NEYMAR (bawah) dikasari oleh Camilo Zuniga sewaktu perlawanan suku akhir Piala Dunia di Fortaleza pada 4 Julai lalu. Insiden itu menyebabkan tulang belakang bintang Brazil itu retak. - REUTERS
RIO DE JANEIRO - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkemungkinan besar akan mengambil tindakan terhadap pemain Colombia, Juan Zuniga kerana kekasaran yang dilakukan terhadap bintang Brazil, Neymar sehingga mengalami keretakan tulang belakang.
Pertahanan berusia 28 tahun itu turut mendapat ancaman bunuh dari kalangan pengguna media sosial atas insiden tersebut selepas lututnya mengenai bahagian belakang Neymar dalam perlawanan yang menyaksikan tuan rumah menang 2-1 ke atas Colombia.
Neymar terpaksa melupakan baki kempen pasukannya dalam Piala Dunia, menyebabkan Brazil berada dalam keadaan trauma, manakala legenda bola sepak dunia, Pele mengganggap insiden itu melukakan seluruh negara.
"Jawatankuasa Disiplin FIFA sedang menganalisis segala elemen yang diberikan termasuk video dan laporan perlawanan, kami sedang menimbangkan sebarang keputusan perlu diambil atau sebaliknya," kata jurucakap FIFA, Delia Fischer.
Zuniga, yang bermain bersama kelab Napoli di Itali, menafikan dia sengaja mencederakan pemain Brazil berusia 22 tahun itu.
"Apabila saya beraksi di atas padang, sudah tentu saya mahu mempertahankan maruah negara dan jersi yang saya pakai, tetapi saya tidak pernah sesekali berniat mahu mencederakan sesiapa.
"Perlawanan itu cukup tegang dan Brazil juga melakukan perkara yang sama, itu adalah normal dan pada masa saya melakukan tindakan berkenaan, saya bukannya mahu mencederakan tulang belakangnya.
"Perkara ini cukup menyedihkan, saya harap dengan bantuan tuhan, kecederaan itu tidak serius kerana semua tahu dia adalah bintang paling bersinar di Brazil pada masa kini, " katanya.
Akhbar Brazil mengharapkan skuad kebangsaan mereka akan memenangi Piala Dunia untuk Neymar sambil mengeji pemain Colombia, Zuniga atas tindakannya terhadap penyerang Barcelona itu, dan ada laman web menyamakan Zuniga seperti raksasa dan penjahat terbesar dalam sejarah bola sepak.
Pele pula menyatakan melalui Twitter bahawa seluruh negara masih dalam keadaan bersedih dengan kecederaan dialami Neymar
"Cukup melukakan apabila dia tidak boleh lagi membantu Brazil dalam Piala Dunia.
"Saya pernah mengalami kecederaan pada tahun 1962 di Chile dan saya tidak beraksi hingga tamat kejohanan namun tuhan membantu Brazil memenangi kejohanan itu dan saya harap perkara sama akan terjadi di Piala Dunia kali ini buat Selecao," katanya.
Bekas pemenang Piala Dunia, Ronaldo dan Fabio Cannavaro yang hadir semasa majlis penerangan FIFA bersetuju insiden itu seperti disengajakan oleh Zuniga.
"Kecederaan itu cukup teruk dan saya memang yakin dia (Zuniga) ada niat untuk mencederakan pemain kerana tindakannya nampak ganas," kata Ronaldo yang memenangi Piala Dunia 2002 bersama Brazil.
Bagi Cannavaro, dia percaya situasi berkenaan mampu dielakkan dan menyalahkan Zuniga dengan berkata: "Lututnya nampak bergerak cukup tinggi dan itu membuatkan saya percaya ia adalah kekasaran yang memang disengajakan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140707/sl_03/Zuniga-mungkin-dihukum#ixzz36jx6UHxG © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment