Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 28 May 2014

MH370: Data asas didedah hari ini



Hishammuddin Tun Hussein bertanya sesuatu kepada kakitangan salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah semasa mengadakan tinjauan di klia2, Sepang, semalam. - utusan/RASHID MAHFOF

SEPANG 26 Mei- Data asas mengenai penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu akan didedahkan kepada umum esok.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendedahan tersebut akan dibuat oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersama syarikat satelit United Kingdom (UK), Inmarsat.

Katanya, data asas berkenaan juga dinilai dan dikaji oleh pakar luar antaranya Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB), Biro Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Jabatan Siasatan Kemalangan Udara China (CAAC).

"Data asas tersebut akan didedahkan kepada umum selepas beberapa agensi pakar dari dalam dan luar negara selesai membuat analisis dan keputusan untuk mendedahkan data tersebut dibuat oleh dua pihak berkenaan.

"Itu adalah perkara yang diberitahu kepada saya iaitu data asas tersebut akan didedahkan kepada umum esok, DCA dan Inmarsat sendiri akan mengumumkannya. Apa yang paling penting ialah untuk mendapatkan kebenaran dan sekiranya mereka tidak dapat mendedahkannya esok, mereka harus memaklumkan kepada saya kenapa," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke klia2 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool dan Pengurus Besar Kanan (Operasi) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Azmi Murad.

Pendedahan data berkenaan juga akan memberi penjelasan munasabah kepada keluarga 239 penumpang dan anak kapal yang masih hilang bersama pesawat MH370.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan data berkenaan, Hishammuddin berkata, semuanya bergantung kepada data Inmarsat berkenaan termasuk juga semua keputusan yang dibuat dalam usaha pencarian pesawat MH370

Sementara itu, dua panel bebas iaitu Ikram Premier Consulting dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) diminta menyiasat dakwaan berlakunya mendapan di landasan serta kawasan parkir pesawat di klia2.

Hishammuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan di klia2 dan meminta kedua-dua firma berkenaan melakukan pemeriksaan keselamatan dengan telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin, kerajaan pada April lalu meminta ICAO melakukan pemeriksaan di klia2 dan badan itu mengesahkan terminal berkenaan selamat untuk beroperasi, begitu juga dengan Ikram Premier Consulting yang mengiktiraf tahap keselamatan klia2.

"Kedua-dua konsultan berkenaan yang bertanggunggjawab mengesahkan klia2 selamat dalam pelbagai aspek sebelum pembukaannya pada 2 Mei lalu, sehubungan itu kita meminta pihak yang sama untuk melakukan pemeriksaan kali ini dan kementerian sentiasa bertindak tegas mengenai isu keselamatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140527/dn_08/MH370-Data-asas-didedah-hari-ini#ixzz32yVMHBYL  © Utusan Melayu (M) Bhd

Bajet 2015: Peralihan ke RMK-11

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my



NAJIB Tun Razak berucap pada majlis konsultasi Bajet 2015 bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal, Mensejahterakan Rakyat' di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Ahmad Husni Hanadzlah (kiri), Mohd. Irwan Serigar Abdullah (dua, kanan) dan Zeti Akhtar Aziz (kanan). - BERNAMA

PUTRAJAYA 26 Mei - Bajet 2015 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini merupakan belanjawan penting menyediakan peruntukan untuk projek yang belum dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan seterusnya memastikan kelancaran peralihan ke Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, RMK-11 akan menghasilkan daya tolakan terakhir kepada usaha transformasi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Adalah penting untuk memfokus semula usaha dan tenaga kita di bawah semangat 1Malaysia bagi menjana lebih banyak kekayaan selain meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap dalam majlis konsultasi Bajet 2015 bertemakan 'Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal, Mensejahterakan Rakyat' di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, sementara mengejar pertumbuhan, kerajaan pada masa sama tidak akan meminggirkan agenda reformasi fiskal bagi memastikan kemapanan dalam pertumbuhan.

"Saya akan terus mengembangkan bajet tetapi tidak harus dilakukan atas impak ke atas defisit. Kita menjangkakan defisit akan menurun kepada 3.5 peratus tahun ini dan mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

"Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bertanggungjawab ke atas semua aspek pengurusan fiskal telah meneliti pelbagai pendekatan fiskal yang merangkumi pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi," katanya.

Najib turut menegaskan kepentingan memacu keseimbangan antara keuntungan syarikat dengan gaji pekerja di negara ini.

"Gaji di Malaysia berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 32.9 peratus dan secara relatifnya rendah jika dibandingkan dengan tahap negara maju yang mencatatkan purata 40 peratus.

"Untuk membangun dan mengekalkan bakat dalam perniagaan, sektor swasta mesti bersikap inklusif dalam perkongsian kek ekonomi selari dengan produktiviti mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata, dasar dan pertumbuhan negara tidak harus meminggirkan mana-mana kumpulan dan semua pihak perlu meneroka cara untuk memastikan ekonomi Malaysia menjadi lebih inklusif dan seimbang.

Beliau berkata, di bawah Bajet 2015, kerajaan akan melihat pelbagai kaedah untuk membantu rakyat berdepan kos hidup yang meningkat termasuk menambah pengeluaran makanan serta menyekat keuntungan melampau orang tengah dan aktiviti spekulasi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140527/dn_01/Bajet-2015-Peralihan-ke-RMK-11#ixzz32yTzEo3j  © Utusan Melayu (M) Bhd 





Lima peristiwa penting di bulan Rejab




Oleh HASHNAN ABDULLAH




BULAN Rejab adalah antara empat bulan suci yang telah Allah SWT tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi. Selain itu, kedatangan bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)....

Justeru, Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati semua ulama, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah jika mereka diugut.

Walaupun tidak ada ibadat khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab tetapi ia tetap dianggap istimewa kerana di dalamnya berlaku syariat dan beberapa peristiwa penting. Antara yang paling diingati dan diraikan oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi menjelaskan, peristiwa itu penting kerana umat Islam mula diwajibkan melaksanakan solat lima waktu.

“Ibadat solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan merupakan amalan terpenting dan ia adalah soalan pertama yang akan ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati kelak," katanya ketika ditemui di USIM, baru-baru ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi peristiwa penting dalam bulan Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk amal ibadat tetapi juga falsafah di sebalik peristiwa tersebut.

Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab turut menyaksikan berlakunya hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk, pembebasan Baitul Maqdis oleh Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.

1. Hijrah pertama dalam Islam

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan tekanan dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Allah SWT.

Menurut Lukmanul Hakim, walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.

Selain itu, tambahnya, hijrah itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain.

“Rasulullah sedar bahawa agama Islam baharu sahaja hendak berputik di Mekah tetapi hampir setiap hari baginda SAW mengetahui pengikutnya didera atau menerima ancaman yang menakutkan.

“Jadi, Rasulullah SAW bimbang ancaman sedemikian akan menyebabkan pengikutnya kembali kepada agama asal, jika tidak ada usaha membawa mereka keluar dari kota Mekah," katanya.

2. Israk dan Mikraj

Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW itu sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu sering menjadi topik utama kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali menjelang 27 Rejab.

Bagi Lukmanul Hakim, walaupun wujud perdebatan berhubung peristiwa terpenting itu tetapi umat Islam sepatutnya melihat falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah SAW itu.

“Biarlah perdebatan itu berlaku dalam kalangan para ulama tetapi sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam.

“Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup, sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga," katanya.

3. Peperangan Tabuk

Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu.

Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam.

“Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai rintangan.

“Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas, di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.

“Tetapi mereka tidak menyangka, kedatangan tentera Islam yang begitu ramai dan bersemangat tinggi, di samping diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW," katanya.

4. Pembebasan dan kejatuhan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai permulaan kejatuhan Islam.

Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.

Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Antartuk di Turki.

Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.

