Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 25 February 2014

Kim Swee terpaksa lupakan Azamuddin


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my




Ahmad Fakri Saarani (depan) mungkin menerajui bahagian serangan skuad Harimau Malaya bersama-sama Safee Sali dalam pertemuan dengan Filipina pada Sabtu ini.

PETALING JAYA - Selepas ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha yang terpaksa diketepikan atas masalah peribadi, kini jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menerima tamparan baru apabila mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain Pahang, Azamuddin Mohd. Akil.

Azamuddin atau lebih mesra dengan nama panggilan Alex masih belum pulih daripada kecederaan yang melanda kaki kanannya dan Kim Swee tidak meletakkan harapan terlalu tinggi buat pemain yang berasal dari Kuala Lipis itu untuk menyertai skuadnya yang akan menentang Filipina, Sabtu ini.

Perlawanan dengan skuad negara jiran itu adalah aksi pemanas badan sebelum Harimau Malaya menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac.

Malah, jurulatih berusia 43 tahun itu tidak bercadang membawa sebarang muka baharu dan yakin dengan baki 23 pemain sedia ada bagi menggalas cabaran Harimau Malaya dalam usaha mendapatkan kemenangan cukup penting ke atas Yemen.

"Saya telah memantau perkembangan Alex pada hari ini dan mendapatkan laporan daripada pakar fisioterapi, sampai hari ini dia masih tidak menjalani latihan dan kita pantau keadaannya sehingga esok (hari ini). Jika mash tiada tanda akan sembuh, saya mungkin terpaksa melupakan khidmatnya.

"Tiada sesiapa lagi yang saya akan panggil dalam masa terdekat ini kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi dan saya masih ada beberapa pilihan pemain untuk mengisi sayap kanan, kemungkinan saya akan beri ruang kepada Baddrol Bakhtiar atau Fakri Saarani," katanya, semalam.

Situasi yang melanda kem kebangsaan itu bermakna Kim Swee semakin kekurangan pilihan untuk mengisi jentera serangan dengan hanya Safee Sali, Amri Yahyah dan Bobby Gonzales dapat dipertaruhkan selain Baddrol dan Fakri.

Semalam skuad Harimau Malaya menjalani ujian ‘yo-yo’ bagi menilai tahap kecergasan mereka di Institut Sukan Negara (ISN) dan Kim Swee mengakui berpuas hati dengan tahap stamina setiap pemain.

"Kecergasan mereka rata-rata berada di tahap memuaskan cuma ada beberapa pemain seperti Mohd. Aidil Zafuan (Abd. Razak) kurang cergas kerana sudah lama tidak bermain tetapi saya tidak nampak itu sebagai satu isu besar.

"Menjelang hari perlawanan, saya rasa semua pemain akan berada di tahap bersedia dan diharapkan tiada lagi masalah kecederaan baru yang akan timbul," katanya.

Pemain yang akan menyertai Piala AFC telah dilepaskan kembali ke pasukan masing-masing semalam dengan para pemain Selangor akan kembali melapor diri pada 26 Februari sementara pemain-pemain Kelantan sehari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140225/su_01/Kim-Swee-terpaksa-lupakan-Azamuddin#ixzz2uIYwGAi0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tolak Anwar, selamatkan Selangor - PENCACAI KATA DARI KAJANG NAK KE PUTRAJAYA...


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my




Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan dengan orang ramai dalam Program Mesra Rakyat di Kampung Bukit Dukong, Kajang, semalam. Hadir sama, Chew Mei Fun (duduk, empat dari kanan). - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

HULU LANGAT 24 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak pengundi supaya menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bagi menyelamatkan Selangor daripada pelbagai krisis.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijangka mencetuskan banyak pertembungan serta krisis yang akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menegaskan, ini akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat di Selangor.

"Berdasarkan kepada pernyataan pelbagai pihak khususnya dalam pembangkang sendiri yang tak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan hasrat beliau (Anwar) itu, Ketua Pembangkang ini ada cita-cita dan nafsu besar. Masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebagai pemimpin utama, beliau boleh selesaikan.

"Tetapi mungkin sengaja tak mahu selesaikan dan dijadikan itu sebagai dalih nak selamatkan Selangor, beliau kata kena bertanding. PRK di Kajang ini nampak kecil tetapi dari apa yang kita lihat, ini ada muslihat," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Kampung Bukit Dukong, Kajang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut hadir, calon BN bagi PRK DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Muhyiddin berkata, pertembungan itu boleh berlarutan sehingga ke Sidang DUN Selangor dengan persoalan apakah Pas akan menyokong usul untuk melantik Anwar sebagai Menteri Besar.

"Kalau Pas setuju, dari dahulu lagi tetapi ada pemimpin Pas yang tak setuju. Sebab itu Tan Sri Khalid (Abdul Khalid) jadi Menteri Besar. Kalau ada pertembungan kumpulan-kumpulan dalam pembangkang, bagaimana situasi di Sidang DUN Selangor? Bagaimana nak persembahkan kepada Sultan Selangor?

"Apakah ada satu sokongan padu, bagaimana jika sebahagian penyokong Tan Sri Khalid yang tak bersetuju? Jadi, andaian-andaian ini saya buat sebagai perkiraan yang boleh berlaku. Nampak kecil tetapi signifikannya besar," tegasnya.

