Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 6 March 2014

Khalid ketepikan tekanan Anwar


Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN
pengarang@utusan.com.my




SHAH ALAM 5 Mac. - Perbalahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ketara.

Terbaharu, kedua-dua pemimpin tersebut dilihat berbalah berhubung isu persetujuan Kerajaan Selangor untuk menandatangani Perjanjian Awal dengan Kerajaan Persekutuan yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci tentang penstrukturan semula industri air di negeri tersebut.

Persetujuan itu diumumkan oleh Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini, hari ini sebelum Anwar beberapa jam kemudian mengarahkan Menteri Besar Selangor tersebut menangguhkan dahulu perjanjian berkenaan.

Anwar mengeluarkan arahan itu dengan alasan ia tidak boleh dilakukan selagi kepimpinan negeri dan pakatan pembangkang tidak diberi penjelasan sepenuhnya sedangkan Abdul Khalid sebelum ini sudah menyatakan apa yang beliau lakukan adalah demi kepentingan rakyat.

Sebelum ini Anwar juga dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan Abdul Khalid yang tidak memaklumkan kepada beliau berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan Selangor dengan kerajaan persekutuan yang ditandatangani pada Rabu lalu.

MoU penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor itu menyaksikan Kerajaan Selangor akan membenarkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan akan mengambil alih konsesi air di negeri tersebut.

Dalam sidang akhbarnya, Abdul Khalid berkata, persetujuan untuk menandatangani Perjanjian Awal dicapai ketika beliau menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, semalam.

Beliau juga menempelak kenyataan beberapa pemimpin PKR yang menyatakan MoU berhubung perkara itu akan menyebabkan tarif air meningkat.

Sebaliknya, beliau menegaskan, dalam Perjanjian Awal yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak semalam, tidak akan ada sebarang kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun.

"Dalam perjanjian itu telah dinyatakan bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Kelmarin, Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli mendakwa MoU itu akan menyebabkan kenaikan harga air secara mendadak untuk menampung kos pengambilalihan empat konsesi air di negeri ini.

Mengulas tentang dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang memintanya tidak berlindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi untuk membuat perjanjian, Abdul Khalid berkata, setiap kerajaan mempunyai prosedurnya sendiri untuk membuat perjanjian dan menjaga maklumat kerajaan.

"Sebagai contoh, apabila kita (kerajaan negeri) memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat, kita telah melantik pegawai untuk menjaga maklumat kerajaan dengan prosedur yang ditetapkan dan ini telah lama dilakukan.

"Saya harap, bijak pandai kita mesti mempunyai keupayaan untuk tentukan bahawa tatacara pentadbiran perlu dibuat dengan penuh adab dan tertib supaya rakyat dapat melihat kita lebih profesional dengan apa-apa yang kita lakukan," tegas beliau.

Mengulas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Abdul Khalid berkata, mereka turut bersetuju supaya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri diwakili oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"KeTTHA dan KDEB akan bekerjasama bagi menghasilkan draf Perjanjian Awal ini yang dijangka ditandatangani dalam tempoh yang terdekat.

"Perkembangan ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak terhadap MoU penstrukturan semula bekalan air di Selangor," katanya.

Addul Khalid dalam pada itu berkata, dokumen MoU tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh seminggu.

"Saya telah berbincang dengan menteri berkaitan untuk membenarkan orang ramai mendapatkan salinan MoU itu dan dalam tempoh seminggu kita akan dapat jawapannya.

"Namun, melalui maklum balas yang saya terima hasil perbincangan itu, menteri terbabit turut berpendapat perkara ini boleh dilakukan kerana ia bertujuan pendedahan umum dan tidak menjejaskan keselamatan negeri serta negara," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140306/po_09/Khalid-ketepikan-tekanan-Anwar#ixzz2v93tzC6j  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Mahkamah Persekutuan putuskan


Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my




Umat Islam berhimpun di pekarangan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di Putrajaya, semalam. - bernama

PUTRAJAYA 5 Mac - Persoalan sama ada majalah mingguan, The Herald berhak atau tidak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ketetapan itu dibuat selepas permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah larangan Mahkamah Rayuan bertarikh 14 Oktober 2013 selesai didengar hari ini di hadapan panel khas seramai tujuh hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Enam lagi ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata, keputusan menteri pada 7 Januari 2009 yang tidak membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, bebas daripada sebarang unsur mala fide (niat jahat).

