REMBATAN pemain Jerman, Thomas Mueller (tidak kelihatan dalam gambar) gagal disekat penjaga gol, Tim Howard pada perlawanan Kumpulan G di Pernambuco Arena, Recife, semalam. - REUTERS
RECIFE - Bintang Jerman, Thomas Mueller meledakkan gol keempat pada Piala Dunia bagi meletakkan dia sebaris dengan Lionel Messi, dan Neymar sewaktu melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Amerika Syarikat, semalam yang sekali gus meletakkan pasukannya muncul juara Kumpulan G.
Amerika Syarikat yang dibimbing oleh bekas bos Jerman, Juergen Klinsmann turut layak ke pusingan 16 pasukan akhir sekali pun tumpas pada perlawanan di Racife, kerana kejayaan Portugal membenam Ghana 2-1 tidak cukup untuk mereka memintas skuad Uncle Sam itu ke pusingan kedua.
"Memang satu kejayaan besar dapat melepasi saingan peringkat kumpulan ini. Kami sedar perlawanan agak rumit, tetapi keputusan seri sudah memadai buat kami, jadi bukan mudah untuk kami mengharunginya.
"Tetapi, kami memiliki sebuah pasukan yang sangat kuat, dan para pemain pula setiasa mempunyai keinginan tinggi untuk memberikan yang terbaik. Peringkat kalah mati merupakan satu pertarungan yang berbeza.
"Kami berasa positif, sekarang kami perlu fokus kepada lawan yang khusus pada aksi berikut, ia tidak sama seperti yang kami harungi pada perlawanan peringkat kumpulan," kata Klinsmann yang mana pasukannya akan bertemu Belgium di pusingan kalah mati.
Sebelum perlawanan tersebut berlangsung, tercetus spekulasi yang menyatakan Jerman, dan Amerika Syarikat telah merancang untuk mencatat keputusan seri yang membuka laluan kepada kedua-dua pasukan layak ke peringkat seterusnya.
Persahabatan antara Klinsmann dengan bekas pembantunya yang kini merupakan jurulatih Jerman, Joachim Loew telah memperkuatkan desas-desus terhadap teori konspirasi itu. Namun, Jerman telah mendominasi perlawanan yang diadakan di Arena Pernambuco itu.
"Kami mendominasi keseluruhan perlawanan. Kami beraksi dengan cukup tersusun, dan sehingga minit terakhir kami tidak memberi mereka begitu banyak ruang untuk menjaringkan gol," kata Loew.
Sementara itu, Loew turut melahirkan perasaan gembiranya terhadap pencapaian Amerika Syarikat.
"Saya gembira melihat Amerika Syarikat berjaya. Jika anda tewaskan Ghana, dan seri menentang Portugal, saya rasa anda berhak untuk layak peringkat 16 pasukan akhir," ujar Loew.
Gawang yang dikawal ketat penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard akhirnya bolos pada minit ke-55 hasil jaringan Mueller bagi memecah kebuntuan gol pada perlawanan tersebut. - AFP