Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 31 March 2014

MH370 - Terdapat petunjuk baharu








MELBOURNE 28 Mac — Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata, terdapat satu petunjuk baharu yang boleh dipercayai dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang hampir tiga minggu lepas.

Laporan media Australia berkata, Abbott telah diberi taklimat mengenai analisis data terbaharu radar yang membuatkan pihak berkuasa memindahkan kawasan carian 1,100 km ke timur laut, berikutan makluman terbaru daripada pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.

Zon pencarian kini seluas kira-kira 319,000 kilometer persegi dan 1,850 km ke barat Perth.

Analisis itu datang dari data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum perhubungan dengan MH370 terputus.

"Ini adalah petunjuk baharu yang boleh dipercayai dan akan diperiksa dengan teliti," Abbott berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, ia menunjukkan pesawat itu terbang lebih laju daripada anggaran sebelumnya, menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api dan mengurangkan kemungkinan jarak perjalanannya ke selatan Lautan Hindi.

"Kemungkinan laluan penerbangan itu boleh menjadi subjek untuk dihalusi lagi sementara pasukan penyiasat antarabangsa yang membantu pencarian itu meneruskan analisis mereka," kata AMSA dalam satu kenyataan.

Australian Geospatial-Intelligence Organisation pula sedang menyusun semula tugas satelit-satelit bagi mendapatkan imej di kawasan baharu itu.

Pencarian pesawat itu ditangguhkan dua kali dalam minggu ini kerana cuaca buruk tetapi keadaan cuaca bertambah baik pagi Jumaat dengan pesawat-pesawat mula berlepas dari Pangkalan Pearce Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dekat Perth, selepas pukul 6 pagi.

Operasi pada hari ini disertai sembilan pesawat tentera, termasuk dua P3 Orion RAAF, sebuah jet Pengawal Pantai Jepun, sebuah P3 Orion Jepun, sebuah P3 Orion dan sebuah C130 Hercules Korea Selatan, sebuah P3 Orion Tentera Udara Diraja New Zealand, sebuah Ilyushin IL-76 China dan sebuah P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat.

Enam kapal sedang menuju ke kawasan pencarian baru itu, terdiri daripada HMAS Success dan lima kapal China. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_01/Terdapat-petunjuk-baharu#ixzz2xVKCNaQ4  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - RBA umpan media asing burukkan negara



Oleh ADLINAHANI KHALIL
pengarang@utusan.com.my






KUALA LUMPUR 30 Mac - Tindakan tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) yang semakin melampau memperlekeh dan mempolitikkan usaha kerajaan dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 terus dikecam oleh pelbagai pihak.

Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, RBA boleh disifatkan seperti 'pakar memutarbelitkan fakta' dan sering membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan berhubung situasi sebenar.

Beliau berkata, isu MH370 bukanlah isu tempatan kerana melibatkan beberapa negara lain termasuk China dan Amerika Syarikat (AS).

"Cerita serta maklumat yang disebarkan oleh RBA adalah tidak munasabah dan perkara itu secara tidak langsung boleh mengganggu operasi mencari MH370 oleh pihak berkuasa.

"Perbuatan itu turut mengganggu emosi dan perasaan ahli keluarga penumpang yang sehingga kini masih menunggu berita sahih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan RBA yang berterusan memperlekeh dan mempolitikkan usaha kerajaan dalam mencari pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.

Selain itu, Mohd. Nazmi menyatakan bahawa RBA sengaja mencipta pelbagai cerita palsu dan spekulasi hanya kerana ingin melahirkan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, niat jahat RBA untuk memburukkan kerajaan turut diperluaskan dengan menyokong laporan media asing yang memperlekehkan usaha negara dalam operasi mencari MH370.

"Disebabkan terlalu ghairah untuk menjatuhkan kerajaan, RBA sanggup menghasilkan pelbagai cerita tidak masuk akal untuk mengumpan media asing mengkritik Malaysia.

"Hal itu secara tidak langsung akan menambah kebencian pihak tertentu yang sememangnya ingin memburukkan imej negara," ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd. Nazmi berkata, sikap profesional dan kecekapan negara dalam menangani isu MH370 secara tidak langsung dapat menghalang niat jahat RBA daripada memburukkan keadaan.

"Langkah efisien yang diambil dalam operasi mencari MH370 harus diberi pujian dan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab tidak berhak mengkritik usaha tersebut," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140331/dn_04/RBA-umpan-media-asing-burukkan-negara#ixzz2xVGRVV3B  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Ambil tempoh masa lama








PERTH 30 Mac - Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dijangka mengambil masa beberapa tahun yang mana pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berusaha untuk mengesan perakam kotak hitam sebelum kuasa baterinya habis.

Menurut pegawai tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang juga pengendali pengesan sonar Towed Pinger Locator, Kapten Mark Matthews, maklumat yang kurang jelas mengenai lokasi terakhir pesawat MH370 itu, menyukarkan lagi misi pencarian kotak hitam kapal terbang berkenaan.