Menurut beliau, menteri berkenaan juga tidak tersalah arah ataupun bertindak secara salah ketika mengeluarkan perintah melarang gereja itu menggunakan kalimah tersebut.

Malahan beliau menegaskan, ketika mengeluarkan perintah larangan itu, Menteri Dalam Negeri telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Justeru itu, pihaknya menyatakan, tiada sebarang kecacatan dalam perintah tersebut kerana mematuhi segala peraturan tanpa sebarang unsur yang tidak rasional.

Sulaiman sehubungan itu memohon supaya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Pihak gereja memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Dalam permohonan itu pihak gereja menamakan Menteri Dalam Negeri, kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah, Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) selaku responden pertama hingga kelapan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan pihak kerajaan berhujah, dalam permohonan untuk mendapat kebenaran merayu, mahkamah akan mengkaji semula keputusan pihak berkuasa awam bahawa semakan kehakiman adalah berkaitan proses membuat keputusan dan bukannya terhadap keputusan itu sendiri.

Peguam Mubashir Mansor yang mewakili Majlis Agama Islam Johor, Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan pula menarik perhatian mahkamah dengan mengatakan, isu yang menjadi persoalan bukannya mengenai pertembungan agama dan bukan juga isu Islam mencampuri urusan agama Kristian.

Sebaliknya menurut beliau, ia sebenarnya berhubung persoalan terjemahan dan salah terjemah kalimah Allah.

Pihak pemohon juga, kata beliau, mesti membuktikan perkara penting iaitu kalimah Allah berasal daripada perkataan Arab dan dalam terjemahan bahasa Melayu juga mengandungi kalimah Allah.

Sehubungan itu, katanya, pihak pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pindaan ke atas perkataan tersebut.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Macma pula berkata, pemohon gagal membuktikan bagaimana perintah menteri yang berkenaan salah di sisi undang-undang.

"Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya membuang masa untuk menjawab semua persoalan ini," kata peguam tersebut.

Pihak gereja yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Cyrus Dass dalam hujahnya menyifatkan, menteri berkenaan telah membuat kenyataan sewenang-wenangnya tanpa disokong dengan sebarang bukti.

Katanya, menteri gagal menunjukkan dan menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah Allah dalam The Herald versi bahasa Melayu mampu mengancam keselamatan negara dan boleh menyebabkan kekeliruan agama.

Hak golongan minoriti menurut Dass, telah terjejas disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana hak tersebut bukan diatur oleh kuasa eksekutif sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140306/ma_01/Mahkamah-Persekutuan-putuskan#ixzz2v8zoVbjF  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 5 March 2014

Permohonan Gereja Katolik didengar hari ini






KUALA LUMPUR 4 Mac - Permohonan Gereja Katolik bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguan The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan esok.

Pada 14 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Pada 2009, Gereja Roman Katolik diketuai oleh Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai pihak responden.

Mereka antara lain memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald sebagai tidak sah.

Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayu, khusus untuk penganut katolik di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 soalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Soalan berkaitan perlembagaan yang dikemukakan oleh barisan peguam yang mewakili gereja itu adalah untuk membahaskan mengenai Islam sebagai agama persekutuan, kebebasan bersuara, beragama dan hak kepada pendidikan agama.

Dalam kes sivil di Mahkamah Persekutuan, pemohon perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah terlebih dahulu bagi membawa perkara itu untuk rayuan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140305/ma_05/Permohonan-Gereja-Katolik-didengar-hari-ini#ixzz2v3YbI7g2  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Piala Asia: Misi hidup mati Harimau Malaya


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my




KUALA LUMPUR - Masih memburu sisa-sisa peluang untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015, Harimau Malaya tetap akan berjuang bermati-matian memburu tiga mata berharga ke atas Yemen pada aksi penutup Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Tahnon bin Mohamed di Abu Dhabi malam ini.

Itu janji keramat yang dilafazkan oleh pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, yang dalam masa sama mengharapkan elemen tuah akan memihak Malaysia sambil tidak memandang lekeh cabaran Yemen, yang kini berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Pemain yang paling dibimbangkan oleh Kim Swee adalah penjaring gol tunggal Yemen ketika beraksi di Stadium Shah Alam pada 22 Mac tahun lalu iaitu Ayman Al-Hagri, pemain yang disifatkan mampu meranapkan impian Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia di Australia.

