Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 10 August 2015

Putra Merdeka: Jenuh Tangguh Ke Lenguh..!

Putra Merdeka: Jenuh Tangguh Ke Lenguh..!: sumber Dah kecoh satu alam tiba tiba PDRM melaporkan... Polis akan menangguhkan sementara siasatan melibatkan Suruhanjaya Pencega...

Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: Mampukah Najib Bertahan Sehingga Perhimpunan Agung...

Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: Mampukah Najib Bertahan Sehingga Perhimpunan Agung...: Sudah semakin maklum bahawa DS Najib menerima sambutan sopan namun dingin dari perwakilan di Mesyuarat Agung Bahagian Pasir Gudang yang dira...

LIGA SUPER : Pahang, JDT berentap hingga ke hujung musim?

08 Ogos 2015 1:03 AM


PENYERANG JDT Luciano Gabriel Figueroa meraikan jaringan keduanya bersama Mohd. Nazrin Mohd. Nawi ketika menentang Sime Darby di Johor Bahru Rabu lalu , yang dimenangi Harimau Selatan 4-0.

KUALA LUMPUR – Selepas 17 perlawanan dan hanya berbaki lima aksi musim ini, pertarungan merebut gelaran juara Liga Super kelihatan hanya akan ditentukan dalam perlawanan terakhir musim oleh Pahang dan pencabar terdekatnya Johor Darul Ta’zim yang terus konsisten untuk menguasai dua tempat teratas dalam carta.

Ketika ini, peluang pasukan lain untuk memintas Tok Gajah dan Harimau Selatan kelihatan mustahil.

Perak selaku pasukan di anak tangga ketiga ketinggalan 10 mata dan lebih realistik untuk skuad Bos Gaurus mempertahankan kedudukan semasa mereka daripada asakan pencabar terdekatnya yang terdiri daripada Selangor, Felda United, Terengganu dan Lions XII.

Bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menyifatkan perebutan kejuaraan liga hanya dapat diramalkan dalam dua perlawanan terakhir kerana perbezaan mata terlalu dekat.

Bagaimanapun, dia melihat pendahulu liga Pahang dalam kedudukan tertekan ketika ini kerana tidak boleh tercicir sebarang mata dalam lima perlawanan terakhir ini.

“Persaingan cukup kritikal sekarang dan Pahang pasti tertekan kerana tidak boleh tercicir mata andai mahu merangkul kejuaraan tetapi JDT dilihat lebih selesa untuk mengejar apabila akan menentang pasukan yang terlebih dahulu bermain dengan Pahang sebelum menentang mereka.

“Beza dua mata bersamaan satu perlawanan sahaja. Jadi, bagi saya juara Liga Super hanya dapat diramalkan dalam dua atau satu perlawanan terakhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Dalam perlawanan liga hari ini, Pahang dijangka menghadapi tugas sukar untuk memungut tiga mata berharga apabila bertandang ke Stadium Jalan Besar untuk menentang Lions.

Kebanyakkan pasukan menghadapi kesukaran untuk mencipta kemenangan di laman keramat skuad Fandi Ahmad itu, manakala JDT dijangka tidak sukar untuk terus meraih tiga mata mudah apabila menentang pasukan kedua tercorot liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selepas menentang Lions malam ini, Pahang akan menghadapi Kelantan, Perak, Felda United dan Terengganu, dan kesemua pasukan itu kemudiannya akan menghadapi JDT, yang membelasah Sime Darby 4-0 Rabu lalu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pahang-jdt-berentap-hingga-ke-hujung-musim-1.121939#sthash.OC0xlF3K.dpuf

JDT rampas teraju Liga Super

09 Ogos 2015 1:03 AM


PENYERANG JDT, Luciano Figueroa melompat untuk menanduk bola sambil cuba dihalang oleh pemain ATM, Nor Fazly Alias dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban semalam. JDT menang 1-0. BERNAMA

CARTA Liga Super mendapat peneraju baharu apabila ja­ringan tunggal perlawanan oleh Safee Sali sudah cukup untuk memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) memintas Pahang yang kalah teruk kepada Lions XII semalam.

JDT, yang sekian lama mengekori Tok Gajah dengan dua mata, menggunakan kelebihan menentang pasukan ke­dua tercorot Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencatat kemenangan tipis 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban.

Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-70 apabila penyerang kebangsaan Safee muncul wira setelah meledak jaringan, sekali gus menghadiahkan kekalahan keenam berturut-turut untuk ATM.

Kemenangan ke atas The Gladiators itu membolehkan JDT mengumpul 40 mata, satu mata mendahului Pahang selepas 18 perlawanan.

JDT mendapat kelebihan kerana mereka dapat mengetahui kekalahan 2-4 Tok Gajah kepada Lions XII lebih awal kerana Pahang bermain di Stadium Jalan Besar yang bermula pukul 7.45 malam.

Gol juara Piala FA, Lions XII dijaringkan oleh Faris Ramli pada minit ke-17 dan 59, Madhu Mohana (minit ke-30), Safuwan Baharudin (minit ke-85), manakala Pahang menerusi Matias Conti (minit ke-43) dan Surendran (minit ke-90).

Di Stadium Perak, Ipoh, Felda United menumpaskan tuan rumah 2-0 untuk memberikan kekalahan keempat berturut-turut kepada The Bos Gaurus, sekali gus men­yingkirkan Perak dari kedudukan ketiga carta.

Hambar dalam babak pertama permainan, pasukan pelawat terpaksa menunggu hingga minit ke-60 untuk memecahkan kebuntuan menerusi ketua pasukan Muhd. Shukor Adan yang menolak ma­suk bola ke gawang setelah penjaga gol Muhd. Zamir Selamat gagal menangkap kemas bola sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin.

Kesilapan sendiri sekali lagi menghukum Perak pada minit ke-69 apabila Mohd. Raffi Nagor Ghani tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menahan hantaran lintang Cristie Jayaseelan untuk gol kedua Felda United.

Sementara itu, dua gol pada penghujung perlawanan yang dijaringkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan Sarawak berputih mata di Stadium Negeri, Kuching setelah tewas 3-2.

Gol-gol The Cops dihasilkan oleh Ahmed Ezrie Shafizie pada minit ke-20, Dramane Traore (minit ke-86) dan Afif Amiruddin (minit ke-89) manakala gol Sarawak disumbangkan oleh Joseph Kalang Tie (minit ke-49) dan Ryan Griffiths (minit ke-79).

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan terus gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila kalah 1-2 kepada Terengganu walaupun mendahului awal.

The Red Warriors bermula garang apabila mendahului skuad Penyu ketika permainan baru berlangsung 13 saat menerusi jari­ngan Ahmad Fakri Saarani.

Tonggak pertahanan pelawat Vincent Bikana yang tidak dikawal menanduk masuk bola sepakan sudut Gustavo Lopez untuk me­nyamakan kedudukan pada minit ke-24 dan hasrat Terengganu untuk menambah jaringan akhirnya berhasil menerusi pemain gantian Ashaari Shamsudin yang menanduk masuk bola sepakan sudut Lopez pada minit ke-74.

Sementara itu, Selangor menggunakan peluang bersemuka de­ngan pasukan tercorot Sime Darby untuk meraih tiga mata berharga di Stadium MP Selayang apabila menang 3-1.

Selangor bermula garang dan mendahului dua gol menerusi Rizal Fahmi Rosid yang menanduk masuk bola sepakan bebas Andik Vermansah pada minit ke-19 sebelum Guilherme De Paula menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-25.

Sime Darby cuba memberi sa­ingan sengit dengan beberapa gerakan berbahaya dan pemain import Reinaldo Da Costa merapatkan jurang gol pada minit ke-32 selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Fahrul Razi Kamaruddin.

Selangor bagaimanapun kembali selesa apabila Abdul Hadi Yahaya menambah gol ketiga pada minit ke-80.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-rampas-teraju-liga-super-1.122273#sthash.IqUMvVWW.dpuf


UMNO : Krisis yang berlaku ditangani dengan baik

Hishammuddin akui ahli UMNO gelisah

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 10 Ogos 2015 1:33 AM


HISHAMMUDDIN TUN HUSSIEN (tengah) berkata sesuatu kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pandan di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - UMNO sudah berulang kali berdepan dengan krisis ke­pemimpinan sejak penubuhannya dan setiap kali onak politik itu datang melanda, seluruh ahli berjaya melaluinya dengan penuh kewarasan serta kebijaksanaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, untuk kesekian kalinya beliau percaya krisis yang timbul ketika ini akibat rombakan Kabinet dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu diatasi dengan baik.

Mengakui wujud kegelisahan dalam kalangan ahli UMNO akar umbi khususnya di Johor, Hishammuddin seterusnya mengulangi pendirian mahu isu 1MDB diselesaikan tahun ini dengan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang bersalah.

Beliau juga bersetuju sidang khas Dewan Rakyat dibuat untuk melantik ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baharu dengan segera, kerana tidak mahu siasatan 1MDB tertangguh sehingga mengundang persepsi negatif.

“Saya telah turun ke bahagian Mersing, Tenggaroh dan Sembrong. Saya tengok apa yang kita lalui sejak waktu Dato’ Onn Jaafar lagi, krisis ini bukan perkara baharu untuk Johor dan saya yakin orang UMNO Johor cukup bijaksana.

“Walaupun wujud isu, kain ren- tang kecam kerajaan dan perbualan dalam WhatsApp tetapi mereka meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pandan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pandan, Datuk Mohd. Haniff Koslan dan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamaruddin.