"Pada masa ini, kawasan pencarian secara asas saiznya sebesar Lautan Hindi, yang akan mengambil tempoh masa yang begitu lama untuk mencari.

"Jika anda bandingkan dengan nahas pesawat Air France 447, kami mempunyai maklumat lebih baik berhubung kedudukan pesawat itu terhempas ke dalam laut," katanya dengan merujuk kepada pesawat terhempas di Brazil pada 2009 yang mengambil lebih dua tahun untuk menemuinya.

Sebanyak 10 kapal dan beberapa pesawat dikerahkan dalam misi pencarian di Lautan Hindi, barat daya Perth bagi mengesan jejak pesawat itu yang hilang kira-kira tiga minggu lalu dan dipercayai terhempas di salah satu kawasan terpencil.

Sebuah kapal milik Tentera Laut Australia, Ocean Shield yang dilengkapi dengan pengesan kotak hitam dan kenderaan menyelam dijangka berlepas dari Perth lewat hari ini dalam operasi mencari pesawat MH370.

Banyak objek yang dikesan dalam tempoh dua hari ini setelah pihak berkuasa Australia beralih ke kawasan carian baharu yang terletak kira-kira 1,000 km timur laut dari lokasi asal pencarian selepas analisis dan data satelit baharu memutuskan bahawa pesawat MH370 terbang lebih laju selepas hubungan radar terputus.

Bagaimanapun, tiada pengesahan objek berkenaan adalah milik pesawat MH370.

Sementara itu, menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), pesawat dari China, Australia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan AS akan terlibat dalam operasi mencari MH370 pada hari ini.

Katanya, penemuan beberapa objek oleh dua buah kapal milik China dan Australia sebelum ini, tidak dapat dikaitkan dengan pesawat MH370.

Seorang jurucakap dari Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia berkata, kerajaan Australia telah mengeluarkan peraturan dan garis panduan kepada semua pasukan mencari MH370 yang terlibat dalam operasi berkenaan, dengan memberi kuasa kepada Malaysia untuk menjalankan siasatan terhadap serpihan yang ditemui di negara itu.

"Australia harap untuk menemui bangkai pesawat di Perth dan menjaganya bagi membolehkan Malaysia menjalankan siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140331/dn_02/Ambil-tempoh-masa-lama#ixzz2xVDTbYvE  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - Objek ditemui disahkan sampah

KAPAL Australia HMAS Success membawa peralatan maritim dan alat pengesan di dasar laut bersiap sedia di pelabuhan angkatan laut HMAS Perth, Australia, Semalam.

SYDNEY 30 Mac - Beberapa objek yang ditemukan di Lautan Hindi disahkan bukan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, objek terbabit yang dipungut oleh kapal China dan Australia dikenal pasti sebagai peralatan untuk menangkap ikan atau sampah.

Bagaimanapun, AMSA tidak menyatakan jumlah atau lokasi tepat objek berkenaan ditemukan.

Sementara itu menurut AMSA, operasi mencari pesawat MH370 yang memasuki hari ke-23 hari ini memberi fokus di kawasan seluas kira-kira 319,000 kilometer (km) persegi berpandukan hasil analisis lebih terperinci para penyiasat nahas kapal terbang.

Katanya, mengikut perancangan, 10 buah pesawat terlibat dalam gerakan mencari di kawasan kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth.

Lembaga itu juga berkata, semua kapal di kawasan mencari ditugaskan mengesan dan mengenal pasti objek yang dilihat pesawat sejak dua hari lalu.

"Cuaca di kawasan mencari diramal menjadi lebih buruk hari ini dengan hujan renyai dan awan rendah tetapi operasi mencari dijangka diteruskan," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 239 penumpang hilang kira-kira sejam selepas memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Menurut AMSA, pesawat yang mengambil bahagian hari ini adalah dari Australia, Jepun, China, Korea Selatan, Amerika dan Malaysia serta sebuah jet awam yang bertindak sebagai penyelaras komunikasi.

Kapal Australia HMAS Success, kapal Pentadbiran Keselamatan Maritim China Haixun 01, kapal Biro Penyelamat China Nan Hai Jiu dan kapal tentera laut China Jinggang Shan tiba di kawasan mencari semalam.

"Enam lagi kapal akan tiba di kawasan itu hari ini," kata kenyataan itu.

Katanya, kapal frigat kelas ANZAC HMAS Toowoomba meninggalkan Perth petang semalam dan dijangka tiba di kawasan mencari dalam masa tiga hari.

"Kapal ADV Ocean Shield pula dijadual berlayar dari Perth lewat hari ini setelah dipasang alat pengesan kotak hitam dan kenderaan bawah air," kata AMSA. - DPA, BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140331/dn_01/Objek-ditemui-disahkan-sampah#ixzz2xVBBvYTi  © Utusan Melayu (M) Bhd 






LIGA SUPER - Giliran Tok Gajah rampas takhta

PENYERANG Pahang, Dickson Nwakaeme (kanan) diraikan rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA LUMPUR - Keputusan seri yang diraih Terengganu dan Selangor ke atas lawan masing-masing membuka laluan buat Tok Gajah merampas teraju Liga Super selepas menang 2-0 ke atas Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Juara Piala Malaysia itu kini me­ngumpul 19 mata, meninggalkan Terengganu di kedudukan kedua dengan 17 mata pasukan itu selepas seri 1-1 ke atas Kelantan, manakala Selangor yang seri 2-2 dengan PKNS di tangga ketiga, juga dengan 17 mata.