"Secara teknikal, Yemen sebenarnya sebuah pasukan yang bagus dan saya paling bimbangkan pemain berjersi nombor 10 (Al-Hagri), pergerakannya perlu diperhatikan.

"Dia seorang pemain yang begitu lincah, tambahan Yemen mempunyai kualiti dalam membuat hantaran jauh, saya fikir itu akan memberikan kelebihan kepada pemain ini.

"Kami pun hanya menang 2-1 di Kuala Lumpur dan kami tidak boleh mengambil mudah cabaran Yemen kerana selepas kalah dalam lima perlawanan berturut-turut, sudah tentu mereka mahukan kemenangan," katanya ketika dihubungi semalam.

Menyentuh mengenai peluang negara layak ke pusingan akhir, Kim Swee tidak meletakkan harapan menggunung tinggi kerana sedar peluang Harimau Malaya banyak bergantung kepada pasukan lain namun dia sama sekali tidak berputus harap.

"Peluang kita memang nampak sempit kerana semuanya bergantung kepada keputusan perlawanan membabitkan Iraq, Syria, Lebanon dan Hong Kong.

"Yang mustahak kita bermain seperti biasa untuk dapatkan kemenangan dan saya tidak mahu fikirkan mengenai keputusan perlawanan lain, harap tuah dan nasib akan menyebelahi kami," katanya.

Berdasarkan peraturan kelayakan, juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia dengan satu lagi slot akan diisi oleh pasukan di tempat ketiga terbaik daripada lima kumpulan.

Di atas kertas, Iraq berada dalam kedudukan terbaik daripada lima pasukan untuk layak dengan meraih enam mata selepas lima perlawanan dan mereka akan bertemu China pada aksi terakhir.

Jika Iraq tewas, Malaysia perlu mengharapkan ihsan pasukan jiran, Thailand untuk menyekat Lebanon (lima mata) yang berkedudukan pasukan kedua di tangga ketiga terbaik daripada mencapai kemenangan selain mengharapkan Syria (empat mata) seri atau tewas kepada Jordan.

Perlawanan itu akan berlangsung pukul 10 malam waktu Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140305/su_04/Piala-Asia-Misi-hidup-mati-Harimau-Malaya#ixzz2v3RhUFBZ  © Utusan Melayu (M) Bhd



KOMEN : SEMOGA BERJAYA...

Keputusan Mahkamah Rayuan kekal - APA HELAH MEREKA SETERUSNYA


Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my






DARI KIRI: Anwar Ibrahim, Muhammad shafee abdullah

PUTRAJAYA 4 Mac - Usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat membabitkan beliau dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan bagi mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu terhenti hari ini.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan bantahan pihak pendakwaan untuk membatalkan notis rayuan oleh Anwar.

Rentetan itu, rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan permohonannya untuk memanggil semula Supritendan Judy Blacious Pereira ditolak.

Pada 12 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Aziah Ali menolak permohonan Anwar yang dibuat bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan petisyen penerimaan masuk Judy sebagai peguam bela dan peguam cara.

Judy tidak diterima masuk sebagai peguam kerana disifatkan sebagai ‘tidak layak dan sesuai’ berdasarkan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Inkuiri berkaitan kes penahanan lima peguam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kerana terlibat dalam perhimpunan haram mendapati Judy merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai kerana ‘secara sedar atau tidak telah tidak bercakap benar atau menghidap penyakit hilang ingatan yang serius’.

Terdahulu, ketika membaca penghakiman ringkas, panel lima hakim yang diketuai oleh Tan Sri Suriyadi Abdul Halim menyatakan, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan bukan satu perintah yang boleh dirayu kerana ia bukan keputusan yang muktamad.

Ujarnya, isu utama dalam prosiding hari ini ialah mengenai tafsiran Seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman (COJA) 1964 dan panel terbabit sebulat suara berpendapat bahawa notis rayuan oleh Anwar itu tidak mencukupi.

Hakim terbabit turut menyatakan, keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak menyekat atau memprejudiskan hak Anwar dalam rayuan oleh pihak pendakwaan yang akan didengar pada Khamis dan Jumaat ini.

Yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Terdahulu, peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah menyatakan, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan tidak terkandung di bawah tafsiran ‘keputusan’ seperti yang dinyatakan oleh Seksyen 3 COJA yang telah dipinda sekali gus menjadikan keputusan tersebut tidak boleh dirayu.