Ditanya mengenai kritikan beberapa menteri Kabinet terhadap keputusan menukar dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hishammuddin berkata, beliau tidak tahu mengapa mereka dipindahkan.

“Tidak adil untuk saya komen kerana tidak tahu apa ceritanya, kena tanya kepada pihak berkenaan tetapi yang penting ialah soal institusi. SPRM ada tanggungjawab, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara juga ada tanggungjawab,” katanya.

Mengenai desakan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) agar dua pegawai kanan SPRM itu dikembalikan semula ke suruhanjaya itu, beliau berkata, mana-mana pihak berhak untuk menyatakan pendirian masing-masing dalam isu berkenaan.

Namun tegasnya, adalah lebih baik untuk semua pihak tidak hanya menyatakan pendirian berasaskan persepsi semata-mata kerana apa yang lebih penting dalam kemelut yang membabitkan SPRM ialah proses siasatan tetap berjalan.

“Perjalanan untuk mencari kebenaran itu penuh dengan liku dan bagi saya, biar kita jawab dari semasa ke semasa bersandarkan pada maklumat yang kita dapat, bukan persepsi. Saya akan jawab apabila saya puas hati dengan maklumat,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/krisis-yang-berlaku-ditangani-dengan-baik-1.122640#sthash.RcYnuKhJ.dpuf

UMNO : ‘Tidak munasabah saya jatuhkan Perdana Menteri’

10 Ogos 2015 1:33 AM



MUHYIDDIN YASSIN (tengah) bersama Ikhwan Salim Sujak (kanan) dan Mohd. Fakhzan Md. Noor menyanyikan lagu rasmi UMNO dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara di Petaling Jaya, Selangor, semalam. BERNAMA

PETALING JAYA 9 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, selaku orang nombor dua dalam parti yang ditunjangi orang Melayu itu, adalah tidak munasabah untuk beliau berbuat demikian.

“Saya tidak ada komplot untuk tumbang Perdana Menteri dengan bersekongkol dengan Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) dan Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang)... kedua-dua telah nafi dan saya tidak perlu nafi atau cakap kerana saya tidak terlibat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Ikhwan Salim Sujak dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohd. Fakhzan Md. Noor.

Muhyiddin berkata, beliau yang berada dalam UMNO selama lebih 40 tahun nekad untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden bagi meneruskan perjuangan membela orang Melayu.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli UMNO terutama di Selangor supaya tidak mudah mengaku kalah untuk menguasai semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Merujuk kepada pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi UMNO, Muhyiddin berkata, ahli parti terutama sayap Pemuda perlu mengutamakan soal kepentingan perjuangan parti melebihi pangkat dan jawatan yang disandang.

“Tugas kita untuk selesai cari jalan isu-isu seperti GST (cukai barang dan perkhidmatan), pengangguran anak-anak muda, kenaikan harga kos barang selain dibebani masalah lain yang berlegar dan membawa beban,” katanya.

Kepada pimpinan Pemuda yang mempunyai idealisme baharu itu, beliau menasihatkan golongan itu supaya menggunakan platform yang tepat bagi mengutarakan isu dan pandangan selaras dengan perkembangan arus semasa.

“Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju, namun ia memerlukan komitmen keseluruhan kepimpinan terutama golongan muda yang berani dan tegas,” katanya. – BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-tidak-munasabah-saya-jatuhkan-perdana-menteri-8217-1.122650#sthash.BDktOTql.dpuf

UMNO hanya perlu seorang nakhoda sahaja

10 Ogos 2015 1:33 AM

JOHOR BAHRU 9 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Johor berikrar akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berpendapat parti itu hanya memerlukan seorang nakhoda.

Mohamed Khaled

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu ahli UMNO mesti memberi kepercayaan kepada Presiden parti untuk mengemudi bahtera parti.

“Kami mengambil ketetapan, UMNO hanya ada satu nakhoda iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengemudi bahtera ini,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, dekat sini hari ini.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang pada masa yang sama mengakui UMNO kini tidak berada dalam kedudukan sebaiknya, namun UMNO Johor tetap menyatakan sokongan sebulat suara terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta memberikan ruang untuk beliau merungkai segala isu dan kemelut yang melanda parti, bangsa dan negara, sekali gus mengharapkan jalan pencerahan untuk mereka.

“Atas sebab itu, kami mengalu-alukan dan menghargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa enam bulan dan kami juga menaruh kepercayaan ia akan tercapai,” katanya.

Mengenai isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet baru-baru ini, beliau mengulangi pendirian UMNO Johor yang menghormati keputusan Perdana Menteri biarpun pada hakikatnya ada dalam kalangan ahli UMNO Johor yang ‘terluka’.

