Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 5 August 2014

SUKAN KOMANWEL - Sasaran 7 emas lebur


GANDINGAN Malaysia, Tan Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem menunjukkan pingat yang dimenangi selepas menundukkan pasangan Singapura, Danny Chrisnanta- Chayut Triyachart pada temasya Sukan Komanwel XX diGlasgow, Scotland, semalam.

KUALA LUMPUR - Dua pingat emas yang dihadiahkan oleh pasukan badminton negara pada hari terakhir Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam hanya menggembirakan kem negara untuk seketika berikutan terpaksa menerima hakikat Malaysia gagal mencapai sasaran tujuh emas.

Malaysia hanya mampu menamatkan kempen Sukan Komanwel 2014 dengan enam pingat emas dan catatan di Glasgow adalah yang terendah berbanding penyertaan negara dalam empat edisi sebelum ini iaitu di Kuala Lumpur (1998, 10 emas), Manchester (2002, tujuh emas), Melbourne (2006, tujuh emas) dan New Delhi (2010, 12 emas).

Pingat emas, semalam hadir menerusi acara beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menewaskan gandingan India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dengan keputusan 21-17, 23-21 dan sekali gus mengulangi pencapaian pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty di Melbourne lapan tahun lalu.

Sementara itu, dalam aksi lelaki pasangan negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem menghadiahkan emas keenam Malaysia selepas menewaskan Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura dengan keputusan 21-12, 12-21, 21-15.

BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan beregu India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa ditemasya Sukan Komanwel XX, Glasgow, Scotland, semalam. - BERNAMA

Kempen Malaysia di Glasgow bermula penuh semangat apabila atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor menghadiahkan kilauan emas pertama menerusi kategori 69 kilogram (kg) lelaki dalam aksi final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint, Scotland, 26 Julai lalu.

Atlet Terengganu berusia 24 tahun itu juga antara prospek pingat emas yang berjaya menepati sasaran pada temasya kali ini, selain dapat memperbaiki pencapaian gangsa dalam kategori sama di Sukan Komanwel 2010.

Dua hari selepas Mohd. Hafifi membuktikan kecemerlangan, kem negara terus ceria apabila pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David berjaya menepati ramalan dengan menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia menerusi acara skuasy perseorangan selepas menewaskan Laura Massaro dari England, 3-0 pada final 28 Julai lepas. Nicol, 30, menunaikan janji awalnya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada temasya sama di New Delhi, India empat tahun lalu.

Pemburuan tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel 2014 kelihatan berada di landasan selepas skuad badminton berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara berpasukan campuran pada Selasa lalu untuk pingat emas ketiga Malaysia.

Bagaimanapun selepas memasuki hari ketujuh temasya, sumbangan pingat emas dalam kalangan atlet negara nampak kurang memberangsangkan sekali gus menimbulkan keraguan untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas yang telah ditetapkan sebelum ini.

Pingat emas keempat negara yang dihadiahkan oleh atlet terjun negara, Ooi Tze Liang pada 31 Julai lalu dalam acara akhir 3m papan anjal lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel seakan-akan menghidupkan kembali peluang untuk mencapai sasaran kontinjen negara.

Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila sandaran Malaysia menerusi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela Rinong pada temasya kali ini nampaknya tidak menjadi setelah anak kelahiran Sarawak itu hanya menjelmakan pingat perak dan turut gagal mempertahan emas Sukan Komanwel 2010 dalam acara 10 meter platform wanita.

Harapan untuk melihat skuad terjun menghadiahkan lebih banyak pingat emas terkubur selepas Tze Liang hanya mampu meraih perak dalam acara akhir 10m platform lelaki, semalam yang sekali gus menutup terus pintu kontinjen negara melengkapkan sasaran tujuh emas.

Pulang dengan enam emas bermakna kontinjen Malaysia bukan sahaja gagal memperbaiki pencapaian 12 pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India tetapi boleh dianggap sebagai pencapaian hambar selepas Sukan Komanwel 1994 di Kanada.

Sewaktu di Kanada, Malaysia hanya mampu membawa pulang dua emas, bagaimanapun prestasi kontinjen negara meningkat naik sewaktu penyertaan edisi temasya 1998 di Kuala Lumpur apabila berupaya meraih 10 pingat emas dan pencapaian terbaik negara adalah pada empat tahun lalu di India.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_01/Sasaran-7-emas-lebur#ixzz39UWUm3jP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bolt curi tumpuan raih emas Sukan Komanwel


Usain Bolt mempamerkan gaya yang menjadi trademarknya selepas memenangi acara 4x100 meter berganti-ganti di Hampden Park pada Sukan Komanwel, semalam. - AFP

GLASGOW - Juara Sukan Olimpik, Usain Bolt mencuri tumpuan apabila dia menyumbangkan pingat emas buat Jamaica setelah dia mengetuai kuartet 4x100 meter negaranya dalam aksi akhir acara itu pada Sukan Komanwel, semalam.

Selepas mengharungi kontroversi dan harapan menggunung yang diletakkan ke atasnya, juara dunia lapan kali, Bolt telah membuat penonton di Hampden Park cukup teruja menyaksikan dia beraksi untuk membantu Jamaica melakar rekod baru temasya iaitu 37.58 saat.

Malah, kejayaan tersebut membolehkan pelari tinggi lampai itu meraih pingat Komanwel pertama sepanjang kariernya yang cukup gemilang itu.

"Saya gembira untuk penyokong dan saya juga gembira kerana dapat pingat emas dalam Sukan Komanwel. Temasya ini (Sukan Komanwel) sentiasa berada dalam senarai pertandingan yang perlu saya sertai.

"Saya selalu mengidamkan untuk beraksi dalam Sukan Komanwel. Saya mahu berlari dalam acara individu di sini, namun saya mengalami kecederaan, maka saya membuat keputusan untuk menyertai 4x100 meter sahaja," kata kepada pemberita.

Kehadiran atlet pecut Jamaica berjaya mencuri tumpuan apabila diramal menguasai lapangan olahraga berikutan ketiadaan begitu ramai jaguh pada temasya tersebut, dan mereka nyata tidak menghampakan apabila mempamerkan kehebatan dengan karisma yang tersendiri.