Oleh yang demikian, katanya, BN menawarkan peluang bagi mengelakkan senario-senario itu berlaku menerusi calon yang dianggap berwibawa dan berprinsip iaitu Mei Fun.

"Dengan kemenangan BN, semua kemungkinan itu tak akan berlaku. Sebab itu saya minta jentera parti supaya bekerja dengan sungguh-sungguh. Kita dikatakan calon bukan pilihan tetapi semangat juang BN begitu tinggi," ujarnya.

Ditanya isu-isu yang akan dimainkan pembangkang dalam kempen nanti, katanya, selain isu kenaikan harga barang, isu kalimah Allah berkemungkinan mendapat tempat di 'hati' pembangkang untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

"Kita akan ikut rentak kempen pembangkang. Saya percaya mereka akan guna isu harga barang, tuduh BN gagal bantu rakyat. Tetapi, kita akan menggunakan platform ini untuk menjelaskan kepada rakyat secara terperinci," tambahnya.

Berhubung pengumuman-pengumuman atau berita gembira tertentu sempena pilihan raya kecil itu nanti, Muhyiddin berkata, walaupun perkara itu hanya akan dilihat jika BN memenangi kerusi DUN Kajang tetapi sebagai kerajaan bertanggungjawab, BN akan tetap membela nasib rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta pengundi di Kajang supaya memberikan sokongan kepada Mei Fun dan ini merupakan kesempatan terbaik bagi MCA menunjukkan pimpinan baharu parti itu memiliki keupayaan, integriti dan keyakinan bagi memperjuangkan semua kaum.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Noh selaku Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Kajang.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Muhyiddin menghadiri mesyuarat khas PRK DUN Kajang bersama pimpinan tertinggi BN di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Langat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140225/po_02/Tolak-Anwar-selamatkan-Selangor#ixzz2uINmwJcU  © Utusan Melayu (M) Bhd


Monday, 24 February 2014

Titik penghujung benua Asia







KAWASAN di sekitar Tanjung Piai dan Kukup juga popular sebagai pusat penternakan ikan air masin dan pengusaha kelong.

TANJUNG Piai yang terletak di daerah Pontian, Johor bukan satu nama yang asing dalam menu pelancongan negara bahkan telah lama dikenali pelancong luar negara.

Jika Rusia terkenal dengan Tanjung Chelyuskin sebagai titik paling utara benua Asia, negara kita mempunyai Tanjung Piai sebagai tanah penghujung benua Asia di sebelah selatan.

Keunikan lokasi yang tidak terdapat di mana-mana tempat itu menjadikannya antara lokasi ‘wajib sampai’ bagi mereka yang gemar mengembara.

Pengalaman kru S2 menjejakkan kaki di penghujung tanah benua terbesar di dunia itu baru-baru ini turut memberi kepuasan yang sama.

Berdiri di depan arca glob yang tertera perkataan "Tahniah! Anda Kini Berada di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia" sepintas lalu memberi gambaran betapa istimewanya Tanjung Piai.

Selain memiliki rekod geografi yang diiktiraf dunia, Tanjung Piai sebenarnya menjanjikan banyak pengalaman unik bagi mereka menjejakkan kaki di situ.

Jeti di penghujung benua Asia misalnya merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang membolehkan dua negara iaitu Singapura dan Indonesia dilihat pada satu masa.

Dalam keadaan cuaca yang baik, Pulau Karimun, Indonesia boleh dilihat dengan jelas di sebelah kanan manakala pelabuhan Singapura pula berada di sebelah kiri.

Selain itu kawasan Tanjung Piai yang mengunjur ke laut turut menyajikan keindahan pemandangan matahari terbit dan terbenam.

Aset terbesar pelancongan di situ tidak lain tidak bukan adalah Taman Negara Tanjung Piai yang merangkumi kawasan seluas 947 hektar.

Mula dibuka kepada umum pada 2002, kawasan hutan paya laut itu kemudian diwartakan sebagai taman negara pada 26 Februari 2004 dan terus menjadi tumpuan selepas diisytiharkan sebagai salah satu daripada enam tapak Ramsar di negara ini.

Ramsar bermaksud senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971.




























ARCA Penghujung Benua Asia di pintu masuk pejabat Taman Negara Tanjung Piai.

Ketibaan kru S2 di Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini disambut oleh Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Khalid Zahrom di kompleks pelawat yang menempatkan pejabat taman negara, galeri dan kemudahan asas seperti surau dan tandas.

Selepas sesi penerangan mengenai kawasan taman negara, kandungan ekosistem dan kitaran hidup hutan paya laut, penulis dibawa melalui pelantar kayu yang dibina merentasi hutan bakau di situ.

Khalid berkata, selain menjadi benteng hakisan, kawasan hutan bakau tersebut menjadi habitat kepada pelbagai jenis unggas, kera dan hidupan paya laut seperti ketam nipah, kepah dan ikan tembakul.

Beliau berkata, hutan bakau Tanjung Piai juga menjadi tempat persinggahan burung-burung yang berhijrah pada setiap tahun.

Selain itu katanya, kawasan taman negara itu mempunyai satu lagi keistimewaan yang jarang dapat dilihat iaitu fenomena air pasang besar yang berlaku hanya beberapa kali setahun.

"Antara bulan Disember hingga Januari, pekarangan pejabat taman negara di sini akan bertukar menjadi ‘taman tema air’ kerana limpahan air laut.

