol keempat Algeria pada minit ke-60 yang kelihatan melemahkan semangat lawannya sebelum Koo Ja Cheol menjaringkan gol kedua pasukannya.

Algeria akan bermain dalam perlawanan terakhirnya di peringkat kumpulan, menentang Rusia (pada Jumaat ini waktu Malaysia) selaku pasukan di tempat kedua dengan empat mata, dua di hadapan pasukan bimbingan Fabio Capello dan Korea Selatan.

Jika layak ke pusingan kedua, ini merupakan kali pertama Algeria bersaing di peringkat 16 pasukan terakhir itu.

"Kami telah menganalisis strategi dan saya boleh katakan keputusannya adalah kami gagal melaksanakannya dengan baik," kata jurulatih Korea Selatan, Hong Myung Bo kepada wartawan.

Jurulatih Belgium, Marc Wilmots pula perlu menilai semula kesukaran mereka untuk menjaringkan gol jika mahu mengesahkan diri mereka selaku pasukan yang mampu menyerlah di peringkat kalah mati nanti.

Perlawanan di Stadium Maracana itu adalah antara yang paling membosankan setakat ini, selain Nigeria seri 0-0 dengan Iran, dan hanya diselamatkan oleh jaringan Origi pada penghujung perlawanan.

Capello pula berpuas hati dengan prestasi Rusia dan berkata mereka tidak sepatutnya kalah.

Wilmots tidak begitu menghiraukan tentang bagaimana kemenangan itu dicapai.

Jurulatih itu berkata, kecergasan merupakan kunci kepada kemenangan.

"Untuk terus mara, awak tidak semestinya sentiasa bermain cantik. Saya percaya awak perlu berkesan," kata Wilmots, yang bermain dalam tiga Piala Dunia untuk Belgium.

"Sesuatu yang pasti tentang bola sepak ialah kecergasan sangat penting dalam Piala Dunia," tambahnya. - REUTERS