“Mana mungkin kami akan membelakangkan Tan Sri Muhyiddin hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persahabatan kami bukan kerana darjat, pangkat, gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat, ia adalah cara Johor,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak hilang fokus terhadap agenda utama parti, iaitu memperjuang dan memastikan kepentingan serta perpaduan orang Melayu di negara ini terus utuh dan kukuh.

“UMNO bukan milik sesiapa, UMNO institusi siasah milik bangsa Melayu, milik ummah. Maka tiada siapa yang lebih besar dan gah daripada ini semua, UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, UMNO Johor tidak akan sekali-kali membenarkan parti tersebut dikebumikan di negeri ini yang merupakan benteng paling kuat parti terbesar melayu itu.

Justeru, beliau mengajak semua ahli parti bersatu dan bermuafakat kerana UMNO adalah satu-satunya institusi yang membuahkan begitu banyak kebaikan kepada agama, bangsa dan negara, sekali gus mahu kepentingan parti itu dipertahankan.

Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan, sebagai benteng paling kuat, apatah lagi parti itu 'dilahirkan' di negeri ini, UMNO yang dibentuk, diasuh, ditatang dan didewasakan di sini mesti dipertahankan demi kelangsungannya.

“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, 'platletnya' UMNO dan 'DNA' parti juga tanpa ragu adalah UMNO, sekali gus kami tidak akan sekali-kali membenarkan UMNO dikebumikan di negeri ini.

“Biar badai apa pun menghempas, biar gerhana apa pun yang terbias, UMNO pasti akan kami jaga dengan ikhlas, dengan amanah dan dengan keringat serta darah dan yakin Datuk Seri Presiden juga berkongsi pendirian dan rasa seperti kami. UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-hanya-perlu-seorang-nakhoda-sahaja-1.122653#sthash.Uaqgw9qn.dpuf

‘Bukan kepentingan peribadi’- NAJIB YANG KATA

Dana untuk aktiviti parti dan program tanggungjawab sosial korporat

LUQMAN HAZIQ 
DAN NURUL HUDA HASSAN | 10 Ogos 2015 1:34 AM


NAJIB TUN RAZAK bersama Mohamed Khaled Nordin (duduk, empat dari kiri) bergambar dengan para perwakilan pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Johor Bahru, semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 9 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan dana politik yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau bukan untuk kepentingan diri, tetapi bagi membiayai aktiviti parti dan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap masyarakat.

Beliau berkata, usaha untuk mencari dana bagi keperluan parti dan masyarakat merupakan sebahagian daripada tugasnya sebagai Presiden UMNO dan tidak pernah dipertikai oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Malah menurut Perdana Menteri, penerimaan dana politik merupakan amalan dalam parti sejak dahulu dan beliau hanya meneruskan perkara tersebut.

“Sewaktu menjadi Timbalan Presiden, saya tidak pernah persoal mengenai dana parti. Itu kerja Presiden. (Perkara itu) juga berlaku pada zaman Tun (Dr. Mahathir Mohamad)...saya hanya meneruskan amalan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz.

Najib mengakui bukan tugas mudah menjadi Presiden kerana perlu berusaha keras untuk mencari dana bagi parti, namun pada masa sama memastikan tindakan tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Ramai yang minta (kepada Presiden)...jentera tak boleh gerak sebab duit tak turun, Menteri Besar pun boleh minta daripada saya, tapi saya nak minta dengan siapa...sebab itu saya kena usaha.

“Sebab itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dah kata apa yang saya terima bukan daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan bukan rasuah, tetapi untuk sumbangan kepada parti dan tanggungjawab sosial korporat...bukan untuk kepentingan saya sendiri,” katanya sambil me­nempelak parti pembangkang yang menolak cadangan untuk mengumumkan sumber dana politik seper­ti yang disarankan beliau empat tahun lalu.

Memperjelaskan tindakan meng­gugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, Najib mengakui terpaksa membuat keputusan yang amat sukar, namun sesuatu perlu dilakukan setelah mengambil kira kepentingan politik.

“Ia merupakan keputusan yang amat sukar, tetapi atas sebab tertentu sesuatu perlu dibuat atas kepentingan politik...bukan untuk guris hati orang Johor.

“Saya yakin dan percaya berdasarkan pengalaman dulu (termasuk) ketika ada Semangat 46, Johor masih positif dan membina untuk kembali kepada UMNO. Saya yakin dalam keadaan hari ini UMNO Johor akan terus memainkan peranan membina...sama-sama kita bukan sahaja berdoa tetapi berusaha,” katanya.

Najib turut mengakui Johor bukan sahaja negeri tempat kelahiran UMNO, malah kekuatan parti terbesar Melayu itu di peringkat nasional banyak bergantung kepada sokongan dari negeri ini.