"Fenomena ini tidak merbahaya kerana air hanya naik sehingga paras buku lali. Bagi pelawat yang datang dengan keluarga, fenomena itu dianggap sebagai satu tarikan," katanya.

Khalid memberitahu, walaupun Tanjung Piai mengalami masalah hakisan dan pencemaran yang semakin meruncing, namun jumlah kedatangan pelancong masih mencatatkan peningkatan setiap tahun.

Katanya, jumlah pelawat pada tahun lalu direkodkan sebanyak 73,000 orang.

Sementara itu, kunjungan ke Pontian boleh dikatakan tidak lengkap tanpa meneroka keistimewaan lain yang boleh ditemui di sekitar Pontian dan Kukup.

Dari Tanjung Piai Resort yang merupakan tempat penginapan paling hampir dengan taman negara, pelawat boleh memandu kira-kira 10 kilometer untuk menikmati keenakan makanan laut di sekitar pekan Kukup.

Antara tempat makan lain yang popular adalah mi udang di Sungai Rambah dan bakso di Kampung Serkat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140222/lk_01/Titik-penghujung-benua-Asia#ixzz2uCWPj4sq  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Bahasa ‘perpaduan’ tak dipedulikan lagi


Oleh Azman Anuar
azman.anuar@utusan.com.my




TULISAN saya tentang nama Melayu, orang Melayu bandar dan penghinaan terhadap Melayu dan Islam mendapat reaksi pembaca termasuk bukan Melayu. Terima kasih yang menyokong dan yang menghentam.

Tujuan utama topik itu dibangkitkan bukan untuk mengkritik sesiapa tetapi untuk mengingatkan. Perpaduan antara kaum hari ini semakin terhakis dan tergugat akibat permainan sentimen yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dulu tak ada siapa yang terang-terang berani mempersoal dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja yang sepatutnya bukan Melayu pun mesti menghormatinya. Sekarang semua sudah berubah dan berbeza.

Tiada tujuan tulisan saya mahu kaum-kaum di Malaysia berpecah-belah. Saya hanya ingin mengingatkan yang perpaduan kaum di negara ini semakin longgar. Punca utama kerana sudah kurang atau hilang rasa tolak ansur. Kadang kala terfikir, sampai bila kita hendak bertolak ansur kalau sebelah pihak sahaja yang bersikap demikian.

Percaya atau tidak kalau dikatakan generasi muda kaum bukan Melayu banyak yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Jawapannya tidak pelik - sebab generasi tua kaum itu pun ada yang masih tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Tapi penguasaan bahasa Melayu oleh kaum itu di kawasan kampung lebih baik. Malah kita rasa bangga kerana mereka berusaha bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul. Hal ini jauh berbeza kalau kita mendengar pelat kaum itu bila berbahasa Melayu di kawasan pekan dan bandar.

Salah satu faktor keadaan ini berlaku hingga sekarang sebab mereka kurang bergaul dengan orang Melayu dan ia tidak jadi keutamaan. Bagi mereka, guna bahasa pasar pun orang Melayu boleh faham.

Kalau begini situasinya bermakna pekerja Bangladesh dan Pakistan lebih baik tutur kata bahasa Melayunya daripada kaum itu.

Tidak adil jika kaum itu sahaja dikatakan tidak tahu berbahasa Melayu, kaum satu lagi pun hampir sama. Jika dibandingkan dengan keturunan kaum bukan bumiputera, kaum satu lagi lebih ramai bermastautin dan menetap di Asia Tenggara ini. Tetapi kaum itu di Malaysia, tidak sama sikap dan semangat kenegaraannya seperti bangsa mereka yang bermastautin di Vietnam, Kemboja, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Melalui asimilasi, kaum itu di negara jiran kita boleh berbahasa tempatan dengan fasih. Kadang kala kita jadi tidak percaya mendengar dan melihat bahawa mereka bertutur bahasa tempatan tanpa rasa kekok.

Contoh terdekat ialah kaum itu di Indonesia yang tanpa segan silu bertutur bahasa Indonesia sesama kaum mereka, apatah lagi berbual dengan rakyat Indonesia lain. Bukan sahaja di negara mereka sendiri tetapi kalau datang ke Malaysia pun, bahasa itu juga yang mereka tuturkan.

Begitu juga rakyat keturunan kaum itu di negara jiran lain yang benar-benar menghayati semangat kenegaraan - ‘di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.’ Mereka patuh kepada ‘kedaulatan’ bahasa negara masing-masing.

Cemburu kian bertambah bila melihat keadaan ini dengan mata sendiri. Kaum bukan pribumi di sana begitu akur dan setia mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing.

Di Malaysia keadaan sebaliknya yang berlaku. Sekarang seolah-olah begitu kuat sikap tidak peduli kepada bahasa kebangsaan. Hal ini mungkin disedari dan mungkin kita pun tidak sedar. Lihat fenomena ini dalam sektor awam mahupun swasta.

Bila difikir dan direnung dengan mendalam, fenomena itu terjadi kerana di negara jiran hanya mempunyai satu sistem sekolah. Di sana tiada sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantara.

Anak-anak berbilang kaum diajar menggunakan satu bahasa, belajar di bawah satu bumbung, bermain dalam satu kawasan sekolah. Bila masuk universiti, tak rasa kekok bergaul. Jadi tidak timbul masalah penggunaan bahasa pertuturan berlainan, tiada masalah perbezaan budaya yang ketara. Oleh itu perpaduan antara pribumi dengan bukan pribumi bertambah erat dan kuat ikatan kenegaraannya.