Peguam yang dilantik untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat itu juga menyatakan, tindakan Anwar untuk memanggil semula bekas pengawai penyiasat itu adalah satu usaha untuk memasukkan bahan bukti yang telah ditolak penerimaannya oleh mahkamah yang mendengar perbicaraan kes itu.

Peguam, Karpal Singh yang mewakili Anwar pula menghujahkan bahawa Seksyen 87 akta tersebut boleh diguna pakai oleh Mahkamah Persekutuan dalam membuat sebarang keputusan terhadap mana-mana prosiding jenayah oleh Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, Seksyen 3 itu hanya boleh diguna pakai bagi isu-isu yang ditimbulkan sewaktu perbicaraan di Mahkamah Tinggi namun permohonan Anwar berpunca daripada Mahkamah Rayuan.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140305/ma_01/Keputusan-Mahkamah-Rayuan-kekal#ixzz2v3NEYhfb  © Utusan Melayu (M) Bhd 




Tuesday, 4 March 2014

UiTM juara berganda Shell


Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kampus@utusan.com.my




Pasukan UiTM Eco-Sprint bergambar bersama model prototype yang memberi kemenangan kepada pasukan itu selepas penyampaian hadiah kategori Prototype dalam pertandingan Shell Eco-Marathon Asia 2014, yang diadakan di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Dua pasukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melakar sejarah apabila menjuarai kategori Prototype dan Urban Concept dalam pertandingan Shell Eco-Marathon Asia 2014, yang diadakan di Manila,Filipina pada 7 hingga 9 Februari lalu.

Gabungan pelajar dari tiga fakulti iaitu, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejuruteraan Kimia itu telah membina dua buah kenderaan yang menjimatkan penggunaan bahan api.

Penasihat pasukan, Syed Mohd. Harussani Syed Omar berkata, pasukan UiTM Eco-Sprint telah mencatat rekod 77.6km/kWh per liter, bersamaan dengan 720 km, dengan menggunakan satu liter hidrogen sebagai bahan api dengan kos RM0.70.

“Pasukan ini juga berjaya menewaskan empat pasukan Asia dan dua pasukan Malaysia yang lain pada peringkat akhir pertandingan, bagi kategori Prototype dan seterusnya dinobatkan sebagai juara," katanya.

Syed Mohd. Harussani berkata, lebih membanggakan pasukan UiTM Eco-Planet pula telah mencipta kemenangan berganda apabila menjadi juara bagi kategori Urban Concept.

“Kenderaan yang dibangunkan pasukan ini turut menggunakan hidrogen sebagai bahan api dengan mencatat rekod sejauh 44.5km/kWh per liter.

“Kami ingin berterima kasih kepada Naib Canselor, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Abu Bakar, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Dr. Mohd. Nasir Taib, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Ir. Dr. Hj Ahmed Jaafar , pensyarah, juruteknik kedua-dua fakulti serta warga UiTM yang memberi sokongan serta dorongan kepada semua peserta sejak dari dahulu lagi,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Bagi Hal Ehwal Pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Madya Dr. Ahmad Asari Sulaiman berkata, kedua-dua pasukan telah berusaha bersungguh-sungguh, bekerja keras, berkorban masa, tenaga dan kewangan bagi memperkenalkan idea kreatif dan inovatif mereka untuk menyertai Shell Eco-Marathon 2014 itu.

“Kajian dan penyelidikan yang dijalankan pelajar tersebut sejak 2010 telah membuahkan hasil pada tahun ini, sekaligus mengangkat nama UiTM khususnya dan Malaysia umumnya dalam bidang profesional ini di persada antarabangsa.

“Kedua-dua pasukan turut mendapat tajaan dari MyDuino.com dan Commerce Dot Com, selain daripada sumbangan dana UiTM. Mereka telah menyertai pertandingan Shell Eco-Marathon Asia itu sejak dua tahun yang lalu,"katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140303/ka_02/UiTM-juara-berganda-Shell#ixzz2uxTjxbMO  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Siapa pilihan Kim Swee?


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my




Ong Kim Swee juga mempunyai pilihan untuk memilih Baddrol Bakhtiar (kanan), yang turut sering digunakan sebagai pemain sayap apabila Harimau Malaya bertemu Yemen esok.

KUALA LUMPUR - Ketiadaan Shakir Shaari dan Junior Eldstal membuka ruang kepada empat pemain, termasuk bekas ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim bersaing bagi merebut dua slot di bahagian tengah menjelang perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 dengan Yemen, esok.