5. Lahirnya Imam Syafie

Menurut Lukmanul Hakim, kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini.

Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie.

Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: “Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia."

“Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah Kitab Al Umm," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_02/Lima-peristiwa-penting--di-bulan-Rejab#ixzz32yRvIXsE  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Umpama memfitnah Rasulullah

Oleh HASHNAN ABDULLAH


Dr. Mohd Izhar Ariff Kashim
HADIS palsu atau dipanggil sebagai maudhu' sebenarnya telah lama bersarang dalam kalangan umat Islam. Penggunaan hadis itu telah bermula secara aktif selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Ini boleh dilihat jelas bukan hanya pada amalan ibadat seharian umat Islam, tetapi sering kali digunakan bagi menyokong hujah atau pendapat apabila bercakap tentang hukum agama.

Malah, gejala yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW tersebut sering kali dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Majusi dan Nasrani yang begitu mahu menjatuhkan Islam.

Golongan ini memang sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam dan sentiasa menunggu peluang bagi merosak dan menimbulkan keraguan di dalam hati, sama ada sesama Islam atau bukan Islam terhadap agama Islam.

Pada masa sama ada juga dalam kalangan orang Islam yang bersikap fanatik, ada kepentingan peribadi serta jahil tentang kehendak dan keperluan agama Islam itu sendiri turut menggunakan hadis palsu ini.

"Mereka ini ada masalah hati iaitu benci atau tidak suka kepada pengembangan agama Islam. Keadaan itu turut disulitkan lagi dengan sikap segelintir para pendakwah tidak kira yang berstatus ustaz atau ustazah yang tidak amanah dalam menyampaikan kuliah agama mereka kepada orang ramai," kata Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dalam suasana tersebut, tidak hairanlah ramai yang menyatakan bahawa jumlah hadis palsu lebih banyak berbanding hadis sahih yang diriwayatkan oleh para perawi yang diakui keilmuan dan ketelitiannya.

Beliau menegaskan, penyebaran hadis palsu itu adalah haram kerana boleh membawa kepada gejala fitnah kepada Rasulullah SAW.

Jelas Mohd. Izhar, hadis palsu tersebut juga bukan hanya boleh menimbulkan kekeliruan tetapi juga perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Penghuni neraka

“Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Sesiapa yang menipu ke atasku dengan sengaja, maka dia akan duduk dalam api neraka (riwayat Bukhari)

“Ketegasan tersebut adalah sejajar dengan makna hadis palsu itu sendiri yang merupakan kenyataan atau perbuatan atau amalan yang disandarkan kepada Nabi SAW sedangkan baginda tidak pernah sama sekali melakukannya," katanya.

Begitu pun, Mohd. Izhar berkata, ada ulama yang berpandangan bahawa hadis palsu itu boleh disampaikan kepada masyarakat umum.

“Tetapi jangan disandarkan kepada Nabi tetapi menyatakan bahawa ia adalah kisah yang disampaikan oleh ulama sebelum ini," katanya.

Antara yang popular dikaitkan dengan hadis palsu adalah peristiwa Israk Mikraj. Kisah perjalanan Rasulullah SAW itu telah menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan para ulama.

Perdebatan tersebut lebih berkisar tentang cerita-cerita apa yang ditemui oleh Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan baginda sehingga ke Sidratul Muntaha.

Ada para ulama yang menegaskan bahawa kerana isinya diselitkan cerita-cerita Israiliyat daripada kaum Bani Israel yang sengaja ingin mengagungkan bangsa mereka dan Nabi Musa a.s serta mengecilkan peranan Rasulullah SAW berserta pengikutnya.

“Banyak cerita yang disampaikan yang mana Nabi SAW berjumpa dengan itu, dengan ini adalah antara hadis yang tidak ada asas dan sering kali dipertikaikan oleh ramai ulama.

“Namun ia sering digunakan untuk menyedapkan ceramah atau tulisan bagi menarik minat orang ramai," kata Mohd. Izhar.

Sehubungan itu, Mohd. Izhar menyeru bukan hanya kepada para penceramah agama, tetapi umat Islam agar meneliti terlebih dahulu mana-mana hadis yang mungkin agak mencurigakan.

Malahan tambahnya, pihak berkuasa agama perlu meningkatkan usaha bagi membanteras dan mengadakan kempen kesedaran tentang kesan daripada penyebaran hadis palsu.

“Saya tidak nafikan bahawa masyarakat umum minat dengan hadis palsu kerana dikuasai sifat malas untuk mengimarahkan masjid. Ini kerana masjid adalah tempat yang boleh memberi penjelasan kepada jemaah masjid berkaitan perbezaan antara hadis palsu dengan hadis sahih," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_01/Umpama-memfitnah-Rasulullah#ixzz32yQzObwx  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Kebiadaban tidak mampu disekat lagi






Oleh Hassan Mohd. Noor







HEBOH satu Malaysia mengenai perkataan celaka yang dituturkan oleh wakil rakyat DAP di Pulau Pinang, RSN Rayer. Ramai yang marah dengan kata-kata celupar itu dan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima itu menarik balik perkataan itu. Apa yang hendak ditarik balik? Kata sudah diucap. Ini bukan soal terlajak perahu. Kata-kata yang menghiris perasaan sudah diucap. Satu dunia tahu mengenainya. Apa lagi yang mahu diperbaiki? Dunia ‘tanpa sempadan’ mengajar kita untuk bercakap apa sahaja tanpa mengira sensitiviti orang lain. Lebih-lebih lagi yang turut bercakap tanpa mengira perasaan orang lain datang daripada kaum yang sama. Mereka tidak peduli dengan maki hamun yang dilontarkan di pentas politik sama ada melalui ceramah, media sosial seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan pelbagai lagi.

Contohnya jika orang Melayu beragama Islam yang dididik dengan pelbagai peraturan kehidupan yang baik sama ada melalui agama atau budaya sudah bersedia untuk memaki hamun sesama bangsa sendiri, apa hendak dihairankan dengan orang lain? Memang benar jika Rayer dipetik sebagai berkata, beliau dimaklumkan bahawa perkara tersebut menjadi isu disebabkan DAP yang memaki UMNO, bukannya pihak lain. Lebih menarik, Rayer didakwa berkata, perkataan (celaka) itu ‘biasa’ bagi orang Pulau Pinang. Mungkin kenyataan itu ada kebenarannya tetapi ia harus merujuk dalam ‘konteks’ apa perkataan itu diucapkan. Kadang-kadang dalam nada gurau sesama rakan, perkataan itu jadi lumrah.

Bagaimanapun perkataan itu menjadi ‘luar biasa’ apabila dituturkan dalam nada yang serius, marah, tanda menunjukkan kebencian serta bergantung kepada ‘niat’ seseorang. Celaka bukanlah sesuatu yang bermaksud baik. Apa maksud celaka? Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), celaka membawa maksud tidak baik (tentang nasib); tidak bahagia; malang dan sial. Perkataan itu juga membawa erti kata makian yang bermaksud bedebah atau jahanam. Jika dilihat maksudnya tentulah sesiapa juga akan marah.

Persoalannya adakah ‘celaka’ itu sebagai sesuatu yang biasa di Pulau Pinang? Apa komen anak-anak Pulau Pinang terutama orang Melayu dan Islam? Mungkin akan ada perbezaan pendapat. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman mempunyai pandangannya berhubung kata-kata itu. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, orang Pulau Pinang yang berasal dari kampung Guar Petai, Seberang Perai juga mempunyai pandangan tersendiri lebih-lebih lagi yang menuturkannya adalah rakan sekutunya, DAP. Kadang-kadang dalam politik, sesuatu yang dilarang akan bertukar menjadi perkara yang harus kononnya atas muslihat tertentu. Begitulah realiti yang ada hari ini. Maki hamun, kata-kata kesat serta sikap tidak beradab atau tidak berakhlak sudah menjadi produk biasa dalama politik termasuklah yang melibatkan orang Melayu dan Islam. Bagi sesetengah orang, mereka tidak peduli lagi akhlak dan etika. Maki hamun jadi `makanan’. Maknanya ia bukan sesuatu yang memeranjatkan dan menghairankan apabila orang bukan Melayu/bukan Islam berani ‘meminjam’ perkataan-perkataan yang menyakitkan telinga.