Pada perlawanan Kuantan, tuan rumah memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dimiliki, malah membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Dickson Nwakaeme, sebelum menambah derita Perak melalui gol kedua yang dijaringkan oleh R . Gopinathan minit ke-36.

Di Stadium Shah Alam, Selangor sukar untuk mengutip tiga mata di laman sendiri biarpun pada awal permainan berjaya mendahului menerusi gol sendiri pemain PKNS, Helmi Remeli pada minit ke-18. Tiga minit selepas itu skuad bimbingan Wan Jamak berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor.

Babak kedua menyaksikan PKNS terpaksa terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-69, namun pelawat masih berupaya untuk menambah gol pada minit ke-73 menerusi Mohd. Aminuddin. Seminit selepas itu tuan rumah berjaya mengelak daripada dimalukan dengan meraih gol penyamaan melalui Afiq Azmi.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal mengutip tiga mata penuh setelah diikat Sarawak 1-1.

Gol pembukaan dijaringkan oleh pasukan pelawat pada minit ke-16 hasil rembatan lencong S. Chanthuru dari luar kotak penalti, manakala tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 melalui jaringan penyerang Argentina, Luciano Figueroa.

Di Stadium Jalan Besar, Lions­XII sekadar seri 1-1 dengan T-Team ­biarpun mengawal perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby selaku tuan rumah menewaskan ATM 3-2.

Gol Sime Darby hadir menerusi Mohd. Arif Ismail minit ke-29, William Mensah minit ke-59 dan Mahmoud Al Amna minit ke-64, manakala gol ATM dijaringkan Bruno Sebastian Martelotto dan Juan Manuel Arostegui.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140330/su_05/Giliran-Tok-Gajah-rampas-takhta#ixzz2xV4UdmXW  © Utusan Melayu (M) Bhd 



F1 - Malaysia harus berbangga


Oleh AIZAWATI AHMAD dan AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my




Nico Rosberg

SEPANG - Kejayaan yang dilakar Mercedes AMG Petronas adalah satu kemenangan yang cukup manis buat Petronas, syarikat Malaysia yang selama ini telah bekerja keras bagi meletakkan nama negara di puncak dunia melalui sukan Formula Satu (F1).

Kemenangan semalam bukan sekadar menjadi milik Lewis Hamilton dan Nico Rosberg yang muncul juara serta naib juara Grand Prix Malaysia Petronas 2014, tetapi apa yang lebih manis dan bermakna lagi adalah kejayaan tersebut turut menjulang nama Petronas di laman sendiri.

Maka, tidak hairanlah apabila Rosberg menyatakan bahawa rakyat negara ini harus berasa bangga kerana Petronas telah bertanggungjawab untuk membawa pasukan tersebut berada di kedudukan teratas.

"Malaysia boleh berasa bangga kerana syarikat anda, Petronas telah meletakkan kami di tempat teratas dalam sukan F1, jadi anda berhak untuk berkongsi perasaan ini," katanya ketika ditemu bual di atas podium sebaik upacara penyampaian hadiah selesai di sini semalam.

Malah, Rosberg turut memuji Petronas kerana berjaya menghasilkan bahan api yang amat berkualiti untuk sukan Formula Satu (F1).

"Petronas telah menyediakan bahan api yang terbaik buat kami dalam F1, ia satu penghasilan yang cukup hebat," ujarnya.

Ucapan Rosberg itu telah disambut dengan sorakan gemuruh daripada para penonton tempatan yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menyaksikan perlumbaan tersebut.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pemburuan gelaran musim ini, pemandu Jerman itu memberitahu, buat masa ini, dia enggan memikirkan mengenai perkara tersebut dan hanya mahu menumpukan kepada perlumbaan terlebih dahulu.

"Musim ini masih panjang, saya hanya mahu menikmati keseronokan memenangi perlumbaan. Dalam masa sama, kami juga perlu sedar tentang persaingan yang cuba diberi oleh pasukan lain terutamanya Red Bull.

"Memang saya akui jentera kami lebih laju, cukup jelas saya boleh menewaskan Sebastian (Vettel), tetapi cara mereka meningkatkan keupayaan kereta mereka amat mengagumkan, jadi kami juga perlu melipat gandakan usaha," tegasnya.