“Amat penting untuk teruskan perjuangan supaya jika mahu UMNO kuat dan dihormati, maka kubu kita, iaitu UMNO Johor mesti dipertahankan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/8216-bukan-kepentingan-peribadi-8217-1.122656#sthash.DHj8aa1Q.dpuf

Friday, 7 August 2015

CELAH GELEGAR: Program Najib di Samporna dibatal kerana lanun

CELAH GELEGAR: Program Najib di Samporna dibatal kerana lanun: KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO Semporna membatalkan undangan kepada presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk merasmikan mesy...

Thursday, 6 August 2015

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Kes Derma RM2.6 Bil Najib - Rakyat Memerhati ........

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Kes Derma RM2.6 Bil Najib - Rakyat Memerhati ........: Sekadar berkongsi pandangan blogger SatD menerusi status fb beliau - Dear UMNO Members I'm writing to you to inquire with regards ...

CELAH GELEGAR: MH370: Keluarga mangsa tidak puas hati, Minta DAPA...

CELAH GELEGAR: MH370: Keluarga mangsa tidak puas hati, Minta DAPA...: JACQUITA Gonzales (kiri) dan isteri Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari, Melanie Antonio (kanan) bercakap kepada media di Kuala Lumpur. - F...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Penemuan Serpihan MH370 Di Reunion - Balaci Najib ...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Penemuan Serpihan MH370 Di Reunion - Balaci Najib ...: Mkini Selingan dari isu 1MDB ..... mengenai penemuan serpihan MH370 di Pulau Reunion.  Waktu kehilangan MH370 tahun lepas, saya sering...

RM2.6 bilion dari penderma Asia Barat

NORLIZA ABD. RAHMAN | 06 Ogos 2015 1:09 AM


PUTRAJAYA 5 Ogos - Sumbangan dana RM2.6 bilion yang didermakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diterima daripada penderma yang berasal dari Asia Barat, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, butiran penderma diperoleh melalui dokumen yang diambil dari bank dan mendapati terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun Perdana Menteri.

Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.

“Sehubungan itu, SPRM ingin memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan diminta memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.

“Sumbangan derma RM2.6 bilion itu tiada kaitan langsung dengan 1Malaysia Development berhad (1MDB),” kata kenyataan itu di sini hari ini

Penjelasan mengenai perkara ini dibuat SPRM susulan kepada kenyataan medianya Isnin lalu yang memaklumkan bahawa siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, banyak pihak masih tidak jelas, terkeliru dan beranggapan SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan isu SRC International atau pun dana RM2.6 bilion.

Jelas SPRM, badan bebas itu tiada kaitan dengan isu 1MDB, sebaliknya siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai perlu memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB.

“Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara yang meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.

“SPRM ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza,” kata kenyataan itu.

Justeru, SPRM mahu menekankan bahawa badan bebas itu tidak pernah menyatakan kes yang sedang disiasat telah ditutup sebaliknya hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB.

Penjelasan tersebut, tegas kenyataan itu, akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang disiasat oleh SPRM dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional.

“Diharapkan semua pihak memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi. SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa ‘fear or favour', SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,” tegas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM membuat kenyataan tanpa melibatkan PDRM dan Bank Negara atau Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas tersebut.

Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing.

Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.

“Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya,” kata kenyataan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm2-6-bilion-dari-penderma-asia-barat-1.121113#sthash.iLll4VEn.dpuf


Misteri MH370 hampir terjawab

06 Ogos 2015 1:23 AM


PAKAR penerbangan awam Malaysia tiba di Pusat Teknikal Aeronautikal di Balma berhampiran Toulouse, Perancis semalam untuk menyertai pasukan penganalisis serpihan pesawat yang ditemukan di Pulau Reunion pada 5 Ogos lalu. – AFP

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Selepas lebih 500 hari kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, misteri terbesar dalam sejarah pe­nerbangan dunia hampir pasti me­nemui jawapannya.

Bagi pakar-pakar penerbangan seluruh dunia, bukti utama iaitu nombor siri, BB657 yang tertera pada flaperon sepanjang dua meter yang ditemukan di Pulau La Reunion, sebuah wilayah Perancis di Lautan Hindi pada 29 Julai lalu telah memberi kesimpulan awal bahawa itu adalah daripada pesawat jenis Bo­eing 777 yang sama dengan MH370.

Kemungkinan berkenaan diso­kong oleh fakta sejarah penerbangan yang menyaksikan hanya sebuah pesawat Boeing 777 yang perjalanannya berakhir di lautan iaitu MH370.

Bagaimanapun analisis kepada serpihan sayap di bahagian fla­peron yang ditemukan di Pulau La Reu­nion itu hanya selesai dilakukan hari ini oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Toulouse. Perancis.

Sehingga berita ini ditulis pada tengah malam Khamis, pasukan penyiasat dari beberapa negara yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman masih belum membuat sebarang pengumuman.