Jika celaka menjadi satu kebiasaan, bagaimana pula (jika ada) perkataan, ungkapan atau perbuatan lain yang dikatakan boleh menyinggung orang bukan Melayu? Tidak perlulah disebut perkataan atau ungkapan berkenaan. Cuma apakah dalam berpolitik, sudah hilang rasa hormat terhadap orang lain? Bagaimana agaknya apabila perkataan celaka itu boleh digunakan sesuka hati di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang? Kita tidak tahu perkataan itu akan ditujukan kepada siapa. Mungkin perkataan yang ‘setaraf’ dengannya akan turut diungkapkan. Apa akan jadi jika DUN Pulau Pinang menjadi gelanggang untuk menghamburkan kata-kata yang menyakitkan dan menimbulkan kebencian?

Selak tidak mahu menyebut kata-kata itu kerana bimbang ia boleh dianggap sebagai bermain api. Bimbang dituduh rasis. Memang benar ingatan Zainal Abidin supaya lebih hati-hati apabila bercakap ‘kerana mulut badan binasa’. Kata Zainal: "Kita kecewa, duka seperti dihiris apabila dia menggelar UMNO celaka. UMNO tidak kisah jika nak mengkritik parti tetapi kritikan itu biarlah beretika dan bukan dengan perkataan yang boleh menyakiti orang Melayu,". Dalam politik sudah tidak ada etika. Demi meraih sokongan politik, pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian rakyat. Lihatlah apa yang berlaku terhadap pemimpin negara yang disindir melalui pelbagai cara. Apa sahaja tindakan dan keputusan kerajaan walaupun untuk kebaikan atau faedah bersama dipandang sinis.

Begitu kreatif rakyat Malaysia termasuk yang bergelar Melayu Islam mencipta sindiran. Walaupun tindakan itu melampaui batasan tatasusila agama dan budaya, tetapi ada sesetengah pihak tidak peduli itu semua. Bagi yang beragama Islam, soal dosa, pahala seolah-olah ditolak ke tepi. Sama ada sedar atau tidak, mereka menjadi penyumbang kepada tindak tanduk yang boleh dianggap menghina, mencerca dan mengaibkan seseorang dengan niat untuk memalu atau memperlekeh individu berkenaan. Hari ini ramai yang tidak dapat mengawal keceluparan dengan membangkitkan pelbagai isu atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Bercakap ikut sedap mulut dan kenyataan mereka tersiar di media cetak dan media sosial. Bagi mereka, mengeluarkan kenyataan menandakan matlamat sudah tercapai. Apakah dengan meminta maaf semuanya akan selesai? Sebelum ini banyak kata atau tindakan biadab berlalu begitu sahaja. Apa yang berlaku hari ini adalah kesinambungan cerita-cerita tidak beretika dan biadab yang sebelum ini sudah dihidangkan. Isu seperti ini tidak ada kesudahannya. Mulut celupar tidak mampu disekat. Mereka bercakap ikut ‘sedap mulut’ . Puas dan lega apabila apa yang terbuku dan ingin diucapkan sudah dilontar . Biarlah seribu kecaman, kutukan atau ribuan laporan polis dibuat, tetapi yang penting, ‘batu sudah dilontar, tumbukan atau tikaman sudah dilepaskan’.

Sama ada mengenai sasaran atau tidak, itu perkara kedua. Mereka puas dan gembira kerana melepaskan segala-galanya sama ada berbentuk kritikan, fitnah, tohmahan, maki hamun atau penghinaan. Cakap sejengkal dibawa sehasta. Selak balik pelbagai isu - agama, bahasa, budaya, kaum yang dilontarkan sebelum ini yang mengundang pelbagai kenyataan balas yang kadangkala mencemaskan. Bak kata orang luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu. Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata. Memang mudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf tetapi luka sudah hilang, parutnya tinggal juga.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140526/re_05/Kebiadaban-tidak-mampu-disekat-lagi#ixzz32yMWELXC © Utusan Melayu (M) Bhd 


Intan dan Kaca; Kerusi 'DEB' Tan Sri Faaland; Oh UiTMku...

Oleh ZAINI HASSAN


Jon Faaland (dua dari kanan) diraikan oleh Dr. Rais Saniman bersama-sama Datuk Ramli Mohd. Noor (dua dari kiri),Prof. Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah dan Datuk Zaini Hassan (kanan) di sebuah restoran di Kuala Lumpur, kelmarin.

Antara Teluk Intan dan Teluk Kaca...

SEMASA Cuit ini ditulis, saya berada di PRK Parlimen Teluk Intan.

Sebagai wartawan saya harus pergi dan meninjau. Itu wajib. Itulah yang saya lakukan sejak memegang profesion ini kira-kira 25 tahun lalu.

Saya tertarik berada di situ, kerana ia membabitkan pertandingan antara calon tua dan muda, selebriti dan orang biasa, mentah dan masak serta intan dan kaca.

Dalam perbezaan itu saya melihat BN adalah underdog dan DAP cukup yakin untuk menang. Cina nampaknya tidak berganjak daripada DAP. Gerakan yang cukup lama di Teluk Intan perlu bekerja keras lagi.

Calon BN, Datuk Mah Siew Keong sepatutnya boleh menang mudah kerana secara tradisi, dia ialah orang Teluk Intan, dari keluarga taukeh ternama, berjaya dan terkemuka di situ.

Sebaliknya Dyana Sofya tiada apa-apa, kecuali window dressing DAP yang 'menggunakannya' untuk faedah parti itu. Pos­ter gambar Dyana diletakkan dalam pelbagai gaya. Ada yang berbaju kurung bertudung, tanpa tudung, baju moden, gaya itu dan gaya ini. Banyak dicakapkan orang mengenai poster kreatif itu.

DAP yang cukup cauvinis secara tradisi nampaknya cuba lari daripada imej perkauman, walaupun falsafah perjuang­annya tidak akan berubah. Atas faktor itu Dyana dimekap tebal-tebal untuk menjadi calonnya.

Bosnya Lim Kit Siang akan sentiasa (berdamping) dengan Dyana dan jika soa­lan-soalan sensitif diaju wartawan, mikrofon akan ditarik dari mulut gadis itu.

Mungkin benarlah seperti kata Tun Dr. Mahathir, Dyana hanyalah umpan DAP untuk menang semata-mata.

Semasa Cuit ini ditulis, ibunya Yammy Samat, seorang ahli Perkasa meletak jawatan atas alasan "Perkasa sudah menyimpang" - satu alasan yang terlalu lazim.

Mengenai pengundi. Pengundi Melayu perlu dipadukan. Mereka harus disatuhatikan di bawah UMNO. Perbezaan pendapat antara ketua-ketua cawangan mesti diselesaikan.

Masyarakat India hasil pemerhatian saya sejak malam tadi memihak dengan BN. Namun mereka boleh swing pada saat-saat terakhir, jika tidak dijaga betul-betul.Riuh-rendah mereka membawa bendera biru ke sana-sini dengan motosikal.

"Apa DAP buat selama ini di Teluk Intan," jerit Ahmad Maslan, berceramah di PDM Nova Scotia malam tadi.

Jawapan Tamil yang diberi "elek...!" Bererti tiada apa-apa.

Seperti yang saya tulis di atas, pertembungan ini cukup unik sekali. Ia akan ref­lek cara berpolitik antara kedua-dua parti itu untuk masa-masa akan datang.