Tiga pemain yang akan menyaingi Safiq ialah Mohd. Badhri Mohd. Radzi, Mohd. Hafiz Kamal dan Mohd. Nazmi Faiz Mansor.

Pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan peluang masih terbuka kepada keempat-empat pemain tersebut dengan dia juga masih berkira-kira siapa pemain yang layak mengisi tempat dalam kesebelasan utama.

Perkiraan meletakkan dua pemain di bahagian tengah itu diambil selepas Kim Swee membayangkan kemungkinan akan terus mempertaruhkan dua pemain mengemudi jentera serangan ketika berdepan Yemen di Stadium Tahnon bin Mohamed di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kriteria utama yang saya mahukan dalam memilih pemain yang akan beraksi di bahagian tengah adalah dia mempunyai keseimbangan sama ada dalam situasi menyerang dan bertahan.

"Kedua-dua aspek ini cukup penting kerana kita bukan sahaja mahukan pemain yang ada daya kreativiti ketika melakukan serangan tetapi turut mampu membantu barisan pertahanan apabila diserang.

"Saya menjangka akan terus gunakan dua penyerang di barisan hadapan setelah apa yang saya tengok selepas perlawanan dengan Filipina tempoh hari," katanya ketika dihubungi semalam.

Selain Shakir dan Junior yang digugurkan, penyerang yang banyak menimbulkan kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid tidak dibawa ke UAE.

Dalam perlawanan persahabatan bertemu Filipina di Stadium Selayang pada Sabtu lalu, percubaan Kim Swee menggandingkan Hafiz Kamal yang meraih cap pertama bersama skuad kebangsaan dengan Safiq Rahim di bahagian tengah dilihat menjadi apabila banyak gerakan menarik mampu dihasilkan.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri atau Piya hanya dimasukkan pada minit ke-59 dan beraksi bersama Safiq, dan tidak keterlaluan untuk mengatakan kombinasi kedua-dua pemain ini juga antara yang terbaik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140304/su_02/Siapa-pilihan-Kim-Swee#ixzz2uxIOxtDN  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Permohonan Anwar taktik tangguh - DI TOLAK


Oleh SUWARNI MOKHTAR 
pengarang@utusan.com.my




PUTRAJAYA 3 Mac - Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan, menyifatkan permohonan terbaharu Ketua Pembangkang itu hanya bertujuan melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasannya daripada tuduhan liwat.

Sambil menganggap perkembangan rayuan tersebut begitu perlahan seperti siput, Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim dengan tegas menolak permohonan Anwar untuk menangguhkannya, sekali gus memerintahkan rayuan pihak pendakwaan itu diteruskan pada Khamis dan Jumaat ini.

"Terdapat elemen yang menunjukkan bahawa permohonan dibuat atas tujuan untuk melengahkan rayuan pihak pendakwaan yang pada ketika ini bergerak begitu perlahan seperti siput. Tiada sebarang perkembangan dalam rayuan itu sejak Julai 2013," kata beliau.

Hakim Balia yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebelum itu sebulat suara menolak permohonan terbaharu Anwar untuk menyingkirkan Muhammad Shafee yang difailkan pada 25 Februari lalu.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah mendapati bahawa permohonan kali ketiga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan remeh.

Panel tersebut juga berpendapat, mahkamah tidak boleh memutuskan bahawa Muhammad Shafee adalah tidak layak dan sesuai untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terbabit semata-mata atas keputusan Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam.

Selain itu, kuasa melantik seseorang individu untuk mewakili pihak pendakwaan merupakan kuasa mutlak Peguam Negara yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Anwar mengemukakan permohonan itu atas alasan pada 5 Oktober 2012, Muhammad Shafee telah didenda RM5,000 selepas didapati melanggar Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan keputusan jawatankuasa itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Berhubung permohonan penangguhan rayuan itu Hakim Balia menyatakan, tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan rayuan tersebut ditangguhkan walaupun pihak pembelaan ingin merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.

"Kami mendapati bahawa tiada sebab khas untuk menangguhkan rayuan. Rayuan terhadap kes liwat itu akan berjalan pada 6 dan 7 Mac ini, pukul 9 pagi," kata Hakim Balia.

Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat itu tertangguh sebanyak 69 kali.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Anwar untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonannya pada 12 Februari lalu.

Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140304/ma_01/Permohonan-Anwar-taktik-tangguh#ixzz2uxEBiVaN  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : BILA NAK SELESAILAH KALAU ASYIK DI TANGGUH...

Adenan kekalkan Kabinet


Oleh MD. AZRIN ROSLY
utusansarawak@utusan.com.my




ADENAN Satem (kiri) menerima kunjungan ketua-ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di pejabat rasmi Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

KUCHING 3 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengekalkan portfolio kesemua menteri Kabinet negeri yang dilantik oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini bagi membantunya menguruskan pentabdiran Sarawak.

Bagaimanapun, terdapat satu kekosongan jawatan dalam Kabinet negeri apabila beliau melepaskan portfolio sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) setelah dilantik menjadi Ketua Menteri berkuat kuasa kelmarin.

"Dalam barisan Kabinet negeri, saya telah menggugurkan seorang menteri iaitu Tan Sri Adenan Satem maka beliau bukannya Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) lagi," katanya secara berseloroh.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pertama yang diadakannya selepas dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Menteri-menteri Muda Negeri di Dewan Lapau.

Majlis angkat sumpah tersebut diadakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sambil disaksikan oleh Adenan.

Yang turut hadir, isteri Abdul Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan isteri Adenan, Puan Sri Jamilah Anu. Menurut Adenan, tiada sebab untuk beliau menukar barisan Kabinet negeri yang sedia ada kerana pemimpin yang dipilih bagi memegang jawatan di dalamnya sudah cukup baik.

"Apabila kepemimpinan yang ada sudah baik, kita kekalkan. Kita telah menuju ke arah yang betul, mengapa perlu diubah," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga akan memegang jawatan yang disandang Abdul Taib sebelum ini sebagai Menteri Kewangan serta Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri.

Ditanya mengenai pelantikan bagi mengisi kekosongan portfolio Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Adenan memberitahu, perkara itu sedang dilihat dan akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai.

Tambahnya, pelantikan jawatan tersebut tidak perlu dilakukan tergesa-gesa.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil (PRK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, beliau berkata, pihaknya yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan di kerusi itu seperti sebelum ini.

"Penduduk (Balingian) masih mempercayai kita (kerajaan). Dalam masa terdekat akan diumumkan calon kita.

"Beberapa nama calon telah diterima dan saya akan berbincang dengan pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN bagi menentukan calon paling sesuai untuk diletak bertanding di situ," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140304/po_03/Adenan-kekalkan-Kabinet#ixzz2uxBNU3hl  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Tolak Anwar di Kajang


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 3 Mac - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam utama negara hari ini menggesa pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang agar menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya itu.

Mereka membayangkan masalah besar akan timbul kepada rakyat Selangor dan juga negara ini, sekiranya Anwar menang dalam pilihan raya itu dan seterusnya melantik dirinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sehubungan itu, kumpulan itu yang terdiri daripada Jalur Tiga Malaysia (Jati), Yayasan Murni Aqidah, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pengundi menolak Anwar, sekali gus menghalang hasratnya untuk menerajui Selangor.

NGO-NGO Islam berkenaan turut sepakat akan menggerakkan seluruh kekuatan kolektif yang ada untuk turun padang bagi memberikan penerangan kepada penduduk DUN Kajang mengenai kemungkinan langkah-langkah yang akan diambil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jika beliau menang di DUN Kajang.

Jurucakap kumpulan tersebut, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, berdasarkan kenyataan-kenyataan Anwar yang dilaporkan sebelum ini, pihaknya bimbang beliau akan menggunakan kuasa Menteri Besar untuk menstruktur semula sistem perundangan dan pentadbiran negeri bagi disesuaikan dengan prinsip liberalisme, pluralisme serta tuntutan sosial yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia.

Selain itu, dakwanya, strategi turun ke jalan raya mungkin sekali lagi digunakan oleh Anwar untuk meruntuhkan sistem sedia ada dan keadaan itu dikhuatiri boleh mewujudkan pergolakan antara rakyat Selangor yang mungkin merebak ke seluruh negara.

"Pengundi DUN Kajang terutamanya umat Islam diminta tidak termakan dengan 'gula-gula' Anwar, sebaliknya menolak beliau atas nama akidah Islamiah," katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman beliau di sini hari ini.

Yang turut serta, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Kapten (B) Dr. Shamsuddin Moner.

Menurut Hasan, pengkaji politik di kalangan NGO Islam juga mengenal pasti 20 alasan syarie mengapa pengundi perlu menolak Anwar dalam PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Katanya, antara alasan tersebut adalah berhubung pandangan Anwar dalam pluralisme agama, pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan konsep penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

"Itu hanya sebahagian sahaja daripada fakta-fakta pokok lain seperti persoalan moral dan akhlak termasuk integriti dan kredibiliti yang akan kami dedahkan menjelang PRK DUN Kajang nanti.

"Fakta-fakta ini jika dicantumkan akan menjadi hujah yang paling kental mengapa pengundi Kajang khasnya dan rakyat Malaysia umumnya mesti menolak hasrat Anwar untuk menerajui Selangor," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140304/po_02/Tolak-Anwar-di-Kajang#ixzz2ux8DEhQK  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : SUSAH SANGAT KE NAK PERCAYA FAKTA DARI TEMBERANG?????

BN guna pendekatan 'menyerang'






Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan selepas mengimamkan solat asar bersama jemaah Surau Al Istiqamah di Taman Angkasa Indah, Kajang, Selangor, semalam. - BERNAMA

HULU LANGAT 3 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan 'menyerang' dalam berhadapan gelora yang bakal dibangkitkan parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bermula Selasa minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekalipun dilihat sebagai underdog, suhu politik ketika ini tidak memungkinkan BN hanya perlu bertahan, sebaliknya kelemahan parti lawan juga perlu didedahkan untuk pengetahuan umum.

"Kalau kita hanya bersikap bertahan, kita akan dilihat lemah, sedangkan kita juga ada banyak maklumat berkenaan parti lawan termasuk wakil Bebas yang dikatakan bakal bertanding.

"Kita faham dan tahu kemelut yang dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dasar-dasar yang dibawa yang jelas tidak memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk penduduk di Kajang," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di pejabat UMNO Hulu Langat di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah BN bagi PRK DUN Kajang, Datuk Seri Noh Omar; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN turut menarik perhatian bahawa gabungan itu tidak akan menyerang peribadi lawan sepanjang kempen, sebaliknya lebih mengutamakan penerangan berkenaan perkara yang berkaitan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, BN kini sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang habis-habisan, malah semua gerak kerja ke arah itu sudah dilaksanakan sepenuhnya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat yang diadakan hari ini lebih kepada menyelaras gerak kerja serta menetapkan tanggungjawab mengikut Pusat Daerah Mengundi masing-masing.

"Lebih utama, saya tekankan dalam pilihan raya, rakyat adalah raja, sebab itu jentera kempen perlu memberi keutamaan pengundi dan penduduk di mana mereka ditugaskan," katanya.

Pilihan raya kecil dijadual berlangsung 23 Mac ini menyaksikan Mei Fun bakal berdepan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas, antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140304/po_01/BN-guna-pendekatan-menyerang#ixzz2ux5xzjBr  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Mara terus jadi penggerak


Oleh ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak menekan butang merasmikan Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama Mohd. Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhammad (kiri), Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa (empat dari kiri) dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad (kanan).

KUALA LUMPUR 3 Mac - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus menjadi penggerak dan jentera utama kepada aspirasi kerajaan dalam membangunkan masyarakat bumiputera di negara ini terutamanya dalam bidang pendidikan, keusahawanan serta pelaburan.

Aspirasi tersebut bukan omongan tetapi dirangka dengan jelas menerusi Pelan Transformasi Mara 2011-2015 yang merupakan pelan strategik lima tahun badan itu bagi memastikan kesinambungan kejayaan mengangkat martabat masyarakat bumiputera terus diperkasakan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelan strategik yang digerakkan melalui pendekatan bersepadu dengan menterjemah agenda transformasi negara dilaksanakan secara integrasi bagi memaksimumkan hasil.

"Mara mahu melahirkan sekurang-kurangnya satu keluarga satu usahawan menjelang tahun 2020 kerana kita yakin mampu merubah suasana sosioekonomi dan pemikiran masyarakat bumiputera daripada menjadi pekerja kepada mencipta peluang pekerjaan.

"Kita mahu anak-anak kita pada masa akan datang bukan sahaja mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang tetapi menjadi tulang belakang kepada setiap pembangunan negara," katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Menara Mara itu.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, sejak diwujudkan, Mara telah banyak menyumbang kepada kejayaan bumiputera terutama dalam aspek modal insan apabila ramai bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) kini menerajui industri terkemuka.

Jelasnya, hal yang sama juga diraih dalam sektor pelaburan apabila anak-anak syarikat Mara berjaya mencatat pendapatan sebanyak RM1.05 bilion manakala prestasi kutipan pembiayaan pula meningkat sebanyak RM786 juta, jauh melepasi sasaran awal RM550 juta.

Pada masa sama, beliau menambah, Mara kini turut memberikan fokus kepada pembangunan industri makanan halal merangkumi aktiviti penyelidikan serta pembangunan Halal Park di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Bagi tujuan ini, sebanyak RM260 juta diperuntukkan bagi penyediaan pembiayaan yang merangkumi Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM), Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) dan Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)," ujarnya.

Mengenai perancangan pengurusan Mara pula, Mohd. Shafie berkata, organisasi itu yang memiliki 18,563 kakitangan kini agresif dalam meningkatkan keupayaan intelektual warganya melalui pelbagai program terutama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, keupayaan intelektual penting untuk memastikan Mara sentiasa bersedia menghadapi cabaran selain turut berusaha menambah baik skim perkhidmatan sedia ada agar organisasi itu berupaya menarik lebih ramai tenaga kerja yang terbaik demi kelangsungan bumiputera.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, Mara akan turut mewujudkan ekosistem yang mampu membuka peluang baharu kepada bumiputera melalui pembangunan projek di bawah konsep Edubizpark.

Katanya, projek Mara di bawah Edubizpark ialah Asia Aerospace City Subang yang memberi tumpuan pada pusat kejuruteraan aeroangkasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_03/Mara-terus-jadi-penggerak#ixzz2ux40AFa4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Usaha bantu bumiputera wajar - PM


Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai selepas merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, malam tadi. - Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 3 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu beliau menegaskan, sebarang bantuan kerajaan ke atas masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan sosial.

Katanya, berbanding pembangkang yang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, kerajaan BN di bawah kepimpinan beliau beriltizam dan berjanji akan menyokong serta membantu kaum majoriti itu.

"Api perjuangan hasil Kongres Ekonomi 1965 yang dicetuskan Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam hati sanubari saya. Yakinlah atas semangat itu, saya dan barisan Kabinet pimpinan saya akan terus memperjuangkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.

"Sebab itu apabila Mara memohon dana RM400 juta, saya bagi RM800 juta kerana saya tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera terbantut. Saya mahu kesinambungan dan kelancaran program yang dilaksanakan Mara lancar.

"Tetapi saya mahu lihat bumiputera yang dibantu ini layak secara merit iaitu mereka memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus berjaya, bukan pelobi," katanya semasa berucap merasmikan Menara Mara di sini malam ini.

Majlis perasmian tersebut yang bersempena dengan Sambutan 48 Tahun Mara berlangsung dalam suasana yang penuh bersejarah dan gemilang selain turut diserikan dengan persembahan artis tersohor tempatan serta percikan pelbagai jenis bunga api.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Najib berkata, Mara adalah sebuah kisah perjuangan yang panjang hasil komitmen serta kesungguhan politik kerajaan BN dan sepanjang 48 tahun kewujudannya, agensi berkenaan telah membantu kira-kira empat juta bumiputera.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah besar dan ramai dalam kalangan usahawan dan profesional bumiputera yang berjaya pada hari ini termasuk orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, antara produk yang dibantu Mara.

"Inilah yang saya mahu lihat. Usahawan bumiputera yang berjaya dan kemudian mengenang jasa Mara dengan menjelaskan kebaikan Mara dan kerajaan kepada rakyat dan saya mahu lebih ramai anak-anak Mara dilahirkan pada masa akan datang.

"Mereka wajar dibantu kerana sudah tentu tidak adil untuk membandingkan anak-anak yang lahir di Bukit Tunku dengan Hulu Tembeling. Kalau tidak dibantu, nasib anak-anak ini kekal seperti mana kehidupan sedia kala tanpa perubahan," jelasnya.

Menyentuh mengenai Menara Mara, Najib berkata, bangunan setinggi 30 tingkat itu adalah lambang kejayaan kerajaan dan agensi berkenaan membantu serta mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain.

Beliau seterusnya berdoa Mara terus menjadi salah sebuah agensi terunggul bagi menjulang masyarakat bumiputera dalam bidang pendidikan serta keusahawanan melalui pelbagai program komprehensif yang telah dan sedang dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_01/Usaha-bantu-bumiputera-wajar---PM#ixzz2ux1Ed2YT  © Utusan Melayu (M) Bhd