Bekas juruterbang MAS, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, keadaan arus di Lautan Hindi yang melawan arah jam turut menunjukkan bahawa pulau berkenaan adalah lokasi bersesuai­an untuk serpihan kapal itu ditemukan.

“Empat pesawat Boeing 777 terhempas dan satu terbakar. Hanya satu berakhir di laut iaitu MH370. Kalau ikut keadaan Lautan Hindi, arusnya akan membawa serpihan itu pergi ke pantai di mana flaperon itu ditemukan,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Selain fakta tersebut, penduduk tempatan dikatakan turut menjumpai banyak lagi bukti berkaitan MH370 iaitu serpihan pintu pesawat yang mempunyai tulisan bahasa Melayu dan Cina malah pasukan penyiasat Malaysia yang telah me­lakukan pencarian di sepanjang pantai dilaporkan turut menemukan banyak lagi serpihan pesawat yang diperbuat daripada aluminium termasuk bingkai besi.

Sehari selepas penemuan itu, Timbalan Perdana Menteri Austra­lia, Warren Truss, yang mengetuai usaha pencarian MH370 di Lautan Hindi menegaskan pasukan pe­nyiasat menganggap serpihan ber­kenaan sebagai bukti penting yang boleh membawa kepada kejayaan menemukan MH370.

Sebelum ini, pelbagai penemuan turut dikaitkan dengan MH370 termasuk di Kepulauan Andaman oleh seorang pakar teknologi maklumat dari India, Anoop Madhav Yeggina dan pengesanan sebuah kapal milik syarikat penerokaan berpangkalan di Adelaide, GeoResonance di Teluk Bengal, namun tidak satu pun yang disahkan benar dan ada kaitan de­ngan pesawat itu.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac tahun lalu mengesahkan isyarat ping yang diperoleh daripada satelit Inmarsat menunjukkan penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Berikutan itu, Pusat Penyela­rasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai operasi mencari telah melakukan pencarian ke kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di lokasi terakhir pesawat berkenaan dikesan namun sehingga hari ini masih belum menemui kejayaan.

Kerajaan Malaysia secara rasmi telah mengisytiharkan insiden itu sebagai satu kemalangan mengikut peraturan antarabangsa, namun jawapan utama kepada misteri kehilangannya masih tersimpul di Lautan Hindi dan diharapkan fla­peron itu memberi satu harapan baharu yang ditunggu-tunggu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/misteri-mh370-hampir-terjawab-1.121125#sthash.ZEC73YCG.dpuf


MH370 : Keluarga mangsa mahu lebih banyak sokongan

06 Ogos 2015 1:24 AM



SAUDARA MARA penumpang pesawat MH370 ditahan oleh pasukan polis ketika cuba masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat MAS di Beijing, China, semalam tetapi mereka kemudiannya dibenarkan masuk untuk bertemu dengan wakil syarikat penerbangan itu untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pesawat tersebut. – REUTERS

BEIJING 5 Ogos – Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di China menggesa MAS menawarkan lebih banyak sokongan kepada mereka bagi menghadapi situasi yang menimpa keluarga mereka.

Seorang ahli keluarga, Jiang Hui, 41, berkata, usaha MAS untuk bertemu ahli keluarga mangsa sebanyak dua kali sebulan tidak mencukupi.

“MAS menutup pejabatnya yang menguruskan pertemuan dengan keluarga pada April lalu,’’ katanya yang ibunya merupakan seorang penumpang dalam pesawat tersebut.

Beliau turut mendesak supaya mereka diberikan kebenaran untuk melihat video pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pesawat MH370 berlepas pada 8 Mac 2014, bagi membolehkan mereka melihat siapa yang menaiki penerbangan berkenaan.

“Kami tidak diberi akses melihat bahan itu sehingga sekarang,’’ katanya.

Berhubung penemuan serpihan bangkai pesawat dipercayai merupakan sebahagian pesawat MH370, Jiang Hui berkata: “Saya tidak mempedulikan perkara itu.’’

“Apa yang saya mahu tahu ialah sama ada kejadian ini merupakan satu kemalangan atau perbuatan jenayah,’’ katanya. – DPA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/keluarga-mangsa-mahu-lebih-banyak-sokongan-1.121134#sthash.UUWrbSu3.dpuf

Serpihan MH370 ditemukan 3,700 km dari lokasi ramalan

06 Ogos 2015 1:24 AM


LEBIH banyak serpihan besi dalam timbunan sampah yang terdampar di pantai Jamaique di Saint-Denis, Pulau Reunion diambil oleh pihak berkuasa untuk dianalisis bagi menentukan sama ada ia adalah serpihan pesawat MH370 atau tidak. REUTERS

SYDNEY 5 Ogos - Ramalan awal yang menjangkakan Indonesia sebagai lokasi serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dihanyutkan, dilapor tidak tepat ekoran penemuan serpihan sayap pesawat di Pulau Reunion, lokasi yang lebih jauh daripada yang disangkakan.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai siasatan kehilangan pesawat itu dalam kenyataannya berkata, model yang dihasilkan pada Jun 2014 oleh Persatuan Kajian Industri dan Saintifik Komanwel Australia meramalkan serpihan pesawat terbabit akan terdampar di pesisiran pantai barat Sumatera pada minggu pertama Julai 2014.