Adakah psikologi politik DAP akan berjaya sekali lagi, atau pendekatan matang BN akan berhasil?

Strategi saat-saat terakhir menjelang pilihan raya cukup penting sekali. Siapa hebat, dia menang. Tunggu 31 Mei ini.


Wujudkan Kerusi Just Faaland: Otak DEB Malaysia


BEBERAPA hari lalu saya hadir makan malam dijemput oleh seorang tokoh ekonomi negara. Tokoh itu ialah Dr. Rais Saniman yang bersama-sama merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau New Economic Policy (NEP).

DEB digubal oleh seorang pakar ekonomi dari Norway bernama Just Faaland, kini Tan Sri.

Beliau datang ke Malaysia sebelum rusuhan kaum 13 Mei 1969, untuk menge­tuai pasukan pakar antarabangsa sebagai Pengarah Kumpulan Penasihat Universiti Harvard di Malaysia. Kumpulan itu dile­takkan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menasihat negara berkaitan hal ehwal ekonomi.

Majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan anak Tan Sri Faaland, Jon Faa­land yang tiba di Kuala Lumpur untuk urusan rasmi.

Tujuan DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan dan melonjakkan perpaduan nasional dengan membolehkan kumpulan-kumpulan etnik Malaysia terlibat dalam ekonomi yang saksama, tanpa menekan hak-hak sosial dan ekonomi kumpulan etnik.

Selepas tragedi 13 Mei, Tan Sri Faaland membantu Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan bekerja rapat dengan EPU, bagi me­ningkatkan taraf kehidupan orang miskin dan yang tersisih.

"Apa sedikit yang saya tahu berkaitan dengan Malaya berbanding dengan negara ini keseluruhannya. Saya sedar mengenai fasa-fasa yang berlaku semasa perang dan kepentingan utama eksport timah dan getah Tanah Melayu untuk ekonomi­nya. Saya juga mempunyai sedikit penge­tahuan mengenai penghijrahan besar-besaran kaum buruh pendatang Cina dari Asia Selatan.

"Setibanya di KL pada Julai 1968, saya memerlukan masa untuk belajar menge­nai negara ini. Saya sangat beruntung diletakkan di EPU yang mana hampir semua rakan dari Kumpulan Penasihat Harvard turut berada," kata Faaland dalam portal Merdeka Award http://www.merdekaaward.my

Iklim sosioekonomi Malaysia pada 1969 dan 1970 amat memerlukan pe­nyertaan semua rakyat untuk pengagihan sosial yang lebih baik demi kemajuan negara.

"Ia dikenali sebagai pendekatan baru. Rintangan, malah jurang yang semakin meningkat antara kaya dan miskin, telah memberi kesan politik untuk mendesak para intelektual dan ahli politik bagi mencari jalan penyelesaian. Memang diakui ia amat diperlukan," katanya.

DEB atau NEP bukan dipersetujui secara sebulat suara semasa ia mula dicadangkan kepada kumpulan penasihat itu. Namun Tan Sri Faaland berjaya mempengaruhi mereka mengatakan ia adalah dasar terbaik untuk negara ini bergerak ke hadapan.

"Dua bentuk pemikiran timbul bagaimana untuk melihat permasalahan politik dan sosial ini. Satu penekanan ialah pertumbuhan ekonomi mengatasi keutamaan-keutamaan lain. Pencadang DEB mentakrif cabaran-cabaran pemba­ngunan secara berbeza."

Kepada mereka adalah bukti jelas berlaku kecacatan struktur di negara ini yang perlu diperbaiki segera.

Kejayaan DEB bagi mencapai objektifnya telah menjadi tajuk perbahasan sejak diwujudkan, namun Tan Sri Faaland kagum dengan kemajuan negara ini ke­seluruhannya sejak dasar itu dilaksanakan.

Tan Sri Faaland dilahirkan di Oslo, Norway pada 25 Januari 1922. Beliau kini berusia 92 tahun. Beliau menerima pendidikan di Universiti Oslo dan Universiti Oxford dalam bidang Matematik dan Ekonomi.

Faaland diasuh oleh Prof. Ragnar Frisch, pemenang bersama Hadiah Nobel dalam Ekonomi pada 1969 dengan Jan Tinbergen.

Buat masa ini walaupun sudah berusia, beliau masih berkhidmat sebagai Perun­ding Kanan di Institut Chr. Michelsen (CMI) Norway, sebuah pusat bebas untuk penyelidikan polisi dan pembangunan antarabangsa.

Dr. Rais semasa makan malam itu mencadangkan sebuah kerusi diwujudkan di universiti, khususnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau universiti lain, untuk mengkaji secara saintifik dan empirikal mengenai masa depan Melayu dan soal kesaksamaan agihan ekonomi dan sosial di negara ini.

Jon, anak Faaland berkata: "Malaysia kini sudah cukup maju secara fizikal, maka pusat atau kerusi yang dicadangkan itu boleh mengkaji ke arah meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat."

"Tan Sri Faaland masih berharap Malaysia terus melaksanakan DEB. Ia masih releven untuk menghapuskan ketidaksamaan antara kaum yang masih berlaku.

"Amat rugi jika ia ditinggalkan...," kata Dr. Rais memetik kata-kata mentornya, Faaland.


Deklarasi Shah Alam: Sumpah Anak Pribumi


PADA 22 Mei 2014 menjadi sejarah kepada UiTM, selaku benteng terakhir institusi pendidikan paling berjaya Melayu bumiputera, apabila alumninya mengeluarkan satu deklarasi.

Deklarasi itu bertajuk Deklarasi Shah Alam Sumpah Anak Pribumi "Mempertegaskan UiTM Sebagai Wadah Bumiputera" yang dikeluarkan bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.

Sejak 2008 ia telah dicabar secara terbuka. Semasa pakatan pembangkang, diketuai DAP mengambil alih Selangor, satu kenyataan yang dibuat meminta institusi itu dibuka 10 peratus telah menyebabkan beribu-ribu pelajarnya naik marah dan berarak ke bangunan SUK Selangor dari pintu universiti itu.

Isu itu kemudian senyap. Kini sekali lagi ia berbunyi. Calon DAP di Teluk Intan sengaja mencari pasal bercakap dalam nada yang sama. Ada yang mengatakan calon itu mengajuk apa yang diminta oleh bosnya DAP.

Setelah dihentam kuat dengan cadang­an membuka UiTM kepada kaum lain, dia me­nuduh pula kualiti pelajarnya tidak bermutu.Dia membuat psywar, sedangkan keluaran UiTM paling laris dalam pasaran.

Sehubungan itu, Persatuan Alumni UiTM Malaysia mengeluarkan deklarasi itu sebagai mengutuk keras perbuatan mana-mana pihak yang cuba mempertikai dan menggugat kedudukan dan kedaulatan UiTM, "sebagai institusi pendi­dikan anak bangsa dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang sah berdiri di bawah Perlembagaan Persekutuan di bawah nau­ngan Yang di-Pertuan Agong."

Penubuhan UiTM adalah selaras de­ngan DEB yang berhasrat untuk mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia.

Apa motif sebenar kenyataan menyentuh UiTM sedangkan ia telah wujud sejak 1956 lagi? Apakah ada unsur: Jika sudah berjaya ia harus dikongsi? Jika ia sebuah institusi yang gagal, adakah ia terus-menerus akan dituntut sebegitu rupa?

Begitu juga Malaysia, sekiranya Malaysia masih seperti Laos atau Cambodia, adakah pembangkang begitu pulun mahu menguasai negara ini?

Mereka bisingkan UiTM mahupun Malaysia kerana kedua-duanya sudah berjaya.

