15 Februari 2015 12:09 AM
MUKADIMAH : KES Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak 2008 telah menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang itu bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Namun, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh “orang jahat” masih dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang masih berlegar itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, AMIRUDDIN HARUN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewancara TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH yang dilantik mengetuai pendakwaan kes itu pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tidak seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut.
"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya.
MINGGUAN: Selepas 10 Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan. Bagaimana pula secara peribadi?
MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik.
Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama. Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) "Lelaki Y". Empat-empat itu dapat "Lelaki Y". Kalau kita bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.
Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja. Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya. Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia (Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita kata 16 tadi.
Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar. Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu keputusan tetapi kita tidak tahu siapa "Lelaki Y". Apabila Anwar ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai tuala yang bersaiz medium.
Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA, tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia periksa, dia pun kata "Lelaki Y" tetapi tidak tahu profil DNA "Lelaki Y" yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes ini.
Dalam kenyataan Tan Sri tentang ”Anwar Ibrahim Verdict”, kenapa Tan Sri mengharapkan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara membaca fakta secara teliti dalam penghakiman sebelum membuat kesimpulan?
MUHAMMAD SHAFEE: Oleh sebab kes kita ini amat kuat. Keterangan terhadap Anwar ini terlalu kuat. Kita tidak boleh pertikai. Tak boleh hendak kata apa-apa pun berkenaan dengan fakta ini. Kalau saya jadi peguam bela dia pun, saya pening kepala sebab keterangan memang kuat. Jadi, oleh sebab keterangan itu kuat, kita berani kata sila masuk, kita tengok keterangan itu. Jangan cerita benda-benda lain. Konspirasilah, itulah dan inilah, semua itu cerita politik untuk propaganda. Kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes. Mereka tidak berani masuk fakta kes. Saya tidak pernah dengar sekalipun dalam mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan yang Anwar kata itu bukan DNA dia. Apa yang dia pertikaikan ialah cara DNA itu dikaji, cara analisis itu semua dia kata teknik salah.
Apabila dia beri keterangan dari kandang tertuduh (dock), bukan kandang saksi, jadi dia tidak boleh disoal balas. Jadi, dia penakutlah dan ada yang dia nak sembunyi. Selalunya keterangan dari dock ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi. Walhal subjek, Saiful ini tujuh hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat.
Anwar dan penyokong beliau masih anggap ini merupakan konspirasi politik dan bukan kisah aduan “serangan seksual” majikan ke atas pekerjanya. Apa komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama. Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar dibuang kerja. Kita hendak tanya Anwar, konspirasi itu apa maksudnya? Apakah konspirasi untuk kenakan dia atas perkara memang dia lakukan atau konspirasi kenakan dia atas perkara dia tak pernah lakukan. Kalau dia lakukan, kalau orang kata kita perlu siasat dan kenakan dia, itu bukan konspirasi yang salah di sisi undang-undang. Polis pun pakat kalau hendak siasat kes tetapi itu konspirasi yang tidak ada maksud membuat kesalahan undang-undang, sebab itu hak polis untuk siasat termasuk kes liwat kedua ini.
Orang tanya kenapa Saiful pergi jumpa Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum dia kena liwat pada 26 Jun 2008. Menurut Saiful, dia sudah hilang akal berkenaan kepada siapa dia hendak laporkan kerana ini Anwar, Ketua Pembangkang. Dahulu pun, Anwar menang kes itu. Apabila Saiful datang jumpa, Najib terus katakan tidak boleh dan nasihatkan Saiful jumpa Ketua Polis Negara (KPN) pada masa itu. Najib beritahu Saiful perkara ini amat sensitif dan tidak mahu orang buat tuduhan.Apabila Saiful hubungi KPN, beliau pula minta Saiful jangan telefon dia lagi kerana ingat Saiful main-main. Jadi, Saiful serba salah. Apabila perkara 26 Jun 2008 berlaku, Saiful letak jawatan kerana tidak sanggup diliwat lagi sebab sembilan kali dia kena. Saiful kata dia tidak rela tetapi terpaksa menyerah kerana dominasi Anwar terlampau kuat. Hari itu, Saiful kata tidak mahu tetapi Anwar marah dia dan minta dia masuk ke dalam bilik.
Kita hendak tanya di mana kita boleh dapat air mani Anwar? Bukan dia simpan dalam bank. Bukan hanya air mani tetapi air mani itu ada sperma. Dalam kes ini, oleh sebab antara 48 hingga 56 jam, ekor sperma sudah putus sebab proses pembusukan sudah berlaku tetapi tidak begitu ketara. Sebab itu ekor sperma itu tidak ada. Ahli kimia kata proses pembusukan itu tidak mencemarkan. Dia mendapat DNA daripada kepala sperma. Apabila dia pecahkan tiap-tiap kepala, dia ekstrak DNA. Itu yang 16 bacaan menunjukkan Anwar.
Walaupun dengan bukti-bukti kukuh ini, penyokong Anwar masih tidak percaya insiden liwat ini benar-benar berlaku tetapi masih menganggap satu konspirasi.