Tambah ATSB, ramalan tersebut tidak menjadi kenyataan sebaliknya serpihan pesawat yang dipercayai milik MH370 terdampar di sebuah pulau terpencil di Lautan Hindi yang mempunyai jarak kira-kira 3,700 kilometer daripada yang dijangkakan.

“Kesilapan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan usaha pasukan antarabangsa untuk menjalankan pencarian di permukaan laut di pesisiran pantai barat Australia.

“Misi pencarian di bahagian permukaan laut ditamatkan pada April lalu, lebih sebulan selepas pesawat MH370 hilang pada 8 Mac tahun lalu,” tambah kenyataan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Trust mengesahkan seorang pakar penerbangan dihantar ke Toulouse, Perancis bagi mengikuti proses analisis serpihan sayap dikenali sebagai flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion.

“Pakar terbabit akan membantu usaha kerajaan Malaysia dan Perancis untuk mengenal pasti sama ada flaperon yang ditemukan itu merupakan milik pesawat MH370.

“Kedua-dua pihak terlibat dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status flaperon itu pada hujung minggu ini,” kata beliau. – REUTERS

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/serpihan-mh370-ditemukan-3-700-km-dari-lokasi-ramalan-1.121132#sthash.hTr7Ql6A.dpuf

Serpihan pesawat 
sah milik 
MH370

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 06 Ogos 2015 3:10 AM



NAJIB TUN RAZAK pada sidang akhbar khas di PWTC, Kuala Lumpur, awal pagi ini bagi mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di pantai Pulau Reunion adalah komponen MH370. AP

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akhirnya terjawab selepas 515 hari apabila penemuan serpihan sayap kapal terbang berukuran dua meter di Pulau Reunion minggu lalu disahkan milik pesawat itu.

Pengesahan tersebut sekali gus merungkai persoalan mengenai nasib sebenar yang menimpa pesawat MH370 berkenaan di mana Lautan Hindi menjadi ‘destinasi’ akhir sebelum pesawat yang membawa 239 penumpang berserta anak kapal itu terhempas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengesahkan berita sedih itu berkata, bukti fizikal tersebut disahkan sepadan dengan pesawat MH370 oleh pasukan penyiasat penerbangan antarabangsa di Toulouse Perancis.

“Hari ini selepas 515 hari pesawat tersebut hilang, dengan hati yang berat, saya ingin menyatakan bahawa pasukan penyiasat penerbangan antarabangsa telah mengesahkan bahawa serpihan sayap pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

“Bebanan yang dihadapi ahli keluarga tidak dapat digambarkan, tapi menjadi harapan saya dengan pengesahan ini dapat memberi jawapan kepada mereka walaupun ia menyakitkan,” katanya dalam sidang akhbar tergempar pada pukul 2 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Pulau Reunion adalah sebuah kepulauan yang terletak di Lautan Hindi, dengan jarak kira-kira 175 kilometer (km) dari barat daya Mauritius atau 900km dari Madagascar.

Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac 2014 dan sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, tetapi dilaporkan hilang.

Kehilangan itu mencetuskan misteri penerbangan abad ini dengan pelbagai teori diperkatakan hingga akhirnya pada Januari lalu, pihak berkuasa mengisytiharkan semua penumpang berserta anak kapal MH370 maut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan kepada semua pihak yang terkesan dengan tragedi itu bahawa mereka bukan sahaja akan dibela, tetapi kerajaan komited untuk terus melakukan apa sahaja termampu bagi menyiasat apa sebenarnya yang berlaku ke atas MH370.

“Kehilangan pesawat MH370 menyatukan kita sebagai sebuah negara dan kita juga akan meratapi tragedi ini juga sebagai sebuah negara. Saya berjanji Malaysia bukan sahaja akan sentiasa memperingati malah menghormati mereka yang terkorban,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/serpihan-pesawat-8232-sah-milik-8232-mh370-1.121149#sthash.cRtAayUZ.dpuf

Tuesday, 4 August 2015

CELAH GELEGAR: Zeti (Gabenor BNM) dan Datuk Shukri (SPRM) akan DI...

CELAH GELEGAR: Zeti (Gabenor BNM) dan Datuk Shukri (SPRM) akan DI...: Polis akan merakamkan kenyataan ramai lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara...