UiTM pada hakikatnya berjaya melalui perkembangan amat pesat dan mengembang sayap ke seluruh negara; 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit, 21 kolej bersekutu dan sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.

Tenaga kerja seramai 17,000 orang, menawarkan 300 program akademik serta rumah kedua bagi 172,000 pelajar.

UiTM selama ini mengeluarkan para pelajar yang versatil, termasuklah calon Teluk Intan itu!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140528/re_06/Intan-dan-Kaca-Kerusi-DEB-Tan-Sri-Faaland-Oh-UiTMku#ixzz32yKJV4j9  © Utusan Melayu (M) Bhd 

PRK TELUK INTAN - Ahli wanita PPP ditendang, ditumbuk ketika lakukan bancian



K. Chinnamma dipapah oleh ahli PPP setelah membuat laporan polis berhubung ditendang dan ditumbuk ketika melakukan bancian sempena PRK Parlimen Teluk Intan, Perak, semalam.

TELUK INTAN 27 Mei - Seorang ahli wanita Parti Progresif Penduduk (PPP), K. Chinnamma, 58, mendakwa ditendang di kaki kanan selain ditumbuk di leher oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika melakukan bancian untuk parti itu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Taman Desa Aman, Batu 6 di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 1.50 petang itu, mangsa bersama tiga rakannya daripada Cawangan PPP Changkat Jong mendakwa didatangi oleh suspek berkenaan yang tiba-tiba muncul menaiki sebuah motosikal.

Chinnamma yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai 10 orang anak berkata, suspek bertindak menarik kolar bajunya selain mengugut untuk merosakkan dua motosikal yang dinaiki mereka.

"Dia kata, 'You pakai baju Barisan Nasional (BN) kenapa datang rumah saya? You orang MIC ke?'.. Dia terus mengambil pasu bunga dan melemparkan ke tanah, namun nasib baik tidak mengenai saya.

"Saya berasa sungguh takut, malah tiga rakan saya yang lain telah sempat melarikan diri ketika itu," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PPP negeri, Jennifer Leong Pe Lee berkata, beliau tidak menyangka kejadian tersebut akan berlaku disebabkan insiden berkenaan merupakan kali pertama berlaku ke atas mereka.

Sehubungan itu, Jennifer meminta pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut memandangkan mereka hanya ditugaskan untuk membuat bancian di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nova Scotia di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, polis merakamkan keterangan mangsa bersama rakan-rakannya setelah satu laporan polis telah dibuat pada pukul 2.20 petang semalam.

Beliau berkata, hasil keterangan doktor menyatakan mangsa telah disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140528/po_04/Ahli-wanita-PPP-ditendang-ditumbuk-ketika-lakukan-bancian#ixzz32yFjmTiv  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK TELUK INTAN - Siew Keong kesal taktik kotor pembangkang



Mah Siew Keong meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak selepas meninjau proses pembuangan undi awal oleh anggota polis di bangunan tersebut bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Perak, semalam. - Utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin

TELUK INTAN 27 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong kesal dengan taktik kotor pihak tertentu yang menyimbah cat hitam selain menconteng tulisan 'B untuk bodoh' pada poster kempennya.

Siew Keong mendakwa, selain serangan di laman sosial Facebook, terdapat pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dengan meminta pengundi hadir ke pejabatnya bagi mendapatkan wang RM200 semalam.

"Sudah 20 tahun saya berada di Teluk Intan dan telah banyak kali bertanding sebelum ini, namun tidak pernah terjadi insiden seperti ini.

"Kita ada emosi dan penyokong kita juga sangat marah. Perkara ini bukan budaya yang kita amalkan di Teluk Intan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam setiap kempen ceramahnya menguar-uarkan bahawa calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud memiliki 3B iaitu beauty (kecantikan), brain (kepintaran) dan bravery (keberanian) berbanding Siew Keong yang didakwa tidak memiliki apa-apa.

Dalam pada itu, Siew Keong berkata, beliau telah menegah semua penyokong BN daripada membalas perbuatan itu.

"Perkara itu merupakan satu tindakan yang tidak baik. Ada beberapa hari lagi menjelang pengundian dan kita tidak mahu suasana persekitaran yang tegang. Pilihan raya ini adalah satu proses demokrasi. Kenapa mahu buat seperti ini.

"Jika DAP begitu yakin dengan polisi yang mereka ada, parti tersebut tidak sepatutnya menjalankan kempen yang memburukkan parti lawan," katanya.

Tambah beliau, manifesto yang dilancarkannya semalam turut dikritik pembangkang dalam sidang akhbar sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang agenda pembangunan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140528/po_03/Siew-Keong-kesal-taktik-kotor-pembangkang#ixzz32yCKc8Jh  © Utusan Melayu (M) Bhd 


UiTM bantu sistem rangking dunia



Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
kampus@utusan.com.my




Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya meyakinkan badan penilai Times Higher Education-QS World University Rankings untuk mengubah corak kriteria pemilihan kedudukan ranking universiti di seluruh dunia yang mana UiTM salah satunya tidak diadili secara saksama.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ini kerana dua badan penilai tersebut iaitu Times Higher Education menggunakan 13 kriteria manakala QS Ranking menggunakan penilaian berdasarkan 'perseption' yang mana melihat kepada populariti sesuatu universiti.

Menurutnya, badan penilai tersebut yang terdiri daripada pakar-pakar akademik dunia mengakui telah membuat penilaian yang tidak adil ke atas UiTM dalam menentukan ranking universiti tersebut dengan meletakkan UiTM di bawah kategori sebaris dengan universiti tertua dunia.

“Pada forum di Miami di mana saya satu-satunya wakil Asia telah dijemput oleh badan penilai terbabit untuk membuat penjelasan mengapa perlu ada kategori universiti muda memandangkan UiTM sendiri tidak sepatutnya diletakkan pada kategori yang berlumba dengan universiti Oxford memandangkan UiTM baharu 15 tahun penubuhannya.

“Mereka menerima pandangan saya ini dengan baik yang mana saya telah mempersoalkan bahawa penilaian yang dibuat tidak adil untuk universiti baharu seperti UiTM dan kemungkinan tahun depan akan diperkenalkan kategori universiti muda dalam penilaian tempat universiti dunia," katanya ketika ditemui Helo Kampus di pejabatnya baru-baru ini.

Selain itu, katanya, badan tersebut juga mengakui terdapat kesilapan lain yang dibuat semasa penilaian ranking antaranya universiti hanya memulakan pengambilan peringkat ijazah pada tahun 2000 yang mana masih baharu berbanding universiti dunia lain selain membuat penilaian tidak menyeluruh berdasarkan maklumat laman web universiti tersebut.

“Pihak mereka menjemput UiTM untuk menerangkan mengenai perkara-perkara ini boleh dianggap satu pengiktirafan malah mereka menerima segala ketidakadilan yang dikemukakan terhadap UiTM. Saya terangkan kepada mereka bahawa penubuhan UiTM adalah untuk kepentingan orang-orang miskin, orang kurang upaya dan pelajar luar bandar, tidak semua universiti menawarkan perkara ini, sebaliknya lebih mementingkan pelajar terbaik daripada keluarga mewah sahaja.

“Apabila saya terangkan perkara ini kepada mereka, mereka mengakui modul UiTM adalah yang terbaik dan mereka mahu berkongsi pengalaman dan mempelajari sistem akademik yang kita amalkan ini. Dari aspek penilaian lain iaitu 25 markah bagi pengambilan pelajar asing, kita kekurangan dalam aspek itu namun jika mahu dibandingkan dengan nilai, mutu dan kualiti, UiTM ada kriteria tersebut.