Rosberg kini berada di kedudukan pendahulu dalam senarai pemandu setelah mengumpul 43 mata dalam dua Grand Prix yang telah berlangsung setakat ini setelah muncul juara di Melbourne, Australia dan naib juara di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140331/su_02/Malaysia-harus-berbangga#ixzz2xV1qjsc1  © Utusan Melayu (M) Bhd 



F1 - Mercedes AMG Petronas menang 1, 2


Oleh AIZAWATI AHMAD dan AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my




PASUKAN Mercedes AMG Petronas meraikan kejayaan Lewis Hamilton (lima dari kiri) dan Nico Rosberg (empat dari kanan) di hadapan pit pasukan selepas dua pemandu itu menguasai kedudukan pertama dan kedua Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang semalam. - REUTERS

SEPANG - Mercedes AMG Pe­tronas menawan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) setelah kedua-dua pemandu pasukan itu, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg menguasai kedudukan satu dan dua perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia Petronas 2014 di sini semalam.

Yang lebih manis lagi, kemenangan Hamilton di Sepang adalah yang pertama dalam kariernya setelah pencapaian terbaik pemandu Britain itu di Sepang sebelum ini ialah muncul naib juara pada 2007.

Hamilton yang gagal menamatkan saingan pada perlumbaan sulung musim ini di Australia dua minggu lalu melintasi garisan penamat dengan masa satu jam 45.390 saat, meninggalkan rakan sepasukannya, Rosberg di kedudukan kedua.

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang memandu jentera Red Bull pula ketinggalan 24.5 saat di belakang pemenang baru GP Malaysia itu setelah menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala naib juara bagi musim 2013, Fernando Alonso dari pasukan Ferrari sekadar berpuas hati di tangga keempat.

Penguasaan Mercedes yang beraksi di ‘laman sendiri’ dapat dilihat sejak awal apabila percaturan mereka nyata menjadi dengan Rosberg yang memulakan perlumbaan di petak ketiga bertindak bijak memintas Vettel yang bermula dari grid kedua. Keadaan tersebut membuka peluang kepada Hamilton untuk selesa memecut jenteranya bagi memimpin persaingan.

Sekalipun Vettel berusaha memintas Rosberg, rakan senegaranya dari Jerman itu tidak membuka walau sedikit ruang buat juara dunia itu memberikan cabaran dan strategi tersebut membolehkan kedua-dua pemandu Mercedes itu melengkap perlumbaan di Malaysia dengan keputusan yang cukup cemerlang.

Hamilton yang mencatat kejua­raan ke-23 dalam kariernya dan menerima trofi kemenangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH370.

"Memang hebat sekali. Buat Petronas, yang telah bekerja keras dengan Mercedes bagi memberikan kami kemenangan ini, saya berasa bersyukur terutama selepas tragedi tiga minggu lalu, saya ingin menujukan kemenangan ini kepada ahli keluarga mangsa," katanya ketika ditemu bual sebaik upacara penyampaian hadiah berakhir.

Malah, sebelum perlumbaan bermula, tetamu kehormat serta para pemandu dan penonton yang hadir telah diminta bertafakur selama seminit sebagai menghormati mangsa pesawat MH370.

Pada sidang akhbar semalam, Hamilton melahirkan rasa gembira kerana akhirnya dia berjaya juga memenangi perlumbaan di Sepang dan kejayaan tersebut, katanya, amat bermakna buat Petronas yang melakar kejuaraan di tanah air sendiri.

"Kemenangan ini amat istimewa apabila anda berjaya mencatat keputusan satu, dua. Pengalaman ini jarang sekali saya nikmati sepanjang karier saya," katanya.

Ketika ditanya mengenai Grand Prix Malaysia, jelas Hamilton, saingan di Sepang sering kali mencabar, namun kali ini perlumbaan berlangsung dalam cuaca yang kurang panas jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Rosberg kini mendahului dalam senarai kedudukan pemandu selepas dua perlumbaan, setelah mengumpul 43 mata, diikuti Hamilton yang meraih 25 mata, manakala Alonso berada di tangga ketiga dengan 24 mata.

Sementara itu, bagi kedudukan pengeluar, Mercedes berada di tangga pertama (68 mata), manakala McLaren dan Ferrari masing-masing menghuni tempat kedua (43 mata) serta ketiga (30 mata).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140331/su_01/Mercedes-AMG-Petronas-menang-1-2#ixzz2xUypSn2t  © Utusan Melayu (M) Bhd


Friday, 28 March 2014

MH370 - FBI tak jumpa bukti






Kuala Lumpur: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan juruterbang MH370 dengan kehilangan pesawat itu, lapor New York Times.
Perkara itu didedahkan dua pegawai penyiasatnya selepas FBI menyiasat cakera keras dan simulator penerbangan yang diambil dari rumah kedua-dua juruterbang MH370 di Malaysia. 
Menurut jurucakap FBI Michael Kortan, buat masa ini biro berkenaan tidak akan berkongsi maklumat kerana siasatan lanjut masih dijalankan. 


Walaupun pasukan penyiasat tertumpu kepada juruterbang pesawat MH370, namun tiada bukti menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam kes kehilangan pesawat MH370.


Foto

Seorang bekas pegawai penguatkuasa undang-undang kanan berkata, sekalipun maklumat dari cakera keras milik juruterbang MH370 yang diperolehi FBI mungkin sedikit, namun informasi sedemikian mungkin dapat membantu kerajaan Malaysia dalam merungkai misteri kehilangan MH370. - NYT

MH370 - TERKINI - Satelit Jepun kesan 10 objek terapung






TOKYO 28 Mac - Satelit Jepun mengesan kira-kira 10 objek terapung di kawasan perairan barat daya Australia, dipercayai serpihan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Agensi berita Kyodo hari ini melaporkan, imej satelit berkenaan dikesan kira-kira 2,500 di barat daya Perth, dengan ukuran 26.4 meter panjang dan empat meter lebar.

Jelas laporan tersebut, imej satelit yang dikeluarkan oleh Pusat Perisikan Kabinet Satelit Jepun itu diambil antara pukul 9 pagi dan 4 petang, kelmarin.

“Jepun telah menyerahkan maklumat terbaharu itu kepada kerajaan Malaysia untuk tindakan lanjut," lapor Kyodo. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_12/MH370-Satelit-Jepun-kesan-10-objek-terapung#ixzz2xEoRjVf1  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Cuaca beransur pulih, misi mencari disambung hari ini

PERTH 28 Mac - Operasi mencari objek yang dipercayai serpihan pesawat MH370, bersambung semula hari ini selepas keadaan cuaca beransur pulih di lokasi pencarian di selatan Lautan Hindi.

Semalam, pesawat dari Australia, China, Jepun dan Amerika Syarikat (AS), terpaksa membatalkan misi ekoran cuaca buruk di lokasi kawasan pencarian.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya berkata, operasi mencari MH370 bersambung semula awal pagi ini dengan beberapa petunjuk baharu termasuk imej satelit Thailand dan Jepun dilapor mengesan sejumlah besar objek terapung kawasan laut barat daya Perth. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_13/MH370-Cuaca-beransur-pulih-misi-mencari-disambung-hari-ini#ixzz2xEojKRPS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Lokasi pencarian berubah ekoran petunjuk baharu

PERTH 28 Mac - Lokasi mengesan serpihan pesawat MH370 ditukar ke satu kawasan lain yang terletak kira-kira 1,000 kilometer timur laut dari lokasi asal pencarian selepas pasukan mencari mendapat petunjuk baharu, lapor pihak berkuasa Australia hari ini.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya berkata, maklumat terbaharu itu diperoleh berdasarkan analisis radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum hubungan komunikasi terputus.

“Data tersebut juga menunjukkan kemungkinan pesawat malang itu terbang lebih laju daripada jangkaan awal, menyebabkan peningkatan penggunaan minyak dan mengurangkan jarak ketika menuju ke selatan Lautan Hindi," jelas kenyataan berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_14/MH370-Lokasi-pencarian-berubah-ekoran-petunjuk-baharu#ixzz2xEpXb8oZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 







F1 -Perlumbaan mencabar menanti Lotus







SEPANG - Setelah gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix Australia di Melbourne dua minggu lepas, pelumba Lotus, Pastor Maldonado mengakui pasukannya masih bergelut untuk memastikan jentera mereka berada dalam pres­tasi terbaik agar insiden yang berlaku pada saingan pembukaan musim itu tidak berulang lagi di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.
Di Melbourne, baik Maldonado mahupun rakan sepasukannya, Romain Grosjean gagal menamatkan perlumbaan setelah jentera masing-masing berdepan masalah teknikal.

Maldonado berkata, persaingan di awal musim agak mencabar dan pasukannya kini sedang bekerja keras bagi memastikan prestasi jentera Lotus dapat ditingkatkan dan yang paling penting adalah menamatkan perlumbaan.

“Saya berharap perlumbaan pada hujung minggu ini berlangsung lebih baik. Kami telah bekerja keras untuk meningkatkan prestasi jentera. Malah, pada perlumbaan di Melbourne banyak peningkatan yang berjaya kami lakukan. Kami sebelum ini, gagal melengkapkan lebih 10 pusingan dan sewaktu perlumbaan berlangsung kami berjaya melakukan lebih daripada 30 pu­singan untuk kedua-dua kereta," katanya dalam sidang akhbar.



Sementara itu, pemandu Caterham F1, Kamui Kobayashi yang kembali menyertai Formula Satu setelah berehat selama semusim melahirkan rasa gembiranya kerana dapat beraksi dalam saingan 2014.

“Selepas semusim berehat, saya mengakui berasa seronok berlumba dalam (Super) GT, tetapi Formula Satu merupakan salah satu perlumbaan terunggul dan saya juga telah banyak terlepas dengan pembangunan sukan ini dan sudah tentu berlumba dengan pemandu terkemuka adalah sesuatu yang menarik, jadi saya sangat gembira dapat kembali bersaing," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140328/su_08/Perlumbaan-mencabar-menanti-Lotus#ixzz2xDflN6Xv  © Utusan Melayu (M) Bhd 



F1 tidak terjejas kerana peraturan baharu


Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my




AKSI spontan enam pelumba, (dari kiri depan) Nico Rosberg, Kimi Raikkonen, Valtteri Bottas, (belakang, kiri) Kamui Kobayashi, Pastor Maldonado dan Daniil Kvyat yang dirakamkan sedang menanggalkan mikrofon selepas selesai sidang akhbar di Sepang, Selangor semalam. - UTUSAN/ Md.shahjehan maam in

SEPANG - Pelumba Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg me­ngakui dia kini semakin selesa de­ngan jentera baharu pasukannya dan tidak menganggap laporan negatif daripada media berhubung peraturan baharu yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mampu menjejaskan keterujaan peminat untuk menyaksikan sukan Formula Satu (F1) yang dikatakan tidak lagi menarik seperti dulu.