Kepura-puraan

Inilah formula yang tiada di negara kita. Daripada peringkat sekolah, anak-anak kita dipisahkan oleh sistem sekolah mengikut kaum. Budak Melayu dan bumiputera ke sekolah kebangsaan, budak Cina ke SJKC dan India ke SJKT.

Sejak kecil mereka sudah dipisahkan mengikut aliran bahasa ibunda masing-masing. Kita ada sekolah kebangsaan yang diharap menjadi tempat untuk semua anak tanpa mengira kaum dapat bergaul dan belajar bersama-sama. Anak Cina dan India bukan banyak pun, tetapi atas fahaman perkauman yang kuat maka penyatuan dan perpaduan antara kaum tidak dapat kita jayakan walaupun melalui sekolah.

Kalau hanya ada satu sistem sekolah kebangsaan yang digunakan, mungkin masalah perkauman sekarang tidak terjadi. Melalui satu bahasa, semua orang boleh saling memahami. Kesan sistem pelbagai jenis sekolah ini sudah menampakkan kesannya. Kira-kira enam dekad kita sudah mengguna pakai sistem sekolah pelbagai aliran bahasa ini, saya tidak nampak sistem ini membantu pembinaan satu masyarakat yang bersatu padu dalam erti kata sebenar.

Selama ini kita hanya berpura-pura kerana ingin menjaga hati dan perasaan antara kaum. Sikap berpura-pura ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang. Hakikatnya kita perlu teruskan hidup dalam ‘kepura-puraan’ dan percaya perpaduan antara kaum kita masih utuh seperti dahulu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140223/re_14/Bahasa-perpaduan-tak-dipedulikan-lagi#ixzz2uCQMOVR5  © Utusan Melayu (M) Bhd


 KOMEN : BILA ADA PEMIMPIN MELAYU YANG SANGGUP MENGELUARKAN AYAT " SELAGI ADA BULAN DAN BINTANG SEKOLAH VERNAKULAR TIDAK AKAN DIHAPUSKAN. APA CERITANYA...?

Mei Fun si Giant Killer?


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my




Chew Mei Fun

"KALAU kerbau kita pegang talinya, kalau manusia kita pegang janjinya'. Itu insiden yang terjadi pada 8 April 2010 setelah dengan tidak berdolak-dalik lagi, Datin Paduka Chew Mei Fun meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Waktu itu bukan 'kecil anak' jawatan yang disandangnya. Jawatan Ketua Wanita MCA, Pengerusi Wanita MCA Selangor dan Pengerusi Skuad Bantuan Bencana (CRSM) dilepaskan. Bukan itu sahaja tetapi berserta sekali jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta senator.

Semua ini atas sebab prinsip. Iaitu enggan bekerjasama dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang terpilih sebagai Presiden MCA pada 28 Mac tahun yang sama, meskipun terbukti telah terlibat dalam satu skandal.

Meskipun Soi Lek sebelum itu menawarkan Mei Fun untuk menduduki Majlis Presiden, dia tetap berpegang pada prinsipnya. Tindakan Mei Fun itu wajar dipelajari kerana di situlah letaknya natijah demokrasi yang sebenarnya.

Dan tiga tahun selepas tidak mempunyai sebarang jawatan, mungkin kerana ditakdirkan atas integriti yang ada pada beliau, Mei Fun kembali bangkit dalam MCA setelah terpilih sebagai Naib Presiden pada penghujung tahun lalu.

Baru-baru ini, beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang akan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.

Kalau diamati dari segi integriti, prinsip ini barangkali tidak ada pada diri Anwar. Kita tentu tidak akan sesekali lupa bagaimana Anwar sekitar 2011 dengan selamba berbohong bukan saja kepada rakyat di negara ini, malah kepada seluruh penduduk dunia apabila mendakwa akan berlakunya peralihan kuasa kerana lebih 30 ahli parlimen BN akan melompat menyokong pakatan pembangkang.

Kredibiliti dan maruah Penasihat PKR itu sebenarnya sudah tercalar sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen. Sedangkan sebelum itu, bukan main lagi tidak mahu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Kononnya ada blackout, penipuan undi termasuklah isu 40,000 warga asing yang didakwa digunakan untuk mengundi.

Pembohongan dalam dakwaan isu 40,000 warga asing yang dibawa masuk menjelang pengundian itu begitu serius. Tetapi seperti mana sebelum ini, dakwaan terbaharu itu dinafikan Anwar walaupun dakwaan sama disiarkan dalam portal berita antarabangsa, antaranya Straits Times Singapore, Wall Street Journal, China Post, The Economist dan Korean Press.

Terlalu banyak pembohongan demi pembohongan yang dilakukan olehnya dalam usaha untuk mempengaruhi rakyat membenci UMNO dan kerajaan. Anwar berbohong dan melempar tuduhan liar untuk membangkitkan rasa amarah, sekali gus menghasut rakyat bertindak mengadakan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan.

Dan barangkali sudah tiba masanya bagi Malaysia mengamalkan 'politik ilmu bukannya politik ampu, politik hikmah bukan politik fitnah dan politik bakti bukan politik undi'.