“Satu perkara lagi yang menarik perhatian mereka apabila saya jelaskan bahawa lepasan pelajar UiTM tidak hanya mengharapkan kerja daripada kerajaan atau swasta kerana kita latih pelajar menjadi usahawan dan bidang keusahawanan ini satu keunikan UiTM berbanding universiti lain. Mereka bersetuju dengan pendirian kita bahawa untuk memastikan masa depan negara maju, kemenjadian pelajar menjadi usahawan adalah penting," jelasnya.

Kejayaan UiTM itu, kata Sahol Hamid, telah berjaya mencuri perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berkongsi pengalaman dan 'senjata' yang digunakan oleh UiTM sehingga berjaya menarik minat badan penilai antarabangsa terbabit mempelawa beliau menyertai forum perbincangan mengenai perkara itu.

Pada masa yang sama, Sahol Hamid menyelar mana-mana pihak yang mempersoalkan kedudukan ranking universiti itu tanpa mengetahui dengan lebih jelas mengenai kriteria dan maklumat berkaitan dengannya malah mengeluarkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keupayaan universiti tersebut.

“Jangan salah faham ranking dan mahu menjatuhkan kewibawaan sesebuah universiti itu kerana hanya orang yang cetek pemikiran dan tidak faham ilmu sahaja boleh membuat tohmahan sedemikian, saya cadangkan eloklah individu berkenaan mendiamkan diri daripada membuat tuduhan melulu.

“Jika tiga universiti dunia mengiktiraf UiTM dan mengaku sendiri silap dalam meletakkan UiTM dalam kategori penilaian ranking, apa lagi yang perlu dibuktikan oleh pihak ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140526/ka_02/UiTM-bantu-sistem-rangking-dunia#ixzz32yA54DBB  © Utusan Melayu (M) Bhd


Mahasiswa UiTM dekati gelandangan



Pelajar UiTM (kiri) mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.

WALAUPUN Malaysia sudah mencapai pelbagai kemajuan dan rakyatnya mengecapi pelbagai nikmat hasil kemakmuran negara, namun masih ada golongan yang kurang bernasib baik ataupun insan-insan yang hidup dalam serba kekurangan.

Disebabkan kekurangan tersebut, kehidupan mereka tidak sempurna sehingga menjadi gelandangan di kaki lima.

Dalam usaha membantu golongan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur, Persatuan Instruksional dan Latihan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Cure & Care Service Centre Chow Kit baru-baru ini menganjurkan program Feed The Need untuk mendekati golongan tersebut.

Penasihat persatuan yang juga pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Shah Alam, Nur Aziemah Mohd. Azman berkata, matlamat program adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa kehidupan sebenar penduduk kurang bernasib baik di ibu negara.

"Sebelum ini, kita melihat golongan gelandangan, penagih dadah, kanak-kanak tercicir di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Haji Taib sebagai negatif dan 'kotor' sahaja. Tetapi kali ini, kita mahu pelajar turun padang, dekati mereka, selami hati mereka secara dua hala dan bersikap ringan tulang dalam menghulurkan bantuan," katanya kepada .com baru-baru ini.

Seramai 42 peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan bergerak ke sekitar lokasi tersebut bermula pukul 8.30 hingga 11 malam mengagihkan makanan dan minuman kepada golongan berkenaan.

Pengarah program itu, Nurain Mohd. Hassan, 23, berkata, program tersebut diharap dapat memberi pengalaman berharga kepada pelajar supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dinikmati hari ini.

"Setelah berpeluang mendekati mereka, saya dapati persepsi yang dilemparkan masyarakat sebenarnya berbeza kerana mereka tidak seburuk yang disangkakan," katanya yang juga merupakan pelajar FKPM.

Sementara itu, penyelaras pusat Cure & Care, Hamsiah Mohamad Zahari berkata, program itu dapat mendedahkan mahasiswa kepada realiti sebenar.

“Diharap mereka dapat membantu agensi kerajaan mengubah persepsi negatif masyarakat lain di luar sana," ujarnya. - DHIYA'ZULHILMI DAUD/ZAKARIA IDRIS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140524/ka_01/Mahasiswa-UiTM-dekati-gelandangan#ixzz32y49pKtj  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday, 22 May 2014

Hudud: Pas dipermainkan DAP




Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my








KUALA LUMPUR 21 Mei - Pas dilihat sering dipermainkan oleh rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang terutama DAP yang menganggap perjuangan parti itu untuk melaksanakan hukum hudud sebagai satu bahan mainan.

Ahli Pas kawasan Subang, Selangor, Mohd. Saad Yahaya berkata, lebih parah ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri suka dipermainkan apabila sanggup tunduk kepada desakan DAP biarpun membabitkan agenda perjuangan parti.

Jelas beliau, Pas sepatutnya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada DAP berhubung pelaksanaan undang-undang Islam itu dan memahami perjuangan Pas itu jika mereka benar-benar menganggap parti itu sebahagian rakan dalam pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor merupakan pentas terbaik untuk Pas memberi penerangan kepada kaum Cina di Pulau Pinang berhubung hukum tersebut yang mahu dilaksanakan parti itu.

"Rakyat negeri di bawah kepimpinan DAP itu terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng wajib memahami agenda perjuangan Pas itu jika mereka benar-benar menganggap parti itu sebahagian rakan dalam pakatan pembangkang.

"Namun, pada saya mereka hanya anggap kita sebagai `rakan mainan'.

"Kita kerap dipermainkan, lebih parah ada dalam kalangan pemimpin kita suka dipermainkan, malah mereka juga tumpang bermain-main dengan perjuangan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau amat kecewa isu pelaksanaan hukum hudud yang kembali panas gara-gara calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar mahu memperjuangkan undang-undang Islam itu menjelang 2020, telah `dimatikan' oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Katanya, tindakan Abdul Hadi yang menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian ber­kenaan pelaksanaan hukum hudud Kelantan di Dewan Rakyat mengecewakan hati ramai ahli akar umbi parti kerana beliau sanggup tunduk kepada desakan DAP yang selama-lamanya tidak pernah setuju dengan Pas dalam soal hudud.

"Kami (ahli) di bawah tidak pernah berubah, namun yang di atas kerap berubah fikiran mengikut arahan yang diatur oleh pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Syabas Mohamed Nabi Bux walaupun keseorangan namun perjuangan anda dihargai. Kepada semua umat Islam di Bukit Gelugor, anda wajib mengundi beliau," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140522/po_01/Hudud-Pas-dipermainkan-DAP#ixzz32PUkJBjC ©  Utusan Melayu (M) Bhd



Fahami ASWJ secara menyeluruh

Oleh SOFIAN BAHAROM dan HUSSAINI AMRAN
pengarang@utusan.com.my



MODERATOR Dr. Amran Muhammad (kanan) bersama pembentang kertas kerja Prof. Datuk Paduka Zakaria Stapa (tiga, kanan); Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti (kiri) dan Dr. Wan Adli Wan Ramli pada Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan disaran bersungguh-sungguh memastikan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) difahami secara menyeluruh dari aspek pegangan akidah, amalan fiqah serta penghayatan akhlak dalam segenap lapisan umat Islam di negara ini.

Saranan itu merupakan antara resolusi Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 bertemakan Pencerahan Tasawwur ASWJ anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang berakhir hari ini.

Selain itu, wacana dua hari yang melibatkan pembentangan sembilan kertas kerja oleh pakar-pakar agama tersebut turut mendesak kerajaan supaya terus bertegas dalam usaha membanteras segala unsur dan anasir yang mampu memberi kecelaruan kepada fahaman ASWJ sebenar.

Untuk mencapai matlamat murni tersebut, wacana itu meminta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan menyediakan modul pembelajaran menyeluruh tentang pegangan ASWJ untuk diaplikasikan pada semua peringkat pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Kerajaan juga jelas wacana itu, perlu menyeragamkan dan memantau aktiviti pengajian di semua masjid serta surau supaya semuanya berdasarkan teks-teks yang telah dikenal pasti sesuai mengikut fahaman epistemologi ASWJ.

Dalam masa sama, wacana tersebut meminta kerajaan menghentikan operasi institusi-institusi pengajian bertopengkan Islam yang didapati tidak selari dengan indeks akidah ASWJ.

"Kerajaan wajar menjadikan syarat aliran akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah dalam meluluskan permohonan baharu untuk memulakan institusi pengajian swasta yang berlandasan Islam," jelas wacana berkenaan.

Resolusi tersebut dibaca oleh Setiausaha Agung Muafakat, A. Karim Omar.

Sementara itu, wacana itu menegaskan kerajaan wajar mewujudkan dana khas untuk kajian akademik yang berteraskan topik ASWJ di universiti-universiti tempatan.

Menurutnya, kerajaan perlu menggembleng usaha serta menyediakan insentif menarik untuk pihak swasta bekerjasama di dalam aktiviti penyelidikan, penyampaian, penyiaran serta operasi pusat rujukan berkaliber yang diwujudkan secara khusus untuk menyuburkan aktivisme bagi memperkasakan fahaman ASWJ.

"Kerajaan wajar memperbanyak kandungan dan program yang mempromosikan tasawwur ASWJ secara kreatif dan meluas di media cetak dan elektronik arus perdana.

"Selain itu, kerajaan perlu menyediakan jaringan gandingan ulama-umara berprofil tinggi demi memacu idea pembinaan jati diri Malaysia sebagai benteng ASWJ di persada global," jelasnya.

Dengan latar keseriusan serangan ajaran Syiah dan pemikiran liberalisme serta pluralisme agama di negara itu, wacana itu menegaskan, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan berkenaan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Wacana tersebut juga mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.

"Pengamal, pelopor Syiah, liberalisme dan pluralisme agama serta pertubuhan-pertubuhan yang diketahui umum memperjuangkan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat.

"Langkah itu supaya mereka menghormati kedaulatan Islam, patuh kepada peruntukan Perlembagaan, undang-undang dan enakmen agama sedia ada dan menyantuni citra rakyat Malaysia yang majoritinya beraliran ASWJ," jelas wacana berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_03/Fahami-ASWJ-secara-menyeluruh#ixzz32PTBZOU7  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 21 May 2014

PRK TELUK INTAN - 'Hairan Bin Ajaib, Betik bin Kobis' semarakkan kempen

Oleh Zulkifli Jalil


Mah Siew Keong (kanan) bersalam dengan Dyana Sofya Mohd. Daud sambil diperhatikan oleh Lim Kit Siang di Pasar Pagi Pasir Bedamar dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Perak, semalam. - UTUSANZulkarnain Mohd. Saidin
KEMPEN pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan kini semakin rancak dan baru dua hari berjalan, sudahpun memasuki sisi gelap.

Semalam, tersebar nama-nama seperti Hairan binti Ajaib, Ko*** bin Abu Seman, UMNO bin Tinggal, Betik bin Kobis dan Taliberguna Berkebolehan Kawad.

Ia nama yang tertera dalam kad pengenalan yang dilayangkan oleh pihak tertentu dalam blog-blog dan WhatsApp. Ini disertakan dengan dakwaan mereka itu ‘bakal’ pengundi-pengundi hantu di Teluk Intan Perak pada 31 Mei ini.

Namun tidak tertera pula nombor kad pengenalan mereka. Barangkali kerana nama yang begitu ganjil, pihak terbabit ragu-ragu. Lantas terus menyebar dakyah mereka ini akan didatangkan ke Teluk Intan bagi membantu kemenangan parti yang disukai.

Penulis sempat bertanyakan hal ini kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof semalam. Beliau tidak pula hairan dengan senarai nama terbabit.

Identiti mereka itu mungkin benar, kata Abdul Aziz. Bagi SPR sendiri, nama-nama seperti Jamban, Kelambu, Arnab, Rimau dan Semut biasa diterima untuk disenaraikan dalam Daftar Pemilih Induk. Keba­nyakan nama ganjil ini daripada Sabah dan Sarawak. Mereka termasuk Hairan Binti Ajaib tadi, kata Abdul Aziz, mungkin telah lama bekerja di Teluk Intan dan menjadi pengundi di situ tetapi mengekalkan alamat Kampung Tongkollah, Semporna se­perti tertera dalam kad pengenalan. Ia sah di sisi undang-undang untuknya mengundi.

Suatu ketika di masa lalu, seorang Orang Asli membuat laporan kelahiran anaknya yang mahu dinamakan ‘Masian’. Tapi malangnya apabila diambil laporan oleh seorang polis Benggali, nama anaknya ditulis dalam kad pengenalan sebagai ‘Machine Gun’. Sebab itu, nombor-nombor kad pengenalan lima nama ganjil tadi perlu dihantar segera ke SPR untuk disemak kesahihannya.

Walau apa pun bentuk kempen pilihan raya kecil di Teluk Intan ini, suatu yang perlu diakui, momentum atau trend pengundi atau pengundiannya memang unik.

Suatu ketika, Barisan Nasional (BN) pernah menang di situ dengan majoriti 7,000 undi (sama jumlah undi yang dimenangi DAP tahun lalu). BN juga pernah kalah di Teluk Intan dengan cuma 1,000 undi.

Kata orang Sabak Bernam yang berjiran dengan Teluk Intan, kerusi Parlimen itu sungguh ‘kelakar’. Pengundinya boleh ‘swing’ bila-bila masa sahaja. Dan apabila DAP mengambil keputusan meletakkan Dyana Sofya Mohd. Daud sebagai calonnya, dalam kepala mereka tentunya begitu ang­kuh - bahawa meskipun Dyana Sofya bukan Cina - pengundi Cina pasti akan tetap 100 peratus mengundi parti itu. Dan Dyana Sofya itu nanti diharapkan berupaya ‘memancing’ pengundi Melayu.

Namun, berdasarkan maklum balas yang hinggap di telinga penulis, kemungkinan besar trend pengundi Cina di Teluk Intan kali ini akan berubah. Pengundi Cina termasuk pemimpin DAP tempatan dikatakan ramai yang kecil hati apabila DAP Pusat mencalonkan Dyana Sofya. Macam tidak ada calon tempatan. De­ngan kedudukan sebagai Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, tiba-tiba sahaja menjadi calon payung terjun di Teluk Intan. Ramai lagi calon-calon berkaliber dari DAP yang boleh diketengahkan, kata mereka.

Malahan, Dyana Sofya sendiri tidak ketahuan sama ada dia pengundi berdaftar di kerusi Teluk Intan, bahkan tidak mahir akan selok-belok Teluk Intan kerana asalnya dari Ipoh dan banyak menghabiskan kehidupan di Lembah Klang.

Di sebalik itu, calon BN, Datuk Mah Siew Keong merupakan anak tempatan. Pernah menjadi wakil rakyat di situ dan Timbalan Menteri. Perjumpaan dengan masyarakat Cina tempatan serta kenduri-kendara perkahwinan dan kematian melibatkan orang Me­layu tidak lekang dengan kelibatnya.

Ketika ini penentuan kemenangan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam kedudukan 50:50. BN sendiri berpeluang andai kata jentera pilihan rayanya tidak leka atau lebih tepat lagi ‘usah anda sesekali tidur’.

Carilah - kalau benar-benar wujud - nama Hairan binti Ajaib, Ko*** bin Abu Seman, UMNO bin Tinggal, Betik bin Kobis dan Taliberguna Berkebolehan Kawad. Pastikan apabila mereka melangkah masuk ke saluran mengundi, Siew Keonglah pilihan hati.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140521/re_06/Hairan-Bin-Ajaib-Betik-bin-Kobis-semarakkan-kempen#ixzz32JRuNPx9  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Memurni semula gerakan hak asasi

Oleh Azril Mohd. Amin


Penyokong hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyertai demonstrasi sempena Hari Antarabangsa Menentang Homofobia dan Transfobia di Queretaro, utara Mexico, pada 17 Mei lalu. - REUTERS
DALAM ucapannya semasa merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan betapa pemikiran dan fahaman humanrightisme kini menjadi ancaman atau serangan baru yang agresif terhadap umat Islam.