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam mahkamah, peguam Anwar sendiri tidak kata itu bukan dia punya DNA. Jadi, apa yang penyokong-penyokong bising. Peguam dia 14 orang, tidak pernah seorang pun kata itu bukan dia. Hanya mereka mempertikaikan proses analisis. Itu sahaja. Kalau proses analisis itu, macam mana dapat 16 daripada 16 bacaan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengatakan hukuman penjara lima tahun itu ialah pengorbanan Anwar untuk rakyat Malaysia. Tidakkah ini mengelirukan rakyat?
MUHAMMAD SHAFEE: Mana ada pengorbanan. Kalau pengorbanan, dia mengaku salahlah. Yang itu baru kita kata korban. Ini dipaksa masuk dalam penjara sebab didapati bersalah sebab dia bohong daripada awal. Awal-awal lagi dia kata pembelaan dia ialah alibi. Sebanyak 13 nama dia beri masuk tetapi seorang pun dia tak panggil sebab daripada awal lagi dia hendak tipu. Dia hendak kata dia bukan di apartment itu tetapi di apartment sebelah. Akhirnya apabila kita tunjuk kamera litar tertutup (CCTV), dia sudah terpegun. Alibi dia semua habis terbang. Saya pun hendak tengok dia panggil Wan Azizah untuk apa. Dalam keterangan dari kandang pun dia tidak kata alibi. Jadi, alibi kira lesap terus.
Anak perempuan Nurul Izzah ada bertanya kepada Anwar, “Atuk, kenapa mereka cakap pasal penjara?” Anwar cakap kepada cucunya, “Orang jahat nak sumbat atuk dalam penjara.” Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya rasa kalau dia kata orang jahat, bukan sahaja mahkamah, dia maksudkan ada konspirasi dengan kerajaan, menteri-menteri, Perdana Menteri, Pendakwa Raya dan polis pun termasuk. Kita tengok konspirasi ini. Ada satu kes di India melibatkan Sushil Sharma yang dipanggil sebagai kes pembunuhan Tandoor. Dia orang politik di Delhi, Ketua Pemuda Parti Kongres, seorang yang berpengaruh. Dia bergaduh dan menembak mati isterinya. Dia bawa mayat perempuan itu ke restorannya dan dimasukkan dalam tandoor untuk dibakar bagi hancur tetapi badan manusia bau kuat.
Polis pun tengok dan nampak ada kaki dan jari tetapi badan hampir hancur. Itu pun DNA ahli politik ini dipertikaikan. Dia kata konspirasi daripada polis, ahli kimia, kerajaan dan macam-macam lagi untuk jatuhkan karier politiknya, sama seperti Anwar tetapi semua bahan bukti ini sudah diperolehi. Dia pun buat alibi tetapi tidak pakai alibi tetapi dia lari dari tempat itu. Dia pun beri keterangan dari dock, macam Anwar 100 peratus.
Kalau konspirasi, mesti ada konspirasi daripada Saiful, kerajaan dan mungkin Kabinet, polis dan empat doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tetapi yang doktor ini menarik. Pada 28 Jun 2008, Saiful pergi ke Hospital Tawakal dahulu tetapi diberitahu hospital itu beroperasi sampai tengah hari dan tidak ada doktor.
Baru dia pergi ke Hospital Pusrawi dan jumpa dengan doktor dari Myanmar yang mahkamah kata tidak jujur. Memang dia mengaku dia buat itu semua silap. Benda yang dia tidak pernah tulis dalam rekod, selepas tiga minggu baru dia tulis untuk menyokong Anwar. Dia yang kata Saiful kena pergi HKL sebab di situ tidak ada forensik.
Apabila sampai HKL 3.30 petang, akhirnya Saiful diperiksa pukul 9.30 malam. Kamu fikirlah kalau ada konspirasi, takkan mereka tidak aturkan untuk permudahkan. Selain itu, ahli kimia pun kena masuk konspirasi. Dua ahli kimia; seorang Cina dan seorang Melayu. Doktor pun ada satu Cina dan tiga Melayu. Selepas itu pegawai penyiasat, timbalan pendakwa raya yang awal dan saya pun mesti ada dalam konspirasi dan hakim pun mesti konspirasi, tetapi hakim pertama buang kes. Mana ada konspirasi.
Kes jenayah ini, semua dikatakan konspirasi, sebaliknya apabila kes sivil yang banyak mereka menang tidak pula dikatakan konspirasi?
MUHAMMAD SHAFEE: Hakim yang dia maki hamun di Mahkamah Tinggi, hakim itu yang bebaskan dia. Apabila hakim itu bebaskan dia, dia kata keadilan ditegakkan. Cuba tengok dalam kes liwat satu, Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mereka ada baca penghakiman tentang Anwar. Dalam itu, dia kata macam-macam pasal Anwar. Seorang peguam Anwar masa itu, Christopher Fernando muncul di televisyen dan menyatakan ini hari paling istimewa bagi badan kehakiman sebab buang kes ini. Selepas itu, mereka baca keputusan dengan terperinci. Hakim kata, walaupun Anwar dilepaskan atas dasar teknikal, ada bukti-bukti menunjukkan dia homoseksual. Ada aktiviti itu berlaku di Tivoli Villa.
Pada 2014, mereka cuba buat satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk buangkan kenyataan-kenyataan berkenaan yang hakim Mahkamah Persekutuan dahulu kata, tetapi hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu kata tidak boleh kerana ini dapatan fakta daripada mahkamah. Dia kata, kita kekalkan sebab ada dasar dan sebab kukuh kenapa dapatan fakta itu dibuat. Jadi, ia jadi lebih konkrit.
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menyatakan Ketua Pembangkang sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C iaitu bagi kesalahan lebih berat yang akan mendedahkan Anwar kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. Soalnya, kenapa pasukan Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B yang tidak menetapkan tempoh penjara minimum?
MUHAMMAD SHAFEE: Dalam kes 377C, kita harus tunjukkan dengan begitu jelas yang tidak ada kerelaan dia dan dibuat dengan paksaan. Jadi, Peguam Negara mungkin kata kenapa hendak pergi melalui jalan itu kerana kesalahan itu memang kesalahan, sama ada dengan kerelaan Saiful atau tidak. Hukuman maksimum penjara 20 tahun juga.
Kalau Anwar kena 377C, hukuman penjara minimum lima tahun. Kalau minimum lima tahun, dia mesti terpaksa kena penjara tujuh atau lapan tahun. Lagi satu, dia kena rotan. Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan kecuali kes 377C sebab kes itu serius. Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara.
Datuk S. Ambiga menyatakan dia kecewa kerana Tan Sri "menyerang" Anwar apabila mengeluarkan kenyataan menghina Anwar selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun bagi pertuduhan liwat. Tan Sri juga didakwa melanggar hak asasi manusia apabila "menyerang" Anwar yang tidak boleh mempertahankan diri. Komen Tan Sri?
MUHAMMAD SHAFEE: Saya hanya keluarkan kenyataan sebab mula-mula Christopher Leong kata ini bukan pendakwaan tetapi penganiayaan. Sebagai Presiden Majlis Peguam, dia tidak boleh bercakap macam itu. Ertinya apa? Mahkamah buat aniaya, saya buat aniaya dan polis semua buat aniaya. Takkan saya tidak ada hak asasi saya sebagai Pendakwa Raya untuk menegakkan apa yang saya buat itu betul. Saya hanya menjawab. Dia yang buka pekung dulu.
Kemudian Ambiga masuk buat cerita Barisan Nasional (BN) salah langkah untuk mempenjara Anwar. Adakah mahkamah itu sebahagian BN? Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya.
Bagaimana dengan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh? Adakah ia akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman? Tempoh itu mungkin lebih panjang sekiranya Anwar mengemukakan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
MUHAMMAD SHAFEE: Anwar ada 14 hari untuk kemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang peliknya, kalau kita hendak minta ampun, kita mesti kata kita salah dan minta ampun. Boleh kita kata kita tak salah tetapi kita hendak minta ampun. Kedua, ini bermaksud dalam 14 hari itu dia masih lagi Ahli Parlimen. Selepas 14 hari itu pun dia masih lagi ahli Parlimen. Sebab badan Parlimen kena bersidang dan membuat keputusan berdasarkan kes ini, dia harus disingkirkan, barulah keahlian hilang. Ini berdasarkan kes Ahli Parlimen daripada DAP, Fan Yew Teng pada 1975.
Sistem kehakiman dan mahkamah kita pada mata dunia sudah teruk sebab diburuk-burukkan dan dihentam. Bagaimana hendak memulihkannya?
MUHAMMAD SHAFEE: Apabila mahkamah buat keputusan setiap kes, hakim mesti tulis alasan penghakiman. Alasan penghakiman itu akan menunjukkan cara perjalanan otak hakim tersebut. Kalau tersalah tulis atau tersalah penghakiman, ia akan tertera dalam tulisan tersebut. Orang boleh baca. Jadi, standard alasan penghakiman mesti dipertingkat. Jadi, bukan sahaja kita tahu bahawa kita buat penghakiman yang baik tetapi orang juga harus tahu dengan membaca alasan yang kita buat keputusan yang baik. Jadi, penghakiman berlaku dan penyaksi penghakiman dilakukan juga mesti ada. Itu dalam bahasa Inggeris kata “not only justice must be done but justice must be seen to be done”. Sebab baru ada keyakinan.
Cara kita kendali dalam mahkamah pun mesti baik termasuk etika dan cara kita dengar. Saya percaya orang Melayu paling bagus sebagai hakim. Kita sabar dan tidak mudah hilang sabar. Bukan kita hendak jadi rasis tetapi peguam bangsa lain pun kata Melayu lebih bagus sebab kita sabar. Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya. Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kes-anwar-bukan-satu-konspirasi-1.59532#sthash.kIKs2ECs.dpuf