Hakikatnya, integriti adalah fenomena abstrak dan subjektif yang lazimnya digandingkan dengan persepsi manusia terhadap kredibiliti, ketulusan, keikhlasan, kejujuran, etika, prinsip moral, hati budi, perilaku dan tahap dedikasi serta komitmen manusia lain. Ini terutamanya bagi mereka yang berjawatan seperti para menteri serta ahli Parlimen.

Watak yang dimainkan oleh ahli politik, apatah lagi bakal-bakal calon pilihan raya kecil DUN Kajang nanti termasuklah butir bicaranya juga dinilai dari sudut keintegritiannya. Sekiranya yang diomong dan diceramahkan itu tidak dilaksanakan, pada waktu itulah integritinya terhilang. Apatah lagi jika bicaranya itu sering kali mencela dan mencaci, pada waktu itu jugalah, integritinya semakin pudar dan lenyap. Inilah yang disebut oleh Syed Hussein al-Atas dalam Intelektual Masyarakat Membangun sebagai 'bebalisme' yang mana cirinya yang menonjol adalah kehilangan pekerti.

Di sebalik wajah integriti yang bertaut pada Mei Fun, apakah akan ada kejutan pada 23 Mac ini di Kajang? Adakah kira-kira 42 peratus pengundi Cina di Kajang akan memberi peluang kepada Mei Fun atau setidak-tidaknya untuk ruang kepada MCA sendiri tampil dengan tekad baharu memberi sumbangan kepada kaum Cina.

Jika diambil kira rekod MCA dengan parti saingannya, DAP dalam sejarah pilihan raya memang tidak kurang hebatnya. MCA juga boleh belajar daripada sejarah politik parti itu sendiri dalam 11 pertembungan dengan DAP bagi merebut kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang diadakan sejak 1969.

Pada 1969, MCA seri dengan DAP apabila kedua-dua parti itu masing-masing memenangi 13 kerusi. Namun pada pilihan raya 1974 MCA bangkit dengan (19-9),1978 (17-16) dan 1982 (24 -9). MCA kemudiannya tewas kepada DAP, dua kali berturut-turut pada 1986 (17-24) dan 1990 (18-20). Tetapi MCA kembali bangkit pada 1995 (30-9), 1999 (28-10) dan 2004 (31-12 ). MCA kembali kalah pada 2008 (15-28) dan yang terbaharu 2013 (7 -38). Ini bermakna MCA berjaya menewaskan DAP 7 kali, tewas 4 kali dan seri sekali dalam 11 pertembungan mereka.

Secara keseluruhannya MCA berjaya menang 219 kerusi berbanding DAP hanya 189 dalam pertembungan 44 tahun mereka sejak 1969.

Mei Fun boleh mengambil suntikan semangat ini untuk berdepan dengan PKR di Kajang. Calon bukan pilihan atau 'underdog' pasti akan muncul dalam setiap pilihan raya termasuk dalam saingan pilihan raya kecil seperti Kajang. Sejarah pilihan raya di negara ini menyaksikan ramai calon 'heavyweight' yang tumbang. Apa yang membezakan calon-calon bukan pilihan ini adalah kemampuan dan keterampilan mereka untuk menggugat calon pilihan dan menjadi calon 'Giant Killer'.

Mei Fun tampil dengan rekod integriti dan reputasi yang baik. Cuma, mampukah beliau mencipta kejutan sebagai si Giant Killer - dalam keadaan politik semasa di mana sesetengah pengundi sudah mempunyai pendirian masing-masing parti atau calon mana yang mahu diundi?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140224/re_06/Mei-Fun-si-Giant-Killer#ixzz2uCO5d8YK  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Kaji selidik yang merobek-robek wibawa MB dan Pas


Oleh ZULKEFLI HAMZAH
warungrakyat.mingguan@gmail.com





ADA penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) barangkali sudah meniupkan trumpet berikutan hasil kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang yang menyebelahi parti itu, yang meramalkan kemenangan kepada calon mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil dapatan kaji selidik memberi pengabsahan bahawa apa yang dilakukan oleh PKR mengosongkan kerusi N25 untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kemudian melantiknya sebagai Menteri Besar Selangor adalah tepat.

Kaji selidik itu mendapati 59 peratus daripada 576 responden menjawab "ya" apabila ditanya soalan 'adakah munasabah Pilihan Raya Kecil Kajang diadakan untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor'. Apakah maksudnya? Kaji selidik ini hanya memberi persepsi baik kepada Anwar selaku calon. Kaji selidik ini menjelaskan dengan terang-benderang hajat sebenar Langkah Kajang atau yang disebut Manipulasi Kajang walaupun cuba disembunyikan oleh strategis PKR dan Anwar.

Pengundi Kajang, yang sejak ADUN Lim Chin Cheh diumumkan meletakkan jawatan telah dibebani dengan kempen politik PKR siang dan malam, digambarkan begitu sayangkan PKR dan Anwar yang bukan sekadar sebagai penyelamat Kerajaan Negeri Selangor bahkan negara.

Hal ini kerana mengikut kaji selidik tersebut, kebanyakan yang ditinjau menyatakan pilihan raya kecil yang dicipta PKR itu adalah munasabah (56 peratus), tidak membazirkan wang (53 peratus) dan perlu diadakan untuk menyelesaikan isu-isu dalaman PKR Selangor (42 peratus).

Lihatlah bagaimana kini Anwar begitu diagung-agungkan. Tidakkah kita belajar bagaimana dulu mereka berdegar-degar akan menggegar Dewan Rakyat dengan kehadiran ramai wakil rakyat ‘cerdik’ pakatan pembangkang? Sehingga kini kita masih menanti-nanti 'keluarbiasaan' pemimpin ini.

Kaji selidik Umcedel itu dari sisi lain sebaliknya telah merobek-robek wibawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang digambarkan sebagai dungu, hanya menjadi pak pacak di kerusi Menteri Besar. Bagi pengundi Kajang mengikut kaji selidik itu, Abdul Khalid tidak layak menjadi Menteri Besar. Beliau perlu segera ditukarkan termasuk untuk menyelesaikan kemelut dalaman PKR.

Yang layak menerajui Selangor hanya seorang iaitu yang sekarang menjadi calon PKR DUN Kajang itu. Kemudian, di luar kaji selidik yang selalu menyebelahi pakatan pembangkang itu, semacam ada gerakan terancang untuk menampilkan semula bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kini ahli Pas untuk membantu Anwar nanti.

Secara tersirat, Abdul Khalid pula terus diserang dengan bermacam konspirasi daripada isu PKNS sehingga hal berkaitan hutang beliau dengan bank. Beliau pun tidak semena-mena dikaitkan dengan orang UMNO.

Kasihanlah Abdul Khalid yang digambarkan ‘super’ hebat sebelum ini sehingga dipilih semula untuk menjadi Menteri Besar buat penggal kedua, dihina sebegitu sekali. Tetapi hal ini bukan baharu dalam permainan politik Anwar.

Entah berapa banyak sahabat baik dan orang kanan Anwar dihina sebegitu rupa, lantas secara terhormat memilih meninggalkan beliau walaupun sedang memegang jawatan dan kekuasaan.

Daripada rakan seperjuangan politik, agamawan, cendekiawan, sahabat sepermainan hingga staf sendiri, jumlahnya sudah tak terhitung. Pernahkah kita melihat pemimpin lain yang ditinggalkan sebegitu banyak rakan baiknya?

Yang sepatutnya paling terasa getah kaji selidik ini ialah Pas. Kaji selidik ini memburaikan keputusan Pas bahawa 'isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit' dalam pilihan raya kecil ini. Ketegasan Pas yang dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat lujnah politik dan pilihan raya pada 3 Februari lalu hanya sia-sia belaka.

Itulah gambaran permainannya, PRK DUN Kajang ini untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor. Pengundi Kajang percaya itu yang akan berlaku. Naifnya Pas yang boleh tertipu di siang hari. Kebimbangan pemimpin akar umbi Pas terutamanya golongan agamawan menjadi nyata dalam kaji selidik ini. Barangkali atas sebab itu, ada strategis Pas awal-awal meletakkan syarat akan mencalonkan nama daripada parti itu jika Abdul Khalid disingkirkan.

Tetapi Pas yang sedang dihina ini mempunyai rekod mudah terbuai dengan kegilaan Anwar. Walaupun Pas mengancam akan menamakan calon lain, sejarah menunjukkan mereka akhirnya akan termakan dengan perangkap permainan Anwar.

Anwar dan jenteranya tidak pun peduli dengan pengorbanan Pas yang akhirnya memutuskan untuk menyertai jentera pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil ini. Mereka ambil mudah kesukaran Pas yang terpaksa mengetepikan suara ahli-ahlinya sendiri.

Demokrasi kita nampaknya sudah bersimpang siur. Demokrasi yang sepatutnya melahirkan pemimpin bercirikan negarawan sebaliknya hanya melahirkan pemimpin rakus dan pentingkan diri sendiri.

Hasrat untuk melihat wakil rakyat daripada kalangan mereka yang terbaik kian jauh panggang dari api. 

Dewan yang mulia di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang sepatutnya menempatkan orang-orang terhormat untuk mengabdi kepada rakyat justeru diisi oleh mereka yang belum selesai dengan dirinya sendiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140223/re_08/Kaji-selidik-yang-merobek-robek-wibawa-MB-dan-Pas#ixzz2uCM4n2I9  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Friday, 21 February 2014

Jangan rendahkan martabat al-Quran


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR





TREND sumpah secara terbuka dikhuatiri menjadi budaya dalam amalan masyarakat Melayu di negara ini. - Gambar hiasan

BELUM lagi selesai kontroversi pengakuan sumpah menggunakan al-Quran membabitkan pemimpin parti politik, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama apabila kitab suci umat Islam dijadikan bahan penyelesaian kes membabitkan ahli sukan.

Malangnya, isu yang dilihat boleh diselesaikan menggunakan pelbagai kaedah rundingan dan perundangan itu, sebaliknya diatasi dengan jalan mudah setelah gagal membuktikan pertuduhan dan perselisihan yang berlaku.

Justeru, berlakulah upacara angkat sumpah di hadapan al-Quran dan mendapat liputan secara langsung di media walaupun umum tidak mengetahui tujuan di sebalik lafaz sumpah tersebut.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: (Nabi) Isa ibni Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu dia berkata kepadanya: Apakah kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: Tidak! Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia! Maka Isa berkata: Aku beriman kepada Allah dan aku mendustakan mataku. (riwayat Bukhari) Hadis di atas menjelaskan kebesaran kedudukan sumpah dan jika bertembung antara sumpah dengan sesuatu yang lain, maka yang lebih utama ialah sumpah.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, walaupun sumpah terdapat di dalam Islam, namun ia merupakan langkah terakhir yang boleh diambil selepas menemui jalan buntu untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Katanya, ini sebagaimana dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat 89 maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

"Sumpah memang ada disebutkan di dalam Islam. Namun ia diharuskan selepas tiada jalan penyelesaian lain boleh diambil untuk menyelesaikan perkara tersebut sehingga boleh memberi darurat kepada seseorang jika tidak bersumpah.

"Manakala orang yang bersumpah perlu bertanggungjawab dan menanggung sebarang risiko dengan apa yang disumpahkan kerana dia telah meletakkan Allah SWT dalam pengakuan yang dibuat.

"Sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik yang bermaksud: Suatu ketika Rasulullah ditanya tentang dosa besar, baginda menjawab: Yang termasuk dosa besar ialah menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, menamatkan nyawa orang lain bukan dalam hal yang dibenarkan agama dan sumpah palsu. (riwayat Bukhari)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Halim yang juga bekas mufti Terengganu berkata, al-Quran yang merupakan kata-kata Allah SWT dan mukjizat kepada umat Islam seharusnya dihormati dengan meletakkan kedudukannya di tempat yang mulia.

"al-Quran merupakan mukjizat terbesar bagi umat Islam. Bukti keagungannya sehingga kita perlu mengambil wuduk dan suci daripada hadas sebelum menyentuhnya.

"Justeru, menggunakan al-Quran dalam perkara remeh dilihat umpama menghina kedudukan al-Quran yang terkandung di dalamnya kalam (kata-kata) Allah SWT. Ia sekali gus menunjukkan imej Islam yang rendah menurut pandangan masyarakat lain," katanya mengulas senario sumpah yang sering dijadikan alat mempertahankan diri.

Menghina agama

Tambah Abdul Halim, budaya sumpah yang dilakukan oleh umat Islam dibimbangi disalah erti sehingga mampu menjatuhkan kedaulatan institusi agama Islam.

Ini katanya, apabila ajaran agama Islam disalahgunakan oleh umat Islam dengan melibatkan nama Allah SWT dan al-Quran sewenang-wenangnya dalam segala urusan harian manusia.

Beliau berkata, bukan sahaja merendahkan imej agama Islam dan martabat al-Quran, malah tindakan itu turut boleh memperlekehkan keagungan tuhan iaitu Allah SWT.

"Pelbagai serangan memburuk-burukkan Islam sentiasa dirancang seperti dalam bentuk penghinaan dan mempersendakan agama dengan menjadikan Rasul dan juga al-Quran sebagai sasaran semata-mata bertujuan untuk menjatuhkan kedaulatan Islam.

"Namun, perkara ini bersifat zahir iaitu boleh dilihat dan didengari untuk diambil tindakan. Namun, apa yang lebih membahayakan adalah penyalahgunaan ajaran agama Islam oleh umat Islam sendiri.

"Sebagai contoh menggunakan al-Quran sebagai saksi untuk bersumpah walaupun dalam perkara remeh. Ini secara tidak kita sedari hakikatnya telah merendahkan martabat keagungan kitab al-Quran tersebut setaraf dengan perkara remeh tersebut," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140220/ba_01/Jangan-rendahkan-martabat-al-Quran#ixzz2turLAkKW  © Utusan Melayu (M) Bhd


Air hanya cukup untuk tiga bulan









KUALA LUMPUR 20 Feb. - Simpanan air di kesemua empangan di seluruh negara diunjurkan hanya mampu membekalkan air antara satu hingga tiga bulan sekiranya cuaca panas dan kering berpanjangan.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, keupayaan untuk menampung permintaan air bergantung kepada situasi kemarau di setiap negeri dan saiz serta struktur empangan.

Menurut beliau, kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi lazimnya akan mengalami gangguan bekalan air lebih awal berbanding lokasi lain.

"Situasi itu berlaku berikutan permintaan yang tinggi terhadap bekalan air di kawasan bandar yang kebiasaannya terletak jauh daripada kawasan bekalan air.

"Sebagai perbandingan, empangan di Malaysia pada 30 tahun lalu berupaya menakung air untuk tempoh yang lebih panjang semasa musim kemarau kerana pembangunan di kawasan bandar masih kurang pesat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Piarapakaran mengulas tentang kemungkinan negara dilanda krisis bekalan air sekiranya paras air empangan terus menyusut akibat cuaca panas dan kering di seluruh negara.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan, setakat pukul 8 malam tadi, sebanyak 15 empangan yang dipantau menerusi sistem Info Kemarau mencatatkan simpanan air di bawah paras normal.

Namun, simpanan air di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang adalah pada paras 72.97 melebihi paras normal 65 meter.

Beliau menambah, sebagai langkah jangka pendek, syarikat bekalan air hendaklah mengoptimumkan bekalan air terawat.

"Bagi langkah jangka panjang pula, empangan baharu yang bakal dibina mesti berupaya menakung air pada kadar 50 peratus melebihi permintaan semasa," ujarnya.

Piarapakaran turut menyarankan langkah lain seperti mengurangkan kadar air tidak terhasil, mempertingkatkan sistem bekalan air secara kolektif dan larangan kegiatan pembalakan di kawasan tadahan hujan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, masalah bekalan air di seluruh negara masih belum kritikal.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan syarikat bekalan air telah diarahkan membuat pelan tindakan sekiranya paras simpanan air empangan turun di bawah 45 peratus.