Apabila menyentuh isu hak asasi manusia, pastinya beliau mahu menyuntik perspektif baru sesuai dengan wadah seumpama majlis tilawah apabila ramai dalam kalangan audiens mentaddabur isi kan­dungan al-Quran sebagai panduan kepada umat manusia memecahkan pelbagai masalah yang melanda kemanusiaan, termasuklah tuntutan hak asasi manusia yang semakin rumit dan menjadi kontroversi akibat penyelewengan fahaman tersebut.

Kandungan ucapan Perdana Menteri harus disambut dengan baik oleh kerana penzahiran hasrat dan komitmen Kerajaan Pusat memperbaiki keadaan hak asasi manusia tampak terus diusahakan selagi tidak bercanggah dengan kedaulatan Islam me­nurut fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai kesederhanaan di dalam budaya masyarakat berbilang kaum di Ma­laysia.

Sementara kita boleh menerima prinsip-prinsip tertentu hak asasi manusia, khususnya yang disaring melalui sumber-sumber muktabar hukum Islam, isu yang perlu diwaspadai adalah fahaman humanrightisme suatu bentuk agama sekular baru yang sudah mulai berkembang pesat di dalam negara akibat kesan langsung lobi gerakan hak asasi manusia liberal-sekular di luar negara.

Fahaman ini yang berasaskan pemikiran ‘humanisme’, ‘sekularisme’ dan ‘liberalisme’, bersifat songsang sementelah ia mengagung-agungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata, serta menolak sebarang sistem nilai merangkumi norma agama dan adab-susila.

Kesan fahaman ini terjelma dengan jelas, sebagai contoh, di dalam kontroversi tuntutan-tuntutan batil Comango semasa sesi Semakan Berkala Sejagat di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva tahun lepas.

Pengkagum-pengkagum hak asasi manusia yang taksub serta masih tidak sedar tentang ancaman fahaman humanrightisme ini seharusnya terlebih dahulu membaca karya sarjana Barat, Anthony Julius, The Trials of the Diaspora (2010) yang menggunakan istilah fahaman humanrightisme tersebut untuk mendedahkan bahaya ketaksuban hak asasi manusia sebagai agama sekular baru - ‘the new secular religion’.

Beliau menulis, “A human rights discourse now dominates politics; there is a powerful human rights movement. It is the new secular religion of our time. This new ‘human rights-ism’ accords great value to the United Nations - notwithstanding its inability to enforce its decisions, and its refusal to make practical demands of its members to be democratic or respect the human rights of their citizens."

Bukan sahaja wacana fahaman berbahaya ini sudah mendominasi politik dalam kalangan masyarakat dunia, malah memberikan nilai terhadap fungsi serta peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pada hakikatnya menjadi semakin tidak berkesan.

Malah Tan Sri Razali Ismail seorang diplomat ulung negara yang pernah menjawat kedudukan presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 1996-1997 menyatakan kekecewaannya dengan kegagalan badan dunia tersebut semasa melancarkan karya penulisan beliau bertajuk “A UN chronicle: 1988-1998 di Institut Diplomasi dan Hu­bungan Luar Negeri (IDFR), Wisma Putra pada 30 April lalu.

Beliau turut menggesa usahasama kerajaan dan masyarakat awam untuk memperbaiki PBB yang telah terjerumus ke dalam isu pembaziran masa dan wang akibat siri perhimpunan yang berlangsung tanpa re­solusi yang mantap dan berkesan di dalam menyelesaikan isu-isu global.

Jika kritikan Razali dilihat sebagai desakan berterusan tokoh-tokoh dunia untuk memperbaiki PBB, maka amaran Najib tentang bahaya fahaman humanrightisme merupakan peringatan agar fahaman tersebut tidak kekal mendominasi dan merosakkan niat dan tujuan asal Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948 yang sepatutnya memperkukuh tiang kewujudan PBB demi kemaslahatan tamadun manusia.

Malah, kegagalan PBB terus mendapat kritikan sarjana mutakhir Barat, seperti yang dinyatakan di dalam karya Stephen Hopgood "The Endtimes of Human Rights" (2013) yang mengkritik kegagalan rejim kontemporari hak asasi manusia.

Menurut Stephen Hopgood "Whether it is the increase in deadly attacks on aid workers, the torture and 'disappearing' of al-Qaeda suspects by American officials, the flouting of international law by states such as Sri Lanka and Sudan, or the shambles of the Khmer Rouge tribunal in Phnom Penh, the prospect of one world under secular human rights law is receding. What seemed like a dawn is in fact a sunset. The foundations of universal liberal norms and global governance are crumbling."

Kegagalan fahaman liberal-sekular yang mendominasi gerakan hak asasi manusia menzahirkan kewujudan pelbagai tuntutan hak asasi manusia tidak munasabah yang menghakis kedaulatan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang terhasil ialah tuntutan-tuntutan untuk membenarkan gejala murtad berleluasa, desakan penghapusan kedudukan istimewa bumiputera di dalam fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, desakan pengiktirafan hak-hak LGBT yang menjurus ke arah hak perkahwinan sejenis, tuntutan menghapuskan institusi Islam seperti Mahkamah Syariah, majlis-majlis agama Islam dan jabatan-jabatan agama Islam serta beberapa tuntutan kontroversi lain yang mencabar kedaulatan negara.

Oleh yang demikian fahaman humanrightisme tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela sebagai suatu agama di dalam horizon gerakan hak asasi manusia.

Malah, jika para sarjana Barat sendiri sudah mulai sangsi serta mengecam ideologi liberal-sekular hak asasi manusia, mengapa masih wujud pentaksub-pentaksub di Malaysia yang ghairah menjunjung fahaman hak asasi manusia berkerangka Barat yang sesat dan akhirnya mahu menghancurkan tamadun manusia?

Sebaliknya, agenda yang memurnikan kembali gerakan hak asasi manusia perlu dipelopori negara seperti Malaysia serta dilakukan secara berhikmah, strategik dan bersepadu seperti melalui Suruhanjaya Tetap Bebas OIC mengenai Hak Asasi Manusia yang ditubuhkan pada 2011. Dari sejumlah 18 negara yang menganggotai Suruhanjaya tersebut, Turki dan Malaysia dilihat sebagai sangat berpotensi untuk memimpin artikulasi bagi mengetengahkan matlamat syariat Islam tentang hak asasi manusia.

Penulis percaya bahawa seruan Najib bukanlah mengarah kepada membawa Malaysia daripada PBB sebagai jalan penyelesaian mendepani fahaman humanrightisme ini.

Mesej yang ingin dibawa adakah kita mahu terus menerima prinsip-prinsip hak asasi manusia mengikut fahaman liberal-sekular Barat atau memilih untuk mencorak sendiri fahaman hak asasi manusia menurut pandangan alam Islam dan tamadun yang tidak bercanggah fitrah kemanusiaan?

Prinsip-prinsip hak asasi manusia perlu dilaksanakan di dalam kerangka maqasid syariah, yang merupakan seumpama tembok yang sifatnya menjadi pemelihara dan penjamin kesejahteraan hidup manusia, bukan fahaman liberal-sekular yang bernama humanrightisme yang sekadar bermatlamat membuka pintu kebebasan nafsu manusia yang tiada berpenghujung.

PENULIS ialah seorang peguam, dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140521/re_01/Memurni-semula-gerakan-hak-asasi#ixzz32JPXlL00  © Utusan Melayu (M) Bhd