1MDB : SPRM buat laporan polis

04 Ogos 2015 12:42 AM


PUTRAJAYA 3 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tampil membuat laporan polis berhubung penyebaran satu kertas pertuduhan bagi mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan SRC International Sdn. Bhd. di mahkamah seperti dilaporkan oleh portal politik, Sarawak Report minggu lalu.

SEORANG Pegawai Kanan SPRM menunjukkan salinan laporan polis berhubung satu artikel yang disiarkan oleh akhbar Sarawak Report di Putrajaya, semalam. UTUSAN/RASHID MAHFOF

Laporan itu dibuat oleh seorang pegawai SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada pukul 1.40 petang.

Bagaimanapun, pegawai terbabit enggan ditemubual pihak media selepas keluar dari IPD tersebut dan hanya meminta merujuk kepada laporan polis yang dibuatnya.

Dalam laporan itu, SPRM menafikan kewujudan draf pertuduhan yang disiarkan oleh portal tersebut dalam satu artikel disiarkannya bertajuk ‘Arrest Warrant for the Prime Minister! The Real Reason The Attorney General Was Fired’ pada 30 Julai lalu.

Laporan itu turut menafikan sumber kewujudan draf pertuduhan tersebut ialah daripada pihak SPRM.

Pada masa sama, menurut laporan itu, SPRM menafikan berlakunya sebarang kebocoran maklumat atau hasil siasatan kepada pihak luar dan pihaknya menegaskan bahawa tiada sebarang pihak di SPRM yang terlibat atau berniat dalam mana-mana konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Khamis lalu, portal berita yang berpangkalan di luar negara itu menyiarkan satu artikel dengan mendakwa satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Perdana Menteri berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mengaitkannya punca utama pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Blog itu bagaimanapun telah di­sekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan maklumat di dalamnya hanya boleh diakses melalui e-mel.

Draf pertuduhan itu yang dimuat naik di laman sosial menyatakan Najib akan didakwa bersama-sama dua lagi individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk kerana me­nerima rasuah berjumlah RM27 juta daripada syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Draf berkenaan menyatakan Najib didakwa memperoleh suapan atas kapasitinya selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan juga Penasihat Khas (Advisor Ameritus) SRC International.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-buat-laporan-polis-1.120309#sthash.QOG5QdLZ.dpuf


Putra Merdeka: Siapa Pihak Lain Tu..?

Putra Merdeka: Siapa Pihak Lain Tu..?: Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila ...

1MDB : Dana RM2.6b sumbangan penderma

SAIFULIZAM MOHAMAD | 04 Ogos 2015 12:58 AM



PUTRAJAYA 3 Ogos - Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma dan bukannya dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion itu juga telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

Berhubung siasatan berkenaan isu SRC International Sdn. Bhd. (SRC International), menurut kenyataan itu, siasatan yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM.

“SPRM sekali lagi memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus, dan profesional. Diharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Berhubung siasatan polis terhadap pegawai-pegawai SPRM, menurut kenyataan tersebut pihak suruhanjaya itu akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“SPRM mengulangi bahawa tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan. Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.

Dalam pada itu kata kenyataan tersebut, tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

“Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa takut atau berpihak dan tanpa mengira siapa yang terlibat.

“SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempe­ngaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan. SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara ini selesai,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut membe­ritahu bahawa SPRM ingin memaklumkan bahawa semasa Pa­sukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokus terhadap isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menjalankan siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad dan Bank Negara Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan,” kata ke­nyataan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dana-rm2-6b-sumbangan-penderma-1.120338#sthash.qNgzQcLe.dpuf

Monday, 3 August 2015

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Tun Mahathir Pun Simpan Duit Amanah Dalam Akaun Pe...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Tun Mahathir Pun Simpan Duit Amanah Dalam Akaun Pe...: 7. Pada pilihanraya 1964 dan 1969, wang tunai berjumlah 20,000 Ringgit dari Ibu Pejabat diserah kepada saya untuk diagih kepada kawasa...

APANAMA: Akar umbi lantang, Pemuda Umno semakin berani. Man...

APANAMA: Akar umbi lantang, Pemuda Umno semakin berani. Man...: Ini terbaru dari akar umbi Pemuda Umno di Bahagian Kuala Kedah. Dengar sendiri apa yang diluahkan dihadapan Setiausaha Politik kepada...

BICARA PERJUANGAN: JANGAN BIMBANG TIADA SIAPA AKAN TANGKAP TSMY

BICARA PERJUANGAN: JANGAN BIMBANG TIADA SIAPA AKAN TANGKAP TSMY: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau terpaksa menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengesahkan sam...

Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: From Jho Low To Low Yatt, A Nation In Leadership C...

Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: From Jho Low To Low Yatt, A Nation In Leadership C...: The Tragic Irony Of 2 Lows   Even before the 27 July 'pogrom' which saw the sacking of our Deputy Prime Minister, a senior Min...