Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 2 April 2014

MH370 - Terimalah kritikan secara positif



Oleh Zaini Hassan







KITA, di negara tersayang Malaysia ini tidak pernah menghadapi bencana kebangsaan (na­­tional disaster) sebegini besar magnitutnya.

Walaupun kita sudah merdeka selama hampir 60 tahun dan ke arah menjadi sebuah negara maju, sebenar-benarnya kita kena belajar banyak lagi.

Tidak dinafikan kita berjaya menangani isu-isu sensitif, seperti kegelisahan kaum 1969, namun kita masih mentah dalam menangani isu yang bakal menarik perhatian dunia sebegini.

Ini bukan kali pertama kita kehilangan pesawat MAS. Pada 1977 kita pernah hilang pesawat di Tanjung Kupang, Johor. Walaupun insidennya hampir serupa, tetapi environmennya berbeza.

Kehilangan MH370 ini lain daripada yang lain. Namun, kehilangan pesawat penerbangan akan terus berlaku dalam industri penerbangan di mana-mana sekalipun di dunia. Yang menarik perhatian semua pihak ialah bagaimana kita menangani krisis ini.

Dalam isu MH370, perhatian bukan sahaja kepada menangani aspek kemanusiaan, tetapi keseluruhan pentadbiran negara akan diperhatikan.

Bukan semua kritikan itu perlu dilihat secara negatif. Kita harus menerima hakikat, media luar tidak akan mengubah pendekatannya dalam apa suasana sekali pun. Mereka mengejar rating.

Sekiranya, insiden ini berlaku kepada negara lain, pendekatan CNN, Fox, BBC dan SkyTV tetap sama.

Setiap langkah kita akan diteliti dan dianalisis. Segala kelemahan kita akan menjadi bahan komentar mereka. 

Dan komentar serta analisis itu akan membuatkan kita lebih tabah dan kuat jika kita melihatnya dari sudut yang lebih konstruktif.

Pada hari-hari pertama insiden ini, kita harus mengaku yang kita ada banyak kelema­han. Kita menggunakan analogi yang salah serta memberi maklumat yang tidak konsisten.

Satu sahaja yang menyelamatkan air muka kerana kita mempunyai seorang menteri berpendidikan undang-undang dari UK, yang berjaya menjawab soalan-soalan - berat dan provokatif - daripada media dunia.

Barangkali ini merupakan kali pertama Malaysia berada di bawah perhatian terus dunia, di sepanjang ingatan kita.

Kalaulah kita boleh bariskan kelemahan dan fakta yang tidak konsisten itu, saya percaya kita akan lebih baik pada masa akan datang.

Namun, biarlah kita jimatkan ruang ini untuk usaha-usaha lain. Saya tahu tumpuan kita kini harus difokuskan kepada pencarian pesawat itu. Kita buat post-mortem itu di lain masa.

Tapi ingat, kita tidak seharusnya mengabaikan pengajaran yang kita sedang lalui sekarang.

Apakah universiti kita tidak mengajar ba­­gaimana mahu menyelongkar hard disc sehingga kena meminta pertolongan orang luar?

Apakah radar kita tidak cukup canggih dan orang yang mengendalikan tahu menganalisisnya dengan cekap?

Apakah aset kapal perang kita gagal belayar ke selatan Lautan Hindi kerana endurance yang terhad serta tidak dapat mengharungi lautan bergelora sehingga ke Force 12?

Endurance bermaksud jarak maksimum kapal boleh belayar dengan kapasiti minyak maksimum. Dalam hal ini KD Kasturi (corvette) dan kapal PV tidak mempunyai minyak mencukupi bagi pelayaran pergi dan balik, dan bagi melakukan pencarian di lautan yang sungguh mencabar.

Jarak dari Pelabuhan Tanjung Periuk, Indonesia ke lokasi pencarian adalah 2,250 batu nautika (bn). Pada kelajuan 15 knots ia mengambil masa 150 jam iaitu 6.25 hari. Pergi balik 13 hari. Tidak ada pelabuhan terdekat untuknya singgah mengisi minyak. Pelabuhan Freemantle adalah 1,850 bn. Di dalam keadaan laut bergelora, kelajuan perlu dikurangkan bagi mengurangkan dilambung ombak. Kalau kelajuan 12 knots, memakan masa hampir lapan hari.

TLDM sudah tentu berpendapat kapal tersebut tidak sesuai dioperasikan untuk operasi ini.

Namun Alhamdulillah, kita mempunyai aset KD Lekiu yang meneruskan operasi.

Kapal itu mempunyai endurance dan boleh tahan gelombang sehingga Force 12. Warganya pula telah diperlengkapkan de­ngan pakaian menahan sejuk.

Kita juga, Alhamdulillah telah menghantar pesawat TUDM C-130H untuk tugas SAR. Sekurang-kurangnya kita akan mempelajari sesuatu.

Jadi, pada pandangan saya semua apa yang berlaku ini terlalu banyak hikmah yang boleh kita pelajari. Banyak sangat kekurangan kita.

Ingatlah kuasa-kuasa besar dunia telah mengalami cabaran demi cabaran seumpamanya lebih awal daripada kita - dan terbabit dalam pelbagai peperangan. Itu pasal mereka hebat sekarang.

Di masa hadapan, jika kita mengambil semua daripada iktibar ini, kita akan menjadi sebuah negara dan bangsa yang lebih hebat, insya-Allah. #DoaMH370!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140402/re_06/MH370-Terimalah-kritikan-secara-positif#ixzz2xh3WtOII  © Utusan Melayu (M) Bhd




Karpal 'disingkir' bukan letak jawatan?

TUNKU Abdul Aziz Tunku Ibrahim (kiri) dan Tan Tuan Tat dalam sidang akhbar di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR 1 April - Mungkinkah bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh disingkirkan?

Perkara itu ditimbulkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berikutan peletakan jawatan Karpal dalam parti itu baru-baru ini.

Tunku Aziz tidak menolak kemungkinan peletakan jawatan tersebut sebenarnya 'konspirasi' kumpulan tertentu yang 'bermati-matian' tidak mahu Karpal menerajui DAP lagi, sebaliknya mahu meletakkan kroni tertentu.

"Saya tidak hairan sekiranya Karpal meletak jawatan kerana desakan sekumpulan pemimpin dan bukannya melakukan dengan rela hati. Beliau mempunyai integriti yang tinggi sehingga kadang-kadang menyusahkan orang lain dalam parti.

"Ketika saya dalam DAP lagi, ada seorang individu yang begitu bermati-matian mahu keluarkan Karpal. Beliau 
sering bercanggah pendapat dalam isu tertentu walaupun rakan seperjuangan dalam parti itu tidak senada dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung peletakan jawatan Karpal di sini hari ini.
Yang turut hadir, bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sg. Pelek, Tan Tuan Tat.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP, Sabtu lepas ekoran dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Menurut Tunku Aziz, dengan penyingkiran Karpal berkemungkinan besar kroni-kroni dinasti Lim akan diberi keutamaan dalam menjawat jawatan tertinggi parti.

"Mengapa perlu Karpal tergesa-gesa meletak jawatan walhal kes ini masih dalam peringkat rayuan? Bukankah Karpal seorang peguam handal yang boleh menang mana-mana kes dengan mudah?," ujarnya.

Dalam pada itu, Tunku Aziz turut menyoal rasional Karpal meletak jawatan memandangkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan dua kali berturut-turut.

"Pemilihan CEC masih lagi menjadi tanda soal dan dalam siasatan. Dengan ini, Karpal bukanlah pengerusi yang sah. Jadi mengapa perlu meletak jawatan? Adakah semua ini drama untuk mengaburi mata umum?

"Saya mohon kepada ROS untuk segerakan siasatan memandangkan DAP juga berterusan bermain politik dengan berlakon menjadi 'mangsa' keadaan, walhal itu pemilihan parti, aduan dibuat atas mereka oleh ahli sendiri," tegasnya.

Jelas beliau, rakyat seringkali tertipu dengan pembohongan pembangkang yang selalu cuba mendapatkan simpati untuk kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

"Pemimpin pembangkang semuanya sama sahaja. Mereka melanggar undang-undang sesuka hati dan menganggap kebal daripada undang-undang.

"Sekiranya mahkamah mendapati mereka bersalah, golongan ini akan membakar sentimen rakyat kononnya mangsa politik kerajaan. Tidak siapa pun kebal undang-undang, salah tetap salah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140402/po_01/Karpal-disingkir-bukan-letak-jawatan#ixzz2xgs4JFtx  © Utusan Melayu (M) Bhd 



FAM - JDT hanya didenda RM30,000

Damian Stewart turut hadir untuk memberi keterangan berhubung pendengaran kes Pablo Aimar dan Luciano Figueroa yang didakwa menghinanya.

PETALING JAYA - Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya dikenakan denda sebanyak RM30,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas 'insiden terowong' manakala tindakan ke atas individu yang didakwa terlibat dalam kejadian itu akan dibuat hanya selepas kes itu diputuskan oleh Peguam Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kes ini sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM, hasil siasatan polis telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Jadi Jawatankuasa Tatatertib berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu-individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.

"Jawatankuasa Tatatertib akan membiarkan pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dan jika pihak polis mengambil tindakan, kami akan mengambil langkah yang sama kerana kami boleh bangkitkan perkara ini dalam tempoh dua tahun.

"Buat masa ini saya tidak boleh dedahkan apa hasil siasatan pihak polis kepada pihak media dan akan tunggu keputusan daripada mereka (polis)," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM selama hampir 11 jam, yang berlanjutan sehingga pukul 8.30 malam tadi.

Insiden terowong berlaku pada 1 Februari lalu ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dengan T-Team. Kejadian itu berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Pihak pengurusan T-Team mendakwa pemain, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya, Stefano Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT dalam insiden itu.

Pihak pengurusan T-Team mengambil langkah untuk tidak meneruskan permainan babak kedua ekoran berasa keselamatan mereka terancam namun pihak Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menolak alasan mereka dan memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT.

Kedua-dua warga Brazil itu kemudian membuat laporan polis.

Susulan kejadian itu Jawatankuasa Tatatertib juga telah menghantar surat pertuduhan ke atas Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ) atas dakwaan cuai daripada segi kawalan ke­selamatan.

"Setelah perbincangan secara panjang lebar dengan pihak JDT, komisioner perlawanan, koordinator perlawanan dan pengadil, memang terdapat kelemahan daripada segi penyediaan keselamatan di laluan menuju bilik persalinan pemain.

"Perkara ini diakui sendiri oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd. Fahmy Yahya.

"Akibat daripada masalah keselamatan yang menjadi punca awal mengapa kekecohan itu tidak dapat dielakkan, JDT didenda sebanyak RM30,000 di bawah Peruntukkan 56.1 Kod Tatater­tib 2012 dan diberi amaran keras supaya kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.

Jelas Taufek, hukuman maksimum bagi kesalah­an itu adalah sebanyak RM100,000, dan JDT dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh tiga hari selepas mendapat surat pemberitahuan hukuman daripada FAM.

Sementara itu, dua pemain JDT yang didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan berunsur perkauman semasa menentang Pahang awal bulan lalu dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ednan Othman berkata, selepas meneliti bukti serta hujah yang dikemukakan, panel jawatankuasa sebulat suara memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dua pemain dari Argentina, Luciano Figueroa dan Pablo Aimar kerana tidak mempunyai bukti mencukupi.

Beliau berkata, kes berkenaan digugurkan akibat beberapa masalah teknikal termasuk mangsa iaitu pemain import Pahang, Damion Stewart membuat laporan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk memaklumkan kepada pengadil bertugas semasa perlawanan berlangsung.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 7 Februari lalu, Figrueroa dan Aimar didakwa menggunakan kata-kata penghinaan terhadap Stewart termasuk memanggilnya 'monkey' dan 'negro'.

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pula didenda RM10,000 bagi dua kesalahan melibatkan pembakaran dan melontar suar ke dalam Stadium Sela­yang pada 18 Januari lalu ketika pertemuan menentang ATM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140402/su_01/JDT-hanya-didenda-RM30000#ixzz2xgqOFHjF  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - Permohonan Ribbeck Law ditolak

Firma Ribbeck Law Bakal Saman Mas & Boeing Sebanyak $1.5 Billion ...

NEW YORK 1 April - Mahkamah Illinois semalam menolak permohonan sebuah firma guaman Amerika Syarikat (AS) untuk memperoleh reka bentuk pembinaan pesawat daripada Boeing Co. dan Malaysia Airlines (MAS) berhubung insiden kehilangan MH370 pada 8 Mac lalu.

Hakim Kathy Flanagan turut memberi amaran akan mengenakan sekatan terhadap syarikat guaman berpangkalan di Chicago, Ribbeck Law yang sebelum ini pernah memfailkan petisyen sama berhubung nahas Asiana Airlines yang terhempas pada tahun lalu di San Francisco.

"Meskipun perintah telah dikeluarkan sebelum ini, firma guaman yang sama sekali lagi memfailkan petisyen walaupun mengetahui tidak ada asas untuk berbuat demikian.

"Jika mereka memilih untuk meneruskannya, mahkamah akan mengenakan sekatan kepada permohonan tersebut," katanya.

Minggu lalu, Ribbeck Law memfailkan tindakan undang-undang pertama di Mahkamah Illinois berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Menurut firma itu, pihaknya mewakili sebahagian keluarga penumpang yang terlibat dalam insiden tersebut.

Dalam pada itu, beberapa pakar penerbangan dan peguam Amerika Syarikat (AS) menyifatkan tindakan firma guaman yang memfailkan petisyen itu sebagai terlalu awal dan mahu mendapatkan publisiti ekoran maklumat kehilangan pesawat itu sebahagian besarnya masih belum diketahui.

Menurut peguam, Justin Green dari firma guaman Kreindler & Kreindler, tindakan Ribbeck Law memfailkan petisyen dilihat mengejutkan.

"Tanpa bangkai pesawat, mayat penumpang dan sebarang bukti cukup besar atau motif yang berpotensi, tidak ada cara untuk menentukan liabiliti pada masa ini. Malah, mana-mana peguam juga harus menyedari isu ini," katanya.

Sementara itu, peguam dari firma guaman Ribbeck Law, Mervin Mateo dalam satu temu bual berkata, pihaknya masih belum meneliti keputusan Hakim Flanagan dan tidak akan berhenti untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap MAS dan Boeing Co.

Katanya, firma itu mempunyai pakar untuk menjalankan siasatan terhadap insiden pesawat MH370.

Beliau turut menamakan seorang pakar iaitu penyiasat khas nahas kapal terbang, Max Vermij yang pernah menyiasat kemalangan Asiana dan kemalangan EgyptAir pada tahun 1999. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140402/dn_02/Permohonan-Ribbeck-Law-ditolak#ixzz2xgo0KXii  © Utusan Melayu (M) Bhd



KOMEN : UNDANG-UNDANG RENTAS SEMPADAN CIPTAAN US... ASASNYA WANG... 

MH370 - Najib lawat Perth dua hari tinjau operasi SAR








KUALA LUMPUR 1 April - Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Perth, Australia selama dua hari bermula esok (Rabu) untuk meninjau operasi pelbagai negara dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

Perdana Menteri akan meninjau operasi itu di Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) di Pangkalan Pertahanan Udara Pearce.

"Lawatan itu adalah bertepatan bagi merakamkan penghargaan kepada kerajaan Australia serta pasukan dan anggota yang terlibat dalam pencarian tersebut, termasuk dari Malaysia," menurut kenyataan Wisma Putra di sini.

Semasa di Perth, Najib juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama khususnya mengenai perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta hala tuju seterusnya operasi itu.

Najib kemudian akan mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam selama tiga hari mulai 3 April dalam rangka meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan itu, beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta para pegawai kanan kementerian.

Semasa di Vietnam, Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang pertanian.

Beliau juga dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong; Presiden Vietnam, Truong Tan Sang; serta Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung.

"Lawatan ini menyediakan peluang terbaik kepada Perdana Menteri untuk memperbaharui persahabatan beliau dengan pemimpin Vietnam dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala yang mempunyai kepentingan bersama seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam bidang pertanian dan perikanan, pendidikan, pertahanan, pelancongan serta isu-isu serantau dan antarabangsa," kata Wisma Putra.

Perangkaan menunjukkan bahawa dari Januari hingga Disember 2013, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam meningkat 13.51 peratus kepada RM10.25 bilion berbanding RM9.03 bilion untuk tempoh sama pada 2012.

Di Vietnam, Perdana Menteri juga dijadual menghos sesi bersama ahli-ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia dan Vietnam.

Sesi itu bertujuan mewujudkan rangkaian perniagaan baru bagi meningkat dan mengukuhkan hubungan perdagangan serta pelaburan.

Ia juga menyediakan peluang kepada wakil perniagaan kedua-dua negara untuk berkongsi pandangan dan pemikiran ke arah meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia-Vietnam. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140402/dn_04/Najib-lawat-Perth-dua-hari-tinjau-operasi-SAR#ixzz2xgktMnId  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH380 - IATA - Jangan leka keselamatan

Tony Tyler menyatakan sesuatu kepada Azharuddin Abdul Rahman yang menghentikan ucapannya sebelum meminta semua wakil media meninggalkan bilik persidangan semasa Persidangan Ops Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di Kuala Lumpur, semalam. - AP

KUALA LUMPUR 1 April - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa semua negara dan pemain industri untuk memberi tumpuan kepada usahasama, analisis data serta keselamatan landasan dalam memastikan penerbangan menjadi lebih selamat.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler berkata, IATA turut komited membantu industri dalam aspek pengesanan pesawat pada peringkat global, selain menyeru semua negara menggunakan data penumpang dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pada 2013, terdapat lebih 29 juta penerbangan yang dikendalikan pesawat buatan negara Barat, dengan hanya membabitkan 12 kerugian.

Tambah beliau, secara purata hanya satu kemalangan berlaku bagi setiap 2.4 juta penerbangan dan jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 14.6 peratus kepada industri dalam masa lima tahun.

"Kemalangan yang membabitkan pesawat jarang berlaku, tetapi insiden yang terjadi terhadap MH370 merupakan satu peringatan bahawa kita tidak boleh leka tentang keselamatan.

"Mungkin pencarian MH370 mengambil masa yang panjang untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku, tetapi kejadian itu cukup untuk membuka mata semua pihak agar tidak mengambil ringan soal keselamatan serta menggunakan sepenuhnya data penumpang yang diperoleh daripada syarikat penerbangan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan OPS IATA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Tyler berkata, usahasama dalam kalangan pemain industri turut memainkan peranan untuk aspek keselamatan pengangkutan udara.

Jelasnya, kira-kira 100,000 penerbangan dikendalikan dengan selamat dan melibatkan ribuan tindakan yang diselaraskan merentasi pelbagai perniagaan dan organisasi.

"Oleh itu, sebagai industri yang besar, kita bukan sahaja perlu memahami cara kerja tetapi perlu membandingkan nota dan bekerjasama untuk membina masa depan dengan wawasan yang sama.

"Industri penerbangan merupakan satu industri yang mementingkan piawaian serta keselamatan global," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140402/dn_03/Jangan-leka-keselamatan#ixzz2xgimi8tw  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : DALAM MENINGKATKAN KESELAMATAN, KERAJAAN TIDAK PERLU TUNDUK PADA KECAMAN PUAK PEMBANGKANG YANG TIDAK AKAN MENYOKONG SEGALA TINDAKAN KERAJAAN UNTUK KEBAIKAN NEGARA.

MH370 - KD Lekiu sertai misi pencarian di Lautan Hindi

PEGAWAI Laksana KD Lekiu TLDM, Leftenan Komander Yusakmizal Mohd Yusuf (kanan) bersalaman dengan Komander Tentera Laut Diraja Australia, Brian Chase di Pangkalan Tentera Diraja Laut Australia, HMAS Stirling, Rockingham, Perth, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

ROCKINGHAM, Perth 1 April - Kapal Diraja KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) HMAS Stirling di sini semalam akan menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi untuk tempoh dua minggu.

KD Lekiu yang berukuran 106 meter dan merupakan salah sebuah daripada dua aset dalam Skuadron Frigat Ke-23 TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak tiba pukul 9 pagi semalam selepas menempuh perjalanan selama 11 hari bermula 21 Mac lalu.

Mempunyai kekuatan sebanyak 160 anggota dan pegawai, KD Lekiu yang dipimpin Pegawai Pemerintahnya, Komander Jamsari Tahir akan menjalankan operasi mengesan pesawat MH370 di perairan Lautan Hindi sama ada pagi esok atau lusa.

"KD Lekiu akan menyertai operasi mencari di kawasan perairan yang terletak 1,000 kilometer dari timur laut Perth menggunakan aset serta kelengkapan yang kita miliki termasuk sebuah helikopter Super Lynx.

"Sepanjang operasi itu iaitu tiga hari perjalanan pergi balik ke pangkalan dan lapan hari operasi mencari, kami akan berkomunikasi dengan kapal RAN HMAS Success dan pusat kawalan kami di Lumut bagi mengetahui lokasi pergerakan kapal ini," kata Jamsari ketika ditemui pemberita Malaysia di HMAS Stirling di sini hari ini.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sebelum ini memberitahu, pasukan itu bersedia menggerakkan lebih banyak aset bagi membantu mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menurut Abdul Aziz, TLDM sebelum ini menggerakkan enam buah kapal dan tiga helikopter menyertai operasi pencarian di koridor selatan.

Jamsari berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi oleh kapal yang berkelajuan 28 knots ini adalah keadaan cuaca tidak menentu, ombak besar yang mampu mencecah ketinggian tujuh meter serta suhu yang sejuk.

"Bagaimanapun semua ini akan kami tempuhi dan semua anak kapal KD Lekiu memohon doa rakyat Malaysia untuk mempermudahkan usaha mencari serta mendoakan keselamatan semua anak kapal," katanya.

Ketibaan KD Lekiu menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu beberapa buah negara yang menyertai operasi mencari di Lautan Hindi yang diketuai pihak berkuasa Australia.

Sabtu lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar dua pesawat Hercules C-130 ke sini untuk menyertai operasi pencarian tersebut.

Selain KD Lekiu, Skuadron Frigat Ke-23 TLDM mempunyai sebuah lagi kapal iaitu KD Jebat. KD Lekiu merupakan aset moden dalam armada TLDM.

Kapal seberat 1,845 tan itu dilancarkan pada Disember 1994 dan dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jamsari memberitahu, pihaknya berharap mereka dapat memperoleh petunjuk terbaru bagi mengetahui lokasi di mana pesawat MAS itu berada.

"Kami sedar cabaran yang bakal ditempuh. Namun bagi saya dan anak kapal, semua cabaran itu harus dihadapi kerana tugas utama kami adalah mencari pesawat MH370 dalam apa jua keadaan," katanya sambil memberitahu ini merupakan kali pertama KD Lekiu menempuhi perjalanan di selatan Lautan Hindi iaitu lokasi pencarian pesawat berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140402/dn_01/KD-Lekiu-sertai-misi-pencarian-di-Lautan-Hindi#ixzz2xgguzghD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - LOYAR BURUK US AMBIL KESEMPATAN..APA HAL?





KOMEN : LOYAR BURUK PUAK PEMBANGKANG TAK NAK JOIN SEKALIKAH?

Tuesday, 1 April 2014

MH370 - Abbott sokong penjelasan Najib mengenai pesawat











Abbott sokong penjelasan Najib mengenai pesawatHishammuddin (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada sidang media MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menyokong pandangan Datuk Seri Najib Razak bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi.

“Berdasarkan bukti dikumpulkan mendapati pesawat itu telah hilang di kawasan selatan Lautan Hindi,” katanya di pusat koordinasi pencarian pesawat itu di pangkalan tentera udara Australia di Perth.



“Bukti itu jelas amat kukuh dan saya fikir Perdana Menteri Najib Razak berhak membuat rumusan itu, dan saya fikir sebaik sahaja rumusan dicapai, adalah menjadi tanggungjawab beliau mengumumkan rumusan itu,” kata beliau yang dipetik oleh agensi berita AFP semalam. 


Pada 24 Mac lalu, Najib mengumumkan berdasarkan analisis maklumat satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), penerbangan MH370 ‘berakhir di selatan Lautan Hindi.’


Tak sebut terhempas

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menegaskan Najib tidak pernah menyebut perkataan merujuk kepada ‘terhempas’ atau ‘tiada yang terselamat’ ketika mengumumkannya.
Menurutnya, tuntutan supaya Najib meminta maaf oleh keluarga penumpang di China adalah susulan laporan media yang mendakwa kedua-dua perkataan itu terkandung dalam pengumuman berkenaan.

Sebahagian tuntutan antara lain mendesak Malaysia meminta maaf kepada keluarga penumpang dari China atas kenyataan yang mengguris hati mereka.

“Laporan itu antara lain menyebut Perdana Menteri dan kerajaan ada menyebut pesawat terhempas dan tiada penumpang atau anak kapal terselamat. Ini sama sekali tidak benar. Tidak ada sekalipun ada disebut perkataan terhempas atau tiada yang terselamat ketika pengumuman dibuat,” katanya menjawab soalan wakil media asing semalam.

Semenanjung Korea tegang


SEOUL 31 Mac - Korea Utara dan Korea Selatan hari ini saling berbalas tembakan meriam, memarakkan lagi perselisihan antara kedua-dua negara jiran itu sehingga memaksa penduduk Korea Selatan di beberapa buah pulau dipindahkan.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-seok, jirannya melepaskan sejumlah 500 tembakan meriam dalam satu latihan tentera dengan 100 daripadanya jatuh di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.

Korea Selatan pula membalas dengan 300 tembakan meriam yang menyasarkan Garisan Had Korea Utara. Jelas Min-seok, tindak balas itu tercetus apabila Korea Utara melakukan latihan tembakan meriam ke arah Korea Selatan bagi mempertahankan sempadan perairannya.

Latihan ketenteraan oleh Pyongyang itu bermula pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan, disusuli tindakan balas Korea Selatan tidak lama kemudian.

"Sebahagian peluru Korea Utara itu mengenai sempadan laut Korea Selatan semasa latihan berlangsung. Oleh itu, pihak tentera melakukan tembakan balas ke sempadan Korea Utara berpandukan protokol biasa," kata Min-seok.

Para penganalisis berkata, insiden itu berlaku sehari selepas Pyongyang mengancam untuk melakukan ujian nuklear baharu, sebagai isyarat kekecewaan Korea Utara dengan sekatan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan rundingan pelbagai pihak membabitkan program nuklearnya.

Pyongyang melihat rundingan itu sebagai satu peluang untuk mendapatkan konsesi dan bantuan daripada komuniti antarabangsa.

"Saya tidak melihat ini sebagai satu percubaan untuk mencetuskan satu perbalahan secara serius.

"Tindakan ini adalah cubaan Korea Utara untuk mengekalkan tekanan bagi meneruskan satu rundingan nuklear," kata seorang profesor Universiti Pengajian Korea Selatan, Yang Moo-jin di Seoul.

Korea Utara sebelum ini, seperti biasa menguar-uarkan tentang latihan tembakan meriamnya dengan memberitahu Korea Selatan terlebih dahulu serta mengeluarkan larangan provokatif belayar dan terbang.

Pada 2010, Korea Utara melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke Pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Dua anggota marin Korea Selatan maut dalam kejadian itu, sementara 15 yang lain serta tiga penduduk awam cedera. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140401/lu_03/Semenanjung-Korea-tegang#ixzz2xbxDQmaU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK BALINGIAN - Bukti PKR kalah teruk PRK DUN Balingian didedah

Adenan Satem (kanan) dalam sidang media mengenai pasca Pilihan Raya Kecil DUN Balingian di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA

KUCHING 31 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini mendedahkan beberapa bukti yang menyebabkan kekalahan teruk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sabtu lalu.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat apabila parti pembangkang hanya memperoleh dua daripada 170 jumlah keseluruhan undi pos dan kurang 100 undi di setiap pusat mengundi.

Katanya, dakwaan pembangkang kononnya mereka berjaya meningkatkan jumlah undi daripada 817 undi pada Pilihan Raya Negeri 2011 kepada 1,283 undi dalam pilihan raya kali ini sama sekali tidak tepat.

"Dakwaan pembangkang itu langsung tidak betul kerana angka yang dinyatakan mereka sebenarnya menurun dan merupakan salah satu bukti penduduk di Balingian tidak menyokong parti tersebut.

"Mereka terlupa pada Pilihan Raya Negeri 2011, terdapat tiga calon bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 6,210 undi manakala calon Bebas (1,056 undi) dan PKR (871 undi), menjadikan jumlah keseluruhan undi dua calon itu adalah 1,927," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini.

Mengulas lanjut, Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu berkata, situasinya berbeza dengan pilihan raya kali ini iaitu pertemuan satu lawan satu antara BN dengan PKR dan parti pembangkang itu hanya memperoleh 1,283 undi.

Katanya, sekiranya PKR melihat bilangan undi itu sebagai satu peningkatan, beliau berharap pembangkang meneruskan polisi yang sama pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

"BN bukan hanya menang dengan majoriti lebih tinggi iaitu 6,911 pada PRK DUN Balingian, sebaliknya kita hampir berjaya menghapuskan wang pertaruhan pembangkang.

"Malah, peningkatan jumlah undi di dua kawasan yang terdiri daripada majoriti pengundi Cina iaitu Mukah (270) dan Kuala Balingian (465) juga membuktikan BN berjaya dengan cemerlang pada pilihan raya kali ini," katanya.

Jelas Adenan, kemenangan itu adalah hasil usaha seluruh barisan jentera dan pemimpin BN negeri serta Pusat yang bertungkus-lumus melakukan yang terbaik sepanjang 12 hari tempoh berkempen.

Katanya, beliau sebagai Ketua Menteri hanya memainkan peranan yang sangat kecil dalam memastikan kemenangan memihak kepada BN kerana realitinya penduduk Balingian semakin bijak dalam menilai parti mana yang boleh membantu mengubah masa depan mereka.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri dan Pusat akan terus mengadakan pelbagai aktiviti pembangunan di Balingian untuk kemudahan penduduk di situ dan bukan kerana tuntutan daripada PKR.

"Ini jelas apabila kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, sistem sungai, bekalan elektrik, sekolah, hospital dan klinik sejak 1963 iaitu sebelum wujudnya parti PKR," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140401/po_03/Bukti-PKR-kalah-teruk-PRK-DUN-Balingian-didedah#ixzz2xbu0M4F5  © Utusan Melayu (M) Bhd



MH370 - Kerajaan perlu jawab dakwaan media








KUALA LUMPUR 31 Mac - Kerajaan digesa supaya tidak berdiam diri terhadap segala tuduhan dan dakwaan negatif yang dilemparkan oleh media asing khususnya Cable News Network (CNN) berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Gesaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) itu mengkhususkan kepada Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya menjawab dakwaan-dakwaan tersebut.

Ini, termasuk tuduhan liar yang mengaitkan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid sebagai punca nahas pesawat.

"Saya nak tegur kerajaan, kita perlu bertindak. Takkan mereka tuduh seolah-olah negara ini pengganas, kita tak jawab. Nak jawab kat TV1, TV2, TV3 buat apa. Kita jawab di peringkat antarabangsa. Sebab ini imej negara. (Mereka) fitnah negara seolah-olah kita penuh dengan mereka yang ganas.

"Saya cukup kasihan dengan ahli keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang itu. Tetapi mereka (media asing) buat tindakan (keluar berita) seolah-olah mereka ini pengganas. Tolonglah kerajaan, ambil tindakan tegas terhadap media-media antarabangsa yang secara tidak langsung menjahanamkan imej negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) 2014 bacaan kali kedua di peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini.

Gesaan beliau itu turut mendapat sokongan Mas Ermieyati Samsudin (BN-Masjid Tanah); Mohamed Hanipa Maidin (Pas-Sepang) dan Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang mahu dakwaan-dakwaan berkenaan diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan.

Mas Ermieyati juga mempertikaikan 'pengetahuan' geografi CNN yang meletakkan Kuala Lumpur berada di Indonesia dalam laporannya baru-baru ini.

Azalina memberitahu, kesilapan CNN bukan hanya setakat lokasi Kuala Lumpur tetapi gagal menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan betul.

"Saya yakin kajian tidak dibuat. Mereka (CNN) hanya agresif buat laporan kerana mahukan ramai penonton. Saya mohon Menteri Luar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia bertindak, tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tidak ada elemen subversif seperti yang tersurat dan tersirat oleh media antarabangsa.

"CNN ini berjuta-juta tengok. Tak adil kepada keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang. Saya minta, bertindaklah. Maruah dan imej negara tercalar sejak kebelakangan ini," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru semua ahli Parlimen di pihak kerajaan dan pembangkang supaya bersatu dalam berdepan tragedi MH370.

"Bersatu kerana ini negara kita. Bersatu kerana orang tuduh seolah-olah ada benda tidak elok. Saya tak yakin juruterbang dan pembantu juruterbang MH370 subversif. Orang malaysia tak macam itu. Kita perlu bela orang tak bersalah ini," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140401/pa_02/Kerajaan-perlu-jawab-dakwaan-media#ixzz2xbnV83Ho  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

PARLIMEN - Pindaan akta dikuat kuasa esok










KUALA LUMPUR 31 Mac - Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa bicara bagi tujuan pencegahan jenayah akan dikuatkuasakan Rabu ini selepas diwartakan esok.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penguatkuasaan undang-undang itu akan membolehkan polis melaksanakan operasi membanteras jenayah terancang dan berat secara lebih berkesan.

"Sebelum pelaksanaan akta ini kita beri taklimat kepada pihak penjara supaya mereka yang ditahan nanti diberikan latihan, kaunseling dan sebagainya," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), Wan Junaidi berkata, akta itu bukan satu akta yang baharu tetapi digubal pada 1959 dan masih terpakai sehingga pada hari ini dengan pindaan dibuat pada tahun lepas.

Katanya, antara pindaan yang dibuat adalah memperkenalkan perintah tahanan dan penggunaan alat pemantauan elektronik (EMD) terhadap individu yang dikenakan perintah pengawasan polis.

"Walau bagaimanapun, elemen-elemen hak asasi manusia tetap diambil kira dalam pindaan yang dilakukan," kata beliau.

Menurutnya, pindaan terhadap akta tersebut bukan secara mutlak mempunyai elemen tahanan tanpa bicara kerana wujudnya unsur-unsur semak dan imbang.

"Ini kerana tidak ada lagi kuasa eksekutif menteri untuk mengeluarkan perintah pengawasan atau perintah tahanan, tetapi kuasa itu telah dipindahkan kepada sebuah badan bebas iaitu Lembaga Pencegahan Jenayah yang mana ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140401/pa_01/Pindaan-akta-dikuat-kuasa-esok#ixzz2xblZ4Lg7  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

MH370 - Dua pesawat TUDM sertai misi

Mardiana Razali (kiri) berbincang dengan pegawainya mengenai lokasi pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi di Perth, Australia, awal pagi semalam.

PERTH 31 Mac - Menempuhi cuaca buruk termasuk kepulan awan tebal sepanjang dua jam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi adalah antara cabaran getir yang dilalui pasukan Skuadron 20 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Namun, semua itu tidak mematahkan semangat 13 anggota dan pegawai pasukan itu yang menyertai operasi hari kedua di perairan yang terletak 1,100 di timur laut Perth.

Berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook pukul 9.30 dan 10 pagi ini, dua pesawat Hercules C-130 menempuhi penerbangan empat jam untuk tiba di lokasi pencarian sejauh 1,100 kilometer di zon baharu.

Seramai 20 petugas media Malaysia daripada pelbagai media cetak dan elektronik turut dibawa menaiki kedua-dua pesawat itu yang masing-masing diterbangkan oleh Mejar Azhar Abdul Rahman dan Mejar Mardiana Razali.

Sebaik sahaja tiba di lokasi pencarian, salah sebuah pesawat mencampakkan enam boya berbentuk silinder buatan Amerika Syarikat ke laut yang berfungsi menyalurkan maklumat berhubung tekanan arus lautan.

Setiap satu boya seberat 10 kilogram itu dicampakkan secara berturutan pada jarak antara 40 hingga 80 batu nautika.

Boya tersebut mampu bertahan selama sembilan hari dan segala data yang dikumpul boya itu dapat membantu kapal untuk memasuki kawasan pencarian sekiranya mengesan sebarang objek.

Pegawai Pemerintah Skuadron 20 TUDM Subang, Mejar Mohd. Jafri Suboh yang mengetuai misi pencarian itu berkata, misi pencarian selama dua jam di zon baharu itu tidak menemukan sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370.

"Kami akan teruskan usaha sedaya upaya untuk mengesan objek di perairan tersebut dalam operasi selepas ini," katanya.

Kedua-dua pesawat TUDM itu kemudian menempuhi penerbangan selama empat jam sebelum tiba di pangkalan RAAF pada pukul 6 dan 6.30 petang ini.






MH370 - Malaysia tidak sembunyi fakta

TONY Abbott (tiga, kanan) bersalaman dengan Pegawai Pemerintah Skuadron 20 TUDM Subang, Mejar Mohd. Jafri Suboh TUDM (empat, kiri) di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SARS) MH 370 di Pangkalan RAAF Pearce, Perth, semalam.

PERTH 31 Mac - Perdana Menteri Australia, Tony Abbott hari ini menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Kerajaan Malaysia menyembunyikan fakta berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.

Beliau berkata, Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat memberi komitmen yang tinggi dalam usaha mencari pesawat negara berkenaan.

Malah, katanya, Malaysia juga turut menghantar pasukan mencari bagi membantu Australia yang kini mengepalai operasi pencarian di Lautan Hindi dekat sini.

"Tidak... (Malaysia tidak menyembunyikan fakta). Berdasarkan bukti yang diperoleh, Perdana Menteri Najib Razak merumuskan bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

"Selain itu, usaha yang ditunjukkan semua negara yang terlibat dalam operasi mencari pesawat MH370 ini amat tinggi.

"Atas dasar kerjasama ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada negara yang terlibat iaitu New Zealand, Amerika Syarikat, Malaysia, China, Jepun dan Korea," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan singkat selama hampir sejam di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan beliau, Warren Truss; Menteri Pertahanan Australia, David Johnston dan bekas Panglima Angkatan Tentera negara itu, Angus Houston.

Lawatan itu bagi meninjau pusat operasi gerakan mencari pesawat MH370 yang dikendalikan oleh RAAF selain menjadi lokasi semua media tempatan dan antarabangsa berkumpul.

Abbott sebelum itu ditanya oleh seorang wartawan antarabangsa adakah Malaysia menyembunyikan fakta serta maklumat berhubung kehilangan pesawat tersebut.

Beliau memberitahu, semua pihak perlu sedar bahawa misi pencarian pesawat ini merupakan satu usaha yang amat kompleks, mencabar serta memerlukan penglibatan secara profesional dengan kerjasama semua pihak bagi merungkai misteri kehilangannya.

Katanya, Australia juga seperti negara lain yang terlibat dalam gerakan mencari pesawat ini telah berusaha sedaya upaya menggunakan segala kelengkapan dan peralatan canggih bersama lebih 500 anggota untuk segera menemukan lokasi pesawat itu.

"Apa yang dilakukan oleh kami adalah terus mencari dan kami lakukan ini demi kepentingan semua negara terlibat termasuk keluarga penumpang," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Australia akan meneruskan operasi mencari pesawat ini untuk satu tempoh yang belum diputuskan.

"Kita juga memaklumkan bahawa segala kos operasi ini akan ditanggung oleh kami dan semua negara yang terlibat sejak mula ia dijalankan. Kami juga berbesar hati mengetuai operasi ini yang membuktikan hubungan baik dengan kesemua negara yang terlibat," katanya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140401/dn_12/Malaysia-tidak-sembunyi-fakta#ixzz2xbe2q8Yq  © Utusan Melayu (M) Bhd