Selepas mengetuai kuartet Jamaica yang turut disertai Jason Livermore, Kemar Bailey-Cole dan Nikel Ashmeade, Bolt telah meraikan kejayaan pasukan negaranya dengan melakukan aksi trademarknya ‘lightning bolt’ sambil memakai topi tartan dan berselfie. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140804/sl_03/Bolt-curi-tumpuan-raih-emas-Sukan-Komanwel#ixzz39UTF93Eh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bukalah mata, Palestin sedang mengajar kita

Oleh Ram Al Jafri Saad

Seorang pemuda Palestin yang hanya bersenjatakan batu terpaksa menyelamatkan diri apabila tentera rejim Israel secara membuta-tuli melepaskan gas pemedih mata semasa majlis pengebumian seorang remaja berusia 19 tahun, Udai Nafez pada 2 Ogos lalu di perkampungan Tebing Barat di Rafat. Allahyarham meninggal dunia selepas ditembak di bahagian dada oleh tentera Zionis di Saffa, sebuah kampung di barat Ramallah. - AFP

KETIKA artikel ini ditulis, dunia telah mengetahui lebih 1,300 orang rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Yahudi Zionis. Seluruh dunia juga mengetahui bahawa hampir 10,000 orang cedera dan berpuluh-puluh ribu yang lain menjadi pelarian sejak tercetusnya perang 25 hari yang lalu.

Reaksi pemimpin-pemimpin dunia mengenai hal ini amat menyedihkan sekali. Amerika Syarikat yang merupakan antara kuasa besar dunia telah menyerlahkan siapa diri mereka sebenar. Bukan sekadar menyatakan sokongan kepada Zionis malah `menghantar' peluru bagi membantu kempen ketenteraan zionis yang kononnya untuk mempertahankan diri.

Justeru apa lagi hendak diharapkan kepada Amerika?

Pemimpin-pemimpin Arab juga lesu dan tidak berani melakukan apa-apa. Sehingga ke hari ini, tidak kedengaran suara-suara pemimpin Arab bangun membela rakyat Palestin. Mereka semua diam seribu bahasa.

Jadi kepada siapakah lagi rakyat Palestin mampu berharap? Jika tidak kepada para pemimpin Arab, jika bukan kepada kuasa-kuasa besar dunia, bolehkah mereka menaruh harapan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membela nasib mereka?

Jawapannya sudah pasti bukan semua di atas. Sebab itu para pemimpin Hamas dan rakyat Palestin berulang kali mengingatkan saudara seagama di seluruh dunia bahawa mereka tidak memerlukan wang ringgit atau bantuan harta benda. Apa yang didambakan adalah doa daripada umat Islam yang menjadi senjata paling ampuh buat mereka.

Penulis amat kagum dan terpegun dengan seruan dan permintaan saudara-saudara kita ini. Sungguh besar dan mulia hati mereka. Sungguh teguh iman mereka. Tiada apa yang diharapkan selain pertolongan Allah.

Dalam hal ini, banyak pengajaran yang boleh kita kutip daripada rakyat Palestin. Mereka sedang mengajar kita beberapa perkara.

Pertama, soal cintakan tanah air. Mereka sanggup mempertaruhkan darah dan nyawa demi mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada terus diceroboh oleh pengganas Zionis.

Sejarah membuktikan bahawa penjajahan Zionis ke atas Palestin bermula sejak 1947. Selepas tahun tersebut, seinci demi seinci bumi Palestin dijajah secara berterusan sehinggalah negara mereka menjadi seperti sekarang.

Sejak dari tarikh tersebut, ramai rakyat Palestin telah syahid demi mempertahankan negara. Mereka tidak pernah berputus asas. Walaupun dikepung, dikurung dan dikenakan pelbagai sekatan, namun mereka pantang menyerah kalah.

Semangat inilah yang wajar kita pelajari dan teladani. Semangat tidak pernah merasa erti putus asas dan demi mempertahankan kedaulatan negara. Andai kata negara kita diserang penceroboh sepertimana Palestin pada masa sekarang, adakah rakyat kita mempunyai semangat juang yang tinggi sepertimana rakyat Palestin?

Kedua, rakyat Palestin sedang mengajar kita bahawa jangan mengharap pada manusia kerana ia akan mengecewakan. Sebaliknya berharaplah kepada Allah kerana Dia tidak akan mengecewakan kita.

Apa maksudnya jangan mengharap pada manusia? Jika kita merasakan bahawa manusia akan membantu kita ketika berada dalam kesusahan, ternyatalah kita silap. Dalam konflik Palestin-Zionis, misalnya, jika kita mengharapkan para pemimpin dunia untuk menghulurkan bantuan, ternyata kita semua silap. Seluruh dunia seolah-olah membisu dan merelakan kekejaman Zionis kepada rakyat Palestin.

Malah saudara seagama kita seperti para pemimpin Arab juga membisu. Selagi negara mereka aman dan selamat, tidak perlu bagi mereka untuk mencampuri dan membantu rakyat Palestin. Sungguh memalukan!

Mungkin sebab itu kita melihat saban hari rakyat Palestin bangun dengan gagah dan bertapak di atas kaki sendiri bagi memperjuangkan negara dan nasib mereka sendiri. Mereka telah 'merajuk' dengan masyarakat dunia dan bagi mereka cukuplah hanya Allah sebaik-baik penolong.

Ketiga, semangat juang tentera Al-Qassam wajar dijadikan contoh bukan sahaja oleh pasukan pertahanan negara seperti tentera dan polis, malah seluruh rakyat kita. Lihatlah bagaimana anggota tentera Al-Qassam disiapkan secara zahir dan batin. Pegangan kuat terhadap al-Quran dan kekuatan syiar Islam dijadikan kriteria utama bagi menganggotai skuad tersebut.

Persoalannya, adakah pasukan keselamatan negara kita seteguh Al-Qassam? Jika Al-Qassam datang ke negara kita bagi mengenal pasti pemuda dan pemudi yang setaraf ahli mereka, berapa ramaikah rakyat negara kita melepasi tapisan pertama mereka?

Keempat, seluruh rakyat di negara kita diseru supaya terus-terusan menguasai dan mendalami ilmu berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam keadaan getir dan terkepung dengan pelbagai sekatan, pakar-pakar tempatan amat diperlukan.

Kita lihat sahaja bagaimana Palestin tanpa diduga dengan pelbagai sekatan mampu mempunyai senjata perang yang menggerunkan pihak musuh. Malah, Zionis mengakui bahawa peperangan kali ini merupakan yang paling sukar buat mereka.

Sesungguhnya Palestin sedang mengajar kita. Bagi sesiapa yang mahu berfikir dan mengambil tahu, inilah masanya untuk kita melihat siapa diri kita dan bandingkan diri kita dengan semangat juang rakyat Palestin di Gaza.

Dengan munculnya pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan agama, bangsa dan negara, kita seharusnya membina iman yang kuat bagi menghadapi cabaran-cabaran ini dengan jayanya. Jihad kita yang utama sekarang mungkin bukan berupa jihad di medan perang tetapi jihad melawan nafsu.

Justeru, kuatkanlah benteng dalam diri kita sekuat benteng dalaman tentera Al-Qassam. Semoga kita memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140804/re_06/Bukalah-mata-Palestin-sedang-mengajar-kita#ixzz39UOwGa34  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Bukti pakatan pembangkang rapuh


Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR 3 Ogos - Pendedahan Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai sejarah pentadbiran parti pembangkang pada penggal lalu membuktikan betapa pakatan itu tidaklah sebersih mana seperti yang selalu dicanang pemimpinnya.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, melalui pendedahan itu juga rakyat dapat menilai sendiri bagaimana pakatan pembangkang bergelut untuk mengekalkan kerjasama mereka yang kian rosak.

"Tanpa perlu sesiapa masuk campur, kepincangan itu akhirnya terdedah dengan sendirinya terutama mengenai bagaimana bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak terpaksa menangani kerenah rakan sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Hubungan parti dalam pakatan itu sebenarnya ibarat luka yang sudah menjadi kudis. Tetapi ada segelintir kepimpinan Pas masih cuba menutup kelemahan itu bagi mempertahankan pakatan berkenaan sehingga menjadikan mereka kelihatan sebagai ahli politik murahan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Setar, di sini hari ini dengan turut diiringi ketua Pemuda UMNO bahagian-bahagian di negeri ini dan beberapa ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota setar.

Baru-baru ini, Sanusi melalui laman Facebooknya mendedahkan bagaimana Pas terpaksa menanggung segala kesan negatif akibat pelbagai kerenah yang ditimbulkan PKR di Kedah sewaktu pakatan itu berkuasa pada penggal lalu.

Pendedahan itu dibuat sebagai reaksi kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang dilihat cuba mengajar Pas supaya bersikap 'gentleman' dalam isu perebutan kerusi Menteri Besar Selangor.

Shaiful menambah, beliau amat berharap siasatan dijalankan ke atas pendedahan dilakukan Sanusi itu terutama yang melibatkan penyelewengan memandangkan tindakan tersebut jelas merugikan rakyat Kedah.

"Sanusi bukan ahli Pas yang hanya duduk di kedai-kedai kopi, sebaliknya beliau merupakan bekas Setiausaha Politik Azizan. Oleh itu, sudah pasti beliau mempunyai asas kukuh sebelum berani membuat pendedahan sedemikian.

"Maka, kertas siasatan perlu dibuka ke atas segala dakwaan itu. Sebelum ini, kami juga pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa isu, namun senyap sahaja sehingga kini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140804/po_02/Bukti-pakatan-pembangkang-rapuh#ixzz39UGpbmTG  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Israel mula undur sebahagian tentera darat


Sebahagian tentera Israel dan kelengkapan serta peralatan senjata termasuk kereta kebal berkumpul di satu kawasan selepas Israel mengundurkan sebahagian tentera daratnya dari Gaza, semalam. - REUTERS

GAZA CITY 3 Ogos - Israel mula mengundurkan sebahagian tentera daratnya dari wilayah Gaza setelah melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu selama 26 hari, bagaimanapun menyatakan bahawa operasi ketenteraan bagi mengempur pergerakan Hamas akan diteruskan, kata seorang pegawai tentera Israel.

Serangan Israel sejak 8 Julai lalu telah mengorbankan 1,726 penduduk Palestin, kebanyakannya penduduk awam.

Pengunduran tentera darat Israel itu, sekali gus menunjukkan operasi darat di sebahagian kawasan di Gaza akan diubah dengan menghantar ketumbukan baharu, walaupun serangan udara masih diteruskan, menyaksikan 12 lagi penduduk Palestin terkorban dalam serangan udara di bandar Rafah dan tengah wilayah itu selain 10 lagi maut akibat bedilan Israel berdekatan sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penduduk tempatan menyatakan tentera Israel mula keluar dari kawasan timur bandar Khan Younis di selatan Gaza, melibatkan pengunduran sejumlah kereta kebal dan askar.

Tentera Israel turut memaklumkan kepada penduduk Palestin di Beit Lahiya dan Al-Atatra di utara wilayah itu bahawa keadaan di kawasan itu sudah selamat dan mereka boleh pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap tentera Israel yang enggan dikenali berkata, pengunduran tentera berkenaan dibuat selepas Israel berjaya mencapai matlamat untuk memusnahkan terowong yang dibina pergerakan Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagaimanapun memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan, walaupun melibatkan tempoh yang lama dan menggunakan segala kekuatan untuk memerangi Hamas.

Kenyataan Netanyahu itu dibidas jurucakap Hamas, Fawzi Barhum yang menyifatkan pemimpin Israel itu sebagai keliru dan tidak sedar krisis sebenar yang dihadapinya.

Sementara itu, wakil Palestin tiba di Kaherah untuk mengadakan rundingan bagi menamatkan krisis di Gaza tetapi Israel menegaskan bahawa mereka tidak akan menghantar pasukan perunding. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140804/lu_04/Israel-mula-undur-sebahagian-tentera-darat#ixzz39UF4i28c  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : 30,000 warga AS protes kecam Israel





WASHINGTON 3 Ogos - Beribu-ribu penduduk Amerika Syarikat (AS) berhimpun di hadapan White House bagi membantah tindakan AS memberi sokongan kepada Israel yang terus melancarkan operasi ketenteraan ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Lebih 30,000 penduduk AS dari seluruh negara menyertai protes itu dengan berarak di jalan raya dan berhimpun sekitar White House dan pusat bandar Washington.

Perhimpunan kali ini merupakan yang terbesar sejak rejim Zionis Israel memulakan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu, menurut laman web A.N.S.W.E.R., yang juga penganjur bersama perhimpunan tersebut.

"Ia merupakan satu perhimpunan yang luar biasa dengan jumlah penunjuk perasaan yang besar," kata jurucakap polis, Araz Alali, yang dipetik akhbar Washington Post.

Kumpulan penunjuk perasaan turut melaungkan slogan, 'Bebaskan Palestin, membunuh kanak-kanak adalah satu jenayah,' sambil membawa bendera dan sepanduk yang tertulis 'Penjajahan ialah satu jenayah-Iraq, Lebanon dan Palestin,' 'Hentikan keganasan Israel' dan 'Tiada keadilan, tiada keamanan'.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan melalui dalam talian oleh pelbagai badan gabungan melibatkan lebih 40 kumpulan aktivis anti-perang dan keamanan termasuk A.N.S.W.E.R., Gabungan Yayasan Kebebasan Masyarakat Islam Amerika dan Majlis Kebangsaan Arab Amerika.

"Gaza tidak akan mati dan ia tidak pernah mati," kata seorang penunjuk perasaan, Amar Jamal ketika berarak menuju ke pusat bandar Washington.

"Kini tiba masanya untuk membentuk keamanan kerana Israel tidak akan berhenti membunuh di Gaza. Semua negara Asia Barat akan berada dalam kesusahan jika pertumpahan darah di Palestin tidak dihentikan," demikian kata seorang warga emas berusia 70 tahun. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140804/lu_03/30000-warga-AS-protes-kecam-Israel#ixzz39UCm9QiD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN ; Perunding Israel akui Hamas sukar dikalahkan


Gershon Baskin

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Seorang tokoh perunding dan penganalisis Israel mengakui pergerakan Hamas sukar dikalahkan dan hampir mustahil tentera Israel mampu memusnahkan pergerakan tersebut.

Akhbar Jewish News memetik Gershon Baskin yang juga kolumnis akhbar Jerusalem Post sebagai berkata, Hamas juga tidak boleh menewaskan Israel tetapi pergerakan itu semakin matang dalam pertempuran ketika berhadapan tentera Israel setelah melalui pengalaman dalam beberapa konflik sebelum ini.

Menurutnya, bertempur dengan pejuang Hamas merupakan situasi yang sukar kerana mereka adalah tentera yang sangat berdedikasi dan tidak takut untuk mati kerana mereka berjuang demi kebebasan tanah air mereka dan masa depan generasi mereka.

"Pejuang Hamas tidak akan menyerah diri dan tidak akan mengibarkan bendera putih, meskipun hanya tinggal seorang pejuang, sepucuk senapang dan sebuah roket.

"Mereka (pejuang Hamas) akan berjuang sehingga mereka terkorban (syahid) tanpa rasa gentar atau takut kerana mereka bersedia untuk mati demi negara (Palestin), agama dan Tuhan mereka," katanya.

Baskin yang bertanggungjawab membantu membebaskan askar Israel, Gilad Shalit yang ditahan pergerakan Hamas sebelum ini, turut berkata, sekali pun Israel berjaya melumpuhkan Hamas, konflik Israel-Palestin tidak akan dapat diselesaikan, sebaliknya ia akan menjadi semakin buruk pada masa akan datang.

"Hamas tidak boleh dimusnahkan kerana Israel tidak boleh menghancurkan hak penduduk Gaza yang sah untuk hidup bebas, sama seperti penduduk Yahudi yang mahu hidup aman tanpa diganggu oleh pergerakan Islam itu," katanya.

Beliau juga menagkui tindakan ketenteraan tidak akan dapat menamatkan masalah di Gaza, Tebing Barat dan juga konflik Israel-Palestin.

"Hanya pendekatan politik boleh menyelesaikan masalah di Gaza dan Tebing Barat, dan syarat yang dinyatakan oleh Hamas bukan sukar untuk dipenuhi.

"Hamas hanya meminta sekatan ekonomi ditarik balik, kawasan menangkap ikan yang lebih luas, penarikan semula sekatan gaji ke atas pegawai Palestin dan mengiktiraf pucuk pimpinan (Hamas) yang dipilih penduduk Gaza," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140804/lu_02/Perunding-Israel-akui-Hamas-sukar-dikalahkan#ixzz39UBfOXRO  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Zionis Israel serang sekolah PBB lagi penduduk Palestin terkorban


Penduduk Palestin membantu beberapa orang rakan mereka yang cedera dalam serangan tentera Israel ke atas sebuah sekolah tajaan PBB di bandar Rafah, selatan Gaza, semalam. - AFP

GAZA CITY 3 Ogos - Sekurang-kurangnya 10 orang penduduk Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel ke atas sebuah sekolah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza, hari ini, tidak lama selepas Israel mengesahkan bahawa ia sudah mula mengundurkan sebahagian tentera daratnya dari Gaza.

Serangan ke atas sekolah itu yang menempatkan penduduk Palestin yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran serangan Israel di selatan bandar Rafah dilancarkan dalam usaha rejim Zionis itu mencari seorang pegawai tenteranya Hadar Goldin yang didakwa diculik pejuang Hamas, yang kemudian disahkan terbunuh dalam pertempuran di Gaza, kelmarin.

Ia merupakan serangan kali ketiga Israel melancarkan serangan ke atas sekolah PBB dalam tempoh 10 hari dan empat hari selepas kereta kebal Israel menggempur sebuah sekolah PBB di utara bandar Jabaliya, mengorbankan 16 penduduk Palestin dalam satu serangan yang disifatkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon sebagai 'tindakan terkutuk'.

Seorang wakil AFP berkata, berlaku keadaan kelam kabut di tempat kejadian dengan pasukan penyelamat cuba memindahkan mereka yang cedera, sementara golongan dewasa bertempiaran lari dengan keadaan berlumuran darah dan beberapa kanak-kanak mengalami kecederaan.

Jurucakap agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Chris Gunness berkata, sekolah itu menempatkan beribu-ribu penduduk Palestin yang terpaksa mendapatkan perlindungan di situ setelah mereka dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran serangan Israel ke atas Gaza.

"Sebanyak 3,000 penduduk Palestin berlindung di sekolah UNWRA itu semasa serangan berlaku," katanya dalam Twitternya.

Setiausaha Luar Britain, Philip Hammond mendesak supaya gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan untuk membantu penduduk yang terperangkap di Gaza.

"Kita perlu menghentikan pembunuhan ini," kata Hammond kepada akhbar Sunday Telegraph.

Sementara itu beberapa akhbar Israel melaporkan beberapa orang menteri Israel membuat keputusan tidak mahu menghantar wakil untuk berunding mengenai gencatan senjata dengan Hamas di Kaherah dan sedang menimbang untuk menghentikan operasi ketenteraan sebelah pihak. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140804/lu_01/Zionis-Israel-serang-sekolah-PBB-lagi-penduduk-Palestin-terkorban#ixzz39U9E3064  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 - Maimon reda tunggu mayat anak lebih lama


Maimon Sarpan bersama anaknya, Mohd. Ghafar Abu Bakar.

MELAKA 3 Ogos - Tiada apa yang dapat dilakukan oleh ibu kepada Ketua Pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Mohd. Ghafar Abu Bakar, 54, selain berharap dan berdoa agar mayat anaknya segera dikenal pasti serta dibawa pulang ke negara ini.

Maimon Sarpan, 74, berkata, biarpun terpaksa menunggu lebih lama iaitu untuk tempoh dua ming-gu lagi bagi mendapatkan mayat anaknya itu, dia reda walaupun hanya cebisan anggota badan sahaja yang diterima nanti.

"Kalau terpaksa tunggu nak buat macam mana, terpaksalah menunggu juga. Lagi pun saya faham bukan senang nak bawa balik semua mayat dari kawasan nahas apatah lagi terletak di negara orang yang sedang bergolak.

"Saya cuma mampu berdoa supaya proses membawa pulang mayat anak saya dan mangsa yang lain dipermudahkan Allah. Hati saya rasa seperti dirobek-robek apabila terpaksa menunggu lama sebab setiap hari saya tak dapat tidur ke-rana terbayang-bayangkan keadaan mayat anak saya itu.

"Saya reda terima mayat anak saya dalam apa bentuk sekali pun, namun kalau boleh biarlah dalam keadaan sempurna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Ghafar meninggalkan seorang isteri Normi Abdullah, 54, berasal dari Sarawak serta tiga anak iaitu Saimah Baizura, 26; Amar Syarif, 25, dan Hafiz Azim, 14.

Pesawat MH17 membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal terhempas di timur Ukraine dipercayai akibat dibedil peluru berpandu ketika penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Maimon turut berharap agar seluruh rakyat negara ini dapat mendoakan segala urusan membawa pulang mayat mangsa nahas itu dipermudahkan.

Kata Maimon, biarpun tragedi hitam itu sudah lebih dua minggu berlalu, namun kesedihan terhadap kehilangan Mohd. Ghafar masih menyelubungi keluarganya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_16/Maimon-reda-tunggu-mayat-anak-lebih-lama#ixzz39U7x6weW  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Obama paksi pembunuhan penduduk Gaza - Duta Palestin


Abdul Azeez Abdul Rahim bersama Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha (tengah) bergambar bersama 65 peserta yang terdiri daripada doktor, media dan sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas menghadiri penutupan kursus dan latihan pengurusan krisis dan keselamatan di Kuala Lumpur, semalam. Objektif misi tersebut adalah bagi menyampaikan bantuan 40 tan metrik berbentuk ubat-ubatan dan makanan. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Palestin menggelarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, sebagai paksi yang menyokong pembunuhan hampir 1,800 penduduk tidak berdosa terutama golongan wanita dan kanak-kanak di Gaza oleh Israel.

Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha berkata, Obama dan AS patut malu dengan label kononnya negara kuasa besar itu jaguh demokrasi dunia tetapi sanggup membiarkan pembunuhan warga Palestin dengan menyokong rejim Zionis.

"Apakah Obama fikir tentera Israel yang menceroboh Gaza datang untuk membeli-belah? Obama patut merasa malu dengan diri sendiri kerana dunia melihat bagaimana penduduk Gaza disembelih setiap hari oleh Israel. Tindakan Hamas hanya mempertahankan diri.

"Sokongan Obama ke atas Israel merupakan hipokrasi terbesar AS dalam sejarah peradaban kemanusiaan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutup Latihan Keselamatan Taktikal untuk peserta Misi Kemanusian Gaza di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merupakan Pengerusi Kelab Putra 1Malaysia iaitu badan bertanggungjawab menganjurkan Misi Kemanusiaan Gaza bermula 12 hingga 20 Ogos ini.

Semalam, Obama sebaik sahaja beliau menandatangani kelulusan dana berjumlah AS$255 juta (RM817 juta) untuk membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome di Israel, sekali lagi mengulangi sokongan kepada rejim Zionis.

Kelulusan dana itu hanya berselang dua hari selepas Pentagon mengumumkan penghantaran bekalan peluru tambahan kepada Israel sekali gus membuktikan AS tidak pernah mengambil peduli soal krisis dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Zionis di Gaza.

Dalam pada itu, Abdul Azeez menyifatkan peserta misi kemanusiaan kali ini yang berjumlah 65 orang telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan di luar jangka di Gaza, ekoran ancaman berterusan daripada Israel.

"Kita mendoakan yang terbaik untuk misi kali ini tetapi mengambil kira situasi semasa di Gaza, khususnya sikap Israel yang sentiasa mencabuli genjatan senjata memerlukan semua peserta dilengkapi dan didedahkan dengan aspek keselamatan.

"Latihan ini adalah berdasarkan kepada pengalaman kami sebelum ini dan bagaimana semua pihak perlu mematuhi peraturan operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan demi keselamatan semua peserta yang terlibat dalam misi kali ini," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_05/Obama-paksi-pembunuhan-penduduk-Gaza---Duta-Palestin#ixzz39U6MmFc0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN - AS sumbang AS$210 bilion sejak 1948


KERETA kebal Israel, Merkava bergerak di sempadan Israel dan Gaza selepas Israel mula mengundurkan sebahagian tentera daratnya dari wilayah Gaza setelah melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu selama 26 hari. - AFP

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel bagi menyerang dan merampas wilayah Palestin bukan perkara baharu kerana negara Uncle Sam tersebut telah menyalurkan bantuan dianggarkan mencecah AS$210 bilion (RM674.5 bilion) kepada rejim Zionis itu sejak 1948.

Menurut Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Aman Palestin Berhad, Salman Abdul Rahman, bantuan itu termasuk dalam bentuk kewangan dan juga teknologi ketenteraan, sekali gus menyatakan pendirian sebenar negara itu dalam menyokong tindakan kejam tersebut.

"Daripada kajian dan fakta yang diperoleh, AS memang tidak pernah berubah pendirian menyokong tindakan Israel merampas tanah rakyat Palestin dengan bantuan mencecah AS$210 bilion sejak 66 tahun lepas. Malah, bantuan itu masih diteruskan sehingga kini.

"AS telah memperbaharui komitmen mereka ke atas Israel sejak 2003 apabila setiap tahun tidak kurang AS$3 bilion (RM9.6 bilion) disalurkan kepada Israel bagi membantu negara Yahudi itu. Ia termasuklah serangan ke atas Gaza pada hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, masyarakat dunia sudah tidak hairan dengan pendirian AS itu termasuk Presiden Barack Obama secara terbuka menyokong serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang kini telah membunuh 1,650 nyawa dan mencederakan 8,700 penduduk.

Malah jelas beliau, Konvensyen Perkongsian Perjanjian Amerika-Israel (AIPAC) yang ditandatangani oleh kedua-dua negara tersebut setiap tahun adalah bertujuan merangka kerjasama dalam pelbagai bidang termasuklah isu yang berlaku di Palestin.

"Setiap tahun dua negara ini akan bersidang dalam AIPAC bagi membincangkan kerjasama dua hala dan ia direstui oleh kebanyakan ahli politik AS. Contohnya seramai 97 Ahli Kongres AS menyokong tindakan Israel menyerang Gaza sejak 8 Julai lepas," ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali menyatakan kekesalannya kerana tiada usaha setakat ini dapat menyekat kekejaman Israel itu.

Beliau hairan kerana badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mampu melakukan apa-apa resolusi atau tindakan mendesak negara Yahudi tersebut daripada terus mencabuli gencatan senjata di Gaza.

"Saya tidak hairan kalau PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan serangan itu kerana AS sendiri merupakan salah sebuah negara kuasa veto penyokong kuat Israel. Tetapi apa yang menghairankan saya adalah mana perginya OIC?

"Dalam isu ini, bantahan dan tekanan perlu terus dilakukan ke atas Israel termasuk negara anggota OIC juga mesti bertindak segera mencari jalan menghalang kekejaman terhadap penduduk Gaza. OIC masih belum terlambat," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_03/AS-sumbang-AS210-bilion-sejak-1948#ixzz39U54zKeD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 - Doakan keselamatan petugas di lokasi


Ahmad Zahid Hamidi (kanan) ketika menghantar Khalid Abu Bakar (dua dari kanan) dan pasukan PDRM di stesen kereta api, Kiev, Ukraine, kelmarin.

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan petugas pasukan keselamatan negara dalam menjalankan siasatan di lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Donetsk, timur Ukraine.

"Saya mohon para sahabat dan rakyat Malaysia keseluruhannya agar mendoakan kami dari KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) agar selamat menjalankan tugas siasatan di lokasi kejadian di Ukraine.

"Dan semoga kami selamat kembali setelah selamat menjalankan tugas. Kami pohon doa restu agar semua berpihak kepada kami," katanya dalam rakaman video di Kiev, Ukraine hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menghantar pasukan PDRM yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berlepas dengan kereta api dari Kiev ke Kharkiv, sejauh 500 kilometer semalam, sebelum meneruskan perjalanan ke Soledar, kira-kira 100 kilometer dari lokasi nahas.

Khalid yang mengetuai 68 pegawai polis dari pelbagai unit berlepas ke Ukraine pada Rabu lepas untuk bersama pasukan keselamatan antarabangsa, termasuk Belanda dan Australia, bagi melakukan siasatan lanjut mengenai nahas penerbangan MH17, yang jatuh terhempas pada 17 Julai lepas.

Pasukan Siasatan Khas MH17 Malaysia terdiri daripada pegawai forensik PDRM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai perubatan.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pasukan itu juga akan mengawal lokasi nahas dan mengumpul bahan bukti termasuk barangan peribadi milik mangsa, serpihan bahagian pesawat dan cebisan tulang mangsa.

Sementara itu, Reuters melapor-kan semalam bahawa serangan berhampiran kawasan MH17 terhempas bulan lepas memaksa pakar-pakar antarabangsa untuk menghentikan usaha mencari mangsa di satu bahagian lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, gencatan senjata tempatan telah membolehkan mereka untuk bekerja tanpa halang-an di bahagian utama lokasi itu, menurut Reuters.

Reuters juga berkata, pakar-pakar antarabangsa yang bekerja dengan bantuan anjing pengesan telah menemui lebih banyak tinggalan mayat dan barangan peribadi untuk diuji. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_02/Doakan-keselamatan-petugas-di-lokasi#ixzz39U4AAMSg  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Malaysia seru negara UNSC bersatu tamatkan pencerobohan di Gaza

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Seorang lelaki melihat deretan mayat ahli keluarganya yang terbunuh akibat serangan udara tentera Israel di selatan Genting Gaza, semalam. Serangan terbaharu Israel itu mengorbankan sembilan orang ahli keluarga al-Ghol. - AFP

PUTRAJAYA 3 Ogos - Malaysia menyeru negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bersatu dan bertindak tegas dalam menamatkan segera pencerobohan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) secara kolektif memainkan peranan lebih berani dalam melindungi, mempertahankan serta menamatkan pertumpahan darah di wilayah bergolak itu.

Beliau menegaskan, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya juga perlu segera menuntut Israel menghentikan kekejaman yang mereka lakukan.

“Saya amat kesal pelbagai usaha gencatan senjata untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan kutukan keras masyarakat antarabangsa mengenai jenayah perang Israel hanya dipenuhi dengan lebih banyak serangan bom biarpun krisis di Gaza memasuki hari ke-28.

“Serangan tersebut secara tidak langsung telah mengorbankan lebih daripada 1,700 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan infrastruktur sosial serta ekonomi termasuklah melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengecam sekeras-kerasnya terhadap pembunuhan berterusan tanpa belas kasihan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza, yang kebanyakannya merupakan wanita, kanak-kanak dan warga tua.

“Saya menuntut Israel segera menghentikan pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata," katanya.

Pada masa sama, beliau tersentuh dengan sokongan rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan mengutuk serta mahukan kekejaman ke atas rakyat awam Gaza dihentikan segera.

“Saya percaya pembunuhan tanpa belas kasihan orang awam oleh tentera Israel merupakan tindakan yang jelas ganas dan sebuah jenayah perang yang boleh dihukum di bawah undang-undang antarabangsa.

“Dengan semua cara yang mungkin, saya menyeru kepada mereka yang melakukan jenayah yang kejam ini dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_01/Malaysia-seru-negara-UNSC-bersatu-tamatkan-pencerobohan-di-Gaza#ixzz39U3AcRXp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Slogan CAT sekadar retorik DAP - Tan Tuan Tat


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) sekadar retorik DAP untuk menarik perhatian rakyat kerana hakikatnya prinsip itu tidak diamalkan sepenuhnya oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, sikap berdiam diri Penasihat parti, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berhubung kemelut dan penyalahgunaan kuasa yang sedang berlaku dalam pakatan pembangkang khususnya di Selangor, juga dilihat bercanggah dengan prinsip yang dipegang oleh mereka selama ini.

Katanya, integriti dan kredibiliti Kit Siang dan Guan Eng juga menjadi tanda tanya apabila beberapa isu penting yang melanda rakyat termasuk isu lebuhraya Kidex, seolah-olah tidak diendahkan oleh mereka.

"Masalah seperti banjir, lambakan rumah urut haram, pengurusan sampah sarap yang tidak terurus dan beberapa isu lagi yang melanda Selangor mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk di negeri terbabit. Malah, keadaan persekitaran yang kurang bersih juga dikatakan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi sejak kebelakangan ini.

"Apa DAP Selangor sedang melakukan selama ini, Bukankah mereka juga sebahagian daripada pakatan pembangkang? Bukankah DAP juga mempunyai wakil rakyat di Selangor? Mengapa hanya berdiam diri? Di mana integriti Kit Siang dan Guan Eng dalam menangani isu berkaitan kebajikan rakyat?," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas sikap dwistandard yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin DAP terhadap pelbagai isu melanda kerajaan negeri Selangor.

Dalam pada itu, dakwa Tuan Tat, kedua-dua anak beranak dinasti Lim itu lebih gemar mengunci mulut dan selesa mengambil pendekatan itu daripada menyuarakan masalah yang sedang berlaku di Selangor walaupun mereka adalah sebahagian daripada gabungan pakatan pembangkang.

"Malah, Kit Siang dan Guan Eng juga membisu mengenai dakwaan salah urus tadbir oleh beberapa ahli dan penyandang Majlis Eksekutif Negeri yang kini menentang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.

Beliau turut mendakwa, seorang bekas ahli exco yang sebelum ini menyokong projek Kidex namun menarik balik pendiriannya berikutan terdapat sokongan hebat daripada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk Abdul Khalid berundur sebagai Menteri Besar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140805/po_04/Slogan-CAT-sekadar-retorik-DAP---Tan-Tuan-Tat#ixzz39U1J9v00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Dakwaan Saifuddin tuduhan liar - Khalid



SHAH ALAM 4 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan salah laku yang dilemparkan terhadapnya oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail hanya sebagai tuduhan liar yang bermotif politik dan berniat jahat semata-mata.

Abdul Khalid berkata, dakwaan sedemikian sedikit pun tidak menjejaskan kedudukannya sebaliknya beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri ini.

Menurutnya, sekiranya dakwaan itu benar, Saifuddin sepatutnya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) selain mendedahkan bukti-bukti lain bagi mengukuhkan dakwaannya.

"Sekiranya Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada SPRM, pihak polis dan BNM selain mendedahkan sekiranya ada bukti-bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu.

"Kegagalan Saifuddin dan rakan-rakan dalam PKR untuk berbuat demikian hanya akan mengundang spekulasi bahawa tuduhan-tuduhan tersebut bermotifkan politik dan berniat jahat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata, Abdul Khalid perlu ditukar kerana masalah `keraguan integriti' susulan isu penyelesaian hutangnya dengan sebuah bank.

Saifuddin mendakwa, beberapa urusan perniagaan melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat pemaju bernilai ratusan juta ringgit yang berlaku selepas penyelesaian hutang itu sehingga kini tidak dijelaskan secara memuaskan oleh Abdul Khalid.

Selain itu, Saifuddin mendakwa, Abdul Khalid turut memberi projek rumah mampu milik di Selangor bernilai RM591 juta kepada syarikat sama.

Perkara itu merupakan antara kandungan dokumen penjelasan bertulis PKR yang akan diberikan kepada pemimpin tertinggi pakatan pembangkang esok bagi mewajarkan cadangan penukaran Abdul Khalid daripada menerajui pentadbiran Selangor.

Abdul Khalid menegaskan, beliau memandang serius tuduhan salah laku tersebut dan menafikan dakwaan berkenaan kerana perkara tersebut tidak benar sama sekali.

Beliau turut bersedia memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap dirinya.

Menteri Besar Selangor itu turut mengingatkan rakan-rakan seperjuangannya dalam parti supaya berhati-hati membuat tuduhan kerana dirinya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140805/po_02/Dakwaan-Saifuddin-tuduhan-liar---Khalid#ixzz39Tz9TuP3  © Utusan Melayu (M) Bhd



PKR mahu kemuka 20 muka surat integriti MB Selangor

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Selepas gagal mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat tergamak mendedahkan pekung pemim­pinnya sendiri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, langkah tersebut akan dikemukakan bersama lampiran 20 muka surat berhubung integriti Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan perlu diganti dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

"Ya memang PKR akan menghantar surat kepada DAP dan Pas antaranya termasuk tentang isu tanah dan rundingan antara Bank Islam dan Khalid.

"Sebenarnya bukan 50 muka surat tetapi 20 muka surat sahaja, saya tidak sebut pun langsung 50 muka surat, itu semua tidak betul," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang langkah terbaharu parti itu yang mahu mengemukakan laporan integriti kepada rakan komponen pakatan pembangkang, DAP dan Pas esok.

Dipercayai Abdul Khalid gagal menjawab beberapa isu yang menimbulkan banyak keraguan khususnya melibatkan urusniaga bernilai jutaan ringgit sehingga menyebabkan PKR terpaksa membuat keputusan itu.

Saifuddin dalam pada itu turut menafikan sebuah laporan blog http://negarapakatanrakyat kononnya PKR sudah menghantar surat pemecatan terus ke kediaman Khalid.

"Itu juga tidak betul, mana ada kita pecat Khalid," katanya.

Baru-baru ini, PKR mencapai kata sepakat untuk memilih Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Khalid.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas kapasiti Wan Azizah yang dikatakan mampu menyelesaikan banyak perkara tertangguh di negeri itu.

Bagaimanapun, Khalid dilihat terus mempertahankan kedu­dukannya sekarang sebagai Menteri Besar dengan berjanji kepada rak­yat Selangor untuk memastikan pentadbiran negeri itu diurus sebaik mungkin.



Chegubard malu bersemuka SPR

Oleh FITRI AFFENDI MUSTAFA
pengarang@utusan.com.my

BADRUL Hisham Shaharin atau Chekgubard (kiri) menyatakan sesuatu kepada peguamnya, Michelle Yesudas semasa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri

PETALING JAYA 4 Ogos - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau yang digantung keahlian, Badrul Hisham Shaharin mengakui berasa malu untuk bersemuka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika tiada sebarang tindakan diambil dalam menyelesaikan masalah pemilihan PKR.

Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard berkata, ini kerana semua aduan yang dikemukakan beliau sejak tahun 2010 kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) masih belum mendapat sebarang balasan atau tindakan.

Katanya, antara aduan berkenaan pemilihan PKR yang sering dikemukakan ialah berkaitan kertas undi berlebihan, pengundi yang mengundi atas nama orang lain serta pihak JPP yang dipercayai terlibat dengan masalah penyelewengan pemilihan.

"Bagi saya masalah penipuan ini khususnya pemilihan dalam parti perlu ditangani segera. Jika tidak saya bersama rakan-rakan lain yang berjuang atas nama bersih dan demokrasi berasa malu untuk berjumpa dengan pihak SPR disebabkan parti ini juga akan dianggap sama menipu dalam demokrasi.

"Jadi, kenapa apabila kita lawan dengan SPR, kita perlu raikan, tetapi ketika lawan di tempat tertentu kita tidak raikan. Oleh itu, saya akan terus berjuang untuk menegakkan demokrasi di semua tempat," katanya kepada pemberita di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penipuan atau penyelewengan terhadap sistem demokrasi termasuk dalam parti sendiri.

"Prinsip saya semua perkara berkenaan penyelewengan dalam sistem demokrasi, saya akan lawan dan tentang dengan berani.SP

"Saya sudah nyatakan pelbagai bukti dan saya rasa masalah ini (pemilihan PKR) perlu diselesaikan segera disebabkan semua aduan yang dibuat masih belum mendapat balasan sehingga hari ini," jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jawatan Menteri Besar Selangor, Badrul Hisham berkata, beliau menggesa satu referendum rakyat diadakan bagi mengambil kira pandangan rakyat mengenai perubahan pucuk kepimpinan di Selangor.

Katanya, ini kerana kemenangan pakatan pembangkang di Selangor juga adalah disebabkan oleh pengaruh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jadi, saya rasa sebarang perubahan dalam jawatan Menteri Besar perlu mengambil kira pandangan rakyat kerana sebarang pertukaran bukan berdasarkan arahan dari pucuk pimpinan parti sahaja," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140805/po_01/Chegubard-malu-bersemuka-SPR#ixzz39TpSypJB  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Tugasan terbaharu aset TLDM




LUMUT 4 Ogos - Selepas penghantaran Kapal Diraja (KD) Lekiu dan kapal sokongan Bunga Mas 6 (BM6), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menggerakkan satu lagi aset kapal hidrografinya, KD Mutiara untuk meneruskan misi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata, KD Mutiara yang berlepas pagi ini dijangka berhenti seketika di Jakarta, Indonesia pada Sabtu ini sebelum bertolak ke lokasi pencarian tiga hari berikutnya dan dijangka tiba pada 18 Ogos depan.

Beliau berkata, kapal yang menggunakan antara peralatan terkini dan termoden itu diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Kamarul Fahmy Kamaruddin bersama 137 anak kapal melibatkan 19 pegawai, 118 anggota lain-lain pangkat termasuk seorang pegawai perubatan daripada Kor Perubatan Angkatan Tentera dan pegawai agama daripada Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Menurut beliau, setibanya di sana, kapal tersebut akan dikoordinasikan operasinya oleh Military Coordination Subsurface Training yang berpangkalan di Perth, Australia.

"Kapal ini akan menyertai BM6, selain dua buah kapal dari Cina dan sebuah lagi dari Australia. Saya difahamkan bahawa 50 peratus daripada sektor kawasan yang dikenal pasti telah dibuat pencarian sementara selebihnya akan diteruskan.

"Kita menyerahkan kepada Jawatankuasa Aset Kerajaan Malaysia untuk menentukan tempoh masa kapal ini akan berada di sana, namun kita jangkakan sehingga habis tamat pengukuran dalam tempoh tiga ke empat bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan KD Mutiara untuk meneruskan misi pencarian pesawat MH370 di jeti operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

KD Mutiara adalah salah satu daripada dua kapal Skuadron Hidrografi milik TLDM selain KD Perantau, yang buat julung kalinya menyertai misi operasi selepas direhatkan selama dua tahun bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.

Dilancarkan pada 7 Mac 1996, kapal yang dibina di Limbungan Hong Leong Lurrsen, Butterworth, Pulau Pinang ini berukuran 71 meter panjang dan 12.4 meter lebar dengan kelajuan 16 knots serta mampu beroperasi di laut sehingga 21 hari.

Kelebihan KD Mutiara terletak pada sistem 'multibeam echosounder' yang berkemampuan untuk melaksanakan kerja pengukuran batimetri bagi menentukan ketepatan kedalaman dasar laut pada keluasan lebih besar dengan resolusi tinggi mencecah 7,000 meter sementara penggunaan 'single beam' pula mampu menjangkau sehingga 11,000 meter.

Ketika ini, pengukuran batimetri dilaksanakan oleh kapal Pla-N Kezhen 872 dari negara China dan kapal Fugro Equator milik Australia.

TLDM sebelum ini telah menggerakkan KD Lekiu ke selatan Lautan Hindi bagi menyertai operasi pencarian MH370 dari 19 Mac sehingga 21 Mei lalu sementara BM6 yang diatur gerak sejak 16 April lalu, masih beroperasi sehingga kini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140805/dn_04/MH370-Tugasan-terbaharu-aset-TLDM#ixzz39TnrWMrM  © Utusan Melayu (M) Bhd 





MH17 - Siasatan nahas tergendala


DARI KIRI: ZAHID HAMIDI, KHALID ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pasukan Siasatan Khas Polis ­Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak dapat memasuki kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Donestk, Ukraine berikutan insiden tembak-menembak meriam antara tentera Ukraine dan puak pemisah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan 21 pegawai itu, yang tiba di Donestk hari ini, masih belum dapat memasuki kawasan nahas itu untuk memulakan kerja-kerja penggeledahan bagi mencari bukti nahas.

"Walaupun pasukan PDRM berjaya tiba di kawasan nahas, namun, setakat ini kerja-kerja penggeledahan dan mencari bukti kes masih belum dapat dimulakan kerana kejadian tembak-menembak meriam sedang berlaku antara tentera Ukraine dan puak pemisah,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi tujuan keselamatan, puak pemisah tidak membenarkan Pasukan Siasatan Khas PDRM menjalankan kerja-kerja penggeledahan buat masa ini.

"Pasukan Malaysia hanya dapat berlindung di kawasan berhampiran lokasi nahas di sekitar tepi jalan, menunggu sehingga keadaan lebih stabil dan selamat," katanya.

Ahmad Zahid berkata Pasukan PDRM itu memaklumkan bahawa sepanjang perjalanan ke lokasi nahas, mereka dikawal rapi oleh pihak berkuasa.

"Mereka juga mendapati banyak kemusnahan akibat perang di sekeliling kawasan tersebut," katanya.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh namun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu. - BERNAMA



Dunia terus kutuk Israel


SEORANG penduduk Palestin melihat jenazah saudara-maranya yang terbunuh dalam serangan tentera Israel di bilik mayat di Rafah, kelmarin. - AFP

SYDNEY 4 Ogos - Dunia terus mengutuk kekejaman Israel menyerang Gaza ketika angka korban dalam operasi ketenteraan rejim Zionis itu selama 27 hari, hari ini meningkat kepada lebih 1,800 orang.

Portal RT melaporkan, kira-kira 10,000 orang menyertai perhimpunan di Sydney, Australia, semalam mengutuk tindakan Israel menyerang Gaza dan menggesa operasi ketenteraan itu ditamatkan segera.

Mereka yang membawa sepanduk dan kain rentang turut melaungkan 'Bebas, Bebaskan Palestin'.

Anggota pertubuhan peguam Yahudi, Independent Australian Jewish Voices, Peter Slezak yang menyertai perhimpunan itu berkata, Israel tidak mewakili semua kaum Yahudi.

"Saya seorang Yahudi dan terkejut serta malu dengan apa yang Israel lakukan. Saya menyokong penduduk Gaza dan Palestin," katanya.

Di ibu negara Chile, Santiago, beribu-ribu penduduk kelmarin berarak bagi mendesak Presiden, Michelle Bachelet memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Ketua Persatuan Palestin Chile, Mauricio Abu-Gosh berkata, pihaknya meminta Bachelet mengusir Duta Israel di negara itu dan menamatkan hubungan dengan rejim Zionis itu.

"Kami mahu dunia tahu penduduk Chile menentang pembunuhan penduduk Gaza oleh Israel," katanya.

Pada hujung bulan lalu, Chile dan El Salvador, Ecuador, Brazil dan Peru memanggil pulang duta masing-masing dari Tel Aviv ekoran serangan Israel ke atas Gaza.

Pihak berkuasa Bolivia yang mengecam serangan rejim Zionis itu turut mengisytiharkan Israel sebagai 'negara pengganas'.

Tunjuk perasaan membantah tindakan zalim tentera rejim Zionis turut diadakan di Jepun, Yemen, Pakistan dan Amerika Syarikat. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140805/lu_05/Dunia-terus-kutuk-Israel#ixzz39TjleYut  © Utusan Melayu (M) Bhd