Rosberg berkata, perubahan tersebut sebenarnya memberi banyak manfaat kepada sukan tersebut yang didominasi oleh pelumba sama pada tahun lalu, jadi apabila peraturan sedia ada ditukar, maka persaingan yang berlaku kini lebih terbuka.

“Saya rasa perubahan ini bagus untuk F1. Kali ini susunan pemenang telah berubah yang mana bagi saya adalah bagus untuk semua orang kerana pada tahun lalu asyik pelumba yang sama memenangi perlumbaan.

“Kita perlukan perubahan tersebut, jadi perkembangan ini memang bagus. Jentera juga kini berada dalam keadaan terbaik untuk dikendalikan, jadi tak mengapa jika per­ubahan ini memberi manfaat yang baik untuk semua," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mengulas mengenai pencapai­an pasukannya, pelumba Jerman itu memberitahu, Mercedes telah memulakan aksi permulaan musim dengan cemerlang apabila memenangi perlumbaan sulung di Grand Prix Australia di Melbourne dua minggu lalu.

Jelas Rosberg, pasukannya te­lah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi menyesuaikan jentera dengan peratur­an baharu yang telah ditetapkan dan dia berharap kecemerlangan di Melbourne akan dapat diteruskan di Sepang pula.

“Namun, dalam masa sama kami perlu berhati-hati kerana perlumbaan di Melbourne tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur, tetapi saya rasa kami sekarang ber­ada pada kedudukan yang baik, jadi sudah tentu kami mahu mengulangi pencapaian sama di sini," ujarnya.

Sementara itu, pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen pula berpendapat, sebagai pemandu, dia tidak berasakan perubahan tersebut memberi impak yang besar kepadanya kerana jika hendak dibandingkan dengan jentera pada tahun lalu dan tahun ini, tidak banyak perbezaan yang ketara.

“Sebagai pemandu saya tidak lihat di mana perbezaannya jika dibandingkan dengan jentera tahun lalu. Sudah tentu, untuk saya perubahan yang berlaku adalah pasukan yang saya sertai. Setiap pasukan jenteranya berbeza-beza, itu sahaja," tegasnya.

Mengulas mengenai persaingan di Sepang, Raikkonen berkata, sukar untuknya mengulas mengenai peluang Ferrari kerana setiap litar perlumbaan tidak sama, lebih-lebih lagi dengan perubahan yang berlaku terhadap peraturan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140328/su_07/F1-tidak-terjejas-kerana-peraturan-baharu#ixzz2xDeHCd3S  © Utusan Melayu (M) Bhd


MOTOGP - Marquez takluk Grand Prix Qatar







DOHA - Juara dunia, Marc Marquez (gambar) menjua­rai perlumbaan pembukaan musim MotoGP di Grand Prix Qatar semalam hanya sebulan selepas patah kaki.

Pelumba muda Sepanyol dari pasukan Honda itu bagaimanapun bekerja keras untuk mencatat kemenangan pertamanya musim ini selepas ditentang sengit oleh juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari Yamaha.

Malah, Marquez, 21, hanya dipisahkan dengan 0.259 saat di depan Rossi, manakala seorang lagi penunggang Honda, Dani Pedrosa menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

Marquez yang patah kaki kanan ketika terbabit dalam kemalangan di negaranya, Sepanyol pada hujung ­Februari lalu, memasuki musim baharu 2014 dengan memegang rekod sebagai pelumba termuda muncul juara dunia, tahun lalu.

"Saya menikmati perlumbaan ini sepenuhnya dan tidak menjangka akan mencatat kemenangan, namun semalam saya dapat merasakan bahawa saya dan Valentino akan bersaing sengit," kata Marquez.

Sementara itu, Rossi yang hampir mendapatkan kemenangan pada perlumbaan semalam mengakui taktikalnya telah dapat dihidu oleh Marquez ketika mema­suki zon pecutan.

"Pada permulaan saingan, saya tidak begitu jelas ­dengan apa yang berada dalam fikiran kerana memikirkan sama ada mahu melakukan serangan atau sebaliknya. Kemudian saya terus melakukannya, namun Marc (Marquez) lebih hebat daripada saya.