"Catuan bekalan air terpaksa dilakukan apabila simpanan air di empangan kurang daripada 45 peratus," katanya.

Mahdzir juga berharap orang ramai menjimatkan penggunaan air dan membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air berlaku.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140221/dn_01/Air-hanya-cukup-untuk-tiga-bulan#ixzz2tunVJNmr  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : JOM KITA SAMA-SAMA BERJIMAT DALAM PENGGUNAAN AIR...

Tony Pua sengaja cetus provokasi hina Islam perlu didakwa









KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua perlu didakwa di bawah Akta Hasutan kerana sengaja melakukan provokasi menghina Islam apabila mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan umat Islam menyambut Hari Kekasih.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, umat Islam tidak perlu menagih permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya itu disebabkan keceluparan ditunjukkan, tetapi perlu mengheretnya ke mahkamah.

"Kita perlu dakwa dia di mahkamah dengan segera sebagai langkah pencegahan kerana sebenarnya dia sedang menguji kesabaran orang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam beberapa mufti mendesak Tony Pua menarik kembali kenyataannya yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan umat Islam menyambut Hari Kekasih seperti dinyatakan melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Tony Pua tidak berhak mencampuri urusan berkaitan agama Islam sehingga mengundang suasana tidak harmoni di negara ini.

Mengulas lanjut Ismail Mina berkata, kenyataan bersifat provokasi tersebut sengaja dikeluarkan kerana percaya umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan lemah akibat perpecahan.

"Muafakat berpendapat Tony Pua sebagai seorang intelek, pemimpin politik, sebenarnya memahami perkara-perkara yang sensitif dalam kumpulan masyarakat dan agama.

"Muafakat berpendapat perkara ini sengaja dicetuskan untuk menimbulkan provokasi," katanya sambil menambah kelemahan orang Melayu sehingga ada dalam kalangan mereka sendiri sanggup menjadi ejen DAP.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengingatkan Tony Pua tidak angkuh dan bongkak hingga berani mencampuri urusan agama Islam.

"Dia sudah lupa asas penubuhan negara ini yang dibina dengan dasar persefahaman dan saling hormat-menghormati. Ingatlah tahap kesabaran orang Melayu ada hadnya," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Tony Pua sewajarnya belajar semula asas-asas untuk menghormati orang lain terutama di negara ini yang dihuni oleh berbilang kaum dan agama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140221/po_07/Tony-Pua-sengaja-cetus-provokasi-hina-Islam-perlu-didakwa#ixzz2tulbfJ4k  © Utusan Melayu (M) Bhd


Pengacau ikatan kaum India-kerajaan


Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my




DARI KIRI: S. Nallakaruppan, Waythamoorthy

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan menyifatkan Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy sebagai pengacau hubungan baik masyarakat India dengan kerajaan.

Menurutnya, tindakan Waythamoorthy yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat memalukan dan tidak sama sekali mewakili pandangan masyarakat itu terhadap kepimpinan Najib.

"Tindakan Waythamoorthy menyalahkan Perdana Menteri sangat tidak masuk akal kerana dia seperti budak baru masuk sekolah beberapa bulan dan tidak tahu apa-apa pun pasal kerajaan, tetapi kini boleh pula salahkan orang ini orang itu.

"Dia juga tidak lakukan apa-apa jasa kepada masyarakat India tetapi boleh pula menyalahkan kerajaan tidak bantu. Perbuatan itu sangat memalukan dan kita masyarakat India tidak bersetuju dengan apa yang dia buat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Waythamoorthy yang menyalahkan Perdana Menteri kerana kegagalan Pengerusi Hindraf itu melaksanakan perubahan kepada kaum India baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nallakarupan mendesak Waythamoorthy untuk meminta maaf kepada Perdana Menteri dan masyarakat India ekoran tindakannya itu yang jelas menjejaskan hubungan baik antara masyarakat kaum itu dengan kerajaan.

Tambahnya, masyarakat India telah menerima pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan selama ini dan tidak sepatutnya Waythamoorthy yang baru sahaja memegang jawatan dalam Kabinet bertindak mempertikaikan perkara tersebut.

"Dia itu siapa mahu pertikai kepimpinan Perdana Menteri, dia juga tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti atau pertubuhan bukan kerajaan India untuk ambil tahu masalah kita, jadi, mengapa dia buat kenyataan seperti itu. Kita sangat malu dengan Perdana Menteri," jelasnya.

Ketika ditanya adakah tindakan yang dibuat Waythamoorthy itu ada kaitan keinginan beliau menyertai pembangkang, Nallakarupan berkata, jika itu berlaku, ia merupakan satu tindakan yang paling tidak bijak dilakukan oleh Pengerusi Hindraf itu.

"Kalau Waythamoorthy letak jawatan kerana mahu masuk pembangkang, dia telah buat pilihan yang salah dan dia pasti akan menyesal," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140221/po_01/Pengacau-ikatan-kaum-India-kerajaan#ixzz2tuiQp5ZE  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : PERLANTIKAN DIA SEBAGAI AHLI KABINET NAJIB PUN DARI AWALNYA KURANG BIJAK DAN TIDAK BERPAKSI PADA REALITI POLITIK HARI INI... ADA TAK MEMBANTU, TAK ADA PUN TAK APA DAN TAK RUGI... MEMALUKAN AJE....