"Saya boleh melakukan yang terbaik tetapi malangnya dia begitu jauh untuk dikejar. Harap saya mampu raih keputusan yang lebih baik selepas ini," kata pelumba Itali itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140325/sl_04/Marquez-takluk-Grand-Prix-Qatar#ixzz2xDZEaJgF  © Utusan Melayu (M) Bhd


Konsert F1 diteruskan, persembahan khas buat MH370


Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my




Krew pasukan Ferrari sedang memasang kereta F1 yang akan dipandu oleh pelumbanya, Kimi Raikkonen di Sepang, Selangor semalam. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

SEPANG - Konsert bersempena Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia 2014 yang menampilkan penyanyi dan deejay popular, Calvin Harris akan tetap diteruskan dan bakal menyajikan persembahan khas sebagai menghormati sensitiviti keluarga dan rakyat negara ini yang masih berada dalam kesedihan ekoran tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines, MH370.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya telah berbincang dengan Harris dan artis dari Scotland itu telah pun bersetuju untuk mengadakan persembahan penghormatan (tribute) dalam konsert tersebut.

“Malah, sewaktu kami memaklumkan mengenai perkara ini Calvin (Harris) telah mencadangkan untuk mengadakan persembahan khas yang mungkin tidak pernah dilakukan oleh mana-mana deejay di seluruh dunia. Jadi, kita nantikan sahaja apakah yang mahu dia buat untuk rakyat Malaysia nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurut Razlan, pihaknya amat menyedari tentang sensitiviti rakyat Malaysia yang masih berada dalam ke­sedihan ekoran tragedi tersebut, namun SIC terpaksa juga meneruskan konsert tersebut kerana harga menyaksikan konsert tersebut adalah bersekali dengan pembelian tiket untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Sepang.

Jelasnya, rakyat Malaysia mungkin boleh memahami jika SIC memba­talkan konsert berkenaan, tetapi bagi pembeli tiket yang datang dari luar negara, amat sukar untuk pihaknya menjelaskan kerana mereka bukan sahaja berkunjung ke Malaysia untuk menyaksikan perlumbaan, malah ramai dalam kala­ngan penonton asing tersebut terdiri daripada peminat Harris.

“SIC sebenarnya tidak boleh membatalkan konsert tanpa mengambil kira pandangan pembeli tiket, sebab itu kami telah memaklumkan kepada kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengapa program itu tidak boleh dibatalkan.

“Namun, bagi menjaga hati rakyat Malaysia, kami akan memastikan konsert yang akan berlangsung selepas perlumbaan tamat dilaksanakan de­ngan cara yang paling sesuai dan tidak keterlaluan," ujarnya.

Beliau menjelaskan, SIC dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) juga bersepakat untuk mengadakan upacara khas iaitu dengan bertafakur selama seminit sebelum perlumbaan bermula, selain para pemandu F1 turut bersetuju untuk menampal pelekat pada topi keledar mereka sebagai penghormatan kepada ahli keluarga dan penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

“Saya agak terkejut dan terharu apabila dimaklumkan oleh FIA bahawa pasukan dan para pemandu telah bersepakat untuk berbuat demikian. Saya difahamkan pasukan Ferrari telah pun mula mencetak pelekat yang mengandungi mesej pray for #MH370 untuk ditampal pada topi keledar pemandu mereka. Malah, saya dimaklumkan pasukan lain juga akan berbuat perkara yang sama," katanya.

Mengulas mengenai penjualan tiket, Razlan mengakui, penjualan tiket F1 agak perlahan dan setakat pagi semalam, tiket yang terjual masih belum sampai kepada angka 60,000.

“Penjualan tiket kepada pelancong asing meningkat berbanding tahun lalu, tetapi kemerosotan berlaku dalam kalangan penonton tempatan. Saya tidak berasakan tragedi MH370 menjadi penyumbang utama tetapi peraturan baharu mengenai per­ubahan enjin F1 yang dikatakan tidak sebising dulu antara penyebab kepada masalah ini berlaku," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140328/su_01/Konsert-F1-diteruskan-persembahan-khas-buat-MH370#ixzz2xDWUVfLZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Harapan baharu bagi Bangsamoro






Seorang wanita Islam (kiri) melukis bendera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pipi ibunya semasa satu perhimpunan menyokong pemeteraian perjanjian antara kumpulan pemisah itu dengan kerajaan Filipina di Cotabato City, Mindanao, selatan Filipina, semalam. - AFP

COTABATO CITY 27 Mac - Penduduk di wilayah Mindanao menaruh harapan tinggi terhadap Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang dimeterai hari ini sebagai permulaan baharu bagi kehidupan mereka di selatan negara ini.

Malah mereka berharap perjanjian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia sebagai orang tengah itu turut menjadi petanda berakhirnya keganasan sejak empat dekad lalu yang menyaksikan peluang, kehidupan dan ekonomi wilayah berkenaan jauh ketinggalan.

Portal berita Filipina, inquirer.net yang memetik kenyataan seorang petani dari Sultan Kudarat di Maguindanao, Tato Sumagka, 47, berkata, dia bersama penduduk kampung lain bersorak kegembiraan apabila mendengar berita tentang pemeteraian perjanjian bersejarah itu.

Tato berkata, dia hidup dalam suasana keganasan di Mindanao sejak usia muda ekoran perbalahan antara kumpulan pemisah dan tentera kerajaan.

“Saya telah menyaksikan pepe­rangan, kehilangan jiwa dan peluang untuk menaikkan taraf hidup kami. “Sejak kecil, saya hidup sebagai pelarian sebanyak beberapa kali dan hanya pulang ke rumah selepas keadaan kembali pulih," kata petani itu yang mengakui enggan menyertai MILF atas sebab yang tidak dinyatakan.

Sementara itu, penjual beras, Kautin Sumalindig, 53, turut berkongsi pendapat apabila menyuarakan keletihannya terhadap perang yang berlaku di Mindanao.

Jelasnya, penduduk tempatan terutamanya etnik Bangsamoro telah lama inginkan keamanan di wilayah ini. Tambahnya, dia terpaksa menjual ladangnya di Datu Piang dan menjalankan perniagaan di Cotabato City gara-gara peperangan.

“Kami telah menyaksikan banyak perjanjian damai sebelum ini, tetapi tiada perubahan ekonomi dan pembangunan yang dapat kami kecapi. Walaupun saya gembira dengan perjanjian baharu kali ini, saya tetap bersedia dengan ke­mungkinan yang lebih teruk," katanya.

Kenyataan Kautin turut diso­kong oleh Odin Latip yang sejak kecil menjadi pelarian akibat perang di Mindanao. Katanya, penduduk Mindanao pernah berasa gembira menyambut perjanjian damai antara Filipina-MILF pada 1996, namun keganasan masih berterusan sehingga mengorbankan banyak nyawa.

“Kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas perjanjian kali ini dimeterai," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_03/Harapan-baharu-bagi-Bangsamoro#ixzz2xDSfPueg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK BALINGIAN - Pengundi jangan terpedaya


Oleh ANGELINA SINYANG
utusansarawak@utusan.com.my






MUHYIDDIN Yassin melawat salah sebuah inap desa pada majlis Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada dan Bunut, di Mukah, Sarawak semalam. Turut sama, Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) dan Yussibnosh Balo (kiri). - BERNAMA

MUKAH 27 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat negara ini terutama bakal pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Sabtu ini, agar tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang yang menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai parti tidak bertanggungjawab dan kejam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang ke Balingian untuk berkempen bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang beberapa hari lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, dalam ucapannya, Penasihat PKR itu dengan sombongnya berbangga memberitahu beliau sudah menang dalam PRK DUN Kajang.

"Anwar juga menuduh BN sebagai sebuah parti anak-beranak dan kejam seperti Firaun kerana tidak membela nasib rakyat sehingga ramai penduduk di Balingian miskin dan tertinggal dalam pembangunan.

"Tetapi saya nak tanya orang Sarawak, berapa ramai yang kebuluran tidak makan? Yang saya tahu ramai yang mati sebab makan banyak, masuk hospital kerana kencing manis," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan calon BN bagi PRK DUN Balingian, Yussibnosh Balo.

Menurut Muhyiddin, walaupun Anwar berbangga dengan kemenangan PKR di Kajang, namun beliau terlupa bahawa partinya sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius membabitkan beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

"Malah, kali ini undi diperoleh oleh isteri beliau juga merosot apabila menurun 1,445 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13. Ini bermakna beliau telah tersilap langkah," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Anwar yang menuduh BN kejam, Muhyiddin berkata, kenyataan beliau adalah tidak berasas kerana di bawah parti tersebut, rakyat menerima pelbagai subsidi bagi beberapa jenis barangan untuk meringankan beban kehidupan.

Menurutnya, kerajaan telah menampung kos subsidi barangan berjumlah RM42 bilion setahun iaitu hampir sama dengan RM40 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan.

Namun, katanya, kerajaan berasa tidak wajar jika bantuan subsidi bagi sesetengah barangan dilaksanakan sepanjang masa lalu mengurangkan sedikit nilai bantuan tersebut.

"Tetapi ada baiknya subsidi itu dikurangkan kerana wang dikumpul hasil pengurangan subsidi boleh diberikan semula kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

"Kerajaan sudah memberikan RM3 bilion kepada lebih 7 juta penerima BRIM di seluruh negara. Pemberian BRIM adalah lebih baik kerana ia hanya dinikmati oleh kumpulan sasaran berbanding subsidi yang turut memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Melihat kepada keadaan itu, kata Muhyiddin, rakyat jangan terpengaruh dengan pembangkang dan masyarakat Balingian diminta memberi sokongan padu kepada BN dengan mengundi Yussibnosh pada hari mengundi nanti.

Mengenai kempen pilihan raya yang tinggal dua hari lagi, beliau berpuas hati dengan sambutan diterima penduduk Balingian terhadap BN dan berharap parti itu boleh mendapat undi majoriti yang lebih tinggi pada pilihan raya kali ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140328/po_01/Pengundi-jangan-terpedaya#ixzz2xDP5MAsw  © Utusan Melayu